Pages

Tuesday, August 5, 2008

Hairan : Dadah hilang dari balai Polis!


JOHOR BAHRU: Tiga wartawan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) hari ini menerima surat arahan dari polis bagi memberi keterangan berhubung penulisan artikel kehilangan syabu bernilai RM1 juta dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri ini.

Surat arahan bagi menghadiri penyiasatan mengikut Seksyen 111, Kanun Acara Jenayah itu diserahkan Pegawai Turus Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Johor, Deputi Superintendan Kalawan Singh di pejabat kumpulan akhbar itu di Bandar Baru Uda, di sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Mengikut surat arahan itu, ketiga-tiga wartawan iaitu masing-masing seorang dari akhbar New Straits Times (NST), Harian Metro dan Berita Harian diminta ke JSJ IPK, jam 11 pagi esok.

Hari ini, ketiga-tiga akhbar itu — NST, Harian Metro dan Berita Harian — melaporkan berita kehilangan sebahagian dadah rampasan jenis syabu dari bilik bahan bukti itu minggu lalu yang dianggar bernilai kira-kira RM1 juta, yang dikatakan menjadi bahan bukti kes rampasan dadah bernilai RM48 juta Mac lalu.

Akhbar berkenaan melaporkan seorang pegawai bertugas mendapati mangga bilik berkenaan telah dirosakkan dengan asid dan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sentral.

Sementara itu, Ketua Biro Berita Harian Khirul Bahri Basarudin yang dihubungi, mengesahkan kehadiran Pegawai Turus Perundangan dan penerimaan surat arahan itu.
— Bernama


