Pages

Friday, July 16, 2010

Pengusaha pasir bumiputra di Selangor

Tadi aku ter-tengok buletin utama..pengusaha pasir bumiputra di Selangor tanahairku telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak...Tengku Datuk Shaiffuliazan Tengku Zainal Abidin meminta supaya Kerajaan Negeri Selangor ni memulangkan kuasa pengurusan melombong pasir daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada Pejabat Tanah dan Daerah sebab syarikat bumiputra tak mampu bersaing kerana memerlukan modal yang besar..

Kenapa diorang ni tak bercadang menubuhkan konsortium...gabungkan semua syarikat bumiputra.. kan jadi lebih besar dan lebih berdaya-saing..

Mereka juga menuntut supaya Dato Seri Khalid meletakkan jawatan dan menutup sahaja operasi Kumpulan Semesta..kalau Dato Seri Khalid dah letak jawatan..siapakah yang layak menggantinya?.. ini supaya dapat memuaskan hati jawatankuasa Bertindak Pengusaha -pengusaha Pasir Melayu Selangor ni...

Aku rasa kalau macam tu lebih baik kita lantik pengerusi jawatankuasa Bertindak Pengusaha -pengusaha Pasir Melayu Selangor menjadi MB Selangor tanahairku...agar pengusaha-pengusaha pasir bumiputra di Selangor ni boleh bernafas lega dan terus dapat melonggokkan harta..

Cerita tahun 2004... Isu pasir di Selangor ketika zaman UMNO mentadbir...

Dato’ Seri Dr Khir Toyo yang sedang mengemis simpati Umno Selangor dan Pak Lah supaya dikekalkan sebagai MB Selangor sepenggal lagi, terus menghebohkan kejayaannya menawan puluhan jentera berat, lori hantu dan belasan orang kuli batak upahan para perompak, hasil daripada `Perang Pasir Selangor`yang telah memasuki minggu keempat.
Amat malang hebohan itu sedikit pun tidak berjaya mengikis imejnya sebagai Pengamal Rasuah Terkemuka. Rata-rata rakyat di pelbagai peringkat termasuk ahli-ahli Umno dari Sabak Bernam hingga ke Sepang hanya mentertawakan drama arahan Dr. Khir, terutamanya episod `puluhan jentera berat berjaya melarikan diri daripada sitaan`.

Didorong oleh rasa marah dan kecewa kerana dipersenda-sendakan oleh rakyat, pembangkang dan pencabar-pencabarnya di dalam Umno Selangor, Dr Khir mula mencari kambing hitam untuk dikorbankan.

MB Muda itu di dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kuala Selangor pada 27 Januari lalu berkata: “Saya ada menerima laporan bahawa ada ketua kampong terlibat di dalam kegiatan mencuri pasir. Jika benar, jawatannya akan dilucutkan dan tindakan Undang-undang akan diambil terhadap orang berkenaan.”

Kenyataan Pengamal Rasuah Terkemuka itu sekali lagi diperolok-olokkan oleh rakyat. Seorang pesara Penghulu mengulas: “Kecurian pasir sudah berjalan selama 3 tahun, kerajaan rugi 180 juta ringgit, tak kan seorang saja yang akan ditangkap, macam mana pula pencuri-pencuri yang lain? Hiss….tak masuk akal la!”

Hasrat Khir untuk mengkambing-hitamkan ketua kampong berkenaan tidaklah menghairankan. Sebelum ini bekas DO Kuala Langat adalah korban pertama Khir untuk menutup dosa rasuahnya.

Yusop Badul 56, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam 6 Disember tahun lalu kerana menyalahgunakan kuasa membuat pengesyoran permohonan tanah seluas 50 ekar di Bukit Cheding, Mukim Tanjung Dua Belas Kuala Langat kepada Syarikat Nadi Jitu Sdn.Bhd, untuk diluluskan oleh Exco yang bermesyuarat pada 4 Julai 2001.

Nadi Jitu Sdn. Adalah milik Azril Yusri berusia 21 tahun anak lelaki Yusop. Turut terbabit di dalam pengesyoran itu tiga syarikat lain; Kualiti Anggun Sdn.Bhd, Awal Sentosa Sdn Bhd dan Semaian Bintang Sdn.Bhd. Masing-masing memperolehi 50 ekar.

Keempat-empat syarikat terbabit mempunyai alamat yang sama di Jalan Goh Hock Guat Klang. Manakala Pengarah setiap syarikat terdiri daripada empat orang anak muda berusia berusia awal dua puluhan termasuk Azril Yusri.

Menurut aduan Sdr. Lutfi Othman kepada Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Malaysia pada 23 Oktober 2001, Khir Toyo disyaki menyogok Yusop Badul dengan memasukkan Nadi Jitu Sdn Bhd sebagai salah satu daripada empat syarikat terbabit untuk melicinkan urusan permohonan tanah tersebut.

Sah Yusop Badul telah dikambing-hitamkan oleh Khir Toyo. Diberitakan Pengamal Rasuah Terkemuka itu kini sedang berusaha untuk merasuah Yusop jutaan RM, agar tidak melibatkan namanya di dalam perbicaraan yang akan bermula pada April depan.

Yusop buat masa ini dibebaskan oleh mahkamah dengan ikat jamin sebanyak RM6000 sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Mungkinkah ketua kampong yang disyakki itu akan senasib dengan Yusop? Tidak mustahil begitu, kalau Dr Khir punya cukup telur untuk bertindak!

Jika pendakwaan terhadap ketua kampong itu nanti benar-benar berlaku, bolehlah Insan Menggilai Rasuah itu menjadikannya sebagai bahan kempen untuk memperlihatkan `kesungguhannya`memerangi perompak pasir.

Menurut sumber dari pihak tertentu, ketua kampong yang bakal dimangsakan itu adalah kroni rapat bekas MB Dato Seri Abu Hassan Omar. Beliau difahamkan adalah Pengerusi Persatuan Pengusaha-pengusaha Pasir di salah sebuah daerah di Selangor.

Dipercayai beliau pernah menghantar memorandum bantahan bagi pihak para pengusaha kepada Khir Toyo kerana membekukan permit pengeluaran pasir dengan alasan semua kawasan yang terlibat telah diambil semula oleh anak syarikat kerajaan negeri Permodalan Negeri Selangor Sdn.Bhd (PNSB).

Kebanyakan para pengusaha pasir tersebut difahamkan meragui keikhlasan tindakan Khir menyerahkan semula kawasan-kawasan terlibat kepada PNSB. Tindakan Khir itu dianggap sebagai menaruh pasir ke dalam periuk nasi mereka.

Ada yang berpendapat MB itu sengaja berbuat begitu agar dapat mengeluarkan permit baru untuk kroni-kroni rapatnya sahaja.

Ada pula desas-desus lain yang mengatakan sebuah syarikat LBS Sdn Bhd memainkan peranan penting merangsang Khir di sebalik pengambil-alihan semula kawasan-kawasan (tanah-tanah) terlibat.

Bagaimana pun ceritanya, mari sama-sama kita nantikan tindak tanduk Pengamal Rasuah Terkemuka itu seterusnya. Mengkambing-hitamkan ketua kampong bererti melondehkan seluarnya sendiri kerana tiada seorang pun ketua kampong di Selangor yang bukan ahli Umno.

Sekurang-kurang penjawat berkenaan mestilah ketua Umno cawangan atau pun AJK Bahagian. Apa kata kalau individu berkenaan mengugut akan menjadi pelapor pertama muncul dari kalangan Umno untuk melaporkan amalan rasuah mega dan mini Khir Toyo?

Almaklum sajalah! Kalau orang sudah marah dia boleh berbuat apa saja. Habuannya yang kecil diheboh-hebohkan sedangkan Khir Toyo sendiri membalun ratusan juta RM wang rasuah.

Difahamkan ketua kampong yang disyaki itu terkenal dengan keberaniannya lagi pun laporan lengkap Rasuah Khir Toyo kepada Ketua Pengarah BPR senang-senang boleh diperolehi daripada pihak pembangkang.

Mari kita lihat siapa yang lebih jantan... Khir Toyo atau ketua kampong yang bakal dikambing-hitamkan?

Orang Dalam - 29.01.2004


Tuesday, July 13, 2010

Isu pasir di Selangor


Aku rasa sungguh sakit hati masa tenngok Buletin Utama TV3 1/4 tadi. Dengan muzik background yang mendayu-dayu, menunjukkan lombong-lombong tinggal di Selangor. Aku tak rasa projek korek pasir kat lombong-lombong tu berlaku selama 2 tahun PKR memerintah..itu lombong-lombong peninggalan lanun -lanun yang da jadi pembangkang sekarang ni.

Tupasal la lanun-lanun tu dok meraung-raung kat Sidang Dewan nak kan harta curi diorang semula..apa punya gila la bapak penyamun ni...tapi diorang ngaku pulak yang KSSB buat lebih banyak untung dari masa diorang memerintah negeri kesayangan aku ni..

Cukup la khir..nak bangkang pun bior la yang menguntungkan rakyat...paling tidak pun tok orang kampung yg ngundi ko tu...jgn asyik dok pikir tembolok sendiri je!

Apa yang Tan Sri Khalid jawap...baca seterusnya..dan yang ini pun menarik jugak..baca la.

Thursday, July 8, 2010

Yang gembira ketika kawan sedang sakit.

Ini lah sifat manusia. Adakah ini satu kebetulan atau satu perancangan dari yang Esa?

Thursday, May 13, 2010

“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka akan wakafkan untuk perjuangan Islam,

Lama sungguh dok tunggu kenyataan pimpinan Pas untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Kicdefella tentang pembiayaan RM4 juta untuk menumbangkan mantan PM Tun Abdullah Ahmah Badawi.

Al hairan dan ajaib... mengapa pimpinan Pas menjadi begitu pasif atau defensif dalam hal ini. Menjadi seakan takut-takut kepada Syed Azidi SYed Aziz yang pernah dikutip berkhidmat dengan PMBK itu.

Apa nak diherankan dengan bloger yang tidak berpendirian seumpama itu. Seketika menyokong TGNA (semasa dengan PMBK) dan kemudian secara halus menghentam dan memburuk-burukkan kepimpinan PAS apabila ditendang keluar daripada jawatannya.

Lagaknya yang sebegitu telah menjelaskan bahawa Syed Azidi lebih mementingkan temboloknya (untuk meneruskan kehidupan) . Apa yang cuba dipertahankan oleh Syed Azidi, hanya dia yang tahu. Tiba-tiba dia melenting dan banyak pihak (termasuk dalam PAS) mungkin merasakan dan percaya bahawa Kicdefella ini mempunyai bukti dan peluru untuk menembak.

Namun hakikatnya, itulah lagak orang menembak tanpa peluru kerana sementara masih ada bau-bau yang kononnya dia adalah peluru terbaik untuk masa ini bagi menembak kerajaan negeri Kelantan, maka eloklah Umno dan segala kuncu-kuncunya (media arus perdana) mengguna khidmatnya.

Pimpinan PAS begitu defensif dalam hal ini. Pertama rasanya Syed Azidi ini sekadar mencari "keuntungan peribadi" . Semalam kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali yang menyifatkan Syed Azidi ini sebagai tidak beringeriti memang tepat sekali gambaran itu.

Memang saya tertunggu2 kenyataan daripada Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS. Saya merasakan hanya Mahfuz yang akan bijak menjawab tomahan seumpama ini. Mahfuz bisa mematikan isu ini dan kenyataannya semalam mengiakannya.

Mahfuz Omar dengan jelas mempersoalkan, apa salahnya (jika benar dilaburkan) wang RM4 juta untuk mengalahkan Umno pada pru12 lepas, bahkan, ia tidak wajar dipolemikkan kerana sebagai sebuah parti, memang menjadi kerja dan tugas PAS melawan kerajaan yang ada untuk menubuhkan kerajaan yang lebih baik.

Katanya, ahli PAS sanggup menggadaikan apa sahaja yang mereka ada untuk memperjuangkan Islam yang dibawa oleh PAS.

Jika sekiranya tidak benar dakwaan Kickdefella itu, beliau berkata, PAS sebagai sebuah parti politik akan tetap berkempen supaya rakyat menolak politik perkauman dan kezaliman yang dilaksanakan oleh para pemimpin Umno dan BN yang menggunakan prasarana kerajaan untuk melawan rakyat.

“Benar tidak benar dakwaan RM4 juta itu, memang saya tidak tahu, tetapi kalau tak benar pun, PAS tetap buat kerjanya berkempen supaya Umno BN kalah dalam pilihan raya depan,” jelasnya..

“Kalau betul pun, apa salahnya, memang keberadaan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sejak PRU 12 lalu adalah untuk pertahan kerajaan negeri (Kelantan), kuasai negeri-negeri (hatta) kerajaan Persekutuan sendiri,” tegas beliau.

Menurutnya, imej Abdullah sememangnya buruk bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah di kalangan ahli-ahli Umno. Oleh itu, media pro Umno tidak seharusnya menyalahkan PAS dan pembangkang, sekiranya kelemahan Abdullah itu dijadikan modal berkempen pada PRU 12 lepas.

“Dia (Abdullah) sendiri memang lemah (dan) kelemahannya itu melengkapkan kelemahan yang sedia ada pada Umno itu sendiri (iaitu) mengamalkan rasuah, perkauman melampau dan sebagainya. Dia adalah simbol kepimpinan Umno, kalau kita berkempen menyerang Umno, tetapi tidak menyerang Abdullah, itu ajaib namanya,” ujarnya.

“Sama juga sekarang, Najib adalah simbol kejahatan, simbol korupsi, simbol jenayah berprofil tinggi yang bukan saya saja pertikai, malah dunia sendiri sedang persoalkannya, kalau kita tak berkempen, itu kurang bijak namanya.”

Tambahan lagi, kata beliau, berapa juta ringgit agaknya yang pemimpin Umno guna wang rakyat untuk rampas kerajaan negeri Perak dan benarkah RM100 juta duit rakyat dihabiskan oleh Umno BN untuk rampas semula Hulu Selangor baru-baru ini?

“Kenapa tindakan Umno menggadai dua telaga minyak kita (Blok L dan M) bernilai USD320 bilion pada Brunei tidak dilaporkan dengan baik?" soal beliau.

Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih prihatin terhadap inisiatif kerajaan pusat membayar lebih RM77 juta pada firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC), firma yang dikaitkan dengan Zionis-Israel demi memperbaiki imej seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“RM77 juta dibayar pada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Zionis-Israel, sepatutnya (isu APCO) ini yang lebih dipedulikan,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya ada mana-mana jutawan sudi memberi sejumlah wang yang sama, RM77 juta kepada beliau untuk berkempen supaya Umno BN kalah dalam PRU13 kelak, beliau bersedia untuk mengambil duit tersebut.

“Kalau ada jutawan mana-mana yang nak beri saya RM77 juta, bukan beri kepada syarikat pro Zionis-Israel, agar PAS boleh berkempen untuk mengalahkan Umno BN dalam pilihan raya (umum) ke-13 untuk dedah siapa Najib sebenarnya, saya akan terima,” ujarnya dalam nada berseloroh.

“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka akan wakafkan untuk perjuangan Islam, demi menjatuhkan kerajaan yang nyata menerima petunjuk APCO Zionis-Israel.”

Thursday, April 1, 2010

PERKASA yang PERASAN..

Perkasa hanya bertindak sebagai pelengkap kepada Umno dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu. Jadi kita tidak lihat mereka mampu mengubah pergerakan sesebuah parti politik di Malaysia
Pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang terbesar, Perkasa yang mengadakan mesyuarat agung tahunan sulungnya kelmarin, dilihat tidak mampu memainkan peranan sebagai penentu kuasa politik sebaliknya hanya akan merugikan Umno dalam jangka panjang, kata pemerhati dan penganalisis politik.

Sehubungan itu menurut Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Perkasa hanya dilihat sebagai pelengkap kepada perjuangan Umno bukannya penentu kuasa politik.

“Kita tidak lihat Perkasa mampu mempengaruhi kuasa politik sebaliknya kewujudannya bersama Umno hanya akan melumpuhkan perjuangan mereka.

“Perkasa hanya bertindak sebagai pelengkap kepada Umno dalam memperjuangkan hak keistimewaan orang Melayu. Jadi kita tidak lihat mereka mampu mengubah pergerakan sesebuah parti politik di Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Mohamad Agus memberitahu, majoriti ahli Perkasa adalah individu-individu yang telah menerima perjuangan Umno sejak dari dulu.

“Majoriti ahli Perkasa adalah orang Umno dan ini jelas sekiranya Umno tidak memperjuangkan hak orang Melayu kesannya dilihat lebih kepada Umno bukan parti-parti politik lain.

“Jadi sekiranya Umno tidak memperjuankan hak serta kepentingan orang Melayu maka Perkasa akan bangkit dan memainkan peranan mereka sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan orang Melayu,” katanya.

Tambahnya, Perkasa tidak berupaya untuk menjatuhkan mana-mana parti politik melalui undi pada pilihan raya umum kerana keputusan itu terletak di tangan rakyat bukan mereka.

“Perkasa boleh kata apa sahaja kerana penentu undi bukan pada mereka tetapi rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali kelmarin yang memberi amaran kepada parti-parti politik negara ini, khususnya Umno agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu, sekiranya mahukan sokongan dalam pilihan raya umum.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif firma kajian pandangan umum Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberitahu Perkasa dilihat sebagai pasangan kepada Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu sahaja.

“Perkasa berfungsi sebagai gandingan kepada Umno bukan sebagai penentu kuasa politik. Ini kerana asas, tujuan serta perkara yang diperjuangkan tertumpu kepada prinsip asas Umno.

“Selain itu, Perkasa dilihat sebagai pendesak kepada Umno dan akan bertindak sekiranya Umno mengetepikan hak keistimewaan orang Melayu.

“Kalau mengatakan Perkasa sebagai penentu kuasa politik ia tidak tepat kerana pengundi dan rakyat yang berhaluan kanan akan tetap bersama Umno berbanding parti-parti politik lain,” katanya.

Ibrahim berkata, implikasi daripada kenyataan Ibrahim supaya tidak “bermusuh” dengan pertubuhan itu terutamanya Umno adalah supaya parti Melayu itu membuka mata dan pada masa yang sama tidak meninggalkan asas perjuangan mereka.

“Apabila Perkasa mengeluarkan kenyataan begitu ia secara tidak langsung akan membuka mata Umno agar tidak mengetepikan perjuangan orang Melayu.

“Boleh katakan Umno dan Perkasa adalah selari cuma Umno adalah sebuah parti besar serta perlu seimbang dengan parti komponen yang lain manakala Perkasa pula hanya sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak orang Melayu,” katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Profesor Madya Dr Ghazali Mayhuddin juga selari dengan pandangan mereka dengan memberitahu bahawa Perkasa tidak mampu bertindak sebagai kuasa penentu politik kerana pertubuhan itu dilihat hanya berlegar-legar di kalangan individu tertentu.

“Mungkin apa yang diperjuangkan hanya bersifat retorik semata-mata dan ia tidak akan memberikan sebarang impak yang besar kepada penentu kuasa politik.

“Rakyat sudah matang serta boleh berfikir secara rasional malah mampu menilai dalam membuat keputusan tepat terutamanya dalam perkara ini,” katanya.

Tambah beliau, kenyataan agar tidak “bermusuh” dengan pertubuhan bukan kerajaan itu seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik.

“Kenyataan yang dikeluarkan Ibrahim seolah-olah berbaur ugutan kepada parti-parti politik dan ini jelas membuktikan bahawa Perkasa mempunyai agenda yang lebih bersifat peribadi bukan kepada komuniti.

“Mungkin agenda serta tujuan kewujudan Perkasa tertumpu kepada kepentingan peribadi bukan komuniti seperti yang dikatakan.

“Kita tidak tahu apa motif mereka jadi buat masa sekarang kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja,” katanya.

The Malaysian Insider

Tuesday, February 23, 2010

Pakar setuju bukan Melayu boleh jadi PM

Malaysiakini-Di sudut perlembagaan, seorang lagi pakar perlembagaan terkenal Prof Datuk Shad Saleem Faruqi (bawah), sependapat bahawa golongan bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri Malaysia.

Mengulas kenyataan rakan sejawatannya Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengenai perkara itu, beliau berkata:

“Tiada larangan terhadap bukan Melayu (untuk menjadi perdana menteri). Bagaimanapun kita ada konvensyen (kebiasaan).

“Saya rasa berdasarkan realiti politik di negara ini, ini negara Melayu,” kata pensyarah kanan di fakulti undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu.

Beliau diminta mengulas kenyataan rakan akademiknya Prof Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perlembagaan tidak meletakkan syarat Melayu atau Islam untuk dilantik sebagai perdana menteri..

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Shad Saleem bagaimanapun berpendapat, bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara, orang Melayu patut dikekalkan pada kedudukan itu.

“Mengikut perlembagaan tiada masalah. Tetapi berdasarkan politik dan sejarah lebih baik untuk negara ini mengekalkan status quo ini ini,” kata bekas penasihat undang-undang UiTM itu.

Menulis dalam kolumnya di sebuah akhbar harian semalam, Dr Abdul Aziz (kanan) dipetik berkata, menurut intipati undang-undang, orang yang paling mendapat sokongan dalam Dewan Rakyat hendaklah dilantik mengetuai kerajaan.

Tambahnya, kuasa pelantikan di bawah Yang di-Pertuan Agong hanyalah satu formaliti semata-mata.

Dr Abdul Aziz juga berkata, perdana menteri bukan Melayu mungkin boleh bertindak lebih baik daripada orang Melayu kerana beliau akan “ikut buku” (perlembagaan) dan bekerja keras bagi membuktikan kemampuannya.

Dr Abdul Aziz juga memuji Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (kiri, berbaju gelap) yang menurutnya menampakkan pencapaian agak baik dan mempunyai harapan sebagai pemimpin nombor satu negara.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz ketika dihubungi, menjelaskan orang Melayu tidak perlu risau terhadap kedudukan Islam dan kepentingan bangsa mereka kerana ia diletakkan di luar kerangka demokrasi.

“Sebab itu saya kata sepatutnya OK ada perdana menteri bukan Melayu,” katanya melalui e-mel kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, tanggapan bahawa kuasa raja terlalu kecil - yang menurutnya dijadikan alasan golongan ekstrimis untuk menakut-nakutkan rakyat - adalah silap dan tidak betul.

Sebaliknya, jelas Dr Abdul Aziz, ketakutan atau salah faham itu timbul kerana perlembagaan telah diselewengkan atau tidak dilaksanakan.

Katanya, perkara tersebut jika berlaku tidak sepatutnya mengejutkan orang Melayu kerana selepas enam perdana menteri Melayu di Malaysia, kepentingan Islam dan Melayu tidak juga terjaga.

“Malah ada (perdana menteri) yang kita boleh katakan telah menggadaikan kedudukan dan kepentingan itu,” kata pensyarah yang terkenal dengan kelantangan dan ketegasannya itu.

Tentang bagaimana idea itu boleh menjadi kenyataaan, Abdul Aziz berkata, ia “bergantung kepada kesediaan orang Melayu dan kemampuan bukan Melayu.”

“Kesediaan itu soal yang perlu dilihat; saya cuma menjelaskan (daripada aspek) undang-undang sebagaimana yang terkandung dalam perlembagaan. Itu sahaja.”

Ditanya sama ada beliau tidak risau menjadi sasaran kemarahan orang Melayu ekoran tindakannya mendedahkan perkara yang tidak diketahui umum tersebut, beliau berkata:

“Seperti yang disebut oleh (penulis) Subky Latif dalam kolumnya di (akhbar mingguan) Siasah, Melayu yang bodoh dan kuat sentimen perkaumannya sahaja yang akan naik minyak.

“Kelompok ini tidak perlu dilayan. Kalau soal kepentingan dan hidup mati Melayu-Islam yang dibangkitkan, bukankah ada raja? Saya fikir kalau raja-raja ini tahu dan sedar peranan mereka, tidak timbul bahaya yang dibayangkan itu,” katanya.