Pages

Tuesday, February 22, 2011

Konspirasi pembunuhan JWW Birch

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Tempat tiga pejuang Melayu digantung pada pokok mempelam, Januari 1877 terbiar.

SEPANJANG perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

Pokok besar itu dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris dengan tujuan tertentu, ada yang mendakwa sebagai penanda kawasan laluan, penanda pendudukan kolonial dan ada juga yang mengatakan ia satu daripada kempen alam sekitar.

Laluan darat itu sebenarnya bersebelahan landasan kereta api bersejarah antara Taiping ke Port Weld sejauh 12 kilometer (km).

Di antara puluhan pokok besar itu, ada dua batang pokok besar, setinggi kira-kira 20 meter dan mungkin usianya mencecah hampir ratusan tahun yang terletak di arah bertentangan dengan pokok yang dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris.

Saiz ketinggiannya jika ditebang untuk dijadikan balak, ia boleh dipotong dua balak atau tual iaitu satu tual panjangnya bersamaan dengan saiz lori balak. Ukir lilit dianggarkan lebih satu pemeluk orang dewasa.

Dua pokok mempelam pauh itu terletak di satu selekoh. Kedudukannya agak terpinggir, kawasannya tidak dijaga, dipenuhi lalang manakala sebuah rumah lama di tepinya kelihatan usang dan terbiar. Jika diteliti, kedudukannya di sebelah kanan dari arah Taiping betul-betul berdepan dengan Kompleks Sejarah Matang.


Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.

Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut menghembuskan nafas terakhir di tali gantung yang diikat pada pokok induk mempelam pauh berkenaan.

Ketika berlakunya pembunuhan Birch, Pandak Indut adalah orang pertama yang merejam lembing kepada residen British itu disusuli libasan lembing oleh Si Puntung. Pandak Indut atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dan menantunya, Dato Maharaja Lela disabitkan kesalahan bersubahat dalam serangan itu.

Pembunuhan pada 2 November 1875 itu banyak dicatatkan buku sejarah, jurnal, perbincangan tetapi yang pasti ia adalah kemuncak sejarah perjuangan Melayu menentang penjajah di Pasir Salak. Ia adalah sejarah agung yang dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air. Kini selepas 133 tahun serangan itu berlaku, yang tinggal cuma dua batang pokok generasi baru hasil benih pokok induk, tetapi berdasarkan keadaannya sekarang, boleh dibayangkan betapa besarnya pokok berkenaan pada ketika itu. Selain itu, kedudukannya menghadap tanah lapang juga menimbulkan tanda tanya apa motifnya hukuman gantung diadakan di situ. Ada yang mengatakan, hanya satu tujuan iaitu supaya hukuman itu dapat disaksikan oleh penduduk kampung supaya jangan sesekali mencabar pemerintahan British serta menakutkan orang ramai untuk membuktikan kekuasaan Inggeris ke atas Tanah Melayu.

Info Pahlawan Melayu tulen
  • Pandak Indut, Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor digantung mati pada Januari 1877 di Matang.

  • Dato Maharaja Lela dan Pandak Indut dikebumikan di tebing Sungai Larut.

  • Berlaku hakisan tebing menyebabkan kedua-dua kubur itu musnah.

  • Kubur Pandak Indut, dibina semula di satu kawasan berhampiran Masjid Tengku Menteri, Matang, kira-kira 20 minit perjalanan dari kawasan pokok mempelam berkenaan.

    Dato Maharaja Lela

  • Dato Seri Maharaja Lela adalah gelaran berasal dari Melaka.

  • Di Perak, beliau adalah Ketua Orang Besar Delapan dan berkuasa menghukum pesalah serta bertanggungjawab mempertahankan raja.

  • Mempunyai sumber penguasaan cukai wilayah penguasaannya di Pasir Salak hingga ke Sungai Dedap.

  • Frank Swettenham dalam bukunya ‘Stories and Sketched’ mencatatkan Maharaja Lela seorang yang gagah dan berkedudukan tinggi.

  • Berkedudukan tempat ketujuh dalam senarai kekananan daripada kedudukan Sultan Abdullah

  • Mempunyai anak bernama Rasiah

  • Dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan Birch.

    Pandak Indut

  • Bapa mentua kepada Dato Maharaja Lela

  • Pahlawan Melayu aktif menentang British

  • Menerima pedang daripada Dato Maharaja Lela untuk membunuh Birch yang mengarahkan menampal surat pengumuman di Pasir Salak.

  • Beliau adalah orang pertama mengoyak surat ditampal Mat Arshad dan menikam suruhan Inggeris itu dengan lembing.

  • Ditangkap di Kota Lama pada Julai 1876 atas tuduhan membunuh Birch.

