Pages

Monday, January 11, 2010

Misteri Pembunuhan Kejam Ibu Saudara Rosmah - Mengapa Takut?

Minggu lalu negara digemparkan dengan berita empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak diberdekatan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh. Rupa-rupanya salah seorang mangsa pembunuhan kejam tersebut adalah Allahyarhamah Sofiah Katas yang merupakan ibu saudara kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Sofiah Katas, 80 tahun, salah seorang yang dibunuh kejam itu ialah adik kepada Mansor Katas iaitu bapa kandung Rosmah sendiri.

Mangsa lain dalam pembunuhan kejam itu ialah Atan Daud, 90, (suami Sofiah) yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan dan Ismail Awang, 76, serta anaknya Siti Khadijah Ismail, 22.

Malangnya diberitakan Rosmah langsung tidak menjengukkan muka menziarahi keluarga ibu saudaranya sendiri yang dibunuh kejam itu!

Dan kelmarin, seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan Abdul Qayum Abdul Rahman yang cuba merungkai misteri kematian Sofiah dan mengapa Rosmah tidak menziarahi keluarga si-mati telah mendakwa beliau diugut polis sebaik saja selesai mewawancara seorang wanita bernama Saharah yang merupakan saudara kepada Sofiah dan sepupu kepada Rosmah.

Abdul Qayum mendakwa di dalam Malaysiakini, selepas mengetahui beliau seorang wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya. Beliau turut merampas nota penulisan Qayum dan memadam semua rakamannya dengan Saharah. Muhammad juga turut merampas semua dokumen pengenalan Qayum, tanpa mendapat kebenarannya. Semua insiden tersebut diperhatikan oleh sekumpulan polis yang menunggu dan mengawal di luar rumah Saharah. Pihak polis dan Muhammad kemudiannya mengugut mahu mencari wartawan itu dan keluarganya dengan apa cara sekalipun jika temu bual tersebut disiarkan dalam Suara Keadilan.

Tiada siapa dapat meneka mengapa Rosmah sampai tergamak tidak menziarahi kematian ibu saudaranya sendiri. Juga tidak diketahui mengapa Rosmah begitu takut jika Suara Keadilan mendedahkan mangsa pembunuhan kejam itu ialah ibu saudaranya. Apa yang hendak Rosmah malukan, jika dia sendiri tiada kaitan dengan pembunuhan yang menggemparkan di mana suspek utamanya ialah seorang pemuda yang digambarkan kadang-kadang kurang siuman? Atau mungkin dia malu jika rakyat 1Malaysia tahu Rosmah mempunyai saudara mara yang kurang siuman? Mungkin Rosmah yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya tidak mahu dikaitkan dengan satu lagi pembunuhan yang lebih kejam dari itu yang melibatkan saudara maranya sendiri!

Baru kelmarin akhbar-akhbar kita cuba membina karektor baik untuk Rosmah dengan memuji setinggi langit peranannya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir yang terbabit dalam misi memberi bantuan makanan kepada rakyat Gaza. Tapi manusia berkarektor baik itu tidak sanggup menziarahi ibu saudaranya sendiri yang dibuniuh secara sangat kejam! Dan manusia berkarektor baik itu juga telah mengarahkan polis untuk menghalang sesiapa saja dari mendedahkan dia mempunyai pertalian saudara dengan adik kandung ayahnya sendiri.

Patutlah 2 hari selepas pembunuhan kejam itu, polis membuat kenyataan kes pembunuhan itu telah selesai. Cepatnya!! Rupanya mereka tidak mahu rakyat Malaysia mengingati pembunuhan itu lagi kerana salah seorang mangsanya ialah ibu saudara Rosmah sendiri!

Saya percaya wartawan Suara Keadilan yang baru sebulan menyertai akhbar itu pasti tidak melupakan pengalaman diugut polis di Gemencheh itu seumur hidupnya!

~ Pendikar Gunung Krian

* Biasanya kes macam itu polis atau pemberita nyatakan motif atau sebab pembunuhan. Kemungkinan tidak siuman langsung tidak disebut. Patutlah...

Hebat! Dua Tok Guru lakukan check-mate.

Tok Pepijat


Kita seolah-olah sedang melihat atau menghadapi satu "game politik". Mungkin seperti satu permainan Chess (catur). Siapa sedang merancang "checkmate" ?


"Game 1 " - Kebenaran Mahkamah Tinggi penggunaan kalimah ALLAH.

" Game 2 " - Rayuan oleh KDN menangguh keputusan. Mahkamah benarkan.

" Game 3" - PM Najib benarkan demostrasi di masjid seluruh negara.

" Game 4" - IG Musa larang demostrasi.

" Game 5 " - Demostrasi oleh barua-barua UMNO seperti Pekida, GPMS, Pewaris dan Perkasa.

" Game 6" - 3 Gereja di lontar molokov coktail dan ada disimbah cat.

" Game 7" - PM Najib bagi bantuan RM500,00 untuk baikpulih gereja yang diserang.

" Game 8" - Menteri Polis Hishamudin ancam guna ISA.

" Game 9 " - PM Najib sekonyong-konyong mendakwa UMNO tidak terlibat dengan serangan ke atas gereja. Najib juga mendakwa UMNO bukanlah Parti Perkauman.

" Game 10" - Serangan ke atas Gereja masih berlaku.


Setelah isu kaum, UMNO gagal. Kini UMNO cuba "hidupkan" isu agama. UMNO menjangkakan PAS akan "menari" bersamanya dalam "game" ini.

Malangnya PAS terlebih dahulu "checkmate" melalui lawatan ke gereja yang terlibat oleh Pimpinan Tertinggi Mursyidul Am TG Nik Aziz dan Presiden TG Haji Hadi. Turut melawat Naib Presiden dan Ketua Pemuda.

Akhirnya bantuan RM500,00 oleh PM Najib umpama debu di tiup sepoi-sepoi angin. Orang bagi, kita ambil. Percaya tidak sekali-kali.

Nampaknya talian hayat yang ada pada UMNO kini hanyalah ISA.

Friday, January 8, 2010

UMNO pasang perangkap dalam isu kalimah"Allah"

Oleh:Rosli Hashim

Apa pun kontroversi yang tercetus di sebalik isu penggunaan kalimah Allah, masyarakat khususnya orang Islam perlu bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mainan emosi yang cuba disemarakkan oleh Umno dan NGO bonekanya.

Tindakan provokasi Umno dan kumpulannya itu sebenarnya memburukkan lagi suasana dan mencemarkan lagi imej agama Islam yang mengajar penganutnya supaya rasional dan berhikmah.

Lakonan Umno ini memang melucukan memandangkan parti itulah suatu masa dulu ghairah mahu menghapuskan perkataan Islam pada PAS atas alasan kononnya tidak mahu ia disalahguna. Ada pemimpin Umno juga yang celupar mulut memperlekeh undang- undang dan hukum-hakam Islam.

Tetapi dalam isu Allah, mereka kemaruk pula menonjolkan diri sebagai wira agama kononnya, termasuk berdemonstrasi yang suatu masa dulu mereka kata ia satu perbuatan bodoh dan membuang masa.

Memang diakui isu ini sangat sensitif, kerana itu menangani isu sebegini perlu bijak dan rasional.

Bagi kalangan ulama Islam, terdapat dua pendapat berkenan perkara ini. Antara ulama yang mengharuskan penggunaaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah Syeikh Fauzi Al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Reaktor Al-Azhar yang sekarang menjawat jawatan
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al-Azhar.

Antara ulama yang mengharamkan pula adalah Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abikan. Kedua-dua pendapat ini berhujah menggunakan rujukan dalam Al-Quran serta logik akal dan bahasa.

Bagi yang mengharuskan penggunaan kalimah Allah, mereka merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 61, Surah Luqman ayat 25 dan Surah Az-Zukhruf ayat 9. Istidlal dari ayat-ayat ini menunjukkan tentang pengakuan golongan musyrik pada zaman Rasulullah SAW yang mengakui pencipta langit dan bumi adalah Allah.

Pendapat yang mengharamkan pula berhujah, lafaz Allah yang dimaksudkan dalam Islam mempunyai sifat Ahadiyah dan SomadaniyyahNya seperti firman Allah dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1 dan 2.

Memetik tulisan dalam buku ‘Isu Kalimah Allah’ oleh Dr. Zulkifly Mohamad Al-Bakri dan Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid, dalam surah At-Taubah ayat 30, Allah menceritakan tentang pendustaan orang Yahudi dan Nasrani yang memfitnah Allah dengan mendakwa Allah itu mempunyai anak iaitu Uzair dan juga Al-Masih.

Lalu sebagai jawapan turunlah ayat dalam Surah Al-Ikhlas berkenaan bagi menolak dakwaan itu.

Mengulas isu ini tidak boleh berlandaskan akal semata-mata. Maka bagi masyarakat Islam, dalam proses undang-undang sedang berjalan, biarlah juga isu ini diserah kepada mereka yang arif dalam bidang agama.

Namun pandangan yang bersifat umum seperti pendirian PAS dan KEADILAN dalam isu ini boleh diterima kerana disamping menghormati keputusan mahkamah, turut diakui yang penganut agama samawi memang ada menggunakan kalimah Allah sejak dulu lagi. Cuma dalam konteks Malaysia ia perlu diguna dengan berhati-hati.

Sekalipun bermacam pendapat boleh diberi atas prinsip hak dan kebebasan bersuara, sesiapa pun yang berhujah perlu berhati-hati bila menyentuh soal ini. Bagi umat Islam, kalimah Allah berkait juga dengan soal akidah dan iman justeru sesiapa pun yang menyokong atau menentang hendaklah tidak terbawa-bawa dengan emosi hingga memutar belit ayat-ayat Al-Quran.

Kita juga perlu menjaga sensitiviti dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Jangan jadi seperti pihak tertentu yang menangguk di air keruh untuk mendapat publisiti selepas tidak mampu menjawab skandal demi skandal yang terpalit. Siapa lagi kalau bukan Umno.

Munculnya isu ini menyebabkan isu-isu kepentingan rakyat yang lain seperti kenaikan harga barangan keperluan serta isu-isu salah laku dalam kerajaan seakan sepi.

Mungkin Najib dan pemimpin Barisan Nasional lain boleh bernafas lega untuk seketika tetapi bila isu ini sudah reda, sakit mereka akan datang semula. Kerana itu kita percaya perkara ini sudah pasti mahu dipanjangkan kepanasannya.

Sama ada mahkamah kelak akan membenarkan atau melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, rakyat perlu menerima dengan penuh tanggungjawab.

Memandangkan istilah Allah itu sangat suci bagi orang Islam, peringatan supaya pihak Katolik tidak menyalahgunakannya perlu diberi perhatian serius.

Namun dialog antara paderi Kristian dengan Majlis Fatwa Kebangsaan seperti disaran Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dalam isu ini adalah antara penyelesaian terbaik. Ia bukan satu cadangan yang baru, malangnya pihak kerajaan nampak tidak berminat untuk mengusahakan.

Sebaliknya lebih gemar membiarkan samseng parti berdemo secara agresif hingga mencetus keadaan tidak harmoni.

Friday, December 11, 2009

Apa erti perjanjian jika larang Chin Peng?

Malaysiakini

Selepas 20 tahun menuntut tanpa henti-henti, fajar harapan Chin Peng untuk kembali ke tanah tumpah darahnya mulai menyingsing apabila bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor secara terbuka mengakui beliau berhak pulang seperti Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani antara PKM dengan kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.

Sebagai perunding utama yang mewakili kerajaan Malaysia dalam rundingan tersebut, Abdul Rahim dalam wawancara eksklusif Malaysiakini tampil mempertahankan legitimasi setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) untuk kembali, sekurang-kurang menggunakan pas lawatan sosial.

Beliau menegaskan bahawa perjanjian terbabit meliputi seluruh ahli PKM dari lapisan terbawah sehingga lapisan tertinggi. Chin Peng yang dianggap sebagai pemimpin dalam hierarki tertinggi parti itu pastilah tidak boleh diketepikan.

Dijelaskan, ahli PKM yang lahir di Malaya dibenarkan kembali ke Malaysia jika mereka ingin berbuat demikian, dengan syarat pilihan mereka itu perlu dimaklumkan kepada pihak berkuasa terbabit dalam tempoh masa 12 bulan selepas tarikh perjanjian dimeterai.

Kebanyakan bekas ahli PKM (lebih 300 orang) telah dibenarkan kembali ke tanahair dan menetap di negara ini. Mereka diterima sebagai warganegara bertanggungjawab oleh masyarakat tempatan, bertungkus-lumus mencari nafkah dan berkhidmat kepada komuniti dengan cara masing-masing.

Mereka yang mengambil keputusan untuk menetap di Thailand, pangkalan asal perjuangan mereka, juga dibenarkan kembali melalui pas lawatan sosial meski tidak diizinkan tinggal buat selama-lamanya.

Abdul Rahim memberi contoh Abdullah CD, bekas pengerusi PKM dan isterinya Suriani Abdullah yang dibenarkan kembali ke tanahair melalui pas lawatan sosial, mereka malah berpeluang menghadap Sultan Perak.

Pada hakikatnya, ramai lagi pemimpin Melayu PKM, termasuk Musa Ahmad, Shamsiah Fakeh dan Rashid Maidin telah kembali dan menetap di negara ini atau berkunjung sebagai pelancong.

Sudah barang tentu mereka kembali tanpa dikenakan syarat mengemukakan dokumen peranakan seperti yang dikenakan terhadap Chin Peng, dan mereka juga tidak didesak oleh mana-mana pihak untuk meminta maaf dalam apa-apa bentuk sekalipun.

Sukar dipercayai kesudian Chin Peng untuk meminta maaf secara terbuka – jika terbukti ada rakyat tidak berdosa telah dibunuh oleh PKM dalam perbalahan bersenjata tersebut – telah ditolak secara kasar dan angkuh oleh pemimpin Umno.

Jika Chin Peng tidak boleh dimaafkan, kenapa kerajaan merasa sesuai untuk mengikat perjanjian damai dengan pihak beliau untuk menamatkan permusuhan dan perbalahan bersenjata 20 tahun dahulu?

Kerajaan Malaysia sepatutnya mengambil iktibar daripada Chin Peng, bersedia untuk meminta maaf kepada saudara mara ribuan rakyat tidak berdosa negara ini yang telah dibuang negeri, dipenjarakan, malah dibunuh oleh pihak kerajaan yang bersubahat dengan penjajah British.

Sekiranya kerajaan Malaysia telah menjalankan tanggungjawab perjanjiannya – seperti pihak PKM dan kerajaan Thailand, dan Chin Peng tidak dijadikan sasaran sentimen perkauman dan anti-komunis yang diapi-apikan oleh media arus perdana – maka impian nya untuk kembali ke kampung halaman, terutamanya untuk menziarahi kuburan ibu bapa dan ahli-ahli keluarganya, pasti sudah terkabul lama dahulu seperti ratusan rakan-rakan seperjuangannya yang lain.

Memang benar hujah Abdul Rahim bahawa dalam apa-apa perang atau sengketa bersenjata sekalipun, pasti ada kematian dan kecederaan. Jika pihak kerajaan mendakwa angkatan bersenjatanyalah yang mengalami kerugian paling besar, maka pihak PKM juga akan membuat dakwaan yang sama.

Dalam ucapan Chin Peng pada perayaan ulang tahun ke-20 perjanjian damai di Hatyai, mungkin juga ucapan umum terakhirnya, Chin Peng secara ikhlas merayu kepada semua pihak terbabit agar melenyapkan segala permusuhan dengan semangat persefahaman dan pengampunan.

Beliau malah berkabung selama satu minit bagi mereka yang terkorban dalam perang tersebut daripada ketiga-tiga pihak, iaitu angkatan bersenjata PKM, Malaysia dan Thailand.

Beliau memberi nasihat kepada kerajaan agar tidak mencemarkan perjanjian damai Hatyai yang telah diakui dan disokong secara luasnya di dalam dan luar negeri, kerana menolak permintaannya untuk kembali ke pangkuan ibu pertiwi.

Kepada pemimpin kerajaan dan bekas anggota angkatan bersenjata yang menentang hasrat Chin Peng untuk kembali ke Malaysia, Abdul Rahim menasihati mereka agar jangan terlalu emosi, dan perlu memahami tanggungjawab mereka terhadap perjanjian damai yang bertujuan untuk menamatkan segala permusuhan.

Namun amat dikesali, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, tokoh di belakang perjanjian damai Hatyai, mengambil sikap lepas tangan dalam isu tuntutan Chin Peng tersebut yang munasabah di sisi perjanjian.

Katanya, beliau akan bersetuju Chin Peng pulang jika keputusan itulah yang dibuat oleh rakyat. Tidak dapat dinafikan bahawa 20 tahun dahulu, kerajaan membuat keputusan bagi pihak rakyat untuk mengikat perjanjian damai dengan PKM untuk menamatkan permusuhan dan menjalin persahabatan baru.

Setelah 20 tahun selepas termeterainya perjanjian itu, Dr Mahathir masih bercakap tentang keperluan menjelaskan kepada rakyat tentang wujudnya perjanjian terbabit, seolah-olah rakyat masih tidak mengetahui kewujudannya.

Siapakah yang patut dipersalahkan atas perkembangan yang begitu mengecewakan ini?

Yang jadi masalah sekarang, bukan saja menunaikan impian atau hak seorang tua, tetapi berkaitan isi kandungan dan semangat perjanjian damai Hatyai, dan prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law) negara kita.

Apakah maknanya sebuah janji yang tidak dikotakan?

Friday, December 4, 2009

BTN; Duri Dalam Daging

Beberapa hari ini para pengampu dan pembodek umNO/BN juga para menteri-menteri dari parti biru karat kuat mempertahankan polisi serta kaedah BTN dengan penuh semangat dan taksub konon BTN perlu untuk pupuk semangat patriotik dan nasionalis terhadap negara , jauh dari tuduhan 'membasuh otak' para peserta semua yang terlibat, ibarat menegak benang basah .

Sekian lama doktrin hasutan terhadap apa saja berbunyi ' pembangkang' juga pekat dengan 'semangat perkauman' dipupuk untuk minda dan jiwa walau dinafi keras supaya tetap sokong parti umNO/BN walau apa sekali pun polisinya . Tetapi dengan terdapat banyak bukti penyelewengan matlamat dan hala tuju sebenar yang kian terdedah semata-mata menanam perasaan perkauman terhadap bangsa lain yang kini cuba dibela oleh para menteri pengampu dengan ulasan konon cara dan kaedah dirombak sedikit agar sesuai dengan retorik ' 1Malaysia ' !

Seperti yang didedahkan oleh kaunselor eksekutif pengajian tinggi dan pelajaran Selangor Dr Halimah Ali bukanlah cakap-cakap kosong atau fitnah tapi terbukti banyak aduan diterima dari para peserta ,mereka mengadu kursus BTN banyak menimbulkan rasa kurang senang dengan menimbulkan rasa dan ' fenomena perkauman' terhadap masyarakat yang berbilang bangsa dan agama .

Hanya bila terdedah akan kebobrokkan BTN baru sang menteri-menteri mahu berusaha merombak atau menukar sedikit kaedah atau diubahsuai dengan masyarakat terkini ! Taktik kotor yang haram serta dakyah perkauman cuba diserapkan dengan memutar konon kini BTN kena sesuai dengan konsep 1 Malaysia retorik dari Menteri Perdana !

Diantara para pengampu termasuk menteri 'sebam' konon tidak ada sebab menghentikan kursus itu hanya kerana ada negeri dibawah Pakatan Rakyat yang memboikot kerana BTN terbukti menyemaikan semangat 'patriotik dan nasionalis ' ! Sambil menambah tidak perlu disembunyikan apa-apa dalam kursus itu ,juga mengejek jika mahu Sdr Lim Kit Siang pun boleh hadiri kursus itu !

Ada juga pengampu dengan ulasan konon sebelum ini BTN dikhaskan hanya untuk satu kaum tapi kini mahu disesuaikan untuk semua kaum , malah ada menteri yang berlagak hero dengan garang menyerang DS Anwar Ibrahim juga pernah menyalahguna BTN semasa didalam kerajaan BN dulu ! Menteri ini anak pada salah seorang bekas PM Malaysia yang banyak melacurkan institusi dalam kerajaan dari institusi beraja sampai kepada institusi kehakiman serta undang-undang peninggalan penjajah iaitu ISA . Tapi cuba berlagak jaguh tanpa satu jasa melainkan jasa anak beranak merosak khazanah negara !

Mengapa marah dan melatah bila MB Selangor memberi arahan memboikot BTN ? Adakah kerana pecah tembelang kerja-kerja jahat dajal menghasut para peserta jiwa dan minda atau sepanjang pemerintahan BN dengan berselindung disebalik 'membasuh otak' juga menyeleweng harta/khazanah negara ! Tidak cukup dengan menghasut serta menanam kebencian terhadap kaum lain mereka berkempen konon untuk membina kekuatan fizikal dan mental dan lain-lain merapu lagi .

Hanya kerana akta rahsia serta sumpah setia para pengajar yang terikat dengan tertib menghalang dari terburainya kisah-kisah jahat pemerintah khasnya umNO/BN semasa mereka berkhidmat dengan BTN, tentang apakah lagi tugas mereka semasa bertugas disebalik mengajar tata negara dalam kursus itu mereka saja yang tahu tapi diberitakan mereka juga diperalatkan sebagai jentera pengerak dalam pelbagai jurusan antaranya semasa pilihanraya kecil mahupun yang besar , mereka juga menyeludup dan menyelinap masuk kekampong-kampong 'membirukan' kehijauan minda-minda rakyat marhaen disegenap pelusuk dan ceruk demi mempertahankan kuasa umNO/BN !

Diberitakan juga mereka dilengkapi dengan pelbagai bantuan dan kemudahan termasuk kawalan keselamatan yang rapi lagi sulit, sehingga tidak ramai walau dalam kerajaan sekalipun yang tahu gerakan licik mereka ! Jika tidak kerana akta menutup mulut mereka maka pendedahan akan memusnahkan kewibawaan kerajaan umNO/BN sekaligus merudumkan mereka dari sokongan rakyat. Tapi itulah antara cara pengampu-pengampu pertahankan kebejatan kerajaan BN dan penyelewengan demi menunjukkan taat setia pada pemerintah.

Alasan konon hanya segelintir saja para pengajar di BTN yang seleweng tidak masuk akal malah mungkin untuk menipu orang-orang yang kurang berfikir atau hanya yang bengong sahaja akan percaya ! Atau mungkinkah ada lagi agenda tersembunyi disebalik kemarahan sang menteri-menteri semua ! Mungkin sebab ketelusan dan keperihatinan kerajaan PR Selangor dalam membongkar segala penyelewengan dan salahguna kuasa kerajaan terdahulu maka mereka tidak senang berdiam diri, atau disebalik kursus BTN itu terselindung skandal serta penyonglapan wang rakyat demi tembolok kroni atau dalam melaksanakan kerja-kerja BTN segala kemudahan, perbelanjaan ,peralatan, juga penginapan yang akhirnya digaris terbawah adalah pengunaan wang dan harta rakyat !

Boleh dipertikaikan adakah semua aktiviti anjuran BTN dari dahulu hingga kini telus dan jujur ? Patut SPRM juga perlu jenguk-jenguk akan mereka di BTN kerana takut terjadi macam di Klang iaitu trajedi PKFZ yang memakan wang rakyat dan negara berbilion-bilion ! Tapi oleh kerana berada dibawah naungan kerajaan mungkin sedikit sukar memyiasat akan 'ketelusan' para tenaga di BTN itu ! Takut terjadi seperti kisah-kisah gempar tapi senyap dari sang YB hingga ke MB berani memfaraid harta dan khazanah negara tanpa ragu-ragu diambil tindakan ,contoh mudah bekas Menteri Besar Selangor yang namanya ada sedikit persamaan dengan sejenis hantu yang suka mencuri !




Amuraria-Alikram.blogspot

Friday, November 13, 2009

Bai'ah didalam perjuangan Islam

Aku sangat bersetuju dalam hal ini...mengukuhkan teras supaya lebih teguh..kenapa Khalid masukkan penceraian didalam Bai'ah nya, aku rasa agar lebih huminize..naluri manusia..yang hanya mampu menerima apa yang dapat dilihat dengan mata dan akal...biasa la tu...cuma tak cantik kerana ini perjuangan parti islam..mesti islam jerr..isteri tak boleh masuk campur...tak rasa cam orang nasrani pulak ker?
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Malaysiakini

Bai'ah PAS menjelang pilihan raya umum lalu tidak melibatkan lafaz menceraikan isteri, tetapi melibatkan "sumpah setia laknat" bagi mengelakkan risiko lompat parti, kata setiausaha agungnya.

Datuk Mustafa Ali berkata, bai'ah tersebut digunapakai di setiap negeri selewat-lewatnya sejak pilihan raya umum 1974 lagi apabila beliau kali pertama bertanding mewakili PAS.

Menurut Mustafa, lafaz bai'ah tersebut berbunyi:

"Wallahi, wabillahi, watallahi, bahawa saya (nama calon) yang diamanahkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk bertanding bagi (nama pilihan raya dan kerusi) bersumpah dengan nama Allah, sama ada saya menang atau saya kalah dalam pilihan raya ini, saya tidak akan mengkhianati parti dan perjuangan parti ini.

"Jika saya mengkhianati parti dan perjuangan parti ini, maka saya akan dilaknati Allah, para malaikat dan sekalian para pelaknat."

Mustafa mendedahkan teks bai'ah tersebut dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara pagi ini bagi menjelaskan hasil siasatannya terhadap dakwaan berlakunya bai'ah talak tiga yang menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak.

Beliau juga mempamerkan kepada media beberapa salinan bai'ah pemimpin kanan PAS, termasuk Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan surat sumpah yang ditandatanganinya sendiri bagi membuktikan perkara itu.

Bekas pengarah pilihan raya pusat PAS itu juga berkata, walaupun terdapat lafaz sedemikian yang digunapakai, PAS juga mengenal pasti terdapat juga "dua kes terpencil" di Selangor yang menggunakah kandungan bai'ah yang berbeza.

Menurutnya, satu kes tersebut melibatkan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengakui memasukkan lafaz cerai taklik dalam bai'ahnya bagi mengukuhkan pendiriannya supaya tidak mengkhianati parti.

Mustafa bagaimanapun enggan mendedahkan seorang lagi pemimpin PAS di Selangor yang terlibat menggunakan bai'ah tersebut yang didakwanya berlaku di luar pengetahuan pemimpin atasan PAS.

Ditanya sama ada PAS akan mengambil tindakan disiplin terhadap Khalid kerana mengamalkan bai'ah yang berbeza, Mustafa berkata:

"Saya sudah peringatkan. Apa yang telah berlaku itu, lain kali jangan buat lagilah."

Beliau juga berkata, bai'ah yang melibatkan lafaz cerai taklik "tidak betul dan salah daripada sudut agama" kerana boleh menyebabkan penceraian berlaku tanpa pengetahuan isteri.

"Isteri tidak tahu pun (bai'ah cerai). Jadi bagaimana hendak menghukum isteri pada sesuatu yang dia tidak buat dan dia tak tahu?" katanya.

Menjelaskan prosedur bai'ah yang digunakan PAS, Mustafa berkata, setelah mendapat watikah daripada parti untuk bertanding, kesemua calon berkumpul di satu tempat untuk berbai'ah di hadapan seorang saksi.

Prosedur ini pada kebiasannya dipantau oleh pesuruhjaya PAS di negeri masing-masing, tambahnya.

Bai'ah diamalkan oleh pelbagai kumpulan Islam di serata dunia, seperti tarikat sufi dan pergerakan dakwah, tidak tertakluk dalam parti politik semata-mata.

Sumpah setia tersebut terbahagi kepada dua: bai'ah kubra (besar), aku janji kepada khalifah dalam empayar Islam dan bai'ah sughra (kecil) untuk menguatkan kesepakatan dalam melakukan sesuatu.

Menurut ulama, bai'ah diharuskan dalam Islam selagi tidak melibatkan perkara-perkara mungkar dan haram di sisi agama.