Pages

Friday, January 8, 2010

UMNO pasang perangkap dalam isu kalimah"Allah"

Oleh:Rosli Hashim

Apa pun kontroversi yang tercetus di sebalik isu penggunaan kalimah Allah, masyarakat khususnya orang Islam perlu bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mainan emosi yang cuba disemarakkan oleh Umno dan NGO bonekanya.

Tindakan provokasi Umno dan kumpulannya itu sebenarnya memburukkan lagi suasana dan mencemarkan lagi imej agama Islam yang mengajar penganutnya supaya rasional dan berhikmah.

Lakonan Umno ini memang melucukan memandangkan parti itulah suatu masa dulu ghairah mahu menghapuskan perkataan Islam pada PAS atas alasan kononnya tidak mahu ia disalahguna. Ada pemimpin Umno juga yang celupar mulut memperlekeh undang- undang dan hukum-hakam Islam.

Tetapi dalam isu Allah, mereka kemaruk pula menonjolkan diri sebagai wira agama kononnya, termasuk berdemonstrasi yang suatu masa dulu mereka kata ia satu perbuatan bodoh dan membuang masa.

Memang diakui isu ini sangat sensitif, kerana itu menangani isu sebegini perlu bijak dan rasional.

Bagi kalangan ulama Islam, terdapat dua pendapat berkenan perkara ini. Antara ulama yang mengharuskan penggunaaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah Syeikh Fauzi Al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Reaktor Al-Azhar yang sekarang menjawat jawatan
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al-Azhar.

Antara ulama yang mengharamkan pula adalah Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abikan. Kedua-dua pendapat ini berhujah menggunakan rujukan dalam Al-Quran serta logik akal dan bahasa.

Bagi yang mengharuskan penggunaan kalimah Allah, mereka merujuk kepada firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 61, Surah Luqman ayat 25 dan Surah Az-Zukhruf ayat 9. Istidlal dari ayat-ayat ini menunjukkan tentang pengakuan golongan musyrik pada zaman Rasulullah SAW yang mengakui pencipta langit dan bumi adalah Allah.

Pendapat yang mengharamkan pula berhujah, lafaz Allah yang dimaksudkan dalam Islam mempunyai sifat Ahadiyah dan SomadaniyyahNya seperti firman Allah dalam Surah Al-Ikhlas ayat 1 dan 2.

Memetik tulisan dalam buku ‘Isu Kalimah Allah’ oleh Dr. Zulkifly Mohamad Al-Bakri dan Rashidy Jamil Muhammad Ar-Rashid, dalam surah At-Taubah ayat 30, Allah menceritakan tentang pendustaan orang Yahudi dan Nasrani yang memfitnah Allah dengan mendakwa Allah itu mempunyai anak iaitu Uzair dan juga Al-Masih.

Lalu sebagai jawapan turunlah ayat dalam Surah Al-Ikhlas berkenaan bagi menolak dakwaan itu.

Mengulas isu ini tidak boleh berlandaskan akal semata-mata. Maka bagi masyarakat Islam, dalam proses undang-undang sedang berjalan, biarlah juga isu ini diserah kepada mereka yang arif dalam bidang agama.

Namun pandangan yang bersifat umum seperti pendirian PAS dan KEADILAN dalam isu ini boleh diterima kerana disamping menghormati keputusan mahkamah, turut diakui yang penganut agama samawi memang ada menggunakan kalimah Allah sejak dulu lagi. Cuma dalam konteks Malaysia ia perlu diguna dengan berhati-hati.

Sekalipun bermacam pendapat boleh diberi atas prinsip hak dan kebebasan bersuara, sesiapa pun yang berhujah perlu berhati-hati bila menyentuh soal ini. Bagi umat Islam, kalimah Allah berkait juga dengan soal akidah dan iman justeru sesiapa pun yang menyokong atau menentang hendaklah tidak terbawa-bawa dengan emosi hingga memutar belit ayat-ayat Al-Quran.

Kita juga perlu menjaga sensitiviti dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Jangan jadi seperti pihak tertentu yang menangguk di air keruh untuk mendapat publisiti selepas tidak mampu menjawab skandal demi skandal yang terpalit. Siapa lagi kalau bukan Umno.

Munculnya isu ini menyebabkan isu-isu kepentingan rakyat yang lain seperti kenaikan harga barangan keperluan serta isu-isu salah laku dalam kerajaan seakan sepi.

Mungkin Najib dan pemimpin Barisan Nasional lain boleh bernafas lega untuk seketika tetapi bila isu ini sudah reda, sakit mereka akan datang semula. Kerana itu kita percaya perkara ini sudah pasti mahu dipanjangkan kepanasannya.

Sama ada mahkamah kelak akan membenarkan atau melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, rakyat perlu menerima dengan penuh tanggungjawab.

Memandangkan istilah Allah itu sangat suci bagi orang Islam, peringatan supaya pihak Katolik tidak menyalahgunakannya perlu diberi perhatian serius.

Namun dialog antara paderi Kristian dengan Majlis Fatwa Kebangsaan seperti disaran Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dalam isu ini adalah antara penyelesaian terbaik. Ia bukan satu cadangan yang baru, malangnya pihak kerajaan nampak tidak berminat untuk mengusahakan.

Sebaliknya lebih gemar membiarkan samseng parti berdemo secara agresif hingga mencetus keadaan tidak harmoni.

0 comments:

Post a Comment