Pages

Tuesday, October 7, 2008

Bertemu dengan Lim Guan Eng di Dubai

Antara ketua kerajaan negeri baru dari Pakatan Rakyar yang paling menonjol ialah Lim Guan Eng, KM Pulau Pinang. Barangkali juga satu-satunya Ketua Menteri dari DAP ini juga memberikan imej baru kepada corak pemerintahan peringkat negeri.

Bukan sahaja kerana Guan Eng masih muda, tetapi rekod beliau boleh dianggap cemerlang dalam memperjuangkan hak asasi manusia dalam kes rogol yang membabitkan seorang gadis Melayu bawah umur dengan seorang ahli politik Umno. LGE juga pernah ditahan dibawah ISA sewaktu Tun Mahathir berkuasa.

Pertemuan dengan Guan Eng dan ahli rombongan kerajaan PP di vila Sdra Ariffin di Arabian Ranches membawa peluang buat ramai penyokong tegar PR bersemuka dengan Guan Eng dam Jeff Ooi. Kalau tidak kerana hari bekerja, tentunya lebih ramai yang akan hadir.

Dengan membawa slogan CAT (competency, accountability and transparency), Guan Eng mahu membawa Pulau Pinang ke satu peringkat yang lebih baik dari apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelumnya. Saya percaya yang usaha ini tidak mudah tetapi tidak mustahil. Mendengar misi dan visi beliau, tentunya jalan masih berliku.

Sesi yang dibuat secara santai dan interaktif memberi peluang bukan sahaja berkenalan, malah bertanya mengenai situasi politik semasa. Terutama mengenai peralihan kuasa dalam Umno dari perspektif DAP. Guan Eng memang mempunyai karisma dan sentuhan sebagai pemidato yang baik.

Saya sempat mencelah beberapa kali, salah satu membetulkan perkataan 'clean' yang digunakan apabila membandingkan Pak Lah dengan Najib. Bagi saya perkataan yang betul ialah 'less corrupt' sebab kesemua pemimpin Umno tidak 'clean'.

Apa yang paling menarik buat saya ialah prioriti untuk menghapuskan kemiskinan tegar di Pulau Pinang, yang menurut Guan Eng, 90 peratus adalah terdiri dari orang Melayu.

Setelah 51 tahun di bawah Umno, termasuk Perdana Menteri sekarang dan mantan Timbalan PM sendiri berasal dari Pulau Pinang, kemiskinan tegar masih menjadi sebahagian dari warisan 'cemerlang, gemilang, terbilang' yang ternyata kronik.

Secara peribadi, saya melihat Guan Eng sebagai seorang pemimpin yang boleh dipercayai. Sesuatu yang janggal setelah bertahun minda dipengaruhi oleh dakyah Umno/BN terhadap musuh-musuh politik. Begitu berhasilnya jarum-jarum propaganda yang menanam suntikan prasangka dan persepsi perkauman yang terlalu buruk dan hodoh.

Berbanding dengan ramai pemimpin Umno yang korup walau mengakui sebagai orang Islam, Guan Eng masih belum tercemar.

Untuk Malaysia yang lebih baik dan cemerlang, gemilang, terbilang, semestinya ruang lingkup minda mesti dianjak untuk melihat sesuatu melalui ruang yang lebih bebas, terbuka dan adil. Dengan itu, perubahan bukan sesuatu untuk datang bergolek, kita mesti berani untuk menilai dan mengambil langkah yang positif.

Lebih 50 peratus pengundi di semenanjung telah bersuara untuk perubahan, tentunya kita mengharapkan pemimpin seperti Guan Eng, juga Khalid, Nizar, Azizan, selain TG Nik Aziz akan menjadi pemangkin dan contoh. Kita sudah muak, jelak dan menyampah dengan barisan pemimpin Umno yang walau apapun wajah baru, masih sahaja sama acuan dan warna perjuangan perut mereka.

Kalau tiada peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat melalui lompatan dalam waktu terdekat, tentunya pilihanraya akan datang rakyat menjadi hakim untuk perubahan yang lebih besar di peringkat nasional. PR boleh menunaikan janji dan tanggungjawab yang diharapkan rakyat.

Kesimpulannya, pertemuan dengan Guan Eng memberikan kami maklumat berguna mengenai kepimpinan Pakatan Rakyat/DAP di Pulau Pinang dan Guan Eng sebagai individu secara peribadi.

0 comments:

Post a Comment