Pages

Sunday, July 27, 2008

Al-Kesah Kerbau Jantan

Kesah ini telah kita dengar dari zaman berzaman. Datuk kita telah tahu cerita ini. Nenek kita juga telah mendengar cerita ini. Kemudian nenek bercerita kesah yang sama kepada emak kita. Emak kita pula bercerita kepada kita. Kemudian apabila kita masuk sekolah kita dapat pula membaca cerita yang sama.


CERITANYA : Ada seorang Anak Muda yang telah di pilih olih orang kampung untuk menjadi Tok Penghulu Baru. Belum pun sempat dia menjadi Tok Penghulu dia telah menghadapi satu masalah besar. Seekor kerbau jantan di kampungnya telah hilang.

Seluruh kampung menjadi heboh. Kerbau jantan yang hilang ini di miliki seorang Ibu Tunggal beranak tiga yang tinggal di hujung kampung. Kerbau jantan ini sajalah harta yang telah ditinggalkan olih arwah suami perempuan ini.

Bila berita ini tersebar luas, Anak Tok Penghulu Lama bergegas datang ke rumah Ibu Tunggal ini. Dia memberikan beras, gula, garam, kelapa, labu, ikan salai dan sayur bayam sebagai tanda belas kasihan kepada Ibu Tunggal. Dia juga bersumpah akan mencari kerbau jantan yang hilang itu.

Anak Tok Penghulu Lama yang tidak terpilih untuk menjadi Tok Penghulu Baru ini telah menunjukkan rasa kecewa kepada Anak Muda yang bakal menjadi Tok Penghulu Baru kerana gagal menjaga keselamatan kampung. Dia juga merasa kecewa dan marah kepada orang kampung kerana mereka tidak memilih dia sebagai bakal Tok Penghulu Baru.

Anak Tok Penghulu Lama merasakan orang kampung telah salah pilih. Dia berkata dialah yang paling bijak dalam kampung ini untuk menjadi Tok Penghulu Baru kerana dahulu arwah ayahnya juga seorang Tok Penghulu. Dia juga merasa layak kerana dia memiliki tanah sawah yang luas, banyak ayam, itik, lembu dan kambing. Dia juga ramai pengikut yang setia.

Kemudian di hadapan orang-orang kampung Anak Tok Penghulu Lama ini dengan bangganya telah mengarahkan Dua Budak Suruhan untuk mencari kerbau yang hilang itu. Dia mengarahkan Dua Budak Suruhan ini agar mencari kerbau jantan itu sampai dapat.

Sebenarnya orang kampung tidak memilih Anak Tok Penghulu Lama menjadi Tok Penguhulu Baru kerana orang kampung tidak suka dengan perangainya. Anak Tok Penghulu Lama ini memang betul banyak harta. Memang betul dia banyak ayam, itik, lembu dan kambing. Memang betul dia ramai pengikut yang setia. Tetapi tingkah lakunya tidak disukai.

Anak Tok Penghulu Lama ini tidak boleh melihat anak dara atau isteri orang yang berdahi licin - semua habis dikebasnya. Orang kampung juga tahu dia ada menyimpan seorang gundek. Gundek ini di simpan di sebuah pulau. Dia selalu berulang alik ke pulau itu.

Satu masa dahulu Anak Tok Penghulu Lama ini telah menceraikan isteri pertamanya. Dia telah menuduh bahawa isteri pertamanya sasau. Tetapi orang kampung tahu isteri pertamanya seorang perempuan yang baik dan tidak sasau. Orang kampung juga tahu semasa dia menceraikan isterinya, dia sedang gilakan isteri orang.

Mengikut yang empunya ceritanya Anak Tok Penghulu Lama ini telah mengarahkan Dua Budak Suruhan untuk menghalau suami perempuan itu pindah ke kampung yang lain. Bila si suami telah berpindah maka dia pun berkahwin dengan Mak Janda itu. Cerita Anak Tok Penghulu Lama kahwin Mak Janda ini telah cuba disorokkan tetapi semua orang kampung tahu.

Orang kampung sedar tentang perangai buruk Anak Tok Penghulu Lama ini. Hanya penyokong dan pengikut setia Anak Tok Penghulu Lama ini sahaja yang pura-pura buat tidak tahu. Ini kerana mereka ingin mencari makan atau bekerja di sawah milik Anak Tok Penghulu Lama. Kerana itu para pengikut setianya buat-buat pekak badak.

Al-kesah punya kesah – orang kampung pun sibuklah mencari kerbau jantan yang hilang. Anak Muda bakal Tok Penghulu Baru pun turut sama mencari kerbau jantan yang hilang ini.

Dua Budak Suruhan Anak Tok Penghulu Lama berpura-pura berjalan ke serata pelusuk kampung untuk mencari kerbau yang hilang. Sebenarnya mereka tahu di mana kerbau jantan itu di simpan. Ini kerana Dua Budak Suruhan telah mencuri kerbau jantan itu tiga hari dahulu dan menyorokkan kerbau jantan ini dalam gua batu di tepi hutan.

