Pages

Wednesday, July 9, 2008

Majikan Disaran Tingkatkan Tahap Keselamatan Dan Kesihatan Di Tempat Kerja

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Majikan diseru supaya menggunapakai Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (0SH-MS) berdasarkan Standard Malaysia (MS1722:2003) demi meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Menyeru demikian, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap semua organisasi menjadikan sistem berkenaan sebagai satu panduan dalam menyediakan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerja.

"Kerajaan sangat prihatin dan inginkan semua warga kerja menikmati kehidupan yang berkualiti tanpa ditimpa musibah, kemalangan atau penyakit di tempat kerja," katanya dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2007 di sini malam ini.

Katanya, kerajaan telah melaksana pelbagai strategi dan program bagi mencapai matlamat membudayakan cara kerja yang selamat dan sihat.

Sistem berkenaan boleh dilaksanakan secara bersepadu dengan sistem-sistem pengurusan yang lain, tambahnya.

Kerajaan turut mewujudkan sistem perundangan yang komprehensif yang merangkumi hampir keseluruhan bidang pekerjaan di negara ini, kata Abdullah.

Kerajaan juga telah mengadakan program kesedaran seperti minggu keselamatan dan kesihatan, seminar dan anugerah kecemerlangan, katanya.

Beliau menyeru semua pihak yang terlibat dalam bidang keselamatan supaya terus berusaha dan mempertingkatkan kecemerlangan secara berterusan.

"Persekitaran kerja yang selamat dan sihat akan memberi keyakinan kepada para pekerja bahawa kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa dijaga dan akan menjadi satu motivasi kepada mereka untuk berusaha dengan tekun dan memberikan yang terbaik kepada organisasi," kata Abdullah.

Majikan dan pihak pengurusan perlu melihat peningkatan dari segi tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja sebagai pelaburan jangka panjang dan bukan sebagai kos tambahan, ujar beliau.

Di antara cabaran yang dihadapi oleh kerajaan adalah untuk mengubah minda individu supaya mengambil berat dan menganggap isu keselamatan dan kesihatan sebagai tanggungjawab bersama, kata Perdana Menteri.

Keselamatan dan kesihatan pekerja perlu menjadi satu tanggungjawab utama pengarah urusan selaku majikan dan bukannya dipertanggngjawab kepada individu tertentu sahaja, katanya.

Latihan dan maklumat mengenai keselamatan dan kesihatan harus diberikan kepada setiap pekerja dari masa ke semasa.

"Namun yang lebih penting adalah memberi kuasa kepada pekerja, empowering the worker agar mereka bekerja dengan selamat dan sihat," katanya.

Pekerja juga perlu diberikan kefahaman bahawa menjadi hak mereka untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat, kata beliau.

Pekerja juga perlu sedar mengenai tanggungjawab mereka untuk tidak membahayakan diri ataupun orang lain, kata Abdullah.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dan Timbalannya Datuk Noraini Ahmad yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) adalah antara kira-kira 1,000 orang yang menghadiri majlis tersebut.

Syarikat Petroleum Nasional, Petronas, menggondol dua anugerah emas menerusi anak syarikatnya Petronas Gas Berhad (Pejabat Operasi Serantau di Segamat) bagi kategori Kemudahan Gas; dan Petronas Carigali (Terminal Gas Sabah) bagi kategori Pengilangan Industri Besar - Petroleum/Gas/Kimia.

Sebanyak 55 syarikat dalam pelbagai industri menerima anugerah cemerlang bagi keselamatan dan kesihatan pekerjaan kebangsaan dalam pelbagai kategori yang dianjurkan oleh MNKKP.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment