Pages

Friday, July 4, 2008

Tindakan polis menyeret sama Angkatan Tentera Malaysia

Tindakan polis menyeret sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berdepan sebarang tunjuk perasaan oleh rakyat di negara ini boleh ditafsir sebagai suatu persiapan Barisan Nasional (BN) mengistiharkan undang-undang darurat.

Ketika menegaskan perkara ini, Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid turut mempersoalkan apakah langkah ini menunjukkan Ketua Polis Negara akan mengheret sama pasukan tentera ke kancah politik?

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyuarakan tentang keperluan pihak polis meminta bantuan pasukan tentera dalam mengawal dan mengawasi ketenteraman awam.

Saranan Musa yang mahu polis dan tentera bergabung, sebenarnya lebih menyerlahkan kelemahan pasukan polis yang tidak mampu untuk berdepan dengan bantahan rakyat sehingga tentera terpaksa dikerah dan diseret sama, ujar Azmi.

Tanya beliau, jika tugas utama tentera adalah untuk menjaga kedaulatan wilayah dan persempadanan negara dari pencerobohan pihak luar, kenapa mereka perlu dilibatkan dalam menjaga ketenteraan awam.

"Jika pihak yang berkenaan (polis) tidak mampu berfungsi menjaga keselamatan awam, apa gunanya Ketua Polis Negara terus memegang jawatan itu?

"Mengugut rakyat dengan gabungan tentera dan polis adalah suatu tindakan yang diluar bidang kuasa tentera khususnya dan bersifat provokasi,"katanya.

Pihak polis dan tentera, dakwa Azmi seolah-olah mengantisipasi sesuatu tindakan liar yang akan dibuat oleh orang ramai semasa demonstrasi yang dikatakan akan diadakan pada 6 Julai ini, anjuran sebuah badan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Protes.

Beliau turut mempersoalkan apakah rancangan itu bertujuan untuk mewujud dan menegangkan keadaan sehingga kewajaran undang-undang darurat digunakan pada masa itu.

Azmi mendesak Ketua Polis Negara agar menarik semula kenyataan tersebut kerana ia menghantar mesej yang salah kepada rakyat dan ia di luar bidang kuasanya.

0 comments:

Post a Comment