Pages

Monday, July 14, 2008

Remaja seronok hidup liar

KUALA LUMPUR: Ada ibu dan ayah tetapi memilih untuk menempah bala apabila lari dari rumah dan sanggup tinggal bersama pelbagai jenis lelaki yang baru dikenali semata-mata untuk hidup bebas tanpa sekatan.

Itulah kisah memalukan dua beradik yang tidak pernah insaf walaupun sepanjang melarikan diri sejak lebih tiga tahun lalu mereka menempuh pelbagai peristiwa hitam, termasuk hampir dijual kepada lelaki hidung belang dan sindiket pelacuran.

Sepanjang tempoh hanyut dalam dunia kehidupan yang tidak menentu itu, dua beradik terbabit juga merelakan diri dinodai lelaki seusia atau jauh lebih tua dan ada masanya terpaksa 

menagih simpati lelaki untuk mendapatkan barangan keperluan, makan dan minum.

Metro Ahad berjaya mendekati dua adik beradik itu yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 19, dan Iza, 18, menerusi seorang sumber yang mengenali mereka.

Begitupun, pada mulanya dua beradik itu enggan bekerjasama kerana bimbang dikesan keluarga dan lelaki yang pernah ‘dikenakan’ mereka, tetapi selepas diberitahu kisah mereka perlu dijadikan pengajaran untuk remaja dan ibu bapa, mereka bersetuju ditemubual.

Sepanjang temubual, Wati lebih banyak banyak bercakap berbanding Iza, tetapi sesekali dia tetap mencelah. Biarpun kini bersama, dua beradik itu memiliki pengalaman hidup berbeza kerana mereka sebelum ini ‘dinaungi’ lelaki berbeza.

Menurut Wati, dia mula lari dari rumah sejak usia 16 tahun dan ketika itu dia banyak bercampur dengan Mat Rempit. Sejak itu juga dia meninggalkan alam persekolahan.

“Yang saya ingat, pertama sekali saya lari ketika masih menuntut di tingkatan empat. Saya menumpang di rumah rakan wanita. Selepas itu saya berkawan dengan seorang Mat Rempit sebelum mengikuti kumpulannya dan tinggal di rumah sewa mereka,” katanya.

Wati berkata, selain merelakan diri dinodai kekasih, dia turut dinodai rakan kekasihnya.

“Nak buat macam mana. Dah duduk di rumah mereka, terpaksa akur dengan permintaan mereka. Kalau tidak, tak adalah dapat barang keperluan harian, makan dan minum,” katanya yang bercerita dengan selamba seolah-olah tidak melakukan dosa.

Menurut Wati, kadangkala dia dinodai secara paksa oleh lima orang sekali gus, tetapi tidak mahu melaporkan kepada polis kerana tidak mahu tinggal bersama keluarga.

“Saya mahu hidup bebas. Kalau saya lapor kepada polis, keluarga mesti tahu dan saya kena balik ke rumah,” katanya.

Wati berkata, cara hidupnya tak susah. “Kalau kumpulan Mat Rempit yang saya tumpang rumah mereka mula (bertindak) lebih-lebih sangat, saya cari kumpulan Mat Rempit lain. Bagaimanapun, saya tetap menerima layanan sama. Namun, saya tak kisah,” katanya.

Menurut Wati, selepas setahun menumpang dengan Mat Rempit, dia berkenalan pula dengan beberapa lelaki yang jauh lebih tua daripadanya tetapi masih bujang.

“Kebanyakan mereka berusia sekitar 40-an. Ada yang memang bujang dan ada yang duda. Mereka bukan orang kaya, tetapi melayan saya dengan baik sehingga saya anggap mereka sebagai bapa angkat.

“Bosan dengan kehidupan bersama Mat Rempit, saya menumpang pula di rumah dua daripada mereka yang saya anggap seperti bapa angkat,” katanya.

Wati berkata, pada mulanya dia dilayan bagai menatang minyak yang penuh oleh bapa angkatnya, tetapi lama kelamaan dia diperlakukan seperti hamba seks.

“Mula-mula semua yang saya hendak, saya dapat. Baju, alat solek, makan dan minum semua ditaja. Lama-kelamaan semua yang diberi rupa-rupanya perlu balasan, iaitu khidmat seks,” katanya.

Wati berkata, dia hanya sempat menumpang bersama dua bapa angkat selama beberapa bulan sebelum berjaya dikesan keluarganya.

“Saya dihantar ke pusat pemulihan akhlak selama enam bulan, tetapi selepas itu saya tetap dengan perangai lama apabila melakukan perbuatan sama, lari dari rumah.

“Saya menumpang lagi di rumah bapa angkat yang baru dikenali. Bagaimanapun saya hanya sempat bersamanya beberapa minggu kerana dia mahu menjual saya kepada orang lain.

“Mujur saya dapat maklumat itu daripada rakannya. Rakannya beritahu, saya hendak dijual kepada ahli perniagaan dulu dan kemudian sindiket pelacuran dengan harga antara RM4,000 hingga RM7,000,” katanya.

Berbanding kakaknya, Iza pernah menghadapi saat lebih perit. Akibat pergaulan bebas dengan sekumpulan Mat Rempit, dia dirogol bergilir-gilir oleh enam Mat Rempit selepas dia mengikut mereka ke sebuah rumah di Petaling Jaya.

“Saya bagaikan objek permainan seks ketika dikurung di rumah itu. Nasib baik penderitaan itu hanya beberapa hari. Kemudian saya diselamatkan oleh seorang daripada Mat Rempit yang menjadikan saya teman wanitanya.

“Saya tinggal bersama Lan (nama panggilan) selama beberapa bulan dan kami hidup bagaikan suami isteri di sebuah rumah flat di ibu kota,” katanya yang menyifatkan hidup ketika itu penuh keseronokan dan kebebasan daripada kongkongan keluarga.

Bagaimanapun, katanya, ‘kebahagiaan’ hidup bersama Lan tidak kekal lama. Lan mula berubah sikap apabila Iza hamil.

“Dia tidak mahu bertanggungjawab dan menghalau saya dari rumahnya. Lagi pun ketika itu dia ada ‘awek’ (teman wanita) baru. Saya hilang tempat bergantung,” katanya.

Menurut Iza, selepas dihalau, dia menumpang dari satu rumah ke rumah lain, semuanya di kalangan Mat Rempit sehingga diperkenalkan dengan seorang lelaki yang sanggup mengambilnya sebagai anak angkat.

Katanya, lelaki itu sanggup menampung hidupnya, termasuk kos menggugurkan kandungan di sebuah klinik swasta. Iza juga ditempatkan di sebuah rumah dan dijaga dengan baik.

Bagaimanapun, sama dengan lelaki lain yang dikenalinya, bapa angkat itu juga ‘memakainya’ dengan menjadikan dia seperti perempuan simpanan.

Bagaimanapun, hubungan dengan bapa angkat itu tidak lama apabila akhirnya Iza disuruh keluar dari rumah kerana tidak tahan dengan peraturan lelaki itu yang menghalangnya keluar dan bercampur dengan lelaki sebaya.

Selepas itu Iza sekali lagi bergelandangan bersama Mat Rempit. Walaupun pernah pulang ke rumah, dia tidak betah tinggal lama di rumah kerana suasana rumah yang disifatkan tidak bebas dan terkongkong.

Kini Iza bersama kakaknya menumpang di rumah seorang lagi bapa angkat, tetapi masih tetap keluar dengan pelbagai jenis lelaki. Dua beradik ini juga masih enggan pulang ke rumah kerana mahu hidup bebas.

“Saya dan adik belum bersedia pulang ke rumah. Kalau duduk di rumah, macam duduk di neraka. Abang selalu memukul dan memijak kepala kami,” kata Wati.

Ditanya perancangan masa depan, Iza dan Wati memberitahu, mereka mahu bekerja dan satu hari nanti membalas balik jasa ibu bapa yang ditinggalkan.

Wati berkata, dia mahu menjadi model dan dijanjikan oleh seorang peniaga gerai makanan yang mengaku ada kenalan dari syarikat model di ibu kota.

“Abang itu (peniaga) janji hendak datang dan ambil gambar saya di rumah, selepas itu dia hendak beri gambar saya pada kawannya dan jadikan saya model,” katanya.

Bagaimanapun, Wati tidak dapat memberi jawapan apabila ditanya sama ada dia yakin dengan janji lelaki yang hanya bekerja sebagai peniaga makanan itu.

Baik Wati mahupun Iza, kedua-duanya masih tidak serik hidup bebas, jauh daripada keluarga. Bagi mereka, kehidupan sedemikian lebih bahagia walaupun sering ditiduri bermacam jenis lelaki demi mendapatkan wang mencukupi untuk membeli makanan, pakaian atau mengisi kredit telefon prabayar.

Masalah penyakit kelamin atau HIV tidak pernah difikirkan, asal saja ada tempat berteduh di situ boleh dijadikan tempat melakukan adegan berahi.

“Sudahlah ya abang, saya dan adik (Iza) hendak keluar (dari rumah), ada kawan hendak jumpa,” katanya yang berjalan beriringan menuju lif kira-kira jam 12 tengah malam.

0 comments:

Post a Comment