Monday, August 4, 2008
DASAR LUAR DAN PERTAHANAN SINGAPURA: MENGHAYATI ANALOGI UDANG BERACUN
Dasar luar boleh didefinisikan sebagai interaksi antara negara-negara dan mencerminkan objektif nasional dan maklum balas khusus sesebuah negara terhadap satu-satu situasi. Ia adalah strategi atau tindakan terancang yang dibangunkan oleh pembuat dasar sesebuah negara atau entiti antarabangsa yang bermatlamat mencapai tujuan-tujuan khususnya yang terkandung di dalam kepentingan nasional. Objektif-objektif dasar luar adalah diformulasikan secara konkrit dengan mengaitkan kepentingan nasional dengan situasi antarabangsa dan kuasa yang ada pada negara.
Polisi pertahanan sesebuah negara pula adalah satu manifestasi bagi langkah-langkah yang perlu diambil dalam usaha mempertahankan objektif-objektif nasional. Secara umumnya, dasar-dasar pertahanan dipengaruhi oleh latar antarabangsa, kepentingan politik domestik, teknologi dan industri ketenteraan. Setiap negara mempunyai rancangan tersendiri bagaimana mereka menggunakan sumber-sumber sedia ada bagi mencapai objektif-obejktif nasional, mempertahankan negara mereka dan kepentingannya. Ini termasuklah tingkah laku mereka di dalam sistem antarabangsa, amalan peperangan dan pembabitan aspek politik, ekonomi dan ketenteraan.
Dalam menganalisa dasar luar dan pertahanan sesebuah negara, Snyder (1977) mencadangkan bahawa kedua-duanya dipengaruhi oleh dua faktor utama; pertama adalah kepentingan mewujudkan kemampuan cegahrintang atau deterrence dan kedua, mewujudkan konsep pertahanan sesebuah negara. Ia merujuk kepada kesinambungan antara penggubalan dasar luar dan dasar pertahanan untuk mencapai matlamat tersebut.
Kemampuan sesebuah negara itu menyelesaikan masalah sering menjadi kayu pengukur yang mempengaruhi kedudukan negara tersebut di mata masyarakat antarabangsa. Oleh itu, esei ini bakal membincangkan dasar luar dan pertahanan Singapura dengan mengambil kira konsep asas penggubalan dasar serta ertikata analogi udang beracun yang berkait rapat dengan faktor yang mempengaruhi penggubalan polisi dan pembelian senjata.
KONSEP KENEGARAAN, DASAR LUAR DAN PERSEPSI ANCAMAN DARI KACA MATA SINGAPURA
Penubuhan Singapura pada Ogos 1965 sebagai negara bangsa yang merdeka setelah ia dipisahkan dari Malaysia dikelilingi rasa terancam kerana secara tiba-tiba, ia terpaksa menubuhkan angkatan tenteranya sendiri untuk menjamin keselamatan dalaman dan pertahanan dari ancaman luar. Sebelum ini, pertahanan Singapura berkait rapat dengan pertahanan Malaysia tetapi disebabkan haluan politik yang berbeza serta ratio kaum Melayu dan Cina yang jelas membentuk kaum majoriti di Malaysia dan Singapura menyebabkan pemisahan itu terjadi. Menjelang Oktober 1965, kerajaan Singapura telah meminta sukarelawan menyertai pasukan askar simpanan yang kemudiannya menjadi asas penubuhan tentera darat Singapura dan Angkatan Pertahanan Rakyat atau People’s Defence Force.
Dalam tahun-tahun berikutnya, kerajaan Singapura meningkatkan kempen membina angkatan tenteranya dan menubuhkan Institut Latihan Angkatan Tentera Singapura (SAFTI) pada tahun 1966. Di bawah pimpinan Menteri Pertahanan ketika itu, Dr. Goh Keng Swee, Singapura cuba mendapatkan khidmat nasihat angkatan tentera negara lain demi mewujudkan doktrin operasi dan latihannya. Singapura tidak mendapatkan khidmat tentera British kerana tidak mahu wujud pergantungan jangka panjang. Setelah gagal mendapat nasihat daripada Switzerland, India dan Mesir, Singapura mendapat khidmat nasihat dari Israel yang bertanggungjawab merangka program latihan di SAFTI dan seterusnya menyumbang kepada penubuhan angkatan tentera Singapura.
Israel bukan sahaja memberikan latihan dan pengaruh penting kepada SAF tetapi juga membekalkan keperluan pertahanan dan teknologi kepada Sngapura. Israel secara konsisten membekalkan teknologi dan keperluan peralatan untuk mengekalkan SAF sebagai angkatan tentera yang berwibawa di rantau ini. Namun menurut Huxley, hubungan tersebut berjalan secara rahsia pada awalnya kerana sentiment penduduk Islam yang menjadi jiran utama Singapura. Sebagai contoh, pada 1970-an, Israel membekalkan peluru berpandu untuk keperluan tentera laut iaitu Gabriel dan meriam 155mm bagi keperluan artileri. Eksport keperluan pertahanan Israel ke Singapura semakin meningkat pada 1990-an berikutan perkembangan sains dan teknologi khusus dalam persenjataan.
Menurut Menteri Pertahanan Singapura, Teo Chee Hean[1] Singapura telah menerima realiti keadaan geo-strateginya yang memang tidak berubah sejak penubuhan negara itu. Ketika dalam perundingan di bawah UN Convention on the Law of the Sea, UNCLOS pada tahun 1970-an, Singapura dikategorikan di bawah kumpulan negara yang mempunyai kekurangan dari segi geografi – iaitu sama seperti negara yang dikelilingi negara lain atau land-locked states.
Singapura juga tidak mempunyai sumber asli serta keadaan geografi yang tidak membenarkan ia memperolehi zon ekonomi ekslusif tersendiri. Dengan keluasan hanya 699 km persegi, Singapura mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta tidak mempunyai persempadanan atau buffer di antara kegiatan utama negara dengan infrastruktur kritikal dan persekitaran luar yang sebenarnya bermaksud, tanpa wujudnya kawasan yang luas, ia tidak mampu berundur atau berkumpul semula sekiranya diserang.
Teo juga menekankan bahawa saiz negara yang amat kecil juga menyebabkan Singapura tidak mampu mempengaruhi isu dan persekitaran serantau. Oleh itu, konsep kenegaraan dan penggubalan dasar luar serta pertahanannya adalah berdasarkan keperluan mempunyai sistem pertahanan yang kuat demi mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan supaya Singapura mampu memperoleh ruang politik dan kebebasan untuk membuat keputusan untuk rakyatnya tanpa diganggu gugat biarpun ia sebuah negara yang kecil. Ini adalah prinsip pertama yang mempengaruhi dasar luar dan pertahanannya.
Kedua, Singapura sentiasa menekankan konsep bahawa hanya rakyat Singapura yang bertanggungjawab mengekalkan dan mempertahankan negara dari ancaman. Tiada orang lain atau kuasa lain yang boleh menentukan dimensi keselamatan kecuali rakyat dan pemimpin Singapura. Faktor ini juga mempengaruhi keputusan merangka satu sistem pertahanan nasional di mana segala sumber manusia dan kewangan dijadikan komponen utama.
Dengan bersandarkan kepada dua konsep utama sebagai dasar luarnya, iaitu cegahrintang dan diplomasi, misi utama angkatan tentera Singapura, SAF adalah untuk mencegah pencerobohan dan sekiranya kemampuan cegahrintangnya gagal, ia mesti menewaskan si penceroboh. Diplomasi pula bererti bahawa Singapura mengamalkan dasar luar yang mencerminkan komitmennya untuk bekerjasama, membina persahabatan dengan negara lain serta memainkan peranan yang membina serta konstruktif dengan negara sahabat serantau dan perkembangan antarabangsa bagi membantu meningkatkan keselamatan serta kemampuan strategiknya.
Kewujudan National Service, NS pula berasaskan bahawa dengan jumlah populasi yang kecil, Singapura hanya mampu menubuhkan angkatan tenteranya dengan mewajibkan rakyatnya dilatih di bawah satu sistem yang kini menjadi tulang belakang SAF. Singapura memerlukan angkatan tentera yang boleh dikerah bila-bila masa terutamanya jika terdapat kecemasan, maka anggotanya juga perlu menjalankan tugas seharian sebagai rakyat biasa yang mempunyai pekerjaan. Oleh itu, tiada sesiapapun yang boleh memandang rendah pada angkatan tentera yang mempunyai anggota walaupun kecil tetapi penuh bersemangat untuk mempertahankan negaranya.
SAF juga mempunyai pertalian dan persahabatan yang rapat dengan angkatan tentera dari negara lain. Melalui perjanjian seperti Five Power Defence Arrangement, FPDA antara Australia, New Zealand, United Kingdom dan Malaysia sejak 1971, serta interaksi dan latihan bersama 20 negara sama ada secara bilateral atau multilateral hampir setiap tahun, SAF dapat meningkatkan kualiti operasi dan latihan anggotanya. Pendedahan kepada operasi bantuan keamanan serta misi kemanusiaan di negara lain juga telah membantu SAF, contohnya apabila anggotanya dihantar ke Timor Timur dan Perang Teluk, serta baru-baru ini, misi pemulihan tsunami di Acheh.
Pertalian dan persahabatan dengan angkatan tentera negara lain juga telah menyelesaikan masalah kekurangan kawasan latihan untuk darat dan udara dengan adanya program latihan luar negara. Sebagai contoh, tentera udara SAF sering mengadakan latihan penerbangan di negara lain, sekaligus memberi peluang anggota SAF merasai perbezaan cabaran ketenteraan mengikut pelbagai keadaan, cuaca serta tingkat teknologi.
