KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Filipina hari Isnin untuk menahan perjanjian wilayah antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) daripada dimeterai telah merencat langkah yang dijangka dapat menyelesaikan konflik persenjataan berdarah selama emat dekad di wilayah selatan negara tersebut.
"Majlis menandatangai perjanjian telah dibatalkan. Kerajaan Filipina berkata mereka mematuhi keputusan mahkamah tersebut," kata ketua fasilitator kepada perjanjian damai itu Datuk Othman Abdul kepada Bernama malam Isnin.
Malaysia menjadi orang tengah perjanjian damai tersebut.
Kedua-dua pihak yang bersengketa tersebut sebelum ini dijadual menandatangani perjanjian di Putrajaya Selasa yang bertujuan untuk secara rasmi membuka semula rundingan bagi menamatkan konflik di Mindanao yang telah mengorbankan 120,000 nyawa dan menyebabkan jutaan yang lain hilang.
Reuters melaporkan ahli-ahli politik Katholik di selatan telah meminta Mahkamah Agung menghentikan majlis menandatangani tersebut dengan alasan mereka tidak diminta berunding mengenai perjanjian berkenaan.
Mereka bimbang perjanjian tersebut akan membentuk Mindanao sebagai kawasan perlindungan orang Islam.
Perjanjian tersebut akan melebarkan wilayah autonomi sedia ada untuk masyarakat Islam di selatan, yang akan turut memberi mereka kuasa politik dan ekonomi yang lebih luas.
Ditemuramah oleh Bernama semasa Malaysia sedang membuat persediaan perjanjian itu, Othman berkata rundingan mengenai kekuasaan turun temurun adalah yang paling sukar.
Kekuasaan turun temurun merujuk kepada permintaan MILF untuk mengembangkan wilayah yang akan ditadbir oleh orang Islam sendiri.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment