Pages

Sunday, July 13, 2008

BPR mendapat perintah reman ke atas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR 12 Julai – Selepas menahan reman Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Wahid Mohd. Don semalam, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini menahan timbalannya pula dan agensi itu menegaskan, ramai lagi yang akan ditahan untuk siasatan kes rasuah mempercepatkan pengeluaran visa pekerja asing.

Di Klang, kurang 24 jam selepas Wahid direman petang semalam, pagi ini BPR mendapat perintah reman ke atas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (Bahagian Kawalan), Yusof Abu Bakar, 54, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Turut ditahan reman ialah abang ipar Yusof, Munir Mohd. Hamid, 59. Mereka berdua dibawa serentak dengan tangan bergari oleh empat pegawai BPR ke Mahkamah Majistret Klang di sini, pukul 11.20 pagi ini.

Majistret Zarifah Zainal Abidin membenarkan mereka ditahan bermula hari ini mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1987.

Di Pulau Pinang, Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang ditemui pemberita memberitahu, kes tersebut melibatkan ramai pegawai kanan Jabatan Imigresen.

Menurutnya, selepas membuat beberapa penahanan termasuk Wahid serta Yusof dan Munir petang semalam, BPR juga membuat beberapa lagi tangkapan hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat yang dikumpul sejak beberapa bulan lalu, pegawai-pegawai kanan Jabatan Imigresen yang disyaki terlibat itu akan ditahan berperingkat-peringkat.

“Sebagai contoh, semalam beberapa orang sudah ditahan dan hari ini ada beberapa lagi namun saya tiada maklumat terkini berapa ramai yang akan ditahan lagi tetapi saya dimaklumkan, jumlahnya cukup ramai.

“Saya juga mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai BPR yang telah berkorban masa sejak beberapa bulan lalu demi menyiasat kes ini, demi untuk keselamatan negara,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penganugerahan darjah kebesaran bintang dan pingat kehormatan Pulau Pinang sempena hari ulang tahun ke-70 Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Said dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk Seri.

Semalam, BPR menahan reman Wahid selama empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah mempercepatkan proses pengeluaran visa pekerja asing.

Mingguan Malaysia diberitahu, Yusof telah ditahan di pejabatnya di Putrajaya pukul 3 petang semalam dan abang iparnya pula ditangkap di rumahnya di Negeri Sembilan pada waktu sama.

Dalam pada itu, Ahmad Said berkata, kegiatan berkenaan sudah bergerak cukup lama dan hasil unit risikan dan maklumat orang awam mendapati tindakan segera perlu diambil sebelum ia merebak.

Malah katanya, pasukan risikan dan siasatan sedang mengenal pasti saki-baki sindiket itu dan akan menjalankan siasatan bagi menjejak serta mendakwa mereka.

“(Mereka) Yang ditahan biarlah disiasat, berapa ramai yang kena tahan tu, kita kena tengok dahulu. Takut mereka ini terlibat sindiket jenayah membabitkan rasuah, biar kita jalankan siasatan dahulu,” katanya.

Ahmad Said berkata, beliau melihat perkara itu sebagai satu masalah besar yang menular dalam perkhidmatan awam dan tindakan tegas perlu diambil untuk membanterasnya.

“BPR akan menahan pegawai kerajaan tanpa mengira pangkat dan ia terbukti apabila penahanan seseorang paling kanan dalam jawatan kerajaan semalam kerana kita tidak mahu ada unsur-unsur negatif yang masuk ke dalam negara dan membuat kacau,” katanya.

0 comments:

Post a Comment