Dalam senario antarabangsa yang kini menumpukan perhatian terhadap kumpulan pengganas antarabangsa pasca-September 11, kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan dunia dipertingkatkan. Singapura memandang serius terhadap ancaman dari luar kerana pengganas dikatakan tidak lagi menghormati persempadanan negara kerana ia berasaskan satu kerjasama multinasional yang mampu melancarkan serangan dari pelbagai lokasi. Singapura bekerjasama dengan negara lain yang mempunyai kepentingan melindungi sempadan negara terutamanya dari aspek maritim.
Dengan persepsi bahawa negara bersaiz kecil hanya boleh maju dan berkembang apabila wujud budaya antarabangsa yang menghormati kedaulatan dan kewibawaan undang-undang, tidak hairanlah apabila dasar luar Singapura memberikan reaksi kepada pencerobohan Vietnam ke atas Kemboja pada tahun 1980, serta serangan Iraq ke atas Kuwait pada tahun 1990, kerana ia melihat tindakan tersebut sebagai contoh realiti yang mungkin berlaku kepada negara kecil yang lain termasuk Singapura.
Pada awal penubuhannya, Singapura mengalu-alukan peranan kuasa besar lain seperti Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia terutamanya ketika Perang Dingin dan sehingga kini. Walaupun negara lain di rantau Asia kurang selesa dengan penglibatan AS di rantau ini, Singapura memandang peranan AS sebagai amat penting dari segi dasar menegakkan undang-undang antarabangsa. Konsep rule of law ini juga menjadi tunjang dasar luarnya yang berpendapat bahawa undang-undang antarabangsa dan kod etikanya dapat menjamin kedudukan sebuah negara kecil di persada antarabangsa dan bukannya rule of might yang memberi justifikasi kepada negara besar menekan negara yang kecil. Peranan AS sebagai pengimbang kuasa besar lain di rantau Asia seperti China, Jepun dan Russia juga mempengaruhi dasar luar Singapura yang condong ke arah Barat.
Hubungan dan aktiviti ketenteraan Singapura pada peringkat antarabangsa diakui sebagai antara yang paling mantap jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Ini kerana menerusi hubungan dengan pihak luar berupaya meningkatkan kewibawaan angkatan tenteranya. Ia adalah manfaat latihan luar negara yang lebih realistik dan pendedahan pengalaman tempur doktrin operasi tentera asing misalnya hubungan dengan tentera Amerika Syarikat. Selain itu, hubungan pertahanan dengan negara-negara seperti Australia, New Zealand, Perancis, United Kingdom dan AS juga telah menjadi tunjang kepada kehadiran kuasa tentera ini di Singapura dan seterusnya meningkatkan keselamatan negara ini.
Diplomasi pertahanan termasuklah operasi kemanusiaan telah berperanan sebagai pembina keyakinan kepada hubungan negara serantau. Sebagai contoh, walaupun hubungan Malaysia dan Singapura yang mempunyai beberapa isu tertunggak, saluran komunikasi yang wujud melalui ketenteraan dan FPDA berjaya mengelakkan ia berlarutan menjadi konflik bersenjata. Walaupun hubungan serantau dan rangkaian pertahanan antarabangsa yang mendalam telah dipupuk oleh Singapura, ia bukanlah jaminan keselamatan kepadanya kerana perhubungan tersebut tidak berbentuk satu pakatan ketenteraan dan pastinya, Singapura mesti sentiasa bersedia untuk mempertahankan diri sendiri tanpa mengharapkan bantuan luar dengan menggunakan semua sumber yang ada.
DASAR PERTAHANAN SINGAPURA
Seperti yang diterangkan di atas, konsep penggubalan dasar luar dan terutamanya dasar pertahanan Singapura adalah berdasarkan realiti saiz, kedudukan dan kekurangan sumber asli yang mempengaruhi dimensi keselamatan dalam dan luar negara. Singapura menamakan prinsip dasar pertahanannya sebagai Total Defence. Ia merangkumi lima aspek iaitu: Ketenteraan, sivil, ekonomi, sosial dan psikologi.
Kesemua aspek ini perlu ditekankan dan diperkuatkan di peringkat individu dan nasional kerana kedua-duanya saling berkaitan. Di peringkat nasional, polisi yang mempengaruhi keseluruhan definisi masyarakat Singapura supaya memperkemaskan diri dari segi pertahanan manakala di peringkat individu pula menekankan sikap, tanggungjawab dan pelan untuk setiap rakyat melaksanakan program utama negara demi memperkukuhkan definisi Total Defence ini. Ketenteraan
Di peringkat nasional, kerajaan Singapura membelanjakan 6% daripada Keluaran Negara Kasar, KNK untuk tujuan pertahanan demi mencapai kemampuan cegahrintang walaupun sekitar tahun 1997, kebanyakan negara di rantau Asia mengurangkan perbelanjaan pertahanan mereka. Di peringkat individu pula, setiap lelaki perlu menjaga tahap kecergasan fizikal dan memfokus kepada latihan NS. Secara keseluruhannya, kesinambungan dari peringkat individu kepada nasional dapat menjamin anggota tentera yang cergas dan kuat. Kesan perbelanjaan ini terhadap kemampuan ketenteraan Singapura jelas dilihat apabila SAF menunjukkan peningkatan dari segi produktiviti dengan adanya peralatan yang sofistikated, infrastruktur yang moden dan mahal, program latihan luar negara serta pakej pendapatan yang lumayan. Kemampuan anggota SAF untuk bersedia beroperasi cukup mengagumkan kerana kemampuan ini diuji kerapkali dalam setahun menerusi media. Adalah menjadi prinsip Singapura untuk mengatasi negara-negara serantau yang lain dari segi teknologi ketenteraannya.
Kerjasama antara industri pertahanan tempatan dan kumpulan teknologi pertahanan MINDEF Singapura menjadi tunggak penyelidikan senjata dan kemampuan terbaru terutamanya dari aspek C3I iaitu arahan, kawalan, komunikasi dan risikan atau command, control, communications and intelligence. Secara tidak lansung, anggota tenteranya juga berpendidikan tinggi, suatu yang memberi kelebihan dari segi psikologi dan moral anggota SAF. Koordinasi antara ketiga-tiga jenis perkhidmatan; darat, udara dan laut, juga dipertingkatkan di bawah konsep peperangan intergrasi yang dilakukan menerusi latihan antara ketiga jenis perkhidmatan.Sivil Kesedaran mengenai pertahanan sivil juga ditekankan kerana sebagai sebuah negara yang kecil sekiranya mengalami serangan, bekalan air, elektrik dan masalah makanan pasti timbul maka rakyat harus bersedia dari semua segi untuk menghadapi ancaman.
Begitu juga ditekankan kepentingan kerja-kerja menyelamat apabila kerosakan awam akibat peperangan. Di peringkat nasional, dasar pertahanan awam memastikan keselamatan dan keperluan asas rakyat dijamin untuk meningkatkan semangat anggota tentera yang perlukan jaminan bahawa kebajikan keluarga mereka terjaga. Peneraju pertahanan sivil ialah Angkatan Pertahanan Sivil Singapura atau Singapore Civil Defence Force - SCDF di bawah Kementerian Dalam Negeri. Ia bertanggungjawab melatih rakyat dari segi kemahiran kerja-kerja menyelamat, evacuation, pertolongan cemas dan pengawalan kemusnahan. CDF memastikan rakyat Singapura biasa dengan peraturan dan prosedur perkhidmatan kecemasan dan bantuan kemanusiaan yang membekalkan bekalan kritikal seperti darah, air dan makanan.Simulasi dan latihan melibatkan orang awam juga diadakan dari semasa ke semasa bersama sukarelawan untuk mengadakan eksesais menguji kecekapan sistem amaran awam, pencatuan air dan makanan serta pusat perlindungan bom.
Ini memastikan di peringkat individu, setiap rakyat Singapura tahu apa yang perlu dilakukan di waktu kecemasan dan setiap individu diwajibkan menyertai secara aktif sewaktu latihan pertahanan sivil dijalankan. Kesannya, ramai rakyat Singapura mempunyai kemahiran menyelamatkan nyawa dengan pertolongan cemas, bantuan pernafasan, CPR atau mengawal api.
Ekonomi
Pertahanan ekonomi merangkumi dua dimensi; pertama mewujudkan pelan kecemasan dan penyusunan perancangan untuk memastikan ekonomi Singapura tidak terjejas teruk akibat peperangan. Ini merujuk kepada adanya bekalan makanan dan air yang mencukupi sekiranya kejadian yang paling buruk terjadi. Ia juga melibatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta yang berkongsi sumber dan mengagihkan sumber tersebut menerusi pejabat dan kilang-kilang yang dapat memainkan peranan apabila anggota tentera dikerah untuk berperang. Dimensi kedua pula merujuk kepada polisi ekonomi yang direka khas untuk menangani cabaran dan ancaman yang kuat menerusi tabiat perbelanjaan yang cekap, gunatenaga yang mahir dan terlatih. Di peringkat individu, rakyat Singapura diingatkan supaya meningkat tahap kemahiran dan ilmu untuk menghadapi cabaran era baru sebagai menjadi sebahagian daripada tenaga pekerja yang berilmu dan berteknologi tinggi.
Sosial
Dimensi sosial yang mencorakkan persepsi ancaman Singapura adalah ratio kaum Melayu dan Cina. Singapura mempunyai 77% rakyat Cina di rantau Melayu yang bermastautin di negara yang lebih besar, Malaysia dan Indonesia. Dengan hanya 14% golongan minoriti Melayu di Singapura, ketegangan mengenai isu pembangunan kaum Melayu seringkali menjadi bahan pertelagahan dengan Malaysia, khususnya yang merasakan bahawa kaum Melayu di Singapura mempunyai pertalian dengan Melayu di Malaysia. Dimensi ras inilah yang mempengaruhi isu kesetiaan di Singapura apabila polisi pertahanan digubal untuk mengutamakan rakyat berbangsa Cina menganggotai SAF.
