Pages

Thursday, August 7, 2008

Bunuh aktivis hak asasi: Bekas pegawai didakwa

Oleh AFP, Reuters
Khamis, 07 Ogos 2008

JAKARTA: Seorang bekas pegawai kanan perisikan Indonesia akan didakwa atas pertuduhan membunuh aktivis hak asasi, Munir Said Thalib, yang mati akibat keracunan arsenik dalam penerbangan dari Singapura ke Belanda pada 2004, menurut laporan kelmarin.

Jurucakap pejabat Peguam Negara, Bonaventura Daulat Nainggolan, berkata para pendakwa mempunyai masa 20 hari selepas menerima dosir polis untuk memfailkan kes terhadap Muchdi Purwoprandjono, bekas timbalan ketua Badan Intelijen Negara (BIN), Indonesia.

'Kami akan mendakwanya dengan pertuduhan melakukan pembunuhan terancang, yang boleh dikenakan hukuman mati,' kata Bonaventura.

Munir, yang meninggal dunia pada usia 38 tahun, merupakan pemimpin badan pemantau hak asasi Komisi bagi Orang Hilang dan Korban Tindakan Kekerasan (Kontras) dan merupakan pembela utama mangsa penderaan tentera di bawah pemerintahan mantan Presiden Suharto dari 1965 hingga 1998.

Usman Hamid, pemimpin Kontras sekarang, berkata keputusan pemerintah untuk membicarakan Muchdi merupakan satu perkembangan yang penting dalam sistem kehakiman Indonesia.

'Ini kali pertama seorang bekas pegawai kanan tentera ditahan dan akan dibicarakan kerana kes jenayah,' kata beliau.

Awal tahun ini, bekas juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Priyanto, dikenakan hukuman 20 tahun penjara, manakala mantan Pengerusi Garuda, Indra Setiawan, dikenakan hukuman setahun penjara kerana terlibat dalam pembunuhan Munir.

0 comments:

Post a Comment