Pages

Friday, August 8, 2008

UMNO AKAR UMBI HURA HARA


Persidangan Cawangan UMNO di seluruh negara dijangka berakhir pada 24 Ogos 2008. Tapi, kemungkinan besar tarikh akhir ini dipanjangkan lagi sebab ramai warga UMNO, khususnya di utara tanahair, dijangka membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Pulau Pinang, negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mulai 16 Ogos 2004.

Biarpun begitu, jumlah cawangan akar umbi UMNO yang telah meluluskan usul mendesak bahagian masing-masing supaya menyanggah kepimpinan Abdullah kini meningkat dari 88 kepada 102.

Tetapi, jika benar berita yang mengatakan usul oleh UMNO Cawangan Permas 7, Bahagian Pasir Gudang, Johor, yang diluluskan minggu lalu telah ditarik balik, jumlah di atas adalah 101 sahaja.

Kisah penarikan usul cawangan di atas dikirimkan oleh Blogger Zeme seperti berikut:

Ketua UMNO Cawangan Permas 7 yang baru dipilih telah dengan serta-merta menarik balik usul yang mencadangkan Bahagian Pasir Gudang mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan Presiden UMNO. Ini kerana Ketua UMNO cawangan yang lama, Mohd. Azahari Ahmad, telah ditewaskan oleh Amir Sahak. Menurut Amir, usul itu ditarik balik kononnya kerana ia boleh mengeruhkan keadaan, mencemarkan imej cawangan, tidak dipersetujui oleh banyak pihak dan bercanggah dengan ketetapan pucuk pimpinan parti.

Senarai terbaru cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara yang menyanggah kepimpinan Abdullah adalah seperti berikut:

Bahagian Merbok

Cawangan Taman Okid, Bahagian Merbok, Kedah, meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah selaku Presiden UMNO. Ia juga mengusulkan bahagian berkenaan mencalonkan Muhyiddin sebagai Presiden dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Presiden. Kedua-dua usul diluluskan dengan sebulat suara.

Cawangan Kampung Candi dan Cawangan Semeling, Bahagian Merbok, meluluskan usul mendesak bahagian tersebut mencalonkan Muhyiddin sebagai Presiden dan Razaleigh sebagai Timbalan Presiden.

Cawangan Kampung Sungai Layar Hujung, Bahagian Merbok, mengusulkan bahagian tersebut mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden dan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden.

Cawangan Taman Seroja, Bahagian Merbok, mengusulkan bahagiannya mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Cawangan Taman Bersatu, Bahagian Sungai Petani, Kedah, mengusulkan bahagian tersebut mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden.

Cawangan Penggaram Utama, Bahagian Batu Pahat, Johor, mengusulkan bahagian berkenaan mencalonkan Razaleigh bertanding jawatan Presiden.

Bahagian Pekan

Cawangan Bandar Baru Jaya Gading, Bahagian Pekan, Pahang, mengusulkan Bahagian Pekan mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden dan Najib Timbalan Presiden. Cawangan ini juga meluluskan usul supaya sistem kuota bagi semua jawatan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dimansuhkan.

Cawangan Saujana Puchong, Bahagian Puchong, Selangor, meluluskan dua usul. Pertama, mendesak Bahagian Puchong “tidak mengguna pakai formula peralihan kuasa yang dikemukakan oleh Abdullah” dan “hendaklah mencalonkan tokoh-tokoh lain untuk menerajui kepimpinan tertinggi UMNO.” Kedua, mendesak Bahagian Puchong mengemukakan usul ke peringkat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2008 supaya tempoh peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dilakukan mulai 1 Disember 2008 atau selewat-lewatnya sebelum 16 Disember 2008.

Cawangan Tasik Tanjung Belanja, Bahagian Parit, Perak, meluluskan usul supaya bahagiannya mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden.

Cawangan Manjoi, Kledang, Kelebang, Bahagian Tambun, Perak, ketiga-tiganya mengusulkan kepada bahagian supaya mencalonkan Razaleigh sebagai Presiden.

Bukit Gantang

Cawangan Kampung Rahmat, Bahagian Bukit Gantang, Perak, meluluskan usul “supaya Abdullah letak jawatan dengan segera.”

Sementara itu, Pemuda UMNO Cawangan Seksyen 19 Selatan, Bahagian Shah Alam, Selangor, turut menyanggah kepimpinan Abdullah. Pemuda cawangan ini dengan sebulat suara “mendesak UMNO Bahagian Shah Alam” membawa usul ke peringkat PAU supaya proses peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan kepada awal Januari 2009.

Sehingga hari ini belum ada berita mengenai mana-mana cawangan daripada Pulau Pinang, Perlis, Negeri Sembilan dan Terengganu mengemukakan sebarang usul Abdullah.

Akhir sekali banyak pihak amat sinis dengan usul-usul yang diluluskan oleh persidangan cawangan seperti di atas. Kata mereka, usaha ini hanya seperti anjing menyalak bukit, mencurah garam ke laut atau mencurah air ke daun keladi.

Hakikatnya mungkin begitu. Tetapi, pihak-pihak yang sinis perlu bertanya, mengapakah trend seperti ini tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO sebelum ini? Dan, bukankah trend ini mencerminkan ledakan kekecewaan warga UMNO akar umbi terhadap Abdullah?

Oleh itu, trend ini wajar dijadikan pengukur kepada aspirasi sebenar warga UMNO akar umbi yang sangat-sangat dahagakan pemimpin besar UMNO yang amat berwibawa, cukup disegani dan terbukti mampu mengemudikan destini bangsa dan negara ini ke arah masa depan yang benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang!

Sumber : http://www.kuda-kepang.blogspot.com/

0 comments:

Post a Comment