Pages

Thursday, August 7, 2008

Anwar ada alibi - Peguam

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - "Saya dah tanda tangan ikat jamin peribadi saya, dan pasport saya masih berada bersama saya . Saya hargai pendirian yang diambil peguam saya.Yang saya kesalkan ialah pendakwaan ini. Walaupun saya yakin berdasarkan cara pendakwaan itu, pendakwa seolah dipaksa. Kalau tidak mustahil pendakwaan itu dibuat," demikian antara kata-kata Dato' Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja keluar dari kamar Mahkamah Seksyen Jenayah 1 pada jam 11.15 pagi ini, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Penasihat KeADILan itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii dengan pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Pihak pendakwa tidak membantah Anwar dibenar ikat jamin dan mencadangkan ketua umum PKR itu dikenakan jaminan RM20,000 dan menyerahkan pasportnya.

"Dahulu dalam media tempatan dihebahkan bahawa ada penderaan dan paksaan. Semalam Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan tidak bertanggung jawab mengatakan ada rogol, tetapi hari ini pendakwaan suka sama suka.

"Jika suka sama suka, kenapa saya seorang yang kena dakwa. Jika suka sama suka, kena dakwa kedua-dua,"katanya yang berucap dihadapan kira-kira 40 media dan diiringi isterinya,Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. Turut kelihatan anak-anaknya yang turut memberi sokongan kepadanya.

Jelas Anwar, tumpuannya kini pada Pilihan Raya Permatang Pauh. Katanya, beliau akan memulakan ceramahnya malam ini di Taman Medan, Petaling Jaya.

"Dari Taman Medan kita akan ke Permatang Pauh. Dan insya-Allah dari Permatang Pauh sampai ke Parlimen dan kita ambil alih kerajaan dan perbetulkan segala kekhianatan, penipuan dan rasuah yang ada," katanya.

Anwar ada alibi

Sementara itu, Menurut Peguam Anwar Ibrahim, Sankara Nair Anwar memiliki alibi yang kukuh pada masa kejadian (26 Jun) pada jam 3 petang sebagaimana yang didakwa oleh pembantunya, Saiful.

Sankara yang ditemui di luar kamar sebaik sahaja prosiding tamat jam 10.30 pagi berkata, Mahkamah Sesyen Jalan Duta hari ini dilihat berlaku adil kerana membenarkan anak guamnya diikat jamin setelah Anwar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan liwat.

Beliau salah seorang daripada sembilan peguam bela Anwar berkata, Hakim S.M Komathy memperlihatkan sifat adil dengan menggunakan budi bicaranya membenarkan Anwar dibebaskan dengan ikat jamin.

Sankara juga berkata, pendakwaan kes liwat terhadap Anwar tidak akan menjejaskan proses pilihan raya kecil Permatang Pauh akhir bulan ini.

Hakim menetapkan 10 September untuk sebutan semula kes itu di mahkamah yang sama.

Anwar diwakili sembilan peguam

Anwar diwakili oleh sepasukan sembilan orang peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah. Peguam lain termasuklah Sivarasa Rasiah, Sankara Nair, Saiful Izham Ramli, Amer Hamzah, Edmund Bon, Latheefa Koya, Leela J Jesuthasan dan Mohd Razlan Jawaludin.

Pihak pendakwaan diketuai Peguam Cara Negara Dato' Idrus Harun manakala pihak pembelaan yang dibarisi sembilan peguam diketuai Sulaiman Abdullah.

Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi tuduhan liwat. Dalam kes pertama pada 2000, beliau dituduh meliwat Azizan Abu Bakar, pemandu isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Terdapat juga peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam dan badan hak asasi manusia yang berpejabat di Washington, Paris dan Bangkok.

Sementara itu beberapa orang pimpinan PAS turut mengikuti perbicaraan tersebut seperti Naib Presiden, Dato' Husam Musa; Setiausaha Agung, Dato' Kamaruddin Jaffar; AJK PAS Pusat merangkap ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifly Ahmad dan AJK PAS Pusat yang juga ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali menyambut baik keputusan mahkamah tersebut.