Cerita kerbau jantan yang hilang ini adalah perancangan Anak Tok Penghulu Lama. Dia sedang merancang untuk memalukan Anak Muda yang bakal menjadi Tok Penghulu Baru. Jika Anak Muda ini dapat dimalukan maka pastilah dia tidak akan di angkat untuk menjadi Tok Penghulu Baru.

Ketika orang kampung sibuk ke hulu ke hilir, Dua Budak Suruhan ini secara senyap-senyap telah mengambil kerbau jantan dari gua batu dan membawanya ke rumah Anak Muda bakal menjadi Tok Penghulu Baru. Kemudian Dua Budak Suruhan ini berlari-lari keliling kampung sambil menjerit-jerit yang kerbau jantan telah dijumpai.

Apabila orang kampung mendengar jeritan ini mereka kembali berkumpul. Dengan termengah-mengah Dua Budak Suruhan ini telah menerangkan yang kerbau jantan itu telah ditemui. Untuk membuktikan siapakah yang telah mencuri kerbau jantan ini, Dua Budak Suruhan mahu orang kampung datang sama melihat di mana kerbau jantan ini disorokkan.

Ketika semua ini berlaku Anak Muda bakal Tok Penghulu Baru masih lagi mencari kerbau jantan bersama beberapa orang kampung. Apabila mereka mendapat tahu yang kerbau ini telah ditemui kembali maka mereka merasa senang hati dan berundur pulang.

Apabila Anak Muda sampai ke kawasan rumahnya dia terperanjat kerana orang ramai sedang berkumpul mengelilingi Anak Tok Penghulu Lama. Anak Muda tidak tahu menahu kenapa orang ramai berkumpul di halaman rumahnya. Dia terperanjat besar apabila terlihat kerbau jantan itu sedang terikat di tangga rumahnya.

Semua orang kampung menjadi hairan dan tertanya-tanya bagaimana kerbau jantan ini terikat di tangga rumah Anak Muda ini kerana ketika mereka lalu lalang di hadapan rumah ini mereka tidak melihat kerbau jantan itu.

Dengan pantas Dua Budak Suruhan ini menjawab bahawa kerbau jantan ini telah di temui tersorok di atas katil Anak Muda. Kerbau jantan ini ditemui sedang tidur di atas katil. Kerbau jantan ini telah diselimutkan dengan kain cadar kerana itu orang kampung tidak dapat melihatnya.

Dua Budak Suruhan ini terus menuduh Anak Muda sebagai pencuri kerbau jantan kerana kerbau jantan ini telah ditemui tidur di atas katilnya. Dengan serta merta Anak Tok Penghulu Lama bangun bersuara dan meminta agar Anak Muda ini tidak di lantik menjadi Tok Penghulu Baru. Dia mahu Anak Muda ini di tangkap dan di pasong untuk di sula.

Pengikut-pengikut setia Anak Tok Penghulu Lama dengan serta merta menangkap dan mengheret Anak Muda untuk di sula. Suasana menjadi tegang. Orang kampung terpinga-pinga apabila mendengar dan melihat semua ini sedang berlaku di hadapan mata mereka.

Tiba-tiba muncul seorang Budak Lelaki bertanya dengan nyaring : "Bagaimana kerbau jantan ini dapat naik tangga dan tidur di atas katil itu?"

Bila soalan ini terkeluar dari mulut Budak Lelaki ini, orang kampung pun berpandangan sesama sendiri sambil menggangguk kepala. Orang kampung mula sedar bahawa cerita dari mulut Dua Budak Suruhan ini tidak masuk akal. Macam mana kerbau boleh naik tangga. Ini betul-betul cerita yang tidak masuk akal.

Orang kampung menjadi marah kerana mereka cuba dibodohkan. Mereka melepaskan Anak Muda yang sedang terikat. Kemudian mereka bangun beramai-ramai dan menghambat Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan. Orang kampung menghambat mereka dengan cangkul dan parang. Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan lari lintang pukang meninggalkan kampung.

Mengikut al-kesahnya, Anak Tok Penghulu Lama dan Dua Budak Suruhan lari dari kampong hingga ke Pekan. Demikianlah kesah cerita turun temurun yang disampaikan olih nenek kepada cucu dan cucu kepada cicit.

Walah hu alam bisawab.


Drama itu tadi dilakonkan oleh;

Najib Tun Razak sebagai anak tuk penghulu lama
Rosmah sebagai mak janda
Altantuya sebagai gundek
Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anak muda penghulu baru
Saiful Bukhari Azlan sebagai KERBAU (siannya..berlakon sebagai kerbau jer..)
Musa Hassan budak suruhan 1
Gani Patail Budak suruhan 2
orang kampung..kite sume

0 comments:

Post a Comment