Pages

Saturday, August 9, 2008

BPR terima 10,000 laporan rasuah dalam 6 bulan

MIRI: Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menerima sebanyak 10,000 laporan melalui pelbagai kaedah pada enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah BPR Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.

Menurutnya, daripada jumlah maklumat yang diterima itu, hanya 3,000 kes sahaja mempunyai alasan untuk membuka fail siasatan.
Katanya majoriti daripada maklumat yang diterima adalah dalam bentuk surat layang yang tidak mempunyai asas, elemen fitnah atau tidak relevan dengan fungsi agensi itu.

"Bagaimanapun, kita akan membantu menyalurkan aduan yang tidak berkaitan dengan kita kepada jabatan kerajaan dan agensi yang relevan," katanya pada sidang akhbar selepas menutup pertandingan debat antirasuah peringkat negeri bagi pelajar pra universiti di sini hari ini.

Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos ini, Ahmad Said berkata, BPR tidak melakukan sebarang persiapan khas memandangkan pejabat BPR Pulau Pinang mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk memantau pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 16 Ogos ini sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh dan jika ada pertandingan, hari pengundian ditetapkan 26 Ogos ini.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan pada 31 Julai lalu untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil.

Ahmad Said berkata, di bawah senario semasa, BPR tidak mampu memberi tumpuan khas kepada pilihan raya kecil tersebut kerana pihaknya juga perlu memantau pemilihan Umno peringkat cawangan dan bahagian.

Lagipun, katanya, bilangan aduan mengenai rasuah politik adalah kecil berbanding aduan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam jentera kerajaan seperti pemberian projek atau pembekalan peralatan. BERNAMA

Sumber : http://www.mstar.com.my

0 comments:

Post a Comment