    Dato Sagor

  • Nama panggilan kepada Ngah Kamdin yang bergelar Datuk Seri Agar Diraja, Orang Besar Delapan, Perak

  • Diputerakan di Kampung Gajah tetapi berhijrah ke Larut pada usia muda mengusahakan lombong bersama Che Ngah Ibrahim.

  • Mempunyai 9 anak iaitu, Long Mabu, Alang Siap, Uda Bidah, Itam Jailah, Anjang Abdullah, Teh Nasa, Mat Dagang, Kulob Satar dan Alang Ismail.

  • Dato' Sagor ialah salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak.

  • Gelaran penuh ialah Orang Kaya-kaya Seri Agar DiRaja.

  • Nama sebenarnya ialah Ngah Kamdin bin Radin Lope, keturunan Bugis yang berdarjat Daeng.

  • Isterinya bernama Toh Lipat.

  • Ngah Kamdin adalah bapa saudara kepada Menteri Ngah Ibrahim.

  • Beliau dikurnia gelaran Dato' Sagor oleh Sultan Jaafar (Sultan Perak ke-23).

  • Mengikut Perlembagaan Perak, Dato' Sagor memerintah wilayah tebing Sungai Perak dari Kampong Gajah ke Pulau Tiga.

  • Kuasanya ialah mengawal hal ehwal istana, pembinaan istana dan kapal-kapal yang dinaiki oleh Sultan.

  • Dato' Sagor tergolong dalam kelima-lima hulubalang Negeri Perak termasuk Seri Adika Raja, Panglima Kinta, Panglima Bukit Gantang dan Dato' Maharaja Lela (R.J. Wilkinson, "Papers on Malay Subjects").

  • Menandatangani Perjanjian Pangkor bersama-sama dengan Sultan, Pembesar-Pembesar Perak dan British di atas kapal HMS Pluto pada tahun 10 Januari 1874.

  • Mesyuarat di Durian Sebatang pada 28 Oktober 1875 mencapai keputusan bahawa JWW Birch, Residen British Perak yang pertama akan dibunuh apabila tiba di Pasir Salak.

  • Dato' Sagor menolak arahan membersihkan jalan ke Bukit Tunggal, Kampong Gajah untuk mengibarkan bendera British di puncak bukit itu dan membina balai.

  • Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela mengetuai misi membunuh JWW Birch yang mandi di Sungai Perak berdekatan Pasir Salak pada tahun 1875.
  • Dato' Sagor dihukum dan digantung sampai mati bersama Dato' Maharaja Lela dan Pandak Endut di Matang pada 20 Januari 1877.

  • Keturunan Teh Nasa paling menonjol, anak keduanya melahirkan Hamzah, Ngah Mutalib, Hajjah Rahmah dan Mohd Abas.

  • Mohd Abas pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal.

  • Anak saudaranya, Tan Sri Ramli Ngah Mutalib adalah bekas Menteri Besar Perak.

    Info pembunuhan Birch


  • Raja Abdullah meminta sokongan British membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan.

  • Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British pada 20 Januari 1874 mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta.

  • JWW Birch dilantik sebagai residen pertama di Perak.

  • Memperkenalkan pelbagai peraturan baru menekan pembesar serta penduduk termasuk cukai tinggi.

  • Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat memberi hak kepada British memerintah Perak dengan ugutan akan dilucutkan takhta.

  • Baginda bermesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Usul membunuh Birch dikemukakan dengan pelbagai cadangan antaranya meracun, sihir dan menikamnya.

  • Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak diperintah British pada 2 Oktober 1875.

  • Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British diketuai seorang pesuruhjaya.

  • Surat pengisytiharan ditampal di seluruh Perak. Mulanya ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das sebelum ditampal di tempat lain.

  • Datuk Maharaja Lela mengarahkan pengikutnya membina kubu di Pasir Salak kerana yakin Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman.

  • Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. Esoknya, jurubahasa Birch, Mat Arshad diarah ke rumah Datuk Maharaja Lela meminta supaya menghadap Birch.

  • Mat Arshad dan pengikutnya dilarang menampal surat cukai tetapi tetap berdegil menyebabkan penduduk berang dan mengoyak surat.

  • Pandak Indut yang tercabar dengan tindakan Mat Ashad menikam suruhan Inggeris dan tindakan itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak.

  • Penduduk Pasir Salak mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing.

  • Askar pengawal Birch ketakutan dan melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal meninggalkan Birch yang sedang mandi.

  • Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch dan beliau cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.

  • Ketika timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Puntung, pengikut Datuk Maharajalela menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang.
  • 0 comments:

    Post a Comment