Oleh kerana dari dimensi ras ini masih rapuh, pertahanan sosial dikatakan amat penting. Konsep ini menekankan kepentingan rakyat Singapura yang berbilang bangsa dan agama hidup dalam harmoni. Peluang sama rata antara pelbagai jenis kaum untuk mengamalkan budaya dan agama dilaungkan sebagaimana rakyat diingatkan supaya membantu sesama sendiri dan juga golongan yang kurang berupaya. Setiap tanggal 21 Julai, Singapura menyambut Hari Keharmonian Bangsa untuk mengingatkan rakyat agar tidak mengambil enteng keharmonian bangsa dan agama. Rakyat juga digalakkan melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan. Ia sekaligus cuba memupuk budaya memahami budaya orang lain dari segi pemakaian, pemakanan dan sebagainya. Konsep pertanggungjawaban sosial juga ditekankan menerusi program penglibatan dalam komuniti atau Community Involvement Programme terutamanya selepas alam persekolahan.
Psikologi
Pertahanan psikologi dikatakan antara aspek yang paling penting tetapi agak sukar untuk dipromosikan. Ia merujuk kepada konsep kesetiaan dan komitmen untuk membentuk negara bangsa Singapura menerusi tahap keyakinan rakyat terhadap konsep kenegaraan yang mereka mahu untuk masa depan Singapura. Menerusi konsep pendidikan nasional, sekolah-sekolah dan agensi pembentukan negara yang lain giat mempromosi simbol nasional, lagu-lagu patriotik dan sambutan hari kemerdekaan. Hanya dengan rakyat yang yakin dengan masa depan Singapura dapat melindungi hak mereka. Kesedaran cuba dipupuk menerusi pemahaman tentang sejarah Singapura serta melindungi negara daripada ancaman luar yang cuba mencabar pertahanan psikologi rakyat yang dikira masih lemah.
ANALOGI “UDANG BERACUN”
Bagi peruntukan belanjawan tahun 2006, Singapura telah mengumumkan kenaikan tahap perbelanjaan pertahanannya[2] sebanyak 7.4% menunjukkan bahawa kementerian pertahanannya mendapat keutamaan daripada sektor lain. Jumlah sebanyak 31.2% ini adalah daripada 29.68 billion dolar belanjawan tahun fiskal Mac 2006 bakal digunakan untuk tujuan membayar gaji dan elaun anggota tentera, penyelenggaraan peralatan dan kem serta pembelian aset ketenteraan. Kementerian pendidikan adalah yang kedua penting selepas pertahanan dengan memperoleh 20% daripada belanjawan negara itu. Menurut laporan AFP itu, sebagai sebuah negara yang kecil, Singapura mempunyai angkatan tentera darat, laut dan udara yang paling canggih di rantau Asia Tenggara kerana kementerian pertahanannya mendapat lebih sokongan kewangan berbanding kementerian lain. SAF mempunyai 4 buah kapal selam, satu flotilla lengkap dengan helikopter, kapal terbang, kapal pendaratan, kereta kebal dan kapal perang. Singapura juga dilaporkan bakal menggantikan jet pejuang Skyhawk dengan jet pejuang alaf baru yang boleh menelan belanja kira-kira satu billion dolar US.
Perkembangan terbaru seperti yang disebutkan di atas memberi gambaran bahawa bagi sebuah negara yang amat kecil, tumpuan terhadap pertahanan adalah amat jelas. Inilah yang dikatakan sebagai analogi udang beracun kerana walaupun kecil, tetapi kemampuan untuk menewaskan lawan yang berkali ganda lebih besar tidak boleh diragui sehinggakan bakal lawan akan memikir beberapa kali sebelum cuba menyerangnya. Bukan sahaja dari segi kewangan dan jumlah asetnya, semangat juang SAF juga tidak dapat dipertikaikan apabila menghayati lima mesej yang ingin disampaikan oleh program NS iaitu: Singapura adalah tanahair kita.
Di sinilah tempat kita.Singapura perlu dipertahankan. Kita mahu kekalkan warisan dan cara hidup kita.Singapura boleh dipertahankan. Bersatu, bersungguh-sungguh dan bersedia, kita pertahankan keselamatan tempat tinggal dan masa depan keluarga dan anak-anak kita.Hanya kita sahaja yang boleh mempertahankan Singapura. Orang lain tidak bertanggungjawab mengekalkan keselamatan kita. Kita boleh mencegah orang lain daripada menyerang kita. Dengan Total Defence, kita boleh hidup aman. Menurut Huxley (2000), kemampuan pertahanan Singapura berbanding Malaysia dan Indonesia jelas dilihat kerana Singapura mempunyai kelebihan ketenteraan dengan jumlah kereta kebal, meriam jarak jauh 155mm, jet pejuang yang terbesar di Asia Tenggara serta aset sokongan lain seperti pesawat amaran awal dan sistem pertahanan udara yang lengkap berbanding kedua-dua negara jiran itu.
Huxley juga menyebut bahawa selain faktor kuantitatif, faktor kualitatif adalah lebih penting kerana di situlah kekuatan SAF. Katanya, walaupun anggota SAF kurang berpengalaman di medan pertempuran, mereka adalah anggota tentera yang berpendidikan tinggi, terlatih dan cekap dari segi teknikal. Oleh kerana tingkat teknologi peralatannya yang tinggi, tahap pendapatan yang lumayan serta hubungan dan kerjasama sinergi antara tiga bidang perkhidmatan yang baik, SAF mempunyai kriteria penting sebagai angkatan tentera yang efektif berbanding angkatan dari negara lain di rantau Asia. Penggunaan teknologi adalah amat kritikal dalam memberikan kelebihan kepada SAF. Ini kerana pemilihan sistem persenjataan yang baik sebenarnya bermaksud kemampuan membinasa yang sama atau lebih kuat tetapi hanya memerlukan sejumlah kecil staf yang mengendalikan sistem itu.
Singapura memastikan seberapa banyak proses diautomasikan dengan penggunaan komputer untuk meningkatkan tahap kecekapan dan mengurangkan pergantungan tenaga manusia. Inilah kemampuan menambah anggota atau force multiplier yang membezakan antara angkatan tentera konservatif dengan anggota tentera alaf baru.Sebenarnya, analogi udang beracun ini dapat difahami dengan lebih lanjut apabila menilai perkembangan industri pertahanan Singapura. Dengan pendekatan yang dinamakan sebagai pembangunan pertahanan bersepadu atau integrated defence development, terdapat beberapa aspek yang boleh digabungkan untuk menghasilkan sinergi antara operasi dan teknologi, gunatenaga dan kerjasama antara sumber manusia dari kementerian pertahanan, SAF, industri pertahanan tempatan, tenaga akademik dan institusi penyelidikan.
Dengan penubuhan agensi sains pertahanan dan teknologi (DSTA), Singapura mampu melengkapkan industri pertahanan sekaligus meningkatkan kemampuannya. Kementerian Pertahanan Singapura mempunyai tiga komponen utama; teknologi, pentadbiran dan polisi pertahanan. Apabila penekanan diberi kepada aspek teknologi, ia memerlukan satu badan yang mampu menggubal dasar, membuat perancangan dan juga melaksanakan polisi dan pelan tersebut. Oleh kerana pihak kementerian ingin meningkatkan kemampuan dan kecekapan pengurusan ketiga-tiga aspek tersebut, DSTA yang sebelum ini dinamakan Defence Technology Group, DTG, ditubuhkan pada 15 Mac 2000. Akta DSTA memberikan kuasa eksekutif bagi pihak kementerian pertahanan untuk menjangka tren dan perubahan dalam industri pertahanan serta memberikan kelebihan strategik kepada SAF. DSTA mengamalkan beberapa pendekatan penting.
Pertama, merekacipta kelengkapan dan sistem mengikut keperluan strategik sendiri kerana ia kunci kepada pemahaman fungsi aset dan kelengkapan. Dengan mengetahui secara terperinci fungsi serta operasi peralatan itu, tahap kecekapan boleh dijangka, dinilai dan dimanipulasikan.
Kedua, menggunakan metodologi pengurusan menilai jangka hayat aset. Hanya dengan mengetahui ratio antara kos dan jangka hayat sesuatu aset dari segi operasi dan penyelenggaraan, keputusan pembelian yang tepat dapat dilakukan. Ini dapat memastikan bahawa sumber kewangan tidak dibazirkan. Dengan menginstitusikan pengurusan jangka hayat secara sistematik, segala perkembangan dari saat pembelian hinggalah ke tempoh usia usang aset tersebut dapat dilakukan dan pada setiap tahap perkembangan kos dan kemampuan dinilai secara berperingkat. Ini dapat memberikan penyelesaian secara kos efektif kerana aset perlu dinilai samada ia perlu diganti, ditukar ganti atau dinaik taraf.
Ketiga, konsep pembelian pintar yang berasaskan pengetahuan mengenai pasaran serta bagaimana mengeksploitasi kecekapan pasaran untuk menyesuaikan dengan keperluan dan spesifikasi. Tanpa kemahiran kejuruteraan sistem, proses mengintegrasi kemampuan sesuatu aset dengan komponen lain tidak dapat dicapai. Proses menggabungkan operasi komponen dapat menjamin persembahan yang lebih berkesan, seperti contoh menaik taraf pesawat A-4 dan F-5 tanpa bantuan pakar perunding luar.
Dengan kerjasama antara kumpulan syarikat Singapore Technologies, ST, contohnya, idea baru dapat diserap dalam aplikasi teknik perkomputeran untuk merekabentuk badan kapal dan penggunaan penyemburan jet air.
Pendekatan keempat, adalah mengintegrasi operasi dan teknologi antara jurutera pertahanan, saintis dan pengguna peralatan apabila jurutera dan saintis turut serta dalam eksesais ketenteraan SAF. Menerusi kerjasama ini, pakar teknikal tersebut dapat menilai persembahan, kemampuan dan mengenalpasti permasalahan aset. Ini sekaligus telah memendekkan masa pembangunan sistem yang kompleks dan reka cipta sistem persenjataan seperti kenderaan tempur Bionix Infantry. Contoh yang lain adalah kemunculan rifel SAR21, hasil sinergi antara SAF, DSTA dan industri pertahanan tempatan.Oleh kerana proses pembelian itu amat kompleks, Singapura sentiasa mencari cara yang lebih efektif dan berinovatif dalam menilai dan membeli aset baru.
Seperti kebanyakan negara lain, pembelian produk Comercial-Off-The-Shelf, COTS juga menjadi pilihan Singapura kerana produknya banyak menyediakan sistem perisian yang berteknologi tinggi dan yang sedia digunakan. Pembelian produk COTS membantu mengenalpasti tahap teknologi terbaru yang digunakan pelbagai angkatan tentera lain selain memberikan kos dan sokongan selepas belian yang memuaskan. Dari aspek pembelian juga, kekuatan kemampuan pertahanan tidak mungkin diperolehi tanpa wujud satu sistem pembelian yang sistematik dan bertaraf antarabangsa. Singapura menggunakan piawaian ISO-9000 dalam sistem pembelian berdasarkan konsep telus dan beretika. Segala urusan pembelian dan mendapatkan kontrak adalah terus-menerus dan tidak melibatkan pihak ketiga.
Dengan dibantu oleh prinsip asas iaitu mencari sistem kos efektif yang terbaik, pihak kontraktor diminta agar memahami keperluan dan kehendak pelanggan dari segi teknologi, sokongan jangka panjang peralatan alat ganti dan pembaikan termasuk harga.Bagi program berskala besar, kertas cadangan tender dinilai secara intensif menggunakan proses analitikal hirarki atau analytical hierarchical process, AHP. Ini bermaksud segala aspek teknikal, penjadualan, kewangan dan nilai komersil sesuatu cadangan dinilai untuk mendapatkan sistem yang paling kos efektif. Penerimaan tender adalah berdasarkan kriteria tersebut tanpa mengira punca atau negara penjual. Kesemua pendekatan di atas mencerminkan ketelitian dan keseriusan Singapura menilai aset ketenteraan dari semua segi dan inilah faktor yang membantu memperkuatkan SAF dan sistem sokongannya. Berbeza daripada sistem pembelian aset negara lain yang dikaitkan dengan tahap rasuah yang tinggi tetapi tidak memperoleh aset yang cekap, kos efektif dan berkesan, Singapura mengambil kira semua aspek secara sistematik, telus dan kos efektif.
Ini merupakan aspek kualitatif yang menjamin kekuatan SAF secara keseluruhan.Selain daripada memperincikan proses pemilihan hingga ke pembelian aset, Singapura juga membudayakan kementerian pertahanannya menggunakan internet sebagai alat meningkatkan kecekapan dan kecanggihan sistem pentadbirannya. Bermula April 1998, Singapura telah melancarkan sistem pembelian internet kementerian pertahanan, Ministry of Defence Internet Procurement System, MIPS agar kementerian itu dapat menerima sumber dari pasaran antarabangsa. MIPS selamat digunakan kerana ia menggunakan sistem public encryption technology menerusi kad pintar. Rakan dagangan yang berdaftar boleh menghantar invois terus kepada kementerian dengan wujudnya kad pintar kerana ia selamat dan dirahsiakan. Sistem ini juga memudahkan pembekal dalam dan luar negara berunding terus dengan kementerian serta menubuhkan rangkaian pembekalan yang diintegrasikan dengan sistem pembelian, logistik dan kewangan kementerian.
Ia melancarkan sistem pencarian, memproses permintaan, pengurusan penghantaran dan inventori hinggalah ke proses penyediaan invois. Kini, MIPS mempunyai rangkaian e-dagang dengan AS.Adalah amat jelas dengan perancangan terperinci, SAF dibantu oleh agensi sokongan yang menjamin pemilihan kelengkapan, penyelenggaraan dan operasi ketenteraan yang berkualiti tinggi. Ini telah memperkuatkan analogi udang beracun kerana secara perbandingan, Singapura memang mempunyai kemampuan ketenteraan yang efektif dan menggerunkan. Walaupun saiznya yang kecil menjadi sumber kelemahan geo-strategik, tetapi dasar pertahanannya mencerminkan komitmen tinggi untuk mencapai tahap cegahrintang dan kemampuan mematahkan serangan terhadapnya pada tahap maksima.
