Pages

Saturday, April 7, 2012

Strategi Menangani Konspirasi Kristianisasi Dalam Perspektif Gerakan Tajdid

Oleh: Muhamad Zaid Ismail

Pendahuluan

Kita sering dimomokkan dengan pepatah “jangan jaga tepi kain orang” sehingga kita merealisasikannya dalam semua aspek kehidupan, yang tanpa kita sedari ia telah melemahkan satu aspek dalam agama iaitu urusan dakwah yang sepatutnya bergerak setiap masa tidak mengira siapa jua, demi memastikan Islam itu sentiasa didaulatkan.

Akhir-akhir ini, persoalan agama ini sudah dianggap sebagai soal peribadi, diibaratkan seperti hak seseorang individu untuk memilih menu tengaharinya, yang pastinya orang lain tidak mempunyai hak untuk memaksanya memilih makanan tertentu supaya dapat dimakannya. Lantaran itu, kita lihat segelintir manusia sanggup melakukan apa sahaja menurut hawa nafsu dan kejahilannya sehingga mereka sering terjatuh ke lubang kehinaan bahkan dosa besar iaitu murtad.

Ketidakcanaan terhadap agama juga boleh membawa kepada masalah yang lebih besar jikalau tidak dibendung, ditambah lagi pada waktu yang sama, musuh Islam memainkan peranan yang berterusan dalam menyusun strategi bagi memastikan umat Islam rosak serta hancur sehingglah mereka bertukar agama dan mengubah cara kehidupannya sama seperti sistem kuffar. Allah Azza wa Jalla berfirman dalam Surah Al-Baqarah:

Maksudnya: orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk Yang benar”. dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

Usaha jahat mereka ini dilakukan secara halus dan bersistematik, malah mendapat sokongan kuat daripada pelbagai pihak sama ada dari bahagian musuh atau tidak, maka hal ini telah menyukarkan institusi agama dalam menyelesaikan perkara ini. Jikalau kita menyoroti sejarah kes-kes murtad yang berlaku di Malaysia seperti kes Aisyah Bukhori, Azlina Jailani (Lina Joy), Hasnah dan Hartina Kamaruddin sudah cukup memberi pengajaran kepada kita bahawa mereka tidak mampu diselamatkan dengan undang-undang yang ada.

Mungkin ini adalah sebilangan kecil kes yang dilaporkan, bahkan kita semua yakin dan percaya bahawa terdapat ramai lagi umat Islam yang telah murtad tetapi tidak dilaporkan oleh media massa. Lebih memburukkan lagi keadaan mereka ini tidak dapat diselamatkan dan tidak kurang juga yang tidak mahu diselamatkan kerana didalangi oleh pihak-pihak tertentu.

Di dalam kertas kerja ini, kita akan memfokuskan perbincangan mengenai modus operandi yang digunakan oleh mubaligh kristian untuk menjayakan agenda liciknya, serta beberapa strategi menangani konspirasi itu. Kertas kerja ini juga akan lebih memfokuskan fenomena kristianisasi di Malaysia khususnya.

Sejarah Ringkas Kritianisasi di Malaysia

Sejarah telah menujukkan proses Kristianisasi ini telah mula bertapak di Tanah Melayu semenjak penjajahan Portugis 1511 Masihi lagi. Sekiranya kita melihat gereja-gereja yang dicat warna merah dan di situlah tempat batu asas agama Kristian di Malaysia. Di dalam Kota Melaka terdapat satu kubur mendiang ketua paderi Melaka berdiri megah di dalam A Famosa. Walau bagaimanapun proses kristianisasi di Tanah Melayu kurang berjaya sehinggalah Malaya mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 Masihi.

Kemerdekaan Malaya diharapkan dapat menghapuskan saki-baki gerakan kristianisasi tersebut, akan tetapi sentiment orang Islam tergugat dengan murtadnya Natrah. Sekali lagi maruah umat Islam tercabar. Peristiwa ini menjadi catatan sejarah penting dan ia amat melukakan hati umat Islam. Tetapi yang menyedihkan apabila kerajaan Malaya ketika itu tidak menjadikannya iktibar untuk memelihara kesucian akidah umat Islam Malaya. Hari ini kesan tersebut telah mula dirasai, generasi era kemerdekaan tidak dibekalkan pendinding iman yang kukuh, akidah Islam yang mantap, sehinggakan budaya barat menjadi ikutan sesetengah golongan muda.

Modus Operandi Gerakan Kristianisasi

Aktiviti dakyah kristian bergerak secara halus tanpa kita sedari dan sebenarnya kita sudah berada dalam “kepungan” mereka, tinggal lagi, hanyalah untuk “menangkap” kita. Berikut dinyatakan beberapa modus operandi yang digunakan oleh mereka ini untuk menyebarkan dakyahnya.

1) Hiburan

Jikalau ditanya kepada sesiapa sahaja, nescaya dia akan menyatakan bahawa lagu dan hiburan adalah sesuatu yang menyeronokkan, meriangkan, menenangkan fikiran berdasarkan jenis lagu yang diminati. Apabila orang menyukainya, maka ini adalah peluang yang diambil pihak kristian untuk menyelitkan unsur-unsur ketuhanan mereka tanpa kita sedari. Berapa ramai anak-anak muda kita hari ini menghafal lagu-lagu berbahasa Inggeris tanpa mengetahui maknanya, menyebabkan mereka secara tidak langsung telah mengagungkan agama kristian. Tidak kurang juga seperti yang dilaporkan, ada segelintir guru yang mengajar Bahasa Inggeris menjadikan lagu-lagu yang memuji jesus sebagai lagu yang perlu dihafal oleh pelajar dengan alasan untuk menguasai bahasa Inggeris (Utusan Malaysia, 18/08/2011).

Usaha untuk mencabut aqidah umat islam hari ini diperhebatkan lagi dengan peranan media massa yang mengagungkan hiburan semata-mata tanpa menghiraukan persediaan untuk hari akhirat (bersifat agama).

2) Seks

Keinginan nafsu yang terlarang di kalangan remaja mahupun golongan tua tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia sudah diketahui oleh semua pihak. Oleh itu, kita dapati media massa yang menyelitkan adegan berbaur seks, pasti akan mendapat sambutan yang hangat daripada masayarakat.

Hari ini terbuktilah cerita yang ditayang di media dipenuhi dengan tayangan filem barat yang menganjurkan seks bebas, keganasan dan tahyul yang melampau. Sehinggalah penonton Islam itu lali melihat adengan yang berulang kali seperti babak memegang tangan hinggalah adengan peluk cium yang haram. Bagi penonton yang lemah imannya akan menganggap ia perkara biasa dan ingin mencubanya juga.

Lebih memburukkan lagi keadaan, pihak mubaligh kristian menggunakan seks sebagai senjata dalam menyebarkan dakyahnya dengan mengatakan berzina tidak berdosa dalam agama kristian.

3) Kasih sayang

Setiap manusia mempunyai perasaan ingin menyayangi dan disayangi. Maka peluang ini diambil oleh pihak mubaligh kristian untuk mencari insan-insan yang memerlukan kasih sayang dengan menawarkan segala bentuk bantuan, sama ada dari segi spiritual dan material.

Mubaligh kristian juga menggunakan cinta sebagai senjata dengan memperdayakan anak gadis Islam dengan ketulusan cinta yang tidak berbelah bagi sehingga menyebabkan ramai anak dara Islam sanggup menukarkan agama demi menuruti hasrat kekasihnya.

4) Wang

Ramai juga yang terpedaya dengan dakyah kristian ini disebabkan sejumlah wang dengan hanya menyimpan salib atau melukisnya pada tubuh badan, malah jumlah wang tersebut akan berganda dengan mendapatkan ahli baru.

Dalam konteks hari ini, pengaruh kebendaan telah dikenal pasti sebagai punca murtad berlaku, di mana antara modus operandi yang digunakan ialah dengan mengumpan belia dan remaja muslim dengan kemewahan harta benda, peralatan berharga seperti pemberian hand-phone berjenama secara percuma, menyediakan kelengkapan spare-part untuk ubahsuai motorsikal bagi golongan remaja & mat rempit, mendampingi pelajar-pelajar yang bermasalah kewangan, memberikan bantuan makanan-makanan asas dan pelbagai muslihat-muslihat halus yang tidak disedari, namun hakikat sebenarnya ia merupakan satu tipu muslihat dalam usaha memurtadkan mereka daripada Islam.

Strategi menangani konspirasi kristianisasi

1. Gerakan media massa

zaman teknologi maklumat pada hari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh orang Islam dengan menyebarkan segala bentuk maklumat yang berguna, serta maklumat ancaman yang boleh menggugat akidah umat Islam. Hari ini kita dapati maklumat yang berbentuk audio-visual lebih efektif kerana maklumat yang disampaikan lebih menarik serta mudah difahami oleh penonton.

Sebarkan kesedaran kepada umum dengan menggunakan segala kemahiran yang ada di alam maya untuk mendedahkan dakyah golongan ini yang tidak akan berhenti memesongkan akidah umat Islam.

Masyarakat tidak boleh dibiarkan hanyut dengan budaya memuja kebendaan dan hiburan melampau, akan tetapi mereka perlu diperkukuhkan dengan budaya yang mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. Filem-filem yang ditayangkan di pawagam atau di kaca televisyan mestilah mempunyai tujuan positif; baik untuk mendidik, mahupun untuk menghibur atau menambah ilmu. Memperbanyakkan tayangan filem-filem yang mempunyai mesej pendidikan, kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya lebih baik dari filem-filem yang membibitkan keghairahan dan meniru gaya hidup Barat yang serba boleh menidakkan batasan tradisi dan moraliti (fitrah insani).

2. Mengamalkan budaya hidup Islam

Dasar membudayakan hidup secara Islam mampu untuk menjauhkan umat Islam dari terpengaruh dengan dakyah kristian. Ini dapat dilihat dengan membudayakan sikap tolong-menolong antara satu sama lain, serta budaya nasihat-menasihati sesama Islam boleh melahirkan masyarakat Islam yang harmoni serta jauh dari segala maksiat.

Muslim yang soleh memiliki akidah, keyakinan dan hubungan yang kuat dengan Allah, akan mampu membebaskan dirinya daripada budaya-budaya yang menyesatkan. Seorang muslim yang kuat akidahnya akan memelihara perasaan takutnya kepada Allah dan merasa selalu diawasi oleh Allah sepertimana dalam firmanNya:

Maksudnya: Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.( Qaf :16 )

3. Menutup segala pintu kemungkaran

Kemungkaran atau kemaksiatan yang tidak dibendung boleh mendedahkan umat Islam kepada bahaya kristianisasi, kerana musuh senantiasa mencari ruang dan peluang ketika umat Islam leka dengan perkara-perkara lalai serta maksiat.

Jati diri umat Islam perlu kuat untuk berjihad mencegah segala kemungkaran seperti mengharamkan pesta-pesta yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

4. Mempergiatkan ceramah berkaitan dengan akidah Islam

Kita dapati hari ini, sesetengah umat Islam bertelingkah mengenai aliran pengajian akidah menyebabkan golongan yang masih buta dengan akidah Islam hilang tempat bergantung. Mereka tidak berpegang kuat pada akidahnya kerana Islam hanya diwarisi dari keturunan sahaja, tanpa dilandasi dengan ilmu dan yakin.

Maka di sini amat memerlukan penerangan dan ceramah-ceramah berkaitan dengan akidah umat Islam supaya dapat disebarkan melalui pelbagai cara dan inisiatif. Peranan teknologi di alam siber ini amat diperlukan. Cara penyebarannya boleh dilakukan dengan penulisan blog ataupun dengan penghasilan video.

5. Berani membongkar segala bentuk kristianisasi

Kita sebagai umat Islam perlu berani untuk membongkar segala kegiatan gerakan kristianisasi demi menjaga kehormatan agama suci kita, tambahan pula penyebaran agama kristian kepada orang Islam adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11(4) dan Enegmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan orang Islam) 1988.

Pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk membongkar rancangan dakyah mereka ini.Umat islam perlu kretif dan inovatif untuk lebih berani membongkar rancangan jahat mereka ini.Umat Islam perlu membongkar konspirasi golongan oreantalis ini yang berselindung di bawah ‘Islamic Research Centre’ yang juga memperalatkan golongan cendikiawan Islam samada secara sedar atau sebaliknya. Pusat-pusat penyelidikan ini mempunyai pembiayaan kewangan yang banyak dari sumber-sumber yang memusuhi Islam dan mereka menggunakan cendikiawan Islam sebagai ‘Fellow’ atau rakan penyelidik mereka untuk mengkaji Islam dengan lebih mendalam.

6. Peranan Ibu-bapa dalam pengawasan anak-anak

Mengikut rekod kes-kes yang lalu, tektik terbaru yang digunakan oleh mubaligh kristian adalah; mangsa hanya perlu menyimpan satu salib sebagai simpanan peribadi, akan tetapi dalam masa yang sama tidak perlu mengubah kehidupan sehariannya sebagai muslim seperti sembahyang, puasa, menutup aurat, membaca al-quran. Justeru, ibu-bapa perlu lebih proaktif dalam membuat pemeriksaan terhadap anak-anak mereka seperti telefon bimbit, email, diari, facebook, blog peribadi dan sebagainya.

Anak-anak perlu diberi pendidikan yang berlandaskan hukum-hukum Islam sejak dari kecil lagi. Jati diri mereka perlu kukuh untuk menghadapi hidup yang semakin mencabar ini.

7. Menubuhkan pusat pemulihan akidah di setiap negeri

Setakat yang diketahui, Negara Malaysia hanya mempunyai satu sahaja pusat pemulihan akidah yang berpusat di Ulu Yam, Selangor. Pusat yang eksklusif seperti ini amat diperlukan kerana pelatih pusat pemulihan akidah perlu mendapat penjagaan rapi, kerana sebarang kemungkinan seperti diculik, atau melarikan mangsa boleh berlaku. Ketenangan jiwa bagi pelatih ini amatlah diperlukan kerena mereka telah melalui satu pengalaman yang amat menakutkan, dan mungkin juga mereka terpaksa menerima hakikat bahawa keistimewaan yang diterima sebelum ini semasa menganut agama kristian sudah ditarik balik, dan dia pasti bahawa Agama Islam tidak mampu memberikan kemudahan seperti hiburan, wang, seks semula mahupun seumpamanya sebagai ganti.

Gerakan Besar-besaran di Peringkat Nasional

Salah satu usaha murni yang patut diberi sokongan yang padu iaitu Program Himpunan Sejuta Umat dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) serta badan-badan bukan kerajaan, NGO-NGO Islam, penglibatan warga korporat dan warga kerja masing-masing. Himpunan ini mengumpul tenaga kerja dari segenap lapisan masyarakat yang mewakili pelbagai pertubuhan, institusi-Institusi pendidikan, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, AJK Masjid dan Surau, tenaga guru dan lain-lain badan serta pertubuhan yang akan disenaraikan kemudian. Diharapkan anjakan paradigma ini akan berterusan sehinggalah akidah umat Islam diselamatkan dan terus terpelihara.

Pada 7 Januari 2012, satu Program HIMPUN telah diadakan di Negeri Sembilan, di mana sebanyak 10 deklarasi telah disepakati bersama. Deklarasi tersebut ialah:

10 Deklarasi Himpunan Sejuta Rakyat (HIMPUN) bagi membenteras aktiviti kristianisasi di Malaysia (http://himpun.org).

1- Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2- Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3- Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

4- Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5- Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6- Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7- Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.

8- Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBU-BAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.

9- Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10- Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Penutup

Aktiviti penyebaran agama kristian kepada umat Islam perlu dibendung kerana kesannya adalah murtad, yang mana ia merupakan satu jenayah besar di dalam agama Islam yang boleh dikenakan hukuman hudud kepada si pelakunya sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).” (al-Baqaroh:217)

Juga tegasan daripada Nabi SAW dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang menukar agamanya (keluar selepas masuk islam), maka ia akan dibunuh.” (Riwayat Bukhari)

Apa yang penting dan perlu ditegaskan di sini bahawa setiap Muslim tanpa mengira warna kulit perlu bertanggungjawab memikul amanah amar makruf dan nahi mungkar ini. Firman Allah Taala:

Maksudnya: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (ali-Imran:110)

BERITA DAJAL.

0 comments:

Post a Comment