Pages

Saturday, August 16, 2008

Tindakan undang-undang jika Khalid enggan minta maaf

SHAH ALAM: Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Seri Profesor Ibrahim Abu Shah menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya beliau enggan memohon maaf berikutan cadangannya untuk membuka kuota kemasukan 10 peratus ke universiti itu kepada pelajar bukan bumiputera.

Beliau berkata, Abdul Khalid harus meminta maaf kerana kenyataan yang dibuatnya terhadap UiTM bukan sahaja tidak beretika dan menghina UiTM tetapi tidak benar sama sekali.

"Kami bukannya bersikap keras kepala berhubung isu ini tetapi kenyataannya itu 100 peratus salah dan jika hujahnya betul kami boleh terima setiap kritikan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Alumni Homecoming di Kompleks Sukan UiTM, di sini hari ini.

Lebih 3,000 bekas penuntut UiTM hadir pada majlis itu yang bertujuan merapatkan hubungan di kalangan mereka menerusi pelbagai program yang diatur di dalam dan luar kampus.

Abdul Khalid sebelum ini mencadangkan agar 10 peratus kuota di UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera dan asing kerana graduan UiTM didakwanya tidak mesra dengan kaum lain, tidak berkualiti, tiada persaingan dan tidak global.

Kenyataan itu mencetuskan ketidakpuasan hati pelbagai pihak termasuk pelajar UiTM di seluruh negara yang mengadakan perhimpunan bagi membantah cadangan tersebut.

Abdul Khalid bagaimanapun enggan memohon maaf kepada UiTM berhubung kenyataannya itu atas alasan beliau bukan mempersoalkan hak istimewa bumiputera dan penubuhan UiTM.

Ibrahim berkata, UiTM tidak pernah berniat untuk bermusuh dengan kaum lain dan ia terbukti apabila ada kaum lain termasuk Cina dan India diambil sebagai tenaga pengajar di universiti itu, malahan hubungan mereka dengan pegawai serta pelajar amat mesra.

"Kenyataan beliau (Abdul Khalid) seperti mencucuk rakyat bukan Bumiputera supaya bencikan Melayu dan sebaliknya serta boleh mencetuskan perasaan benci sesama Melayu," katanya. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment