Pages

Saturday, August 16, 2008

Warkah buat adik-adik di UiTM.

Abang guna istilah 'kasihan' sebab abang kasihan pada adik-adik. Kasihan sebab tempoh hari adik-adik berarak di bawah panas mentari berpakaian baju hitam. Keldai mana punya idea suruh adik-adik berarak pakai baju hitam bawah panas mentari, Tuhan saja yang tahu.

Tapi abang faham, kemungkinan besar adik-adik semua dipaksa untuk menghadirkan diri. Terpaksa turut serta, kalau tidak nanti tidak dapat kolej semester depan. Cuma yang abang tidak faham, apa hal berarak hari kuliah? Apa adik-adik semua tidak ada kuliah?

Kita kena ingat pesanan Sivaji, maaf, pesanan VC Ibrahim Abu Shah dulu-dulu. Pelajar UiTM mesti rajin belajar, mesti tumpukan pada pelajaran. Pelajar tidak boleh berpolitik, kata Sivaji, maaf, kata VC Ibrahim Abu Shah.

Apa adik-adik semua sudah lupa pada pesanan Sivaji, maaf, pesanan VC Ibrahim Abu Shah?

Atau Sivaji, maaf, atau VC Ibrahim Abu Shah sudah berubah mazhab dan pegangan? Sudah berubah jadi VC yang revolusioner, yang mendukung pergerakan aktivisme pelajar universiti?

Entahlah, abang sudah lama meninggalkan UiTM. Zaman abang guna duit PTPTN untuk beli handphone baru sudah lama berlalu. Sekarang abang beli handphone guna duit gaji sendiri, tapi handphone adik-adik UiTM masih tetap lagi hebat dari handphone abang. Handphone adik-adik ada 3G, ada kamera, boleh MMS dan boleh rakam aksi hubungan seks dengan pasangan masing-masing.

Ops. Abang tersasul. Itu mungkin adik-adik IPTA lain punya perangai. UiTM universiti bastion terakhir Melayu, takkanlah beli handphone untuk rakam hubungan seks dengan pasangan jadi amalan para pelajarnya, betul?

Bercakap tentang bastion terakhir Melayu, abang bangga tengok adik-adik berarak tempoh hari. Sungguh hebat adik-adik berarak dan memperjuangkan prinsip UiTM. Adik-adik keluar suratkhabar, keluar TV dan keluar di Youtube, bercakap tentang UiTM untuk Melayu dan Bumiputera, bukan untuk lain-lain bangsa.

Abang faham, adik-adik bertindak sedemikian sebab adik-adik patriotik, mendukung semangat kenegaraan Malaysia kita yang tercinta.

Bercakap tentang Malaysia yang tercinta, petang semalam abang ada menonton siaran langsung Olimpik. Perlawanan separuh akhir badminton perseorangan, pemain Malaysia lawan pemain Korea Selatan. Abang tonton siaran langsung melalui live streaming di Internet pejabat, bersama rakan-rakan sepejabat, 2 orang Melayu, 4 orang Cina dan seorang Portugis Melaka.

Abang yakin, adik-adik UiTM yang tidak ada kuliah waktu petang juga pastinya menghadap TV di kolej atau rumah sewa. Turut mengharapkan Lee Chong Wei menang dan layak ke perlawanan akhir, demi meneruskan pencarian emas Olimpik untuk Malaysia.

Abang tidak mahu tulis dan ulas perlawanan semalam. Abang bukan pakar ulasan badminton macam Pak Hasbullah Awang. Lagi pun kita semua sudah tahu Lee Chong Wei menang semalam.

Cuma yang abang nak kongsi bersama, abang percaya kita semua tumpang seronok bila Lee Chong Wei menang. Dia menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia untuk memburu pingat emas Olimpik pertama negara.

Tapi dalam menyambut kemenangan petang semalam, abang terbayang satu perkara. Bagaimana agaknya kalau Lee Chong Wei menang pingat emas esok, dan selepas menang beliau berkata "kemenangan ini ditujukan khas buat rakyat Malaysia berbangsa Cina sahaja, bukan untuk lain-lain bangsa."

Taubat, adik-adik mesti berarak dan merusuh satu Shah Alam nanti. Sivaji, maaf, VC Ibrahim Abu Shah mungkin keluar TV lagi dan bercakap bahawa Lee Chong Wei mendapat latihan badminton selama ini yang dibiayai melalui kutipan cukai setiap bangsa di Malaysia, bukan orang-orang Cina sahaja.

Mesti gila punya kecoh bukan? Tapi, tempoh hari adik-adik pun buat perkara yang sama. Dan Sivaji, maaf, dan VC Ibrahim Abu Shah keluar TV tempoh hari, bercakap tentang UiTM milik Melayu dan Bumiputera sahaja, bukan lain-lain bangsa, walaupun Sivaji, maaf, walaupun Ibrahim Abu Shah tahu duit peruntukan UiTM datang dari poket rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Semalam, selepas menundukkan Lee Hyun-Il, Lee Chong Wei berlari ke arah jurulatih Misbun Sidek, memeluk jurulatih beliau sambil Misbun mengusap kepala anak didiknya. Lee Chong Wei kemudian berlari ke salah satu kamera di tepi gelanggang, mencium Jalur Gemilang yang tersemat di baju ketika berdepan dengan kamera.

Lee Chong Wei, seperti yang adik-adik sedia maklum, bukanlah seorang Cina dari Tanah Besar China. Dia seorang Cina dari Malaysia, lahir di Parit Buntar, Perak. Negara beliau ialah Malaysia, tanah tumpah darahnya.

Lee Chong Wei, berbangsa Cina, kini merupakan pemain badminton ranking ke-2 dunia. Beliau dilatih oleh seorang bekas pemain badminton yang berbangsa Melayu. Bagi mereka, soal bangsa bukan persoalan pertama dalam buruan pingat emas mereka. Bagi Chong Wei dan Misbun, apa yang mereka tahu ialah mereka menggalas tugas negara tercinta, Malaysia. Tanpa mengira latar belakang dan perbezaan budaya, mereka adalah satu pasukan di bawah Jalur Gemilang.

Tapi tempoh hari adik-adik berarak di Shah Alam, memprotes dengan lantang, kononnya mempertahankan UiTM dari lain-lain bangsa, termasuklah bangsa darah daging Lee Chong Wei sendiri, mungkin saudara-mara beliau sendiri, mungkin juga akan menafikan peluang anak-anak Lee Chong Wei untuk belajar di UiTM pada masa depan kelak.

Mana kesedaran adik-adik tentang Malaysia ini tempat tinggal kita semua, negara kita semua, negara setiap rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit?

Bila Lee Chong Wei berjaya melangkah ke perlawanan akhir semalam, adik-adik meleleh air liur memikirkan prospek untuk Malaysia mendapatkan pingat emas yang pertama di Olimpik. Tapi pada ketika yang sama adik-adik menafikan peluang mana-mana rakyat Malaysia berbangsa Cina, India dan lain-lain hak ke atas pendidikan yang mampu dimiliki.

Jadi di mana kesedaran dan sensitiviti adik-adik semua, sebagai pelajar sebuah universiti yang adik-adik banggakan? Adakah adik-adik memang bebal dan benak hati, atau pemikiran adik-adik UiTM sudah dikaburi oleh misai tebal Sivaji, maaf, misai tebal VC Ibrahim Abu Shah?

Entahlah. Apa yang abang tulis hanyalah sekadar buah fikiran dan pendapat abang semata-mata. Mungkin adik-adik lebih arif dan faham sebab adik-adik pelajar UiTM masa kini. Zaman abang dulu UiTM hanya UiTM. Zaman adik-adik sekarang, UiTM sudah ada aspirasi global, mahu menjadi sebuah universiti bertaraf dunia.

Mungkin UiTM juga perlu ada aspirasi mahu melahirkan pemain badminton Melayu bertaraf dunia. Nanti bolehlah kita memburu pingat emas Olimpik pertama untuk orang Melayu. Bukan apa, sebab pada pandangan abang, adik-adik nampaknya terlalu berkira sangat tentang persoalan bangsa.

Sudah panjang abang menulis. Cukuplah sampai di sini, hingga ketemu di warkah yang lain.

Salam sayang dan peluk cium dari abang buat adik-adik UiTM (perempuan sahaja, yang lelaki, kirim salam sudah cukup)

UiTM Di Hatiku,

Abang Lucius.

Sumber : Tonohtranquility

0 comments:

Post a Comment