Pages

Friday, April 19, 2013

Rokookkk,,Haram atau Harus?

Siri 1: Fikrah Perokok Terumbang-ambing Antara Mistik, Imperalisme dan Kapitalisme

REALITINYA, orang Islam tidak merokok sehinggalah sekitar tahun 1600 Masihi. Muhammad Syafiq Girbal dalam “al-Mausu’ah al-‘Arabiyyah al-Maisarah” menyebut kemasukan rokok ke negara Islam pada lewat tahun 1000 Hijrah itu pelopori oleh orang-orang Kristian.

Manakala catatan “al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah” menegaskan bahawa orang Arab tidak sekali-kali mengetahui tembakau apalagi rokok. Beliau melukiskan gerakan yang awal membawa tembakau ke negara Turki Uthmaniah ialah orang Inggeris, yang membawanya ke Maghrib ialah Yahudi, kemudian dilanjutkan ke Mesir, Hijaz, India, dan banyak negeri-negeri Islam.

Al-Syeikh a-Akbar Mesir, Jad al-Haq melaporkan rokok mula merebak di negara Arab khususnya Maghribi, Sudan dan Mesir. Tanpa menafikan juga pada waktu itu bermulanya juga menjajahan Portugis di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia.

Saya melihat dua sebab budaya rokok cepat merebak mempengaruhi umat Islam. Pertama kerana kejayaan barat pada kurun ke 17 menerobos pemodenan hidup yang luarbiasa. Kemodenan itu memberikan stail hidup baru kepada dunia sehingga kiblat kepada sistem nilai hidup telah berpusing ke arah barat. Dalam pada itu, umat Islam telah mundur dan hilang kepimpinan dunia dari tangannya. Kemajuan diukur terhadap apa yang dicapai oleh barat. Seseorang dianggap maju seperti menyertai parti, makan dengan garpu, pakai kot, main tenis, hisap cerut dan pakai seluar pendek.

Izinkan saya menyedut fatwa rokok negeri Kelantan zaman “Tok Kenali”. Alhamdulillah, keterlibatan langsung saya dalam pengeditan khazanah tak ternilai fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka menemukan saya fatwa rokok itu. Pertanyaan 202, jilid 1, berbunyi; “Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekelian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?

Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).

SELAMA 16 KURUN lamanya umat Islam “buta tembakau”. Umat Islam tidak tahu langsung apa itu tembakau, bagaimana pokok, daun dan batangnya serta untuk apa tembakau itu boleh digunakan. Sepanjang tempoh itu umat Islam bersih dari usaha pendapatan penanaman tembakau dan pencemaran asapnya.


Berdasarkan pengetahuan Islam, jin dari “al-Samum” seperti penjelasan surah al-Hijr, ayat 27, maksudnya; “Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas”. Hakikat “api yang sangat panas” itu disebut dalam al-Quran sebagai “al-Samum”. “al-Samum” pula terbentuk dari “al-Marij” iaitu gabungan dua juzuk api. Pertama; diambil dari satu juzuk yang terakhir dari kepanasan api yang mengeluarkan sinaran api dan kedua, juzuk asap hitam yang dijulang api marak. Intergrasi kedua-dua juzuk inilah diciptakan jin.

Sehubungan itu, tidak jauh kebenarannya jika Ustaz Dato’ Haji Ismail Kamus dalam satu ceramahnya berseloroh bahawa orang yang hisap rokok perlu hati-hati kerana asap yang dihasilkan itu mampu menarik minat jin. Katanya; “Jin dijadikan dari asap dan makan dari unsur asap seperti manusia dijadikan dari tanah yang makan dari unsur kejadian tanah. Maka orang yang hisap rokok sebenarnya kawan jin”.

Suatu perkara sampingan yang perlu disentuh berkaitan asap dalam kesempatan itu juga ialah fatwa Jabatan Mufti Melaka menegaskan jika asap yang dihasilkan samada dari rokok, colok dan kemenyan dalam bentuk perbomohan, penyeruan dan perubatan tradisional dengan maksud mendampingi dan meminta bantuan makhluk ‘ghaib’ adalah bercanggah dengan akidah Islam.

Usaha kapitalis melalui selendang imperealis semakin berjaya. Pada tahun 1630-an hasil tembakau memberikan loba besar bagi negeri Virginia. Akibatnya, fenonema tembakau tidak dapat disekat lagi, kian pesat pada abad ke-17.

Serentak dengan itu, pedagang Eropah memperkenalkan tembakau ke seluruh Asia dan Afrika. Kemudian dalam abad ke 19 orang-orang Sepanyol memperkenalkan cerut ke Asia melalui tanah Filipina dan kemudian ke Rusia dan Turki serta tidak terkecuali ke dalam negeri-negeri Islam, terutama tanah jajahan mereka.

Dr. Yusuf al-Qardawi dalam ‘Fatawa Mu’asarah’ dan mantan Syeikh al-Akbar Mesir, Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam fatwanya mengatakan tembakau dan rokok masuk ke bumi umat Islam lewat ke-11 Hijrah, khususnya di Maghribi, Sudan, kemudian berkembang ke negeri-negeri lain.

Ertinya, selama 100 tahun umat Islam tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan tembakau, apatahlagi rokok.

En. Mohd Fakri bin Mohd Noor, PRO Lembaga Tembakau Negara, Kota Bharu Kelantan yang telah berkhidmat hampir 20 tahun berkata tembakau bukan tumbuhan asal rantau ini. Tumbuhan tembakau seperti juga getah dibawa masuk ke Tanah Melayu seringi penjajahan Inggeris.

Sumber Lembaga Tembakau Negara melaporkan industri tembakau di Malaysia bermula dengan tembakau cerut yang ditanam secara meluas di Sabah sejak awal abad kesembilan belas, setelah didapati penanamannya berjaya diusahakan pada tahun 1883. Pada satu ketika ianya menarik minat lebih dari lima puluh pengusaha dari Eropah dan mencapai nilai eksport sebanyak RM2 juta pada tahun 1902.

Selepas perang dunia kedua, khususnya di tahun 1959 usaha meningkatkan tanaman tembakau telah dilaksanakan secara serius. Di pertengahan 1970-an pula penanaman tembakau berkembang maju di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan lain-lainnya di negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Berdasarkan fakta di atas menunjukkan industri tembakau dan rokok mempunyai hubungan yang erat dengan gerakan penjajahan barat ke atas bumi umat Islam, khususnya Yahudi melalui dasar kapitalisme.

Kegilaan kapatilis yang didalangi oleh golongan elit Yahudi yang mementingkan kekayaan semata-mata mengenepikan soal moral sama sekali. Mereka tidak mempersoalkan langsung keburukan rokok, malah mengeksplotasi dari elemen ketagihan rokok sebagai aset melariskan perniagaan rokok. Adapun penjajahan tidak lebih dari wasilah demi merealisasikan matlamat itu.

Menurut fakta buku “Rokok Haram atau Makruh dan Penawar atau Pembunuh” yang ditulis oleh Muhammad Abu Faroq al-Athari menyebut bahawa Raja Inggeris bernama Jims 1 mengambil langkah drastik mengharamkan rokok. Raja ini juga melancarkan operasi besar-besaran memusnahkan tembakau secara habis-habisan serta mengeluarkan satu perintah berupa undang-undang pengharaman rokok pada tahun 1604M.

Kemudaratan rokok jelas menghancurkan generasi manusia sehingga pada tahun 1643M kerajaan Rusia telah meluluskan undang-undang berat di mana sesiapa yang membeli, menjual, mengedar dan menghisap rokok dari tembakau akan dihukum dengan dibuang negeri ke Siberia atau dihukum mati.

Edited.
Artikel asal: http://www.kias.edu.my/fatwarokok08-1.htm

0 comments:

Post a Comment