Pages

Saturday, August 22, 2009

Timb Pesuruhjaya SPRM diminta tutup mulut

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat sama ada kandungan surat misteri yang dikemukakan dalam kes inkues kematian Teoh Beng Hock pada Rabu lalu adalah sama dengan kandungan surat yang tersebar di internet semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed menegaskan dakwaan dan tohmahan yang terkandung dalam surat yang tersebar di internet itu adalah tidak benar.

Penafian Abu Kassim terhadap dakwaan yang terkandung dalam surat misteri yang dikatakan mempunyai kaitan dengan beliau itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak beretika dan tidak menunjukan keikhlasan pihak suruhanjaya atau satu helah bagi melindungi dirinya sebelum sebarang siasatan dijalankan.

Kita minta Abu Kassim tutup mulut dan serahkan kepada orang lain yang menyiasat hal SPRM. Orang lain karam di laut kenapa Abu Kassim pula yang lemas didarat?

Mana mungkin seorang Timbalan Pesuruhjaya SPRM seperti Abu Kassim boleh mengatakan surat misteri itu sebagai tidak benar tuduhannya sebelum badan berkecuali menyiasat dan mahkamah membuat keputusan? Beliau harus sedar diri bahawa bidang kuasa SPRM cuma menyiasat bukan menghukum orang yang disiasat.

Sepatutnya Abu Kassim tidak menunjukan sikap menggelabah dan menafikan apa saja bahan bukti yang menjurus SPRM terlibat. Sebaliknya menyerahkan kepada Inkues membuat kerja tanpa mempengaruhinya dengan penafian. Harus diingat bahawa badan SPRM kini terlalu banyak kontroversi dengan rakyat Malaysia.

Beliau boleh menafikan segala tuduhan penglibatan SPRM dalam kematian mendiang Teoh Beng Hock di kandang bicara jika dituduh, tetapi bukan dalam TV3 dan akhbar-akhbar dengan niat untuk mempengaruhi Inkues. Penafian beliau itu sebelum disiasat boleh dianggap sebagai usaha melindungi pegawai tinggi SPRM daripada disiasat.

Rakyat kini menuntut penjelasan bukan saja mengenai kaitan Abu Kassim dalam kes mendiang Beng Hock, tetapi turut melibatkan tuduhan rasuah di mana satu badan berkecuali diperlukan untuk membuat penyiasatan ke atas semua harta pemilikan sama ada atas nama dirinya, anak isteri atau keluarga yang mempunyai kaitan dengan beliau dan sejauh mana penglibatan pihak-pihak itu dalam politik.

Sama ada surat misteri itu bertandatangan atau tidak, itu tidak penting. Yang penting ada tuduhan dan pendedahan. Ia mesti disiasat dengan terperinci dan dalam masa yang sama jawatan beliau hendaklah digantung sementara bagi melicinkan proses siasatan.

Sama ada surat misteri yang berada di tangan Inkues sama dengan surat di internet, itu tidak penting. Yang penting penyiasatan diadakan bukan dari pihak SPRM dan ia mesti dilaksanakan segera bagi meyakinkan rakyat bahawa siasatan terhadap surat misteri itu dilakukan oleh badan bukan kerajaan yang terdiri daripada badan berkecuali dan bebas.

http://www.malaysiatoday.com/

0 comments:

Post a Comment