Pages

Tuesday, February 23, 2010

Pakar setuju bukan Melayu boleh jadi PM

Malaysiakini-Di sudut perlembagaan, seorang lagi pakar perlembagaan terkenal Prof Datuk Shad Saleem Faruqi (bawah), sependapat bahawa golongan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia.

Mengulas kenyataan rakan sejawatannya Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengenai perkara itu, beliau berkata:

“Tiada larangan terhadap bukan Melayu (untuk menjadi perdana menteri). Bagaimanapun kita ada konvensyen (kebiasaan).

“Saya rasa berdasarkan realiti politik di negara ini, ini negara Melayu,” kata pensyarah kanan di fakulti undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan rakan akademiknya Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam untuk dilantik sebagai perdana menteri..

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shad Saleem bagaimanapun berpendapat, bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, orang Melayu patut dikekalkan pada kedudukan itu.

“Mengikut perlembagaan tiada masalah. Tetapi berdasarkan politik dan sejarah lebih baik untuk negara ini mengekalkan status quo ini ini,” kata bekas penasihat undang-undang UiTM itu.

Menulis dalam kolumnya di sebuah akhbar harian semalam, Dr Abdul Aziz (kanan) dipetik berkata, menurut intipati undang-undang, orang yang paling mendapat sokongan dalam Dewan Rakyat hendaklah dilantik mengetuai kerajaan.

Tambahnya, kuasa pelantikan di bawah Yang di-Pertuan Agong hanyalah satu formaliti semata-mata.

Dr Abdul Aziz juga berkata, perdana menteri bukan Melayu mungkin boleh bertindak lebih baik daripada orang Melayu kerana beliau akan “ikut buku” (perlembagaan) dan bekerja keras bagi membuktikan kemampuannya.

Dr Abdul Aziz juga memuji Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kiri, berbaju gelap) yang menurutnya menampakkan pencapaian agak baik dan mempunyai harapan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz ketika dihubungi, menjelaskan orang Melayu tidak perlu risau terhadap kedudukan Islam dan kepentingan bangsa mereka kerana ia diletakkan di luar kerangka demokrasi.

“Sebab itu saya kata sepatutnya OK ada perdana menteri bukan Melayu,” katanya melalui e-mel kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, tanggapan bahawa kuasa raja terlalu kecil - yang menurutnya dijadikan alasan golongan ekstrimis untuk menakut-nakutkan rakyat - adalah silap dan tidak betul.

Sebaliknya, jelas Dr Abdul Aziz, ketakutan atau salah faham itu timbul kerana perlembagaan telah diselewengkan atau tidak dilaksanakan.

Katanya, perkara tersebut jika berlaku tidak sepatutnya mengejutkan orang Melayu kerana selepas enam perdana menteri Melayu di Malaysia, kepentingan Islam dan Melayu tidak juga terjaga.

“Malah ada (perdana menteri) yang kita boleh katakan telah menggadaikan kedudukan dan kepentingan itu,” kata pensyarah yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya itu.

Tentang bagaimana idea itu boleh menjadi kenyataaan, Abdul Aziz berkata, ia “bergantung kepada kesediaan orang Melayu dan kemampuan bukan Melayu.”

“Kesediaan itu soal yang perlu dilihat; saya cuma menjelaskan (daripada aspek) undang-undang sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan. Itu sahaja.”

Ditanya sama ada beliau tidak risau menjadi sasaran kemarahan orang Melayu ekoran tindakannya mendedahkan perkara yang tidak diketahui umum tersebut, beliau berkata:

“Seperti yang disebut oleh (penulis) Subky Latif dalam kolumnya di (akhbar mingguan) Siasah, Melayu yang bodoh dan kuat sentimen perkaumannya sahaja yang akan naik minyak.

“Kelompok ini tidak perlu dilayan. Kalau soal kepentingan dan hidup mati Melayu-Islam yang dibangkitkan, bukankah ada raja? Saya fikir kalau raja-raja ini tahu dan sedar peranan mereka, tidak timbul bahaya yang dibayangkan itu,” katanya.

Monday, February 22, 2010

Royalti minyak Kelantan: BN diminta henti tipu rakyat

Malaysiakini-Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad dianggap kini terpesong dalam soal wang tuntutan negeri Kelantan mengenai hasil minyak.

Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim (kiri) berkata Mustapa seolah-olah tahu perkara sebenar tetapi bersungguh-sungguh cuba mempertahankan dasar kerajaan pusat itu.

“Pertama, Mustapa kata Kelantan tidak berhak kepada royalti minyak dan cuma layak menerima “cash payment” atau bayaran tunai sebanyak 5 peratus.

“Itu memang betul kerana perjanjian 1975 di antara PETRONAS dan Kelantan (dan negeri lain) menggunakan perkataan “cash payment”. Kerajaan Kelantan pun tak ada masalah dalam hal itu. Panggillah apa yang kamu suka, royalti atau “cash payment”, tapi bayarlah,” katanya dalam blognya.

Bagi Zaid apa yang dikatakan wang ehsan itu pula, adalah sesuatu yang lain kerana ehsan bererti pemberian atas sebab kasihan atau sebab politik.

“Kedua, Mustapa (kanan) kata perjanjian 1975 itu tak sah kerana sebab-sebab tertentu. Tidak pula jelas mengapa ia tidak sah. Kalau tak sah, mengapa Sabah dan Sarawak terus dibayar kerana mereka juga menandatangani perjanjian yang sama”.

Beliau juga mempersoalkan jika perjanjian berkenaan tidak sah mengapa Terengganu dibayar semasa Barisan Nasional memerintah selama 19 tahun.

“Ketiga, Mustapa kata kawasan yang diiktiraf sebagai “territorial waters” atau kawasan perairan hanyalah tiga batu dari pantai. Apa alasan Tok Pa?” soal bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang satu ketika dahulu diamanahkan menjaga hal berkaitan undang-undang.

Menurut Zaid, Mustapa berhujah menggunakan Akta Darurat 1969 yang sudah tidak boleh dipakai lagi.

Katanya, yang wajib digunakan ialah undang-undang maritim antarabangsa yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan yang telah diterima oleh Malaysia.

“Dia kata lagi, negeri-negeri tidak berhak kepada hasil gas dan minyak dalam kawasan “Exclusive Economic Zone” (EEZ), iaitu 200 batu dari pantai, hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada hasil dalam EEZ. Itu pun tak betul juga.”

Menurut Zaid, hasil minyak dan gas ini selalunya didapati tidak kurang dari 12 batu dari pantai dan sekiranya batasan itu diguna-pakai, maka tiada negeri dalam Malaysia yang berhak kepada hasil minyak.

Tambah beliau lagi, sebahagian besar hasil minyak yang ada sekarang ini terletak dalam kawasan EEZ.

“Tidak ada undang-undang dalam dunia ini yang mengatakan hak kepada hasil minyak dari EEZ tidak boleh dituntut oleh sesebuah negeri. Hak negeri bergantung kepada perjanjian negeri-negeri dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Zaid kemudiannya menghuraikan sejarah Amerika dan memberikan contoh hak negeri Texas dan California kepada hasil minyak dalam EEZ bergantung kepada perjanjian negeri-negeri itu dengan Persekutuan Amerika Syarikat.

Bagi beliau, perkara yang sama harus digunakan bagi menetukan hak negeri di Malaysia.

“Adalah salah bagi UMNO memesong rakyat dengan mengatakan hanya Persekutuan Malaysia saja yang berhak kepada minyak dalam EEZ dan negeri-negeri tidak ada hak.

“Hasil yang dibayar kepada Sabah dan Sarawak juga meiputi kawasan lebih dari 12 batu dari pantai. Mengapa terus bayar jika kata tak berhak?” katanya lagi.

Bagi Zaid, UMNO cuma mencari helah untuk tidak mahu membayar pampasan kepada negeri Kelantan.

Katanya, jika BN yang memerintah Kelantan, sudah tentu mereka akan mencari hujah lain. Teatapi ia tidak semestinya dibayar terus.

Zaid seterusnya meminta Mustapa merenung seketika isu berkenaan dan menhentikan penipuan mereka menerusi iklan di media arus perdana untuk mengaburi mata rakyat.

Zaid berkata lagi dia dukacita dengan perkembangan itu dan menganggap Mustapa sebagai antara tiga atau empat orang menteri yang dihormatinya ketika dalam kabinet. Ini kerana kerajinan dan kecekapan pemikiran mereka.

Namun dalam hal ini, Zaid meminta Mustapa supaya tidak lagi meneruskan penipuan ke atas rakyat.

Mustapa yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, pada 26 Jan lalu mengumumkan kerajaan pusat bersetuju memberikan wang ehsan sebanyak RM20 juta kepada Kelantan pada Mac ini.

Namun jumlah itu dipertikaikan oleh kerajaan negeri mankala cara penyaluran tidak secara langsung juga dibantah.

The Murder of Hamas Commander Mahmoud Al Mabhouh

Sunday, February 21, 2010

Rakyat digantung kes Anwar-Saiful

Oleh: Hishamuddin Rais




Akhirnya perbicaraan Anwar Ibrahim bermula. Perbicaraan ini satu kes ulang buat. Dalam dunia filem, ulang buat bukan sesuatu yang pelik dan menghairankan. Banyak filem yang diulang buat. Pengulangan ini kerana pembuatan pertama dianggap berjaya daripada hasil jualan tiket.

King Kong pertama kali dibuat pada tahun 1933. Filem ini diulang buat pada 1976 dengan minah cun Jassica Lange sebagai kekasih King Kong. Apabila teknologi komputer berkembang, sekali lagi King Kong diulang buat pada 2005.

Psycho, klasik seram, daripada kerja seni Alfred Hitchcock dibuat hitam putih pada tahun 1960. Kemudian pengarah Belanda, Gus Van Sant mengulang buat pada 1998. Ulang buat daripada kerja mamat Belanda ini cukup rapi. Dia meniru bingkai demi bingkai kerja seni mamat gemok Alfred Hitchcok. Dari filem hitam putih, Psycho baru telah menjadi berwarna-warni.

Lawak bodoh

Sayangnya kebanyakan filem yang diulang buat ini menjadi kantoi dan gagal. Psycho yang diulang buat dilihat sebagai lawak bodoh.

Nasib baik pengarah Belanda itu tidak membunuh diri kerana malu. Jassica Lange menyesal tetapi ketika itu dia belum ada pilihan. King Kong 2005 juga menjadi lawak yang dipenuhi dengan kerja komputer dan bukan kerja membuat filem.

Malah, apabila ada sahaja desas-desus sesebuah filem ingin diulang buat, maka akan muncul lawak-lawak mengatakan betapa kurangnya idea dan cerita baru dari Hollywood. Ada pengarah yang akan menyorokkan muka ke bawah bantal kerana malu tidak ingin terbabit dalam kes ulang buat ini.

Warga Malaysia kembali berlabon, bersembang dan berbincang apabila mendengar tuduhan terhadap Anwar. Akhirnya satu Malaysia ketawa dan tersenyum. Perbicaraan ini juga satu kes kerja ulang buat.

Tema sandiwara ulang buat ini cukup senang untuk difahami: Anwar wajib dimasukkan kembali ke dalam penjara kerana dia telah berjaya membawa satu politik baru untuk Malaysia. Politik baru ini telah mengikat satu setiakawan di antara PKR, DAP dan PAS.

Gabungan setiakawan tiga parti ini dipanggil Pakatan Rakyat - satu ikatan politik baru yang akan menggantikan United Malays National Organisations dan BN untuk mentabir Malaysia.

BN menahan marah

Pilihanraya 8 Mac 2008 telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia berani dan sanggup menerima satu perubahan budaya politik baru. Daripada nisbah kiraan undi, terbukti majoriti rakyat Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat. Perkembangan ini menjadikan para gerombolan dalam BN terpaksa menahan marah.

Justeru, Pakatan Rakyat wajib ditumpaskan. Satu konspirasi wajib diwujudkan sekali lagi. Konspirasi ini bertujuan menumpaskan Pakatan Rakyat. Jalan pintas untuk memecahkan Pakatan Rakyat ialah dengan memenjarakan Anwar. Khalas. Finito.

Jika Pakatan Rakyat tidak ditumpaskan, maka segala pelesit yang selama berpuluh-puluh tahun ini menghisap darah rakyat akan menghadapi masa depan yang amat gelap. Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentabiran Malaysia, maka segala kerja jahat mereka - harta-harta rasuah mereka, kes samun dan kes bunuh mereka – semuanya akan diadili oleh rakyat.

Justeru kerana takutkan balasan ini, tidak dapat tidak Anwar wajib dipenjarakan sekali lagi. Apa sahaja yang wajib dilakukan akan dilakukan untuk memastikan Anwar masuk ke dalam sel sekali lagi. Inilah sebenarnya tema ulang buat sandiwara yang sedang kita lihat sekarang.

Kes ulang buat ini sama seperti kes pada 1998 dahulu. Seorang protoganis baru telah ditemui. Lokasi baru telah dikenali. Tetapi ulang buat ini masih menggunakan skrip lama. Apa yang telah diubah hanya dialog atau kata bual. Dialog kali ini dilihat agak gempar.

Dialog seorang supir

Banyak dialog telah diubah suai dan diperbaiki daripada kelam-kabut pengucapan kata bual seorang supir yang daya fikirnya sama seperti Zulkifli Noordin. Yang baru datang hanya si pereka set, si tukang lampu dan para pak pacak.

Manakala yang di belakang kamera pun masih orang-orang jahat yang lama. Ramai orang-orang jahat ini hampir pencen tetapi mendapat talian hayat untuk membuat 'the last bottom show'.

Jika kerja jahat ini gagal, mereka juga akan turut mati oleh serangan bom angin berjuta-berjuta rakyat Malaysia yang pada hari ini sedang menyimpan gas setelah lama memakan petai jeruk dan pengat labu.

Awas! warga Malaysia wajib sedar. Di belakang semua ini Mahafiraun. Mahafiraun amat sedar jika Anwar tidak dipenjara, maka yang akan masuk ke dalam penjara ialah Mahafiraun sendiri. Kes jahat Mahafiraun ini sudah berkepok-kepok. Kalau hendak dihitung tidak cukup pasir dan batu di Telok Kemang. Kalau hendak ditulis, dakwat seluas Laut China Selatan akan kering.

Kalau Anwar tidak dipenjara, Mahafiraun sedar dia sendiri akan tenggelam lemas dalam air ludah rakyat Malaysia. Justeru hari ini Mahafiraun akan melakukan apa sahaja termasuk mencari rambut palsu baru untuk isterinya. Semua kerja jahat Mahafiraun ini bertujuan untuk memastikan Pakatan Rakyat tidak akan dapat mentabir Malaysia.

Apabila Psycho keluar untuk pertama kali pada 1960, dunia filem gempar. Berpusu-pusu dan berbaris-baris kaki wayang datang untuk mengintai dada Janet Leigh yang basah dan mungil dalam babak mandi sebelum dibunuh oleh Mister Bates, lakonan Anthony Perkins.

Lawak seram

Apabila Psycho diulang buat, tidak ada sesiapa yang percaya lagi tentang keupayaan pengarah barunya. Ia dilihat sebagai lawak seram yang tidak menyeramkan.

Perkara yang sama sedang berlaku pada kes Anwar. Apabila kes Anwar diulang sekali lagi di mahkamah, kelihatan tidak ada satu babak pun yang akan memeranjatkan warga Malaysia lagi.

Sebenarnya warga Malaysia berasa hiba dan pilu, bukan untuk Anwar tetapi untuk pakar konspirasi yang dilihat amat bodoh. Warga Malaysia terpaksa bersimpati sedih atas kebodohan pihak yang merancang konspirasi ini.

Bayangkan betapa sedihnya tanah air kita hari ini. Sebuah negara yang penduduknya berjumlah hampir 30 juta orang sedang terumbang-ambing. Masa depan negara dengan 30 juta warga sedang bergantung kepada satu lubang.

Sedih lagi pilu. Ratap lagi meraung. Ia menjadi talian hayat Najib Razak. Kes ini menjadi garis ekonomi negara kita - naik turunnya Bursa Saham Kuala Lumpur sama seirama dengan tekanan perbicaraan ini. Sistem pertahanan negara kita ini juga bergantung kuat dengan berapa lamanya ia bertahan.

Dalam sejarah tamadun dunia, perkara ini tidak pernah berlaku. Tiongkok dipertahankan daripada serangan Mongol bukan melalui kes seks tetapi melalui Tembok Besar China. Alhambra dipertahankan dan berkembang sebagai tamadun bukan melalui kes seumpama ini tetapi melalui ilmu dan falsafah.

Lucah dan meloyakan

Inilah hakikat yang sedang berlaku ke atas negara kita hari ini. Tidak ada tangisan yang akan dapat mengalihkan hakikat ini. Memang betul, bunyinya lucah dan meloyakan. Malu lagi memualkan.

Lucah dan meloyakan terjadi kerana pada ketika ini United Malays National Organisation sedang cuba menarik nafas untuk mendapat talian hayat dengan menghidu rapat kepada kekuatan kes ini. Kemenangan kes ini diharapkan akan menyambung kembali nyawa United Malays National Organisation.

Kita tunggu dan lihat apabila keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan ini terbarai setelah ia tidak membuang hampas busuk selama 52 tahun. Tiga puluh juta warga Malaysia wajib bersedia. Hampas busuk ini akan bertaburan. Ketawa salah, hendak menangis pun kita tidak berair mata lagi.

Selamatkan Malaysia ~ Najib Patut Lepaskan Kerusi Perdana Menteri Malaysia























YAB Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, tidak relevan lagi kerana tidak mampu memimpin rakyat di negeri sendiri, di negara ini, dan tercemar imejnya di pandangan masyarakat antarabangsa.

Ini perbuatannya sendiri.

Merampas Perak dengan keji. Mengaibkan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan konspirasi. Dan banyak lagi kelemahan demi kelemahannya.

UMNO semakin mundur ke arah kehancuran. BN masih terpinga dengan kejayaan demi kejayaan dicapai Pakatan Rakyat.

Terkini kejayaan Pakatan Rakyat dirasmikan sebagai Pakatan Rakyat Malaysia. Mencatat sejarah pencorakan landskap politik negara dengan sistem dwi-parti.

http://colourluna.blogspot.com/2010/02/time-to-accept-two-parti.html

Pasukan ini bila bergerak bersepadu akan menjadikan UMNO parti usang dipenuhi rasuah, dan BN sebagai gabungan pemimpin angguk tunggu dan tidor.

Mohd Najib Abdul Razak belum mewarisi beberapa kehebatan Tun Abdul Razak Hussein. Dia banyak meneruskan warisan PM terdahulu dalam acuan fantasianya.

Mohd Najib Abdul Razak semakin tidak relevan. Terlalu banyak masalah dalam parti dan percakaran antara kalangan parti komponen dalam barisan yang belum selesai.

Sedangkan Muhyiddin Yassin semakin melebarkan sayap kuasa untuk menumbangkan Mohd Najib Abdul Razak.

Parti lain seperti UMNO-MCA, UMNO-MIC, dan UMNO-Gerakan, masih ketiadaan pemimpin pembina dan pembangun.

Mereka nganga menanti jika ada arahan dari Mohd Najib Abdul Razak yang juga pemimpin ketiadaan idea untuk memajukan rakyat dan negara. Melainkan slogan celah gigi 1Malaysia yang tidak memanfaatkan sesiapa. Kecuali mereka yang mendapat manfaat kerana Mohd Najib Abdul Razak ialah Perdana Menteri Malaysia.

Mohd Najib Abdul Razak gagal membaca hati nurani rakyat. Dia akan terus gagal!

Mohd Najib Abdul Razak tewas oleh kehebatan YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Malahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jauh lebih hebat dari Mohd Najib Abdul Razak, walaupun beliau belum berpeluang menerajui negara, di negeri Selangor pun sudah nampak kehebatannya.

Begitu juga Mohd Najib Abdul Razak tidak punyai nurani murni Lim Guan Eng menerajui Pulau Pinang.

Tambahan lagi bab agama contohnya, Mohd Najib Abdul Razak jauh dan amat jauh dari pengetahuan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Dari aspek ekonomi, Mohd Najib Abdul Razak tidak mempunyai kebijaksanaan Kuli. Malahan Husam Musa jauh lebih hebat dari Mohd Najib Abdul Razak, dalam usaha Husam Musa memperjuangkan hak ekonomi orang Kelantan.

Serba-serbi Mohd Najib Abdul Razak tidak bagus. Ada kala Rosmah Mansor lebih layak darinya menerajui kabinet. Tapi, tentulah rakyat ramai akan tentang.

Mohd Najib Abdul Razak telah diberi peluang dalam tempoh yang terlalu lama sebagai Perdana Menteri Malaysia dan dia gagal.

Justeru, Selamatkan Malaysia. Mohd Najib Abdul Razak sebaiknya melepaskan kerusi Perdana Menteri Malaysia.

Disalin dari http://thecovenantadvisor.wordpress.com

Tuesday, February 16, 2010

(Video) Isu Rumah Khas Wanita Hamil

Idea lembab dan lagi bodoh dari pemimpin wanita UMNO di bangkang oleh penceramah Ustaz Daud Che Ngah..




Thursday, January 28, 2010

Kepala babi di masjid. Sejarah berulang.

Pengalaman lalu mengajar manusia menjadi lebih matang untuk menilai perubahan disekelilingnya.

CERITA ABDULLAH C.D.: BAGAIMANA PENJAJAH BRITISH MENCETUSKAN RUSUHAN KAUM DI BATU KIKIR

Satu peristiwa pembunuhan yang bersifat perkauman telah berlaku di Batu Kikir, Negeri Sembilan pada bulan Jun 1945. Peristiwa itu berlaku ketika saya bertugas di bahagian propaganda parti Negeri Perak di Ipoh. Peristiwa itu dimaklumkan secara rasmi oleh organisasi PKM kepada saya dan kawan-kawan lain. (gambar: Abdullah C.D., Komisaris Politik Rejimen Ke-10 dan Pengerusi PKM)

Kemudian pada tahun 1946, ketika saya diberi tugas sebagai wakil PKM bahagian Melayu untuk kawasan Selatan dan juga memimpin organisasi JKM kawasan itu, saya secara khusus pergi ke Negeri Sembilan termasuk ke Batu Kikir.

Satu soal penting yang saya titik beratkan dan ingin mencari jawapannya ialah mengapakah timbulnya peristiwa pembunuhan di Batu Kikir yang seolah-olah merupakan satu gerakan orang Melayu menentang PKM dan TAJRM, sedangkan mereka aktif menyokong Perang Anti-Jepun bahkan menjadi sandaran penting Perang Anti-Jepun. Untuk mendapatkan jawapan yang pasti berkenaan masalah ini, saya pergi mencari organisasi PKM dan menemui orang ramai di kawasan berkenaan. Zahid dan beberapa orang kader Melayu di situ memberi bantuan besar dalam usaha ini. Zahid sendiri pernah ambil bahagian dalam gerakan mendamaikan hubungan antara orang Melayu dan orang Tionghua di situ dan memulihkan perasaan muhibah mereka.

Ketika peristiwa pembunuhan itu berlaku, penanggungjawab bahagian stet PKM Negeri Sembilan ialah seorang kawan seperjuangan saya, Ah Chen namanya atau di kalangan kawan-kawan Rejimen Ke-10 dikenali dengan nama Kawan Jasa. Kemudiannya saya bersama-sama beliau bertugas dalam JKP PKM. Selain daripada Zahid, Jasa juga banyak menceritakan berkenaan peristiwa pembunuhan kaum tersebut. Beliau pernah menulis kenang-kenangannya dalam buku Siri Perjuangan Anti-Jepun dan diterbitkan oleh Pejabat Suara Demokrasi pada 1 Februari 1982.

Daripada penyiasatan itu, saya membuat kesimpulan bahawa peristiwa itu berlaku kerana hasutan penjajah British yang mahu bertapak semula di Malaya dan mahu melemahkan kekuatan progresif yang diwakili PKM; manakala peristiwa itu pula dilakukan oleh segelintir orang Melayu yang terpedaya oleh hasutan penjajah. Menghasut sentimen permusuhan antara kaum adalah strategi penting dan senjata paling berkesan penjajah British untuk melemahkan kekuatan rakyat.

Kerana perkembangan perjuangan anti-Jepun yang menggelora baik di hutan, di kampung-kampung dan di bandar-bandar yang telah disebutkan di atas, kaum penjajah iaitu Jepun dan British amat tidak senang hati. Mengikut maklumat yang diberikan orang ramai, pada bulan Mac 1942 fasis Jepun telah mencetuskan tragedi Jeludung. Dalam tragedi tersebut, Jepun membuat dalih meminta orang ramai pergi mengambil kad pendaftaran di Titi kemudian askar Jepun telah mengatur kepungan dari empat jurusan. Mereka membunuh sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Kira-kira seribu orang massa rakyat telah dibunuh dan seratus orang lebih cedera. Peristiwa ini jelas menunjukkan bahawa fasis Jepun cuba menundukkan orang ramai daripada menyokong gerakan anti-Jepun dengan cara pembunuhan beramai-ramai. Akan tetapi, di sebalik tindakannya itu orang ramai lebih teguh lagi menyokong gerakan anti-Jepun.

Sehingga penghujung tahun 1945, gerakan anti-Jepun berkembang di Negeri Sembilan. Ketika itu penjajah British pula yang ingin berkuasa semula di Malaya telah menimbulkan pembunuhan kaum di Batu Kikir. Kawasan Batu Kikir adalah basis anti-Jepun yang kukuh. Rakyat berbagai-bagai kaum di situ saling bekerja sama menyokong Perang Anti-Jepun. Di kampung-kampung di kawasan tersebut didirikan berbagai-bagai organisasi anti-Jepun seperti Liga Anti-Jepun, lasykar rakyat dan lain-lain.

Mengikut maklumat dari organisasi anti-Jepun dan orang ramai, pada akhir bulan Jun 1945, pegawai-pegawai penghubung tentera berikat iaitu Pasukan Gerila 136 British telah menggugurkan sejumlah senjata kepada pasukan-pasukan TAJRM. Seorang pegawai penghubung British untuk kawasan Negeri Sembilan bernama Lt. Kol. C.H. Fenner telah dihantar ke dalam pasukan TAJRM untuk bekerjasama menentang fasis Jepun.

Akan tetapi, penjajah British mempunyai niat yang terselindung. Selain cuba mengontrol pasukan gerila TAJRM, C.H. Fenner didapati selalu pergi ke Jempul, Tanjung Ipoh dan lain-lain. Tujuannya adalah untuk menemui anasir-anasir yang boleh dipengaruhinya untuk menjalankan propaganda anti-komunis dan mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan rakyat berbagai-bagai kaum khasnya antara Melayu dengan Tionghua.

Apabila Jepun menyerah kalah, pasukan-pasukan TAJRM segera beredar ke pekan-pekan dan bandar-bandar untuk mengawal keselamatan orang ramai. Pada masa ini jugalah penjajah British menghantar pegawai-pegawai perisik dan tenteranya serta satu pasukan India Muslim dari India ke Negeri Sembilan. Mereka masuk ke kampung-kampung Melayu untuk menjalankan hasutan anti-komunis dan anti-Tionghua.

Untuk meruncingkan lagi keadaan, pihak British secara sembunyi mengarahkan seorang agennya, orang Tionghua, menyembelih seekor babi dan mencampakkannya ke dalam sebuah masjid di kampung dekat Batu Kikir. Sebaik sahaja hari cerah, berita itu pun segera tersebar. Orang Melayu merasa amat marah di atas perbuatan yang merupakan satu pencemaran ke atas agama Islam dan penghinaan kepada orang Melayu. Maka sekumpulan anggota parang panjang dari Juasih menyerbu ke sebuah kampung Tionghua di Batu Kikir. Kerana menyangkakan orang Tionghua menghina agama Islam dan bangsa Melayu, mereka memarang semua orang yang mereka jumpai, tidak kira tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Ketika kejadian tersebut berlaku, di situ hanya terdapat enam orang perajurit TAJRM mengawal keselamatan orang ramai. Melihat keadaan itu, mereka cuba menasihati dan menghalang anggota parang panjang supaya berhenti melakukan pembunuhan. Akan tetapi dua di antara enam orang perajurit tadi telah tercedera ditetak oleh anggota parang panjang. Kerana keadaan yang amat kemelut ini, mereka terpaksa melepaskan tembakan dan mengundurkan kumpulan parang panjang tersebut.

Peristiwa itu tidak selesai setakat itu sahaja, penjajah British masih berusaha memanjangkan peristiwa tersebut. Pegawai tentera British pura-pura bersimpati dengan perajurit-perajurit dan massa yang cedera dengan menghantar kereta konon untuk membantu membawa mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Setiba kereta tersebut di pekan Batu Kikir, pihak British sengaja memberhentikan kereta di hadapan sekumpulan anggota parang panjang dan membiarkan kumpulan itu mengheret orang-orang yang tercedera di dalam kereta itu keluar dan di cincang di situ juga.

Setelah peristiwa itu, berbagai-bagai organisasi politik seperti pejabat PKM Wilayah Negeri Sembilan, kesatuan buruh, kesatuan tani, liga pemuda, persatuan wanita dan lain-lain pertubuhan kebudayaan telah mengadakan sidang tergempar bersama mengutuk komplot penjajah British yang sengaja melaga-lagakan antara kaum itu dan membiarkan dua orang perajurit TAJRM dan orang ramai yang tercedera itu di cincang hidup-hidup.

Pak Sutan Djenain dan Zahid segera datang ke pejabat PKM menemui penanggungjawab Jawatankuasa Parti Wilayah Negeri Sembilan menuntut pihak PKM supaya segera membuat bantahan ke atas tindakan British itu. Kemudian berbagai-bagai pertubuhan yang disebut di atas mengadakan sidang secara berasingan, mengadakan perhimpunan massa mendedahkan tipu muslihat British dan menyeru orang ramai berbilang kaum supaya jangan termakan tipu helah penjajah dan mesti terus mempereratkan perpaduan antara kaum.

Dalam satu rapat umum di Kuala Pilah, veteran revolusi Indonesia Pak Sutan Djenain telah membuat ucapan berapi-api dan mendedahkan komplot keji penjajah British tersebut. Beliau menyeru orang ramai bersatu padu melawan polisi pemecah-belahan kaum oleh penjajah British. Selain daripada itu, wakil Melayu dari Liga Anti-Jepun juga membuat ucapan menyeru orang ramai bersatu dan sekali-kali jangan termakan hasutan penjajah. Pidato para wakil itu mendapat sambutan hangat daripada rakyat pelbagai kaum khasnya orang Melayu dan Tionghua.

Selain daripada itu, pihak TAJRM juga menyatakan sikapnya yang tegas kepada penjajah British bahawa kalau peristiwa sedemikian berlaku lagi, maka pihak British haruslah memikul segala akibat dan tanggungjawabnya.

Terdorong oleh suasana muhibah sama-sama menentang komplot melaga-lagakan antara kaum itu, banyak kampung Tionghua dan Melayu yang berjiran menandatangani perjanjian kerukunan bersama. Komplotan jahat penjajah British itu berjaya dihentikan berkat usaha bersama pertubuhan dan rakyat pelbagai kaum.

---
dipetik dari Memoir Abdullah C.D. Bahagian Pertama: Zaman Pergerakan Sehingga 1948, diterbitkan SIRD, 2005