KESIMPULAN
Menurut penilaian Huxley, walaupun SAF jelas mempunyai aset ketenteraan yang hebat berbanding angkatan lain di rantau Asia Tenggara, ia mempunyai kelemahan yang masih perlu diperbaiki dan mungkin menjadi penentu menang atau kalahnya dalam peperangan. Secara amnya, Singapura mempunyai kekuatan dari segi kecekapan dan produktiviti industri, komersil dan sektor awam yang secara tidak lansung mempengaruhi prestasi SAF secara keseluruhan. Kadar rasuah yang rendah juga membantu keberkesanan pentadbiran pertahanan Singapura menerusi pengurusan beretika dan telus seperti yang digariskan oleh DSTA.
SAF dikenali sebagai angkatan tentera yang mementingkan penggunaan teknologi tinggi dengan melatih anggotanya memahami aspek teknikal penggunaan senjata dan sistem pengendaliannya. Dengan bantuan penyelidikan dan pembangunan, R&D, kemampuan operasinya berjaya ditingkatkan apabila majoriti anggotanya berpendidikan tinggi dan mudah diasimilasikan dengan teknologi pertahanan. Semangat juang anggota SAF juga dikatakan tinggi dengan bantuan serta pakej pendapatan yang lumayan dan kelengkapan yang canggih. Menerusi sistem biasiswa SAF dan skim dua kerjaya, pegawai tinggi tentera dapat diserapkan ke dalam sistem politik dan pentadbiran kerajaan Singapura. Ini membantu mengekalkan kepentingan pertahanan dan keperluan strategiknya kerana perwakilan di parlimen sudah wujud untuk memastikan kepentingan keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Walaupun begitu, terdapat beberapa kelemahan fundamental yang masih menghantui kerajaan Singapura. Selepas lebih 30 tahun program NS dilaksanakan, ia masih lagi dianggap sebagai bebanan untuk masyarakat Singapura yang majoritinya adalah kaum Cina. Disebabkan usia Singapura yang masih muda, rakyatnya ketandusan pemahaman mengenai sejarah penubuhannya serta tanpa wira-wira untuk disanjung dan tidak ada tradisi yang membantu mengukuhkan semangat setiakawan di kalangan anggota SAF dan masyarakat Singapura secara amnya.
Hakikat bahawa SAF tidak pernah diuji juga menjadi sumber kebimbangan kerana ramai anggotanya terdiri dari generasi muda yang tidak pernah bertempur di medan perang, malah lebih dikenali sebagai pengurus teknokrat daripada sebagai seorang pegawai tentera. Skim biasiswa SAF juga dikatakan hanya mencuri masa pegawai SAF sebelum mereka berpindah menjawat jawatan yang lebih berkuasa dan bergaji tinggi.
Kesan polisi ke atas kumpulan minoriti Melayu yang kini mengalami jurang perbezaan yang besar dari pelbagai segi telah sedikit sebanyak melemahkan konteks keharmonian sosial Singapura. Sikap kerajaan majoriti Cina yang sentiasa syak wasangka terhadap kumpulan ini telah meningkatkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat berbangsa Melayu. Ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada konsep keharmonian pelbagai bangsa di Singapura.
Walau bagaimanapun, Singapura tetap mementingkan teknologi sebagai satu “bisa” yang menjamin kekuatan SAF. Sebahagian besar pelaburan masa depan kementerian pertahanan Singapura adalah dalam pembinaan kemampuan peperangan elektronik, EW. Sejak tahun 1992 lagi, Singapura telah mewujudkan doktrin perang radio elektronik yang mengintegrasikan EW dengan kebolehan merisik, gangguan fizikal dan penipuan. Segala sistem sokongan EW, komunikasi dan sistem perisikan elektronik terus menjamin kedudukan Singapura melangkaui angkatan tentera yang lain di rantau Asia Tenggara.
Walaupun Malaysia cuba meningkatkan kemampuan teknologi ketenteraannya, Singapura jauh ke hadapan dan terus merangka polisi menyediakan anggotanya menangani cabaran keganasan antarabangsa.
Kesimpulannya, Singapura kekal umpama udang beracun dari segi penguasaan teknologi dan mempunyai aset yang canggih, terkini dan berkesan. Tetapi sekiranya ia terus melibatkan diri dalam operasi kemanusiaan atau campur tangan di luar negara, kemampuannya untuk mengerah tenaga dalam negara akan terbatas. Ia masih terhad, tetapi dengan perancangan rapi, sebagai negara yang kecil dengan pelbagai kelemahan, ia masih mampu menjadi kuasa besar.
Sumber : http://syaitan.wordpress.com/
Labels:
Pengganas,
Pengkhianat,
Penjajah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment