Pages

Friday, May 30, 2008

13 Mei 1969

Ya ALLAH..Selamatkan lah negara ku ini agar peristiwa ini tidak berulang.
Aku anak mei 1969

******************************************************

"Kita bersaudara. Berasal dari bapa dan ibu yang satu; Adam dan Hawa. Walaupun berbeza keturunan, bahasa, budaya tau warna kulit, kita tetap bersaudara."

Perbezaan yang ada sebenarnya adalah peluang yang diberikan kepada kita untuk saling mengenali, saling bantu-membantu supaya matlamat hidup kita tercapai. Perbezaan ini juga boleh menjadi pemusnah peradaban sekiranya disalahgunakan untuk menimbulkan kebencian dan permusuhan."

Kata-kata ini dihantar melalui email oleh seorang sahabat lama, Lim Wei Hao berusia 62 tahun. Persahabatan kami berlanjutan dari persaudaraannya dengan arwah datuk saya. Lim Wei Hao dan arwah datuk adalah tinggalan tragedi 13 Mei 1969 - rusuhan kaum yang menurutnya berkaitan dengan politik, ahli politik dan kekuasaan.

Lim Wei Hao dan arwah datuk (meninggal 2002) berpendirian bahawa peristiwa 13 Mei adalah cetusan perkauman Umno, Gerakan dan MCA. Bagi mereka DAP dan PAS tidak terlibat merancangnya, tetapi terlibat dalam membantu proses pemulihan selepasnya.

Sebelum 13 Mei 1969, Lim Wei Hao hidup bahagia bersama-sama isteri dan 2 orang anaknya berusia 5 dan 10 tahun. Keluarga cina ini berjiran dengan datuk saya di sebarisan rumah kayu di tepi Sungai Gombak di Kampung Baru (kini tapak Renaisance Hotel). Hubungan mereka macam adik-beradik dan sangat mesra.

Pagi itu, arwah datuk menyembunyikan keluarga Lim Wei Hao dirumahnya selepas tersebar cerita rusuhan kaum berlaku di serata Kuala Lumpur. Pada fikiran arwah datuk, rumah Lim Wei Hao yang berseni bina cina akan memudahkannya menjadi sasaran perusuh. Ketika itu datuk telah mendapat maklumat bahawa berpuluh-puluh rumah cina di sekitar Pudu telah dibakar.

Berpuluh-puluh pemuda Umno dengan kepala berlilit kain putih bersenjatakan pedang panjang tajam berkilat memecah masuk ke rumah Lim Wei Hao. Khabarnya mereka datang dari arah rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris di Kg. Baru.

Setelah gagal menemui sesiapa, rumah itu dibakar. Arwah datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Cuma memerhati penuh simpati dari tingkap rumahnya.

Samseng-samseng Umno ini tidak berhenti setakat itu. Semua rumah melayu diperiksa kalau-kalau mereka menyorokkan cina. Tiba giliran rumah arwah datuk.

Cuba menghalang, arwah datuk ditolak dengan kasar. Habis semua penjuru rumah diselongkar. Tempayan beras dipecahkan (saiznya boleh muat seorang dewasa). Akhirnya rahsia arwah datuk terbongkar apabila seorang samseng Umno itu menemui tangga ke loteng yang tersorok di belakang almari kayu.

Lim Wei Hao, isteri dan 2 anaknya dihumban ke lantai. Bagai singa kelaparan, samseng-samseng Umno memukul dan membelasah anak-beranak Lim Wei Hao tanpa belas kasihan. Sementara itu, arwah datuk juga menerima habuannya. Tiada peluang untuk mempertahankan diri, rayuan tidak diendahkan. Selepas itu, gelap. Arwah datuk tidak sedarkan diri.

Sedar-sedar esok harinya, mereka berdua sudah berada di katil Hospital Besar Kuala Lumpur. Lim Wei Hao diberitahu petugas, pasukan kecemasan hanya menemui mereka berdua sahaja yang bernyawa di tempat kejadian. Mayat-mayat mangsa kebanyakannya dicampakkan ke Sungai Gombak dan pasukan kesihatan yang kekurangan anggota hanya menumpukan usaha menyelamatkan mereka yang masih bernyawa.

Dua sahabat ini bernasib baik kerana masih hidup. Arwah datuk hilang kedua-dua cuping telinganya manakala Lim Wei Hao hilang tangan kiri dari bahu ke bawah.

Selepas seminggu mereka dipisahkan, arwah datuk dihantar ke Stadium Negara (tempat pengumpulan orang melayu) manakala Lim Wei Hao dihantar ke Stadium Merdeka (tempat pengumpulan orang cina).

Sehingga ke hari ini, Lim Wei Hao masih belum berpeluang untuk melihat mayat isteri dan kedua-dua anaknya, apatah lagi menguburkan mereka.

Setiap kali tarikh 13 Mei muncul di kalendar, Lim Wei Hao tidak lupa untuk bercerita kepada orang-orang yang rapat dengannya (termasuk saya) tentang bahaya politik perkauman.

Lim Wei Hao meletakkan kesalahan utama pencetus tragedi sedih ini ke bahu pemimpin-pemimpin Gerakan, Umno dan MCA. Sebab itu katanya, tidak hairanlah 3 parti perkauman ini kekal sebagai komponen BN. Mereka kekal dengan perjuangan perkauman dan sanggup melaga-lagakan antara kaum-kaum yang dipimpin mereka sekiranya kekuasaan politik mereka tergugat.

Lim Wei Hao masih ingat bagaimana pemimpin-pemimpin Umno, MCA dan Gerakan bergilir-gilir membunuh melayu dan cina. Dicelah-celahnya, pasukan polis dan tentera mengusutkan keadaan.

Penghujung April 1969, seorang penyokong Umno dibunuh di Pulau Pinang dalam tempoh berkempen. Dalangnya adalah ejen-ejen Gerakan; yang mana komposisi pemimpinnya adalah 99% bekas MCA. Menurut Lim Wei Hao, Gerakan dijadikan 'Special Purpose Vehicle' oleh MCA untuk memprovokasi dan membalas provokasi pemuda Umno yang digerakkan Harun Idris.

9 Mei 1969, Gerakan menggunakan upacara pengkebumian pemimpin Parti Buruh, Lim Soon Peng (mati ditembak polis) sebagai medan menggerakkan kebencian orang cina kepada orang melayu.

Lim Wei Hao masih ingat, beberapa petang sebelum Pilihanraya Umum 10 Mei 1969, Pengasas Gerakan Lim Eee Heong mengapikan sentimen perkauman cina dalam ucapan kempennya di Kuala Lumpur.

Dia mendakwa kerajaan Umno sedang merancang pembunuhan cina besar-besaran. Beberapa siri pertempuran dengan polis sejak April 1969 dijadikan pengukuh dakwaannya. Orang cina diseru bersatu supaya tidak dibunuh beramai-ramai.

Dia juga menjamin pengundi cina bahawa negara komunis Cina berada di belakang mereka. Bersedia menghantar bantuan ketenteraan, bahkan bersedia membina jambatan Pulau Pinang sekiranya Tunku Abdul Rahman enggan berbuat demikian.

Di pihak Umno, 2 kali 5 sahaja. Ketuanan melayu dikatakan tergugat. Lee Kuan Yew didakwa menggerakkan cina Singapura untuk bersama-sama cina Malaya, membunuh orang-orang melayu. Apabila isu-isu sebegini dimainkan, tentulah orang melayu (yang tidak cukup maklumat pada masa itu) berasa bimbang kerana jumlah cina Singapura campur cina Malaya memang melebihi jumlah orang-orang melayu di Semenanjung.

Pendek kata, orang Umno berkempen supaya melayu bunuh cina. Orang MCA dan Gerakan pula berkempen supaya cina bunuh melayu. Dengan latarbelakang dan sentimen perkauman ini, rakyat Malysia membuang undi pada 10 Mei 1969.

Keputusannya agak mengejutkan. Perikatan hilang majoriti 2/3 di Parlimen, kalah di Kelantan dan Perak, dan mengekalkan kuasa di Selangor hanya dengan kelebihan satu kerusi.

Samseng-samseng Gerakan dan MCA menghimpunkan orang-orang cina untuk berarak di kawasan-kawasan melayu khususnya Kg. Baru. Mereka bersorak dan mencaci maki melayu sepanjang perjalanan.

Pagi 13 Mei 1969, giliran samseng-samseng Umno pula berkumpul di rumah Datuk Harun Idris di Kg. Baru. Mereka dikerahkan untuk berarak di sekeliling Kuala Lumpur bagi membalas perarakan Gerakan dan MCA.

Mereka juga diberi tugas tambahan untuk membunuh cina. Maka segala senjata tajam dibekalkan beserta kain lilitan kepala bewarna putih.

Samseng-samseng ini bergerak beramai-ramai membunuh cina dan membakar kedai dan kereta.

Samseng-samseng Gerakan dan MCA pula mengedarkan senapang dan peluru kepada orang cina dan meminta mereka menembak man-mana orang melayu yang menghampiri.

Begitulah perangai kedua-dua pihak durjana ini yang menghasilkan korban lebih 1,000 orang (angka rasmi kerajaan hanya kurang 200 orang). Manakala jumlah mayat yang tidak dikira seperti isteri dan anak Lim Wei Hao yang mungkin hancur di dasar Sungai Gombak tidak pernah dikira.

Adakah PAS dan DAP terlibat? Bagi Lim Wei Hao, 2 parti ini tersepit dengan keadaan pada masa itu. Namun dia tetap yakin hingga ke hari ini bahawa tangan-tangan pemimpin dan penyokong PAS dan DAP bersih dari darah cina dan melayu.

Lewat 1980-an, Lim Wei Hao pernah menyatakan impiannya untuk melihat PAS dan DAP berkongsi pemerintahan di peringkat pusat. Namun, Lim Wei Hao sedar Umno, Gerakan dan MCA akan sentiasa memainkan isu rusuhan 13 Mei 1969 untuk menggagalkan sebarang kerjasama PAS dan DAP.

Lim Wei Hao juga hairan dengan laporan media menjelang PRU12 baru-baru ini. Sejarah diputarbelitkan seolah-olah tragedi 13 Mei telah dicetuskan oleh penyokong PAS dan DAP.

Justeru dia juga berharap satu hari nanti, satu badan bebas dapat dibentuk untuk mengkaji kebenaran di sebalik peristiwa itu sebagaimana yang dilakukan di Afrika Selatan selepas rejim Aparteid dijatuhkan.

Selepas semua persoalan terungkai, maka bolehlah semua pihak bermaaf-maafan dan merapatkan hubungan. Selagi cerita-cerita yang sahih dipendam, selagi itulah kaum-kaum yang berlainan akan hidup dalam penuh kecurigaan dan dendam. Lebih malang lagi, ianya menjadi permainan politik Umno setiap kali ia hilang sokongan orang melayu.

Demikianlah 13 Mei 1969 versi Lim Wei Hao. Saya menghormati dan menerima perspektifnya selagi tidak ada pihak tampil dan dapat mempertikaikannya dengan bukti-bukti yang sahih.

Dalam pada itu, ramai lagi yang mempunyai versi mereka sendiri, sesuai dengan pemikiran dan pengalaman mereka menghadapi tragedi itu. Cerita-cerita ini akan dibawa ke dalam kubur, bersama-sama persoalan-persoalan yang belum terjawab tentang sanak saudara yang hilang dan mati tanpa diketahui kuburnya.

Dalam kenyataan media 3 pemimpin Pakatan Rakyat di lobi Parlimen baru-baru ini, YAB Lim Guan Eng (DAP), Datin Seri Wan Azizah (PKR) dan YB Mahfuz Omar (PAS) menggariskan 5 prinsip asas bagi mengelakkan terjadinya semula peristiwa 13 Mei 1969;

(1) menuntut penubuhan sebuah suruhanjaya kebenaran dan rekonsiliasi (truth and reconciliation) untuk mengkaji dan memaklumkan kepada rakyat tentang fakta-fakta sebenar peristiwa 13 Mei 1969.

(2) mengamalkan prinsip mencintai kedamaian serta membenci sentimen keganasan kaum dan mengutuk sebarang tindakan ganas pihak berkuasa yang menggalakkan ketegangan kaum serta melindungi mereka yang membesar-besarkan isu-isu perkauman.

(3) menegakkan prinsip ketuanan rakyat Malaysia dan nilai-nilai murni sejagat sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia, dan menolak tindakan bersifat ekstremis atau aspek-aspek agama yang menyemarakkan api permusuhan.

(4) mendesak pihak berkuasa supaya bertindak adil dan tidak berat sebelah atau tunduk kepada mana-mana kekuasaan politik dalam menjalankan tugas mereka.

(5) menuntut pengekalan sistem demokrasi dan raja berpelembagaan di mana hasrat dan keinginan rakyat didukung dan diperjuangkan tanpa diskriminasi dan penganiyaan, serta, sebarang peralihan kuasa mesti dijalankan dengan lancar dan terhormat.

Jika mesej-mesej Pakatan Rakyat ini dapat dilaksanakan maka mangsa-mangsa seperti Lim Wei Hao tentunya berasa sedikit lega. Memang ianya tidak mampu menghidupkan semula mangsa pembunuhan UMNO, MCA dan Gerakan; tetapi ia membolehkan proses pemulihan dimulakan.

Ketika ini, parti-parti pembangkang masih difitnah sebagai dalang tragedi 13 Mei 1969. Tetapi persoalan mengenai peranan polis, tentera dan pemimpin parti pemerintah yang mewakili golongan hartawan dan bangsawan ketika itu masih belum terjawab.

Tragedi ini mengajar kita erti perpaduan sebenar, disebalik memahami budaya dan cara hidup setiap kaum supaya setiap perbezaan dapat diterima dan konflik tidak terjadi.

Ahli-ahli politik UMNO, Gerakan dan MCA mestilah disedarkan bahawa isu-isu sensitif tidak mungkin dapat diselesaikan melalui pembunuhan dan kekacauan.

Mei 13 1969 harus dibincang dan dianalisa secara rasional dan berhati-hati dan tidak sekali-kali digunakan untuk menimbulkan kebencian atau untuk mencapai agenda politik perkauman.

Di akhir emailnya, Lim Wei Hao memetik kata-kata sejarawan Perancis, Ernest Renan, "Sejarah adalah tentang mengingati dan memaafi."

2 comments:

Anonymous said...

Kenapa digunakn unsur politik di dlm artikel ini?Adakah terdapat agenda atau propaganda?
Dari nama saudara,saya yakin saudara adalh seagama dan sebangsa dengan saya..
Bg pengetahuan saudara,kemusnahan yang berlaku pada 13Mei bkn sahaja terjadi keatas 1 pihak sahaja,tetapi kedua-duanya sekali..
saya agak malu dengan artikel ini kerana merosakkan maruah bangsa saya sendiri,ya...UMNO mmg melayu,PAS juga melayu..Jika orang UMNO dibunuh,dihina,dimaki dan ditindas,adakah saudara2 dari PAS hny akan tengok?
Jika tidak jawapan saudara,Alhamdullilah..
Politik adalh sesuatu yg "kotor",tdak kira apa parti sekalipn..
"BANGSAKU,AGAMAKU,NEGARAKU AKAN KU LINDUNGI DENGAN NYAWAKU"
I'm NEUTRAL

Anonymous said...

Dari segi komen yang dapat dilihat oleh saudara di-bawah, saya dapat lihat, saudara hanya merujuk kepada buku sejarah ataupun artikel² yang telah lihat di internet. Walhal, kebanyakkannya adalah mesej yang palsu ataupun bukan benar. Cuba saudara tanya kepada veteran² yang melalui zaman 69 ini. Tetapi jangan pula tanya veteran UMNO, mestilah mereka cakap itu salah cina. Untuk pengetahuan anda, pergaduhan tercetus apabila tibanya fitnah bahawa kaum cina mahu memijak kepala Melayu, dan kaum cina pula telah diberitahu bahawa kaum Melayu akan bunuh mereka beramai-ramai. Siapakah dalang disebalik ini? Anda mesti tahu jawapannya.

Jadi, dari situlah mulanya rusuhan kaum.

Mungkin anda tertanya-tanya, kenapa ahli politik sanggup berbuat begini? Jawapannya senang. Majoriti di Malaysia ialah kaum Melayu. Untuk mendominasikan parti secara penuh, mestilah perlu mendapat sokongan penuh dari semua Kaum Melayu. Ya, dan ia suatu kejayaan bagi mereka apabila Kaum Melayu beramai-ramai mahu mempertahankan hak mereka, dan dengan pertolongan Umno.

Dan pada masa itu juga, mereka cadang untuk halau semua kaum cina keluar dari Malaysia. Tetapi malangnya, ia tidak berhasil. Saya juga bersyukur ianya tidak berhasil kerana jika benda itu terjadi. Tiadalah Twin Tower, tiadalah KL Tower & lain-lain lagi. Kenapa? Kerana mengikut kajian sejarah ekonomi, kalau kita halau diorang balik ke negara China, sudah pasti orang di negara China boikot barang kita, dan tidak akan eksport barang dari China ke negara kita. Jawapannya, kita akan jadi negara seperti 3rd world country.

Sesungguhnya saya bersyukur kerana mempunyai rakyat yang berbilang kaum di Malaysia. Di samping itu, saya juga bersyukur kerana kita diberi peluang untuk berjihad. Berjihad dari segi apa? Dari segi mengislamkan orang bukan islam, ke islam. Itu adalah satu pahala.


Kesimpulannya, apa yang dapat lihat pada hari ini ialah pembangunan dari pelbagai kaum.

Dan apakah perjuangan kita selama ini? Sudah tentu hanya untuk kaum Melayu, dan bukan untuk nama Islam. Bagi saya, ini adalah satu perkara yang tidak wajar sekali kerana, agama adalah paling penting. Buktinya? Anda cuba tengok TV,Youtube, semuanya pasal melayu. Hanya segelintir sahaja mahu pertahankan hal islam.

Bukti lain boleh dilihat di tulisan saudara,
"Bangsaku,Agamaku,Negaraku". Kenapa bangsa perlu jadi no.1? Kenapa bukan agama?

Itu saudara fikir-fikirkan.

Melayu takkan hilang didunia?Melayu akan hilang apabila kiamat nanti. Semua kaum pun akan hilang dan dihidupkan kembali.

Saya bukan pembenci Melayu, Bukan Pembenci Cina atau India. Saya hanyalah seorang yang mengikut sunnah, iaitu dengan membuat kedamaian.

Post a Comment