Pages

Friday, August 3, 2012

Kembalikan hak P. Ramlee tanpa korbankan maruah diri

Oleh: Mazir Ibrahim

29 JUN 2011– Nama P.Ramlee lebih gah dari semua Perdana Menteri Malaysia. Apa-apa isu tentang P.Ramlee masih belum reda dalam nostalgia indah penghayat seni kita.

Yang terbaru adalah berkenaan tuntutan royalti karya P.Ramlee daripada Shaw Brothers sebagai pemilik filem-filem Seniman Agung itu.

Gedebak-gedebuk cerita tentang tuntutan hak intelek, kontrak dan perjanjian termasuk kisah tentang anggaran wang yang begitu besar jumlahnya, semua ini akhirnya akan menemui satu titik buta iaitu – kerajaan.

Jelasnya, P.Ramlee sepanjang hayatnya bukan sekadar bijak menggarap seni budaya bangsa kita dalam karyanya, tetapi selepas meninggalkan kita buat selama-lamanya, Seniman Agung ini juga berjaya membongkar satu krisis yang menjadi puncan kepada semua masalah ‘gedebak-gedebuk’ itu.

Puncanya adalah satu fenomena yang kini kita kenali sebagai sifat ‘kebergantungan’ kepada kerajaan. Kontra kepada sifat ini adalah bebas atau ‘independent’.

Budaya kebergantungan ini disemai sejak sekian lama. Lama-kelamaan budaya ini terbentuk menjadi satu jalur pemikiran – mentaliti.

Senario semasa

Dalam isu royalti P.Ramlee ini, golongan yang merasa sayang, prihatin dan bertanggungjawab mengenainya sebenarnya tidak perlu lagi mengharapkan pihak kerajaan untuk bertindak dan membantu golongan karyawan.

Memang pedih pada mulanya untuk menjadi “bebas kerana andaian selama ini adalah “tanpa kerajaan, mana nak dapat duit atau peruntukan”. Tetapi karyawan perlu ingat, peruntukan atau bantuan kerajaan tidak diberi percuma kerana “harga” yang perlu dibayar ialah kebebasan berekspresi itu sendiri.

Jika kita boleh senaraikan isu-isu yang timbul tentang Seniman Agung yang selama ini pernah dibangkitkan, pasti di kala penutup isunya akan berkumandanglah ayat klise seperti – “kerajaan patut buat itu, kerajaan perlu laksanakan ini, kerajaan wajar memperuntukkan itu, pihak berwajib mesti bertanggungjawab tentang hal ini dan seumpanya”.

Orang-orang yang prihatin ini termasuk golongan karyawan terus menyalak kepada kerajaan dengan pelbagai permintaan dan harapan sedangkan kita degil dan tidak mahu belajar dari sejarah.

Adakah kita faham bahawa dasar kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang ada pada hari ini han
ya akan bertindak jika ada kepentingan politik di pihak mereka?

Adakah peminat P.Ramlee sudah lupa bagaimana Seniman Agung ini dilayan ketika di Studio Merdeka, Ulu Klang? P.Ramlee diperlakukan seperti hamba tebusan oleh industri dan penguasa politik.

Selepas P.Ramlee tiada, baru lah terkejar-kejar segala macam benda hendak dinamakan sempena namanya, gelaran sudah tak terkira. Seolah-olah mahu menebus dosa mereka terhadap Seniman Agung kita.

Sampai kita lupa P. Ramlee meninggal dunia dengan hati yang kempunan mahu menerbitkan filem berwarna sendiri tetapi dipinggirkan oleh penguasa politik dan kroni mereka dalam industri filem.

Hal yang sebegini pun kita masih tidak kenal wajah sebenar kerajaan yang kita harap-harapkan itu. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘mentaliti kebergantungan’ yang dididik sejak sekian lama oleh UMNO.

Kebanyakan kalangan kita belum ada budaya independen.

Cadangan penyelesaian I

Budaya kebergantungan ini harus diubah dengan budaya independen. Mungkin kita boleh menafsir konsep indipenden ini secara yang lebih mudah untuk difahami sebagai budaya berdikari.

Dalam konteks P.Ramlee sebagai lagenda yang hebat, beliau adalah khazanah negara, diiktiraf bukan sahaja di Malaysia, malah popular di Asia Tenggara. Ini boleh dilihat sebagai ‘selling point’ yang boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan usaha ke arah penyelesaian terhadap isu royalti tersebut.

Pengiktirafan itu, jika diurus dengan betul, boleh menarik minat, simpati, sokongan atau bantuan dari sektor swasta, korporat dan syarikat multinasional, sama ada milik Melayu atau Malaysia, atau pun syarikat usahasama.

Barangkali bantuan itu dalam bentuk membiayai kos tuntutan tersebut, atau membantu khidmat guaman atau apa jua bentuk bantuan untuk kempen secara besar-besaran demi membantu dan menarik sokongan ramai dalam menyelesai dan mengubah keadaan tersebut.

Cadangan penyelesaian II

Ada kumpulan-kumpulan tertentu di negara ini yang sering melalak memperjuangkan bangsa Melayu. Mengapa tidak digerakkan usaha atas nama Seniman Agung ini demi mengembalikan khazanah negara kepangkuan pertiwi. Kata nak mengangkat martabat budaya bangsa.

Bukankah P.Ramlee telah diangkat sebagai simbol kebudayaan bangsa, simbol pencapaian seniman Melayu yang hebat?

Dalam situasi ini, di manakah kelompok Melayu seperti Perkasa, Pemuda UMNO dan sebagainya yang berdegar-degar hendak memperjuangkan nasib bangsa? Apakah P.Ramlee bukan orang Melayu? Karyanya bukan karya Melayu? Apa yang P.Ramlee wariskan itu bukan untuk tamadun bangsa Malaysia?

Jika usaha ini digerakkan dengan betul, bukan P.Ramlee seorang sahaja yang akan mendapat manfaat, sebaliknya semua karyawan dan industri juga akan menerima impak, sedikit demi sedikit ruang kebebasan dan budaya indipenden (berdikari) ini akan wujud.

Jika cara dan pendekatan ini menguntungkan kepada semua pihak, mengapa tidak? Daripada menggunakan nama Melayu untuk menakutkan orang lain, bukankah lebih baik digarap semua tenaga untuk mengembalikan khazanah Seniman Agung kembali ke ibu pertiwi?

Kesan yang lebih jauh dari itu ialah golongan seni tidak lagi perlu bergantung dalam semua perkara pada setiap masa dengan kerajaan. Dan kerajaan tidak perlu “membeli” seni dan seniman dengan harga yang paling murah seperti apa yang P.Ramlee terpaksa terima. Yang sudah itu sudah lah.

Peranan kerajaan sekadar menjaga hak-hak asas karyawan. Peruntukan untuk seni perlu diberikan kepada karyawan tanpa syarat. Peruntukan itu pun duit cukai rakyat. Yang penting kebebasan berekspresi dapat membuahkan kreativiti warga Malaysia.

Selebihnya, biar industri dan karyawan sendiri yang menentukan masa depan mereka. Inilah yang P.Ramlee lalui, dan kita belajar darinya. – Roketkini.com

0 comments:

Post a Comment