Husam yang ditemui menyatakan keputusan tersebut menunjukkan mahkamah lebih bebas dan adil.

"Kami bersyukur atas keputusan yang diambil oleh mahkamah tadi. Selepas ini, kita akan turun 'berperang' di parlimen Permatang Pauh bagi memenangkan Dato' Seri Anwar Ibrahim,"kata Dr Lo' Lo'.

Anwar meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah pada kira-kira 11.35 pagi.

Laluan ke kompleks itu sesak seketika apabila lebih 2,000 penyokong Anwar berhimpun di luar dan dalam perkarangan kompleks menyebabkan Anwar sukar meninggalkan kawasan itu. - mks. _

Penarik Beca dilanjutkan tahanan satu malam lagi

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Hrkh) - Blogger Penarik Beca atau nama penuhnya Abu Bakar Mohd Rashid yang ditahan semalam, dilanjutkan tahanan satu hari lagi.

Perkara ini disahkan isteri beliau, Salwa Abdul Samad kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Menurut Salwa, suami beliau ditahan sepasukan empat orang anggota polis sejak kira-kira jam 11 malam semalam di kediaman mereka di Taman Koperasi Polis dekat sini.

Peguam beliau, Mohamed Hanipa Maidin mengesahkan, Abu Bakar dibawa ke pejabat Bahagian Jenayah Perdagangan untuk disoalsiasat di bawah Akta Hasutan.

"Suami menghubungi saya, memberitahu beliau dilanjutkan tempoh tahanan untuk satu malam lagi, katanya polis hendak bersembang-sembang.

"Beliau dibawa ke mahkamah untuk dilanjutkan tahanan reman, tetapi ramai kawan-kawan yang menunggu tidak dapat berjumpa dengannya," kata Salwa.

Sumber : http://www.harakahdaily.net/

Bunuh aktivis hak asasi: Bekas pegawai didakwa

Oleh AFP, Reuters
Khamis, 07 Ogos 2008

JAKARTA: Seorang bekas pegawai kanan perisikan Indonesia akan didakwa atas pertuduhan membunuh aktivis hak asasi, Munir Said Thalib, yang mati akibat keracunan arsenik dalam penerbangan dari Singapura ke Belanda pada 2004, menurut laporan kelmarin.

Jurucakap pejabat Peguam Negara, Bonaventura Daulat Nainggolan, berkata para pendakwa mempunyai masa 20 hari selepas menerima dosir polis untuk memfailkan kes terhadap Muchdi Purwoprandjono, bekas timbalan ketua Badan Intelijen Negara (BIN), Indonesia.

'Kami akan mendakwanya dengan pertuduhan melakukan pembunuhan terancang, yang boleh dikenakan hukuman mati,' kata Bonaventura.

Munir, yang meninggal dunia pada usia 38 tahun, merupakan pemimpin badan pemantau hak asasi Komisi bagi Orang Hilang dan Korban Tindakan Kekerasan (Kontras) dan merupakan pembela utama mangsa penderaan tentera di bawah pemerintahan mantan Presiden Suharto dari 1965 hingga 1998.

Usman Hamid, pemimpin Kontras sekarang, berkata keputusan pemerintah untuk membicarakan Muchdi merupakan satu perkembangan yang penting dalam sistem kehakiman Indonesia.

'Ini kali pertama seorang bekas pegawai kanan tentera ditahan dan akan dibicarakan kerana kes jenayah,' kata beliau.

Awal tahun ini, bekas juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Priyanto, dikenakan hukuman 20 tahun penjara, manakala mantan Pengerusi Garuda, Indra Setiawan, dikenakan hukuman setahun penjara kerana terlibat dalam pembunuhan Munir.

Wednesday, August 6, 2008

Dr. Osman Abdul Hamid. : Statutory Declaration













Al-kesah bik Mama

Oleh : Hishamuddin Rais

(Mengikut al-kesahnya, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan lari dari kampong hingga ke Pekan. Demikianlah kesah cerita turun temurun yang disampaikan olih nenek kepada cucu dan cucu kepada cicit.)

Rupa-rupanya mengikut yang empunya cerita al-kesah Kerbau Jantan ini terus bersambung.

Anak Tok Penghulu Lama bersama Dua Budak Suruhan termengah-mengah cuba melarikan dari orang kampung yang memburu mereka. Lintang pukang mereka lari - banir terlanggar belukar diredah – dengan harapan mereka akan terselamat. Lari punya lari akhirnya mereka pun sampailah ke hadapan sebuah rumah yang besar terletak jauh dari Pekan.

Rumah besar ini kelihatan tidak bertunggu. Jantan Bertiga ini memberanikan diri lalu masuk terus ke bilik tidur. Tetapi mereka masih merasa tidak selamat lalu melocat ke atas katil dan menyorok dalam kelambu. Tujuh hari tujuh malam mereka duduk dalam kelambu. Tidak ada seorang pun yang berani keluar.

Di hari ketujuh tiba-tiba mereka terdengar bunyi tapak kaki masuk ke rumah. Mereka berpandangan sesama sendiri. Dari dalam kelambu mereka ternampak wajah seorang Betina mengheret badannya menuju ke arah katil. Jantan Bertiga dalam kelambu mula mengigil takut.

Dari celah kain kelambu mereka ternampak seorang Betina yang kilo badanya tidak ada dacing dalam alam semesta yang berani mengukur. Rambutnya ini tidak panjang dan tidak pendek. Matanya tidak sepet dan tidak bula. Di lehernya bergemelapan rantai mutiara yang hampir menjerut hingga ke dagu. Telinganya panjang kerana gayutan subang permata intan berlian. Gelang di tangan kiri dan kanan dipasang hingga ke siku. Jari sepuluh penuh dengan cicin permata.

Hendak dikatakan Betina ini seorang Nenek Kebayan paras rupa bukan Nenek Kebayan. Nak dikatakan Anak Dara sudah macam Mak Janda. Nak dikatakan Hantu ada bentuk macam Manusia. Nak katakan Manusia ada pula rupa macam Hantu. Inilah yang menakutkan Jantan Bertiga dalam kelambu.

Dengan serta merta Betina ini menyelak kelambu maka kelihatan Tiga Jantan ini sedang berpeluk sesama sendiri kerana takut. Betina ini kemudian bersuara keras.

‘Aku Bik Mama… kamu bertiga akan menjadi hamba aku’.

Apabila Bik Mama diberitahu tentang kesah Anak Muda bakal Tok Penghulu Baru yang menghalau mereka maka Bik Mama naik berang. Bik Mama ini bukan calang-calang orangnya. Betina ini cukup hebat. Pernah satu ketika dahulu Bik Mama menjadi gundek seorang Panglima Kerajaan Melayu Melaka, tetapi Panglima ini ditangkap kerana si Panglima amat kepingin dengan Kanak Kanak. Kemudian Bik Mama dikesahkan telah menjadi gundek seorang Menteri Melayu dari Negara Islam Darul Papa. Tetapi Menteri ini hilang menterinya apabila orang kampung marah kerana dia menyimpan terlalu banyak gundek.

Apabila Bik Mama mengetahui diantara Tiga Jantan ini ada seorang anak bekas Tok Penghulu maka Big Mama pun naik minyak. Badannya semakin mengembang. Mengikut yang empunya cerita Anak Tok Penghulu Lama telah terperangkap di atas katil Bik Mama. Anak Tok Penghulu Lama tidak ada pilihan lalu bernikah dengan Bik Mama.

Selesai sahaja perkahwinan Bik Mama pun mula merancang untuk menobatkan Anak Tok Penghulu Lama untuk menjadi Tok Penghulu Baru. Bik Mama marah dan ketawa kerana rancangan kerbau dahulu gagal. Bik Mama anggap Dua Budak Suruhan ini bodoh macam telor. Tak ada otak macam batang keladi.

Mereka membuat rancangan baru. Dua Budak Suruhan di suruh mencari saekor Itek Angsa. Maka ke hulu ke hilirlah Dua Budak Suruhan itu. Mereka mencari sekeliling Pekan. Dari reban ke reban mereka mengeledah. Di takdirkan maka Dua Budak Suruhan ini bertemulah dengan saekor Itek Angsa berbulu hijau lebat.

Bila Itek Angsa ini dibawa ke hadapan Bik Mama maka sukalah hati Bik Mama. Tetapi mereka memiliki satu masaalah besar - bagaimana hendak membawa Itek Angsa ini masuk ke kampung kerana Orang Kampung semua sudah kenal muka mereka.

Dengan bangganya Budak Suruhan yang paling bebal mencadangkan agar mereka memakai topeng. Bik Mama mengherdik mereka kerana cadangan ini cukup bodoh. Kalau mereka memakai Topeng masuk kampung pastilah Orang Kampung sedar dan tahu. Orang Kampung memang tahu yang bertopeng itu pastilah Orang Jahat. Hanya Orang Jahat sahaja yang memakai Topeng.

Akhirnya Bik Mama mendapat satu jalan. Hendaklah dicari seorang yang cergas dan berlari pantas. Jika boleh orang yang dicari ini pemecut yang bertauliah. Dua Budak Suruhan ini mencari di sekeliling Pekan tetapi tidak juga bertemu. Bila pencarian mereka gagal, Dua Budak Suruhan ini dengan takut pulang untuk menghadap Bik Mama.

Dalam ketakutan, Dua Budak Suruhan ini duduk di atas tangga menunggu Bik Mama. Tiba-tiba muncul saekor Makhluk dari dalam rumah. Makhluk ini agak pelik - hendak di katakan betina dia gagah macam lelaki. Hendak dikatakan Melayu kulitnya pula hitam lagi legam. Hendak dikatakan sida dia bersusu. Entah jantan entah betina Makhluk ini.

Dalam kehairanan ini Bik Mama muncul di tepi pintu. Bik Mama menerangkan Makhluk ini ialah bekas pemecut terhandal. Makhluk ini pelari terpantas di sekeliling Pekan. Lalu Bik Mama menerangkan bagaimana rancangan ini wajib di uruskan.

Mula-mula Makhluk ini akan berlari deras sambil membawa Itek Angsa masuk ke dalam kampung. Itek ini hendaklah ditinggalkan dalam bilik tidur Anak Muda . Kemudian Makhluk ini akan lari pulang ke Pekan. Dengan bangga Bik Mama menepuk dada kerana rancangan ini lebih masuk akal dari rancangan bodoh mereka dahulu.

Ketika semua ini sedang di rancang Anak Tok Penghulu Lama hanya sanggup mengangguk-angguk kepala. Mengikut tuan yang empunya cerita semenjak bernikah dengan Bik Mama ini Anak Tok Penghulu Lama ini telah menikus takut terutama terutama apabila Bik Mama bersuara.

Akhirnya, satu petang yang cerah telah dipilih sebagai hari yang terbaik untuk rancangan mereka. Satelah semuanya dirancang dengan rapi maka si Makhluk pun mengepit Itek Angsa dan berlari dari Pekan masuk ke kampung. Rumah yang di tuju ialah rumah Anak Muda yang pada ketika itu sedang bekerja di bendang.

Sesampai di rumah Anak Muda dengan pantas si Makhluk masuk ke rumah. Itek Angsa ini di tinggalkan di atas katil Anak Muda. Selesai sahaja kerja ini si Mahkluk pun berlari menuju ke Pekan kerana Bik Mama, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan sedang sedia menunggu untuk meneruskan rancangan seterusnya. Mereka telah merancang untuk mencanangkan bahawa di Pekan ada orang telah kehilangan Itek Angsa.

Itek Angsa yang terletak di atas katil Anak Muda itu menjadi hairan kerana dia di tinggalkan sunyi kesaorangan. Maka Itek Angsa ini pun mula bersuara dengan harapan akan ada lagi kawan-kawan itek atau ayam berhampiran.

Itek Angkas ini pun bersuara – pet.. pet.. pet.. pet. Itek Angsa terus bersuara dan tergedik-gedik turun dari katil dan keluar ke kawasan halaman rumah. Mengikut tuan yang empunya cerita pada ketika itu ada satu kumpulan Kanak Kanak sedang bermain konda kondi.

Apabila Itek Angsa ini bersuara pet.. pet… pet… maka Kanak Kanak ini pun tertawa besar apabila mendengar bunyi suara Itek Angsa ini. Kanak Kanak ini mengejar Itek Angsa ini sambil turut sama bernyanyi pet..pet..pet.

Mengikut kata sahibul hikayat rancangan Bik Mama gagal lagi. Itek Angsa yang mereka rancang akhirnya menjadi teman mainan Kanak Kanak di kampung. Untuk menyedapkan al-kesah, Itek Angsa ini telah di beri nama Uncle Pet oleh Kanak Kanak di kampung.

Hingga ke hari ini Uncle Pet ini telah menjadi daya tarikan bahan lawak ketawa bukan sahaja untuk kanak kanak tetapi seantero alam. Malah telah di beritakan Uncle Pet ini telah diwawancara suaranya di laman MalaysiaKini untuk tontonan seluruh alam. Pet…pet..pet.

Demikianlah adanya al-kesah yang diturun temurunkan dari mulut ke mulut dari anak hingga ke cucu dari cucu hingga ke cicit.

Siapakah DSP Jude Pereira @ Carlos Santana,


PERTAMA
sekali entry aku kali ini ‘confirm’ akan mengundang pelbagai komen berapi daripada pembaca.

Tetapi bukan itu yang aku mahu. Korang boleh maki hamun, sembur cercaan dan cakap apa saja. Namun jika ia melanggar akal dan kewarasan, maaf, aku tidak akan siarkan.

Tujuan aku menulis entry ini bukan untuk menyokong mana-mana pihak. Ia hanya sekadar bacaan semata-mata.

Ia juga bukan rahsia kerana ada di antaranya pernah di siarkan di akhbar. So, tarik nafas dulu then sambunglah membaca. Kalau tak suka tak apa, ok?

Baik, apa perasaan korang apabila boss korang memberi satu tugasan yang cukup mencabar untuk kau laksanakan?

Dalam hal ini, apa agaknya perasaan yang dialami Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields, DSP Jude Pereira apabila dia adalah di antara pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk menyiasat kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fuh, bukan mudah. Silap hari bulan tidur tak lena, mandi pun tarak basah. Ini bukan calang-calang orang, Anwar Ibrahim bannngggg.

Tekanan dalam tugas sudah tentu, bagaimana pula tekanan di luar? Korang pun tahulah penyokong Anwar bukan kecik-kecik anak. Sekali berhimpun, bergegar Malaysia beb!

Ok, siapakah DSP Pereira? Actually beliau pun bukan calang-calang orang. Beliau sudah berkhidmat lebih 30 tahun dalam PDRM dan sudah hampir mencapai usia persaraan sebenarnya.

Beliau yang pernah diwawancara dalam ruangan Gaya Polis- Utusan, sebenarnya banyak meluangkan masa dengan membaca buku dan bermain muzik. Gitar merupakan instrumen kegemarannya dan selain itu beliau juga pandai bermain keyboard.

Bakatnya dalam muzik terserlah apabila beliau turut dikenali sebagai Carlos Santana of PDRM di kalangan anggota polis.

Dari segi kerjaya, DSP Jude Pereira,

* Bermula dengan pangkat konstabel pada 1975, bertugas dalam Cawangan Tugas Am di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, Pahang

* Bertukar ke Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Kuala Lumpur pada 1978.

* Dinaikkan pangkat inspektor pada 1984 dan menjalani Latihan Asas Inspektor di Maktab Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor selama enam bulan.

* April 1985 - ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput (U), Perak, sebagai Pegawai Penyiasat. Turut memegang jawatan sebagai Pegawai Pencegah Jenayah dan Pegawai Penjaga Cawangan Kongsi Gelap.

* Dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 1992 dan ditugaskan sebagai Pegawai Pendakwa di Mahkamah Majistret Ipoh selama lapan tahun.

* Melanjutkan pengajian undang-undang peringkat Sarjana Muda Undang-undang melalui pendidikan jarak jauh dengan University Wolverhamton, England.

* Dinaikkan pangkat Asisten Supritendan Polis (ASP) dengan menyandang jawatan sebagai ASP Pendakwaan Undang-undang di Ibu Pejabat Polis (IPD) Bukit Aman pada 2001 .

* Dinaikkan pangkat deputi supritendan dan menyandang jawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields pada 2007 sehingga hari ini.

So, kes Anwar Ibrahim merupakan puncak dalam kariernya dalam perkhidmatan polis. Sudah tentu, 26 juta rakyat Malaysia tidak lama lagi bakal menilai sejauh mana ‘Carlos Santana PDRM’ ini mengendalikan kes berprofil ‘maha tinggi’ melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri ini.

Yang pasti, kita tidak boleh ‘under estimate’ pegawai polis yang berpengalaman ini.

Yang pasti juga, Pereira akan bermain ‘gitar’ dan Anwar akan ‘menyanyi’ dalam sebuah konsert yang bernama ‘mahkamah’.

Semoga sukses untuk kedua-dua mereka, baik Pereira, baik Anwar!.

Sumber : http://syahrilkadir.wordpress.com/

Jom bawa Pak Lah ke BPR

Ahli-ahli UMNO yang sama-sama berjuang meyakinkan orang Melayu bahawa hanya UMNO sahaja yang boleh di percayai sebagai penyambung lidah orang Melayu selepas ditolak oleh orang Melayu selepas Peristiwa 13 Mei, akhirnya terpaksa membuat aduan BPR terhadap tingkah laku Abdullah Hj Ahmad, yang dahulu “Saya Perdana Menteri” tetapi hari ini “outgoing Prime Minister”

Aduan Polis dibuat berdasarkan satu aduan bertulis oleh seorang Ketua UMNO Bahagian di Selangor kepada pejabat Setiausaha Agong UMNO yang meminta Lembaga Disiplin mengambil tindakan ke atas salah laku Perdana Menteri yang membenarkan dirinya menggunakan wang pembayar cukai untuk tujuan mempengaruhi perwakilan UMNO mencalonkan dia lagi sebagai Presiden UMNO yang boleh dia kekal sebagai “Saya Masih Di sini” sebagai Perdana Menteri.

Veteran atau aktivis UMNO bukan semua ada keberanian, semenjak zaman Dr Mahathir Mohamad membawa ke zaman sekarang ahli UMNO tidak dia ajar kepada tekad perjuangan tetapi lebih banyak ahli UMNO dipandang oleh pemimpin UMNO di mana sahaja hanya sekadar seperti burung merpati, yang disediakan sarangnya dan diberikan makanan.

Ahli-ahli UMNO yang berkelakuan burung Merpati, dia tidak peduli apa, asalkan dia disediakan rumah atau ada sedikit habuan dari pemimpin atasnya yang memberi dia projek atau bisnes, parti UMNO nak lingkup dia tidak akan terasa apa-apa, begitu juga agamanya dan bangsanya malah kalau boleh dijual negeri pun, dia hendak jual, asalkan dia mendapat nikmat.

Itu sebab ahli-ahli UMNO tidak peduli dengan sikap pemimpin partinya yang mengikut kamus politiknya mengamalkan oligarki, dari bapak kepada anak, dari laki ke bini dan sebagainya, seolah-olah otak keluarga pemimpin ini sahaja yang boleh berjuang.

Tidak berapa lama lagi, kita akan menyaksikan Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, orang yang kita tahu tidak sama sekali akan terasa atau bila memejamkan mata tidak merasakan bagaimana kelaparan akan berlaku jika rakyat tidak ada makanan. Kelaparan berpuasa tidak sama dengan kelaparan orang miskin, orang berpuasa sudah disiapkan juadahnya waktu berbuka, kelaparan orang miskin belum tentu ada yang boleh dimakan.

UMNO tidak menyedari bahawa sebilangan besar orang Melayu sudah tidak menerima isu perkauman yang dibawakan oleh UMNO, kemusnahan ketuanan Melayu terpinggir bukan kerana orang bukan Melayu tetapi oleh pemimpin UMNO sendiri.

Belum pernah ada orang Cina , India dan sebagai yang begitu berkuasa dalam negara ini. Tetapi bagaimana perkara-perkara ancaman kepada Melayu boleh berlaku. Ambil contoh kepada keputusan JPA-Jabatan Perkhidmatan Awam yang menambahkan kuota bukan Melayu dalam biasiswanya. Bila ditanya kepada Abdullah Hj Ahmad, dia sendiri pun tak tahu perubahan dasar itu. Bila JPA menjadi jabatan kerajaan yang bebas dari polisi kerajaan?

Maka terjeritlah orang yang berkepentingan seperti Badan Perpaduan Melayu, seolah-olah macam Adullah Hj Ahmad tidak bersalah, siapa mereka yang dalam Bertindak Badan Perpaduan Melayu, semuanya berkepentingan dengan perniagaan dan kedudukan. Mereka ini kelompok menjual bangsa Melayu.

Bukankah semua dasar kerajaan dibawa di dalam kabinet. Maka itu sebab orang Melayu kena bertanya dengan UMNO. Sampai bila hendak menjual orang Melayu demi kuasa dan kekayaan segelintir orang Melayu yang bernama masyarakat oligarki UMNO.

Bayangkan perangai Abdullah Hj Ahmad, seorang penagih arak tegar boleh menjadi Menteri, seorang yang meluluskan pembelian Bank di Indonesia kemudian dibatalkan oleh Bank Negera kepentingan keluarga Perdana Menteri boleh diangkat menjadi Menteri. Apa yang Amirsham buat di Maybank, berapa banyak orang Melayu yang sudah jadi ahli perniagaan atau berapa banyak eksekutif Melayu yang yang dilatih kemudian berpindah ke Bank lain seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Bank Bumiputra dulu, di mana jika diperiksa dengan betul-betul, semua pegawai kanan Bank segalanya hasil produk Bank Bumiputra.

Aduan BPR kepada Abdullah Hj Ahmad perlu dibuat oleh setiap rakyat Melayu yang sayangkan bangsanya, kita tidak boleh terus menggalakkan budaya memperalatkan Islam oleh sesiapa pun seperti Abdullah Hj Ahmad ini dengan Islam Hadhari- Islam ada had dan ada harinya yang bakal mati tanpa nisan dalam bulan Jun 2010 setelah puluhan juta dibelanjakan.

Insya-Allahlah jika segalanya dapat dibuktikan akan, Abdullah Hj Ahmad mesti bersedia untuk turun naik mahkamah dalam beberapa kes rasuahnya termasuk yang terbaharu pembinaan rumah terbarunya di Australia yang mana kos pembinaan berjumlah AuD 5 juta dan kos kelengkapan dalaman AuD 6 juta. Sampai bila Abdullah Hj Ahmad hendak menipu dan mencuri duit Negara ini untuk kepentingan anak dan menantu? Perlulah hanya sekadar fikiran orang gaji seperti filem Ali Baba untuk membunuh 40 penyamun.

Sumber : http://sangkelembai2006.blogspot.com/