KAHERAH: Pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) menegaskan, pertubuhan pimpinannya akan meneruskan jihad terhadap Israel dan sekutunya sehingga berjaya membebaskan Palestin.
Mesejnya itu dikeluarkan selepas Presiden Amerika Syarikat, George W Bush menamatkan lawatannya ke Israel untuk meraikan ulang tahun ke-60 negara Yahudi itu.
Osama berkata, perjuangan membantu rakyat Palestin adalah faktor terpenting yang mendorong jihad al-Qaeda terhadap kuasa Barat dan antara penyebab utama mengapa 19 orang melakukan serangan bunuh diri terhadap Amerika pada 11 September 2001.
“Kepada negara Barat, ucapan ini adalah bagi memberi mereka kefahaman sebab utama peperangan di antara kami dan orang awam anda. Maksud saya ialah perjuangan untuk Palestin,” kata Osama dalam mesej selama 10 minit itu.
“Perjuangan untuk Palestin adalah isu utama bagi negara Islam. Ia adalah elemen penting mendorong saya sejak dulu lagi dan 19 yang lain untuk berjuang bagi pihak mereka yang ditekan dan dilayan secara tidak adil,” tegas Osama.
Kesahihan mesej itu tidak dapat dipastikan tapi ia disebarkan menerusi laman web yang selalunya digunakan oleh al-Qaeda dan suaranya juga sama seperti yang terdapat di dalam pita audio Osama.
IntelCenter, sebuah kumpulan Amerika yang memantau lalu lintas mesej al-Qaeda berkata mesej audio itu dikepilkan bersama gambar Osama memakai jubah putih dan serban di sebelah gambar masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis.
Pemimpin al-Qaeda itu percaya media Barat mampu mempengaruhi orang ramai dalam tempoh lebih 60 tahun dengan “menggambarkan Yahudi yang menduduki bumi ini, sebagai mangsa dan pada masa yang sama menggambarkan warga Arab sebagai pengganas.”
“Enam puluh tahun lalu, negara Israel tidak wujud. Malah ia ditubuhkan di bumi Palestin secara paksa,” kata Osama. “Rakyat Israel adalah penakluk yang menduduki bumi ini dan kita patut menentang mereka.”
Beliau membidas pemimpin Barat seperti Presiden Amerika yang menyertai sambutan ulang tahun Israel ke-60. - AP
Friday, May 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment