Pages

Sunday, May 17, 2009

Terbukti Anifah Bacul Dan Penakut

Menteri Luar yang dilihat kini semakin kuat `berkokok' tetapi ekor bergelumang tahi, Anifah Aman terus memperlihatkan kedangkalan beliau selaku menteri. Beliau yang memulakan isu menuduh DS Anwar mengumpannya untuk melantik beliau sebagai TPM jika PR mengambil alih Kerajaan Pusat menjelang 16 Sept. Kenyataannya itu pula dibuat di luar negara di hadapan wartawan asing. Apabila sesuatu kenyataan dibuat di luar negara tambahan pula oleh seorang Menteri Luar, ianya memberi erti bahawa apa yang diperkatakan itu benar dan merupakan satu isu besar tentang negara ini.

Apabila kenyataan fitnah yang beliau keluarkan itu disiarkan melalui media-media asing dan tempatan, beliau tentunya berpuas hati seolah-olah tugas beliau selaku Menteri Luar berjaya dengan cemerlang hanya dengan memburuk-burukkan DS Anwar. Inilah sikap Umno/Bn yang tidak pernah berubah apabila terus memberikan jawatan penting kepada seorang yang korup idea dan tiada wawasan sama sekali untuk negara. Menteri seperti Anifah ini terlalu murah nilainya dan orang seperti beliau melambak di warung-warung kopi di kampong-kampong. Menteri yang tahu omong kosong, memburukkan orang lain tetapi penikus, bacul untuk mempertahankan diri dengan hujah.

Apabila kembali ke tanahair dan ditanya oleh wartawan tentang saman yang bakal dikemukakan oleh DS Anwar atas tuduhan beliau itu, Anifah dengan selamba menjawab itu soal remeh. Beliau yang memulakan isu tersebut, apabila diminta penjelasan lanjut ia dianggap remeh? Beliau juga mengaku menerima satu panggilan dari DS Anwar dan dengan satu panggilan sahaja sudah cukup untuk DS Anwar menawarkannya jawatan penting sebagai TPM ? Tiada isu atau modal lainkah untuk Anifah ini bercakap di luar negara? Terlalu banyak perkara yang tidak remeh yang wajar Anifah terangkan di luar negara bagi membantu menaikkan imej negara ini yang semakin teruk pada pandangan luar. Isu Altantuya contohnya yang telah mengaibkan pemimpin negara kita sewajarnya Anifah terangkan atau kementeriannya perlu mengambil sesuatu tindakan terhadap pihak luar yang mendakwa pemimpin negara kita terlibat dalam kes jenayah tersebut. Itu lah sebenarnya tugas penting Anifah untuk membersihkan imej negara bukannya dengan memburukkan nama DS Anwar untuk mengampu PM. Apakah beliau anggap masyarakat dunia luar seperti masyarakat di negeri Sabah kelahiran beliau yang masih ramai tertutup minda mereka darihal perkembangan politik semasa? Di Sabah, mungkin beliau boleh menjual minyak semurah itu.

Najib telah tersilap di dalam melantik Anifah selaku Menteri Luar. Negara kita akan terus ditertawakan oleh dunia luar jika orang seperti Anifah ini dilantik sebagai Menteri Luar. Bermula dengan Hamid Albar, negara kita terus gagal memperolehi Menteri Luar yang mempunyai kelas tertinggi dan kita hanya mampu mempunyai Menteri Luar yang setaraf dengan Ketua Umno Cawangan.

WFAUZDIN NS

Sunday, May 10, 2009

Najib, jangan anggap rakyat bodoh

Parti Keadilan Rakyat yakin rakyat tidak termakan dengan cubaan Barisan Nasional menutup pencabulan demokrasi di Perak dengan membebaskan 13 tahanan ISA termasuk pemimpin Hindraf.

Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong berkata masyarakat tidak lupa bahawa Perdana Menteri Najib Razak sendiri mendalangi rampasan kuasa di Perak yang mencetuskan krisis perlembagaan dan menghancurkan kestabilan politik di negeri itu.

Perlakuan samseng oleh polis dan Adun Barisan Nasional mengheret keluar Speaker V.Sivakumar keluar daripada Dewan Undangan Negeri Khamis lalu cuba ditutup oleh Najib dengan membebaskan pemimpin Hindraf dari tahanan ISA.

Jonson berkata keengganan Najib untuk membidas perlakuan Setiausaha Kerajaan Negeri dan polis menunjukkan beliau merestui kekecohan pada sidang DUN itu yang mengaibkan Malaysia di mata antarabangsa.

Tindakan Najib membebaskan beberapa tahanan ISA keesokan harinya, dibuat hanya atas kepentingan politik semasa Perdana Menteri dan BN semata-mata.

“Kenapa hanya 13 orang dibebaskan,” Adakah baki tahanan ISA tidak mempunyai perasaan atau keluarga yang sayangkan mereka,” tanya Jonson. “Tidakkah mereka juga mempunyai maruah seperti kita. Bukankah mereja juga mempunyai hak untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan kerajaan di mahkamah. Kenapa mereka tidak dibebaskan,” kata Jonson.

Jonson berkata pembebasan V.Manoharan, adun Kota Alam Shah, khususnya menengahkan persoalan samada langkah itu didorong oleh rasa cemas Najib untuk mengelak daripada berdepan dengan satu lagi pilihanraya kecil.

Menurut Jonson, Najib bertanggungjawab sepenuhnya mengaibkan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan tindakan kerajaan beliau enggan menghormati doktrin pengasingan kuasa sehingga mencetuskan krisis di Perak.

Begitu juga dengan tindakan Najib membelakangkan hak asasi manusia dengan terus mendokong ISA dan membiarkan tahanan terus merengkok di penjara Kamunting tanpa perbicaraan mahkamah.

Apa pilihan kita sebagai rakyat.

(artikel ini tidak wajar diklasifikasikan sebagai hasutan melainkan sebagai ingatan bagi rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi)

Saya tidak mahu mengulas panjang insiden yang berlaku didalam DUN Perak sepanjang hari ini. Semua rakyat Malaysia saya jangkakan telah mengetahui hujung pangkal apa yang berlaku disana. Kesimpulan yang saya dapat berikan cuma satu iaitu;

“Pada tanggal 7 Mei 2009, pastinya akan dikenang selama mungkin oleh rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pada tarikh inilah matinya demokrasi berperlembagaan di Malaysia”.

Marilah kita (rakyat Malaysia yang prihatin) bersama-sama berkabung atas kematian demokrasi berperlembagaan yang selama lebih 50 tahun kita julang. Kematian ini bukanlah dilakukan oleh pihak penjajah (kita bukankah telah merdeka?) akan tetapi kematian ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri yang rakus kepada kuasa.

Setelah matinya demokrasi berperlembagaan, tidak mungkin akan kekal lagi “Raja Berperlembagaan” sepertimana yang dituntut dan dikhaskan didalam Perlembagaan Malaysia. Apa yang ada hanyalah Malaysia yang dipimpin dan dikuasai secara diktator. Hari ini telah terbukti bahawa “Raja Berperlembagaan” itu hanyalah ujud diatas kertas sahaja sedangkan kuasa sebenar ditentukan oleh Perdana Menteri Malaysia sepenuhnya.

“Raja Berperlembagaan” hanyalah sekadar satu mohor (cap) yang akan digunakan apabila perlu oleh Kerajaan Barisan Nasional. Krisis yang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan telahpun menjadi “precedence” (duluan kes) bagi seluruh negeri-negeri yang bersekutu dibawah panji-panji Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Bila pemerintah sendiri (Kerajaan Barisan Nasional dan wakilnya) tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan, maka adalah tidak wajar sama sekali sekalian rakyat juga menghormati undang-undang dan perlembagaan. Undang-undang dan perlembagaan hanya layak di”bakulsampah”kan sahaja kini. Malaysia nampaknya mengamalkan dua set undang-undang yang berbeza. Satu set khusus untuk diikuti oleh rakyat marhaen manakala satu set lagi khusus untuk Kerajaan Barisan Nasional dan yang bersekongkol dengannya.

Dengan ini, saya syorkan kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar meneruskan tindakan berkabung sampai bila-bila sehinggalah dihidupkan kembali demokrasi berperlembagaan di Malaysia ini.

Sunday, March 29, 2009

Rasuah politik dalam UMNO tidak mungkin berakhir - Nik Aziz

Biar pun Umno kini diterajui pemimpin lain, namun gejala rasuah dan salah laku dipercayai tidak akan berakhir, malah akan terus 'membarah'.

Ramai percaya Umno akan terus berada di tahap lama biar pun beberapa pendekatan baru cuba diambil Dato' Seri Najib Razak selepas menerajui parti itu.

"Walau pun pemimpin tertinggi parti itu telah bertukar tangan, namun kerana asas perjuangan tidak pernah berubah menyebabkan kepincangan akan terus berlaku dalam parti itu.

"Masalah kemiskinan rakyat, rasuah, salahguna kuasa dipercayai tidak akan berakhir.

"Pertukaran pasukan dalam Umno hanya orang tertentu sahaja tetapi kereta masih yang lama (sekular) menuju ke destinasi dunia semata-mata," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Najib semalam secara rasminya mengambil alih teraju Umno daripada Abdullah apabila menang tanpa bertanding jawatan tersebut. Dan beberapa hari lagi bakal mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am PAS itu berkata, walaupun sebahagian besar muka-muka baru membarisi kepemimpinan Umno sekarang, namun asas perjuangan parti itu tetap sama.

"Ibarat kereta yang tidak ada break, maka kenderaan itu yang dinaiki pemandu dan penumpang baru tetap berada dalam bahaya," ujarnya ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tiada apa pembaharuan yang dapat dirasai rakyat biar pun orang lain mengetuai Umno kerana haluan masih sama.

Menurutnya selagi parti itu terus membelakangkan agama, mengenepikan soal taqwa, mengasingkan politik dan agama, Umno akan terus bercelaru.

Kata beliau ia jauh berbeza berbanding perjuangan PAS yang berteraskan Islam dan ketakwaan, di mana ahli-ahlinya mempunyai asas agama lebih kukuh.

"Kekuatan akidah pemimpin PAS dapat dilihat pada penggal lalu apabila diuji dengan tawaran sehingga RM5 juta supaya melompat parti mereka tetap tidak berganjak," ujarnya.

Sedangkan beliau berkata, dalam Umno tidak timbul soal pahala dan dosa sehingga menjadikan amalan rasuah menjadi perkara biasa.

Menurutnya Lembaga Disiplin Umno sebelum ini sudah memutuskan ada pemimpin Pemuda Umno yang didapati bersalah dengan rasuah, namun masih dibiarkan bertanding sehingga menang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga melahirkan rasa hairan memandangkan Umno hanya mengagungkan pemimpin mereka pada waktu-waktu tertentu sahaja.

"Contohnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika dilantik menjadi perdana menteri lima tahun lalu beliau diagung begitu rupa sehingga menggambarkan bekas presiden Umno itu anak seorang ulama.

"Namun selepas Umno kecundang teruk pada pilihan raya umum lalu, beliau pula didesak supaya melepaskan jawatan," katanya.

- HARAKAH DAILY

Thursday, March 26, 2009

KHIR TOYO TERLENTANG KALI KEDUA

Arakian, maka menanglah KJ dengan bergayanya merebut jawatan Ketua Pemuda Umno mengalahkan mantan MB Selangor Khir Toyo dan anak kesayangan mantan PM Tun Mahathir iaitu Mukhriz. Sekalung tahniah buat KJ, pertamanya kerana menumbangkan Khir Toyo yang namanya semakin jelek di mata rakyat. Sekarang barulah Khir Toyo sedar siapakah diri beliau untuk menjadi jaguh kononnya di Selangor sedangkan partinya sendiri menolak beliau meskipun telah di`bersih’kan oleh Lembaga Disiplin Umno. Syabas, KJ kerana walaupun nama mu tercalar sedikit oleh gara-gara Lembaga Disiplin Umno, tetapi seteruk mana pun Umno, KJ masih dianggap seorang pemuda yang berani.

Sebenarnya bukan niat saya untuk menyokong KJ menjadi Ketua Pemuda Umno, tetapi niat saya yang lebih utama adalah untuk melihat Khir Toyo jatuh terduduk untuk kali keduanya. Kali pertama Khir Toyo terlentang selepas Pilihanraya Umu ke 12 di mana sebuah negeri terkaya kini menjadi milik PR. Setelah jatuh, Khir Toyo cuba untuk bangun dengan mencipta berbagai isu bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Tan Seri Khalid tetapi akhirnya beliau sendiri terlondeh. Sehingga kini, kerajaan negeri Selangor sedang giat `melondehkan satu demi satu pakaian’ Khir Toyo. Khir Toyo kini sudah menjadi seperti wayang kulit yang dipertontonkan oleh kerajaan PR di Selangor untuk tatapan seluruh masyarakat dan kadang kala kita tertawa dengan persembahannya. Beliau cuba untuk naik kembali dengan menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda Umno. Sekali lagi untuk kali kedua, Khir Toyo terlentang dan terduduk bukan disebabkan oleh pembangkang, tetapi oleh majoriti perwakilan Pemuda Umno sendiri. Syabas untuk KJ.

Kekalahan Mukhriz anak kepada tokoh yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan DS Anwar dalam Umno, beliau sememangnya patut kalah walaupun tiada siapa yang menjatuhkannya secara konspirasi sepertimana ayahanda beliau pernah lakukan pada DS Anwar. Beliau kalah secara `anak jantan’ kepada KJ yang juga menang secara `lebih jantan’. Slogan `Berani Berubah’ yang dibawa oleh Mukhriz kini lebih sesuai ditukar kepada `Berani Kalah’. Sememangnya beliau berani kalah walaupun diberitakan beliau menangis ketika mendapat tahu beliau tewas. Benar atau tidak berita itu saya tidak tahu, tetapi sejarah pernah memperlihatkan betapa ayahandanya juga menangis teresak-esak di atas pentas di PWTC ketika mengumumkan untuk `bersara’ dari menjadi Presiden Umno. Jika benar Mukhriz juga menangis, maka tiada salahnya kerana `kuah akan tumpah ke nasi’ jua.

Walau sekuat mana pun jeritan penyokong-penyokong Khir Toyo dan Mukhriz mengatakan KJ menang kerana rasuah, yang nyata KJ tetap menang. Jangan salahkan KJ jika beliau dianggap merasuah untuk menang, tetapi salahkan perwakilan yang mungkin terlalu `lapar’ ketika itu. Pada saya, KJ tidak mungkin melakukan rasuah untuk menang kerana sememangnya beliau layak untuk menang jika dibandingkan dengan Khir Toyo dan Mukhriz. KJ wajar berterima kasih kepada penganjur program Wacana Politik di Kelantan baru-baru ini yang memberi peluang kepada beliau menunjukkan keberaniannya berdebat dengan YB Husam Musa. Tidak dapat dinafikan program tersebut telah menyumbangkan bonus buat KJ. Berlainan dengan Khir Toyo yang cuba mendapatkan bonus dengan mencari berbagai isu di Selangor untuk menunjukkan beliau kononnya pejuang rakyat di Selangor dan berani mendedahkan penyelewengan kerajaan PR di Selangor. Malangnya, semua isu tersebut memakan diri bahkan ahli-ahli Umno sendiri tidak percaya dan mentertawakan beliau. Ternyata isu lembu yang dibawa oleh Khir Toyo seolah-olah menjadikan beliau kini seperti makhluk berkaki empat itu juga.

Selepas ini, tugas utama KJ adalah berdepan dengan rakyat di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Ketika itu, KJ jangan tersalah langkah seperti apa yang telah beliau lakukan di Permatang Pauh. Rakyat di Perak bukannya seperti perwakilan Pemuda Umno yang seronok melihat keris ditatang, dihunus dan dicium. Apalah ertinya keris `telanjang’ tanpa sarung itu pada rakyat Perak. KJ juga kena pastikan sebelum melangkah ke bumi Bukit Gantang, tentukan beliau `mandi bunga’ terlebih dahulu untuk menghilangkan `badi’ beliau bila berdepan dengan PR di sana. Jika perlu untuk membawa Raja Sesumpah Ezam, pelawalah Ezam untuk `mandi bunga’ bersama-sama. Rakyat di Bukit Gantang bersedia menanti dan menyambut Ketua Pemuda Umno yang baru ditabalkan ini.

Kepada mereka yang tewas, Khir Toyo dan Mukhriz saya amat simpati dengan kedua-duanya. Sekarang anda berdua tentu boleh berfikir mengapa orang yang disabitkan bersalah dalam politik wang boleh menang di dalam pemilihan Umno sedangkan kamu yang dikatakan bersih boleh tewas? Jika begitu, maksudnya Umno masih belum berubah dari tabiat lamanya. Apakah tabiat Umno itu? Mungkin KJ dan Ali Rustam lebih arif untuk menjawabnya untuk kamu ketahui.

Wednesday, March 18, 2009

Zaid cadang Agong tidak lantik Najib sebagai PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meminta Yang Dipertuan Agong melantik Perdana Menteri baru di kalangan anggota Parlimen yang boleh diterima rakyat.

Bagi beliau, perlantikan bakal Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri akan memecahbelahkan rakyat negara ini.

"Terdapat anggota-anggota Parlimen daripada kalangan Ahli Parlimen Umno yang layak untuk menjadi Perdana Menteri bagi membolehkan kita keluar daripada suasana yang tidak jelas," kata beliau yang juga bekas Ahli Parlimen sebagaimana yang dilaporkan Mstar hari ini.

Zaid berkata demikian ketika berucap pada majlis anjuran Rotary Club di sini hari ini.Kata beliau, Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang rakyat boleh berharap tanpa sebarang kesangsian.

"Seseorang yang mereka boleh percaya dan boleh hormat. Seseorang yang tiada skandal untuk beralih daripadanya dan oleh itu memperoleh penghormatan daripada masyarakat antarabangsa," katanya.

"Ini merupakan antara suasana sukar dan perlu bersedia untuk berhadapan dengan suasana lebih buruk yang bakal dialami.

"Malaysia memerlukan seorang pemimpin yang boleh menyatukan negara bagi menghadapi suasana malang. Kita akan lemah jika berpecah," kata bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu.

"Budi bicara melantik seorang Perdana Menteri yang akan menggantikan Abdullah terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

"Walaupun Yang di-Pertuan Agong, di bawah Perlembagaan diperlukan untuk melantik seorang yang memperoleh keyakinan majoriti anggota Parlimen, ia hanya satu bentuk keputusan Yang di-Pertuan Agong," katanya yang merupakan bekas de facto Menteri Undang-undang yang meletakkan jawatan ekoran tangkapan empat orang, termasuk Teresa Kok, di bawah ISA tidak lama dulu.

"Tiada beban perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Presiden Umno sebagai Perdana Menteri.

"Terdapat anggota-anggota Parlimen daripada kalangan Ahli Parlimen Umno yang layak untuk menjadi Perdana Menteri bagi membolehkan kita keluar daripada suasana yang tidak jelas," kata beliau.