Pages

Wednesday, August 13, 2008

MB Selangor enggan mohon maaf

Menteri besar Selangor enggan meminta maaf berhubung cadangannya agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima 10 peratus pelajar bukan Bumiputera walau mencetuskan kemarahan orang Melayu dan bantahan pelajar universiti itu.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berharap isu berkenaan tidak lagi dibesar-besarkan, lapor Bernama hari ini.

"Tak ada... ini bukan ada maaf atau apa, semua ini hanya untuk menerangkan isu yang telah dipolitikkan," beliau dipetik berkata, mengulas desakan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang mahu beliau berbuat demikian secara terbuka.

Semalam lebih 5,000 pelajar UiTM di Shah Alam dilaporkan berarak sejauh dua kilometer ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor yang menempatkan pejabat menteri besar sebagai tanda bantahan dan menyerahkan memorandum yang menyatakan rasa kesal mereka terhadap cadangan itu.

Abdul Khalid dilaporkan menjelaskan, kenyataannya Ahad
lepas bukanlah pendirian kerajaan Pakatan Rakyat atau PKR.

Katanya, kenyataannya dibuat ketika menjawab soalan daripada
media tentang kemasukan pelajar asing dan Bumiputera ke UiTM dalam konteks untuk mempertingkatkan mutu pendidikan tinggi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.

"Kerajaan negeri Selangor amat kesal ulasan ini dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman," katanya.

Abdul Khalid menegaskan, beliau tidak pernah bermaksud
mempertikaikan hak keistimewaan pelajar Bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi mengangkat martabat pelajar Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, seperti dilaporkan agensi berita itu, beliau merancang mengadakan perbincangan dengan universiti-universiti di Selangor supaya mereka dapat berusaha untuk mencapai tahap universiti bertaraf antarabangsa.

"Salah satu ciri yang menyebabkan universiti-universiti dikenali di
peringkat antarabangsa ialah keterbukaan universiti daripada segi idea dan kemasukan pelajar dan juga daripada segi penglibatan pelajar dalam perbincangan terbuka mengenai isu-isu semasa," katanya.

_______________________________________________________________

uitm students protest in selangor state office 130808 02Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan beberapa syarat, termasuk ia dibuka kepada pihak media.

Semalam, Abdul Khalid berkata, beliau mahu mengadakan pertemuan dengan wakil pelajar UiTM berhubung saranannya supaya pusat pengajian tinggi itu turut dibuka kepada bukan bumiputera.

Berikutan itu, para pelajar UiTM telah berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi semalam untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.

Yang Dipertua (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa pihaknya mengena syarat tersebut supaya media dapat melaporkan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Katanya, ini bagi mengelak berlaku percanggahan kenyataan yang diberikan kepada pihak media selepas pertemuan itu diadakan.

Satu lagi syarat, katanya, ialah pertemuan tersebut mesti dihadiri oleh menteri besar dan exco pendirikan, Dr Halimah Ali.

"Ini kerana menteri besar yang mengutarakan saranan membuka UiTM kepada bukan bumiputera, manakala Dr Halimah sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pendidikan di Selangor," katanya.

Di samping itu, katanya, memandang pertemuan tersebut terbuka kepada semua pihak, maka ia sesuai diadakan dalam kawasan kampus UiTM bagi mengelak berlaku sebarang provokasi.

"Dengan kehadiran orang luar, jika berlaku sebarang provokasi, ia boleh menjejaskan imej pelajar UiTM," tambahnya.

Saranan jumpa minggu ini


Luqmannulhakim berkata, kalau boleh, pihaknya mahu pertemuan itu diadakan dalam minggu ini kerana semangat pelajar sedang berkobar-kobar untuk bertemu dengan Abdul Khalid.

Semalam, menteri besar Selangor itu berkata, beliau serta para exco kerajaan negeri bersedia mengadakan pertemuan itu selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh hujung bulan ini.

"Sepatutnya dipercepatkan kerana kita hanya perlukan masa satu jam sahaja untuk mengadakan pertemuan tersebut," kata Luqmannulhakim lagi.

Ditanya sekiranya Abdul Khalid tidak dapat menemui mereka minggu ini, beliau berkata: "Tengoklah, selepas pilihanraya kecil itu, jika ada masa kita jumpalah."

Katanya, ia kerana sebagai pelajar, mereka juga perlu mengikut pengajian masing-masing.

Kelmarin Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM, dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.

Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.

Sumber : Malaysiakini


0 comments:

Post a Comment