Melaka -– Pihak berkuasa hari ini disaran mengambil perhatian dan tindakan serius berhubung kehilangan pelbagai jenis dadah yang menjadi bahan bukti penting bagi sembilan kes, yang hilang dari stor pejabat Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kelmarin.
Pengerusi Biro Anti Dadah dan Gejala Sosial Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, YB Datuk Idris Haron berkata kejadian tersebut tidak seharusnya berlaku kerana bahan bukti terbabit berada di dalam jagaan pihak Polis.
Menurut beliau tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang didapati bertanggungajwab terhadap kejadian berkenaan untuk memastikan imej serta kredibiliti pihak berkuasa tidak terus dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Kita tidak tahu apakah kejadian itu berpunca daripada unsur kecuaian dan sebagainya. Perkara itu kita serahkan kepada pihak Polis untuk melakukan siasatan dalaman.
"Apa yang penting, kejadian sedemikian perlu diberi perhatian dan tindakan segera untuk mengelakkan kejadian seumpama itu tidak dijadikan bahan oleh mana-mana pihak untuk terus mempertikaikan kewibawaan anggota pasukan yang menjaga ketenteraman awam di negara kita", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian kehilangan pelbagai jenis dadah yang menjadi bahan bukti penting bagi sembilan kes, yang hilang dari stor pejabat Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, kelmarin.
Malah, dokumen serta kertas siasatan berkaitan kes rampasan dadah itu juga lesap. Dadah itu membabitkan lebih 1,000 pil kuda, heroin serta ubat batuk yang bernilai RM40,000.
Untuk rekod, ini merupakan kejadian kedua membabitkan kehilangan dadah daripada simpanan polis.
Sebelum ini, perbicaraan kes pengedaran dadah membabitkan seorang warga tua di Mahkamah Majistret Shah Alam, kecoh apabila kira-kira 60,000 pil psikotropik menjadi bahan bukti didapati hilang.
Kehilangan pil itu disedari pada hari kedua perbicaraan pada 5 April tahun lalu, apabila seorang pegawai Jabatan Kimia, Zurina Ramli diarah membuka satu daripada tiga kotak mengandungi bahan bukti berkenaan. Bagaimanapun, hanya bungkusan pil berkenaan dan sampel serbuknya ditemui.
Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu seterusnya berkata sungguhpun kejadian itu merupakan kejadian kedua, pihaknya bimbang jika tidak ditangani secara serius akan memberi implikasi kepada proses pendakwaan sekaligus menyebabkan pesalah yang terlibat akan terlepas dari tindakan undang-undang.
"Kita mintaklah pihak Polis mengambil perhatian serius perkara ini kerana ianya membabitkan penguatkuasaan undang-undang. Jangan hanya kerana seorang dua yang terlibat, imej satu pasukan Polis terus dikritik dan diperkatakan rakyat", ujarnya.
SEREMBAN: Kes kehilangan dadah yang dirampas polis berulang lagi, kali ini membabitkan kira-kira tiga kilogram (kg) ketamin dari bilik simpanan barang bukti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.
Kehilangan dadah itu dikatakan disedari seorang pegawai yang menjalankan pemeriksaan di bilik berkenaan, Sabtu lalu.
Dadah yang lesap itu dipercayai sebahagian daripada 30.32 kilogram ketamin bernilai RM1.2 juta yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dan sebuah rumah di Rantau dekat sini pada 26 Mei lalu.
Difahamkan, dua laporan polis sudah dibuat mengenai kehilangan barang bukti itu dan kes berkenaan kini dikatakan disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.
Bukit Aman juga dilaporkan sudah menghantar pegawainya ke IPD Seremban untuk menyiasat kes itu.
Tiga tahun lalu, 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti perbicaraan kes pengedaran dadah membabitkan seorang warga emas, dilaporkan hilang daripada simpanan polis di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor.
Tidak lama selepas itu, 1,168 pil kuda, 7.5 gram heroin dan 400 mililiter ubat batuk merangkumi sembilan kes turut dilaporkan hilang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin yang dihubungi di Kuala Lumpur, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes terbaru itu.
Beliau berkata, kes itu perlu dirujuk kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.
Osman yang ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam, pula berkata beliau tidak tahu mengenai kehilangan dadah berkenaan.
Rampasan dadah berkenaan yang terbesar di negeri ini tahun ini, dilakukan JSJN IPD Seremban dalam serbuan di sebuah premis perniagaan dan rumah di Rantau, kira-kira jam 3.20 petang, 26 Mei lalu.
Ketamin itu yang diisytiharkan sebagai marmar perhiasan masjid, dipercayai diseludup sindiket pengedaran dadah antarabangsa dari sebuah negara Asia Selatan menerusi perkhidmatan kurier di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber Maklumat : Berita Harian (03 Jun, 2008)
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari jawapan kenapa kira-kira 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti perbicaraan satu kes dadah, hilang daripada simpanan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar sudah mengarahkan pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan siasatan segera, manakala satu laporan polis dibuat berhubung kehilangan bahan bukti itu.
Siasatan itu diketuai seorang pegawai penyiasat berpangkat Asisten Superintendan (ASP).
Beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pegawainya dan akan mendapatkan penjelasan mengenai kehilangan barang bukti itu daripada IPK berkenaan.
“Kehilangan itu sesuatu yang memalukan. Kita hairan bagaimana bahan bukti yang disimpan di tempat yang selamat boleh hilang. Saya sudah mengarahkan siasatan rapi dijalankan,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Perbicaraan satu kes pengedaran dadah di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin kecoh berikutan kehilangan kira-kira 60,000 pil psikotropik yang menjadi bahan bukti kes itu.
Kehilangan pil eramin itu, disedari pada hari kedua perbicaraan apabila seorang pegawai Jabatan Kimia, Zurina Ramli diarah membuka satu daripada tiga kotak mengandungi bahan bukti berkenaan.
Perbicaraan kes itu membabitkan tertuduh, Tua Bit, 61, yang menghadapi dua tuduhan mengedar pil berkenaan pada 2002.
Mohd Bakri berkata, beliau juga sudah mengarahkan seorang pegawai di Jabatan Narkotik Bukit Aman untuk memantau perkembangan siasatan itu. “Pegawai berkenaan akan melaporkan perkembangan siasatan kes itu terus kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, yang terkejut dengan insiden itu, mahu tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
“Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku dan berharap polis segera menjalankan siasatan terperinci bagi mengenalpasti bagaimana bahan bukti itu boleh lesap dan siapa yang bertanggungjawab.
“Saya harap kes ini dapat diselesaikan segera. Kerajaan memandang serius kes ini lebih-lebih lagi ketika kita berhempas pulas menangani masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah sekarang,” katanya kepada Berita Harian.
Noh berkata, dadah itu tidak sepatutnya hilang kerana mengikut prosedur, bahan bukti kes mahkamah perlu disimpan dalam stor khas dan hanya pegawai atau anggota polis tertentu mempunyai akses.
Beliau bimbang kehilangan bahan bukti lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak itu akan menjejaskan kredibiliti polis dan Jabatan Kimia yang mengendalikan kes itu.
Selain itu, katanya, kehilangan bahan bukti dikhuatiri akan digunakan oleh peguam bela tertuduh dalam penghujahannya sehingga menyebabkan tertuduh dibebaskan.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Yahya Udin ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis dibuat oleh pegawainya berhubung kehilangan bahan bukti itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes sedang disiasat.
Difahamkan, siasatan dalaman kes itu sudah dimulakan dengan menyoal siasat beberapa anggota dan pegawai yang mempunyai akses ke dalam stor bahan bukti itu.
Pasukan penyiasat juga dikatakan sedang menyemak buku log yang merekodkan jadual bertugas anggota dan pegawai yang mempunyai akses terhadap stor berkenaan.
Sementara itu, Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Noor Hakim Kassim ketika dihubungi berkata, walaupun kes rampasan dadah itu berlaku di Kajang, polis daerah itu hanya menyimpan bahan bukti itu selama beberapa bulan saja, sebelum dipindahkan ke stor menyimpan bahan bukti di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.

0 comments:

Post a Comment