Pages

Wednesday, October 23, 2013

TAUBAT YANG AGUNG

Diwaktu ini, mari kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.


Setiap umat Islam adalah dituntut supaya sentiasa melakukan taubat kepada Allah SWT. Taubat bermaksud kembali menyerahkan diri dan mentaati perintah Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ia merupakan suatu natijah daripada penyesalan seorang hamba yang telah terjerumus melakukan kesalahan dan dosa terhadap Allah SWT. Tuntutan taubat ini terkandung di dalam firman Allah SWT sebagaimana disebutkan di dalam surah al-Tahrim ayat ke 8 :

"Wahai orang-orang yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat nasuha", Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai...".

Melalui ayat ini, Allah SWT telah menyeru umat manusia agar segera bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha. Bertaubat kepada Allah SWT dapat menghilangkan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Bahkan, tujuan bertaubat itu sendiri adalah supaya Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan akhirnya kita akan dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Namun begitu, taubat yang dapat menghilangkan dosa-dosa kita mestilah dilakukan dengan memenuhi empat syarat yang utama iaitu ;

1. Orang yang bertaubat mestilah menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap kesalahan yang telah dilakukannya.
2. Berhenti dengan serta merta daripada melakukan semula kesalahan tersebut.
3. Berazam untuk tidak mengulangi kesalahan yang telah dilakukan.
4. Sekiranya kesalahan tersebut dilakukan terhadap sesama manusia, maka hendaklah dia memohon maaf kepada orang tersebut.

Bagimanakah cara bertaubat yang betul?

Taubat bukanlah sekadar perkataan sahaja tetapi sebaliknya perlu disertai dengan keinsafan dan penyesalan kerana taubat yang tidak disertai dengan keinsafan dan penyesalan di dalam hati tidak akan dianggap sebagai taubat nasuha.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa' ayat ke 18 :

"Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya Aku bertaubat sekarang ini", (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya...".

Ayat di atas menyatakan bahawa terdapat tiga golongan yang mana apabila mereka bertaubat, maka Allah SWT tidak menerima taubat mereka. Tiga golongan tersebut ialah:

1. Orang yang sering mengulangi kesalahannya selepas bertaubat.
2. Orang yang bertaubat ketika sudah hampir dengan kematian dan apabila tanda-tanda besar hari Kiamat telah muncul.
3. Orang yang mati dalam kekafiran.

Golongan-golongan ini bukan sahaja tidak diterima taubat mereka, bahkan Allah SWT telah pun menyediakan azab seksaan yang amat pedih di hari akhirat kelak.

Mengapakah golongan tersebut tidak diterima taubat mereka ?

Sudah tentu kerana lafaz taubat mereka tidak lahir dari hati yang tulus ikhlas dan tidak menginsafi dan menyesali kesalahan yang telah dilakukan. Golongan seperti ini hanyalah menyatakan taubat mereka kerana penyesalan yang bersifat sementara ataupun kerana berada dalam keadaan yang terpaksa. Sebaliknya, apabila keinginan nafsu mereka memuncak semula dan mereka berada dalam keadaan yang lalai, maka mereka akan mengulangi perbuatan dosa yang pernah mereka lakukan. Kesedaran mereka hanya akan muncul apabila nyawa mereka telah sampai ke penghujungnya, tetapi malang kerana pada ketika itu taubat yang diucapkan sudah tidak membawa sebarang makna.

Hadis daripada Ibnu Umar R.A bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

"Allah SWT akan menerima taubat seorang hamba selagi mana nyawanya belum sampai ke halkum". (Riwayat al-Tarmizi)

Justeru, sebagai hambaNya yang beriman, seharusnya kita memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan, penyesalan dan dengan keinsafan yang sebenar-benarnya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa' ayat ke 17 :

"Sesungguhnya penerimaan taubat itu diterima oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Berdasarkan ayat di atas, jelas kepada kita bahawa Allah SWT sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada hambaNya yang melakukan kejahatan agar bertaubat daripada kesalahan yang dilakukannya. Allah SWT tidak pernah menutup pintu taubat selama mana kita menyedari kesalahan yang telah kita lakukan, lantas menginsafi dan segera bertaubat kepada Allah SWT. Justeru, peluang yang dikurniakan oleh Allah SWT ini tidak seharusnya kita abaikan kerana Allah SWT telah pun menunjukkan kepada kita sifat pengampun dan penyayangnya.

Untuk memastikan agar taubat kita diterima oleh Allah SWT sebagai taubat nasuha, beberapa perkara yang menjadi adab dalam bertaubat perlu diutamakan, antaranya :

1. Berpakaian bersih dan memastikan tempat yang digunakan untuk bertaubat juga berada dalam keadaan bersih.
2. Menimbulkan perasaan takut di dalam diri kita atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan merasa risau kalau-kalau dosa kita tidak diampunkan oleh Allah SWT. Dalam masa yang sama kita juga perlu sentiasa berharap agar taubat kita diterima oleh Allah SWT.
3. Memilih waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa terutamanya pada sepertiga malam. Waktu ini adalah waktu yang amat baik untuk kita memohonkan keampunan kepada Allah SWT kerana suasana yang hening ketika ini mampu menimbulkan keinsafan dan penyesalan dalam diri kita.
4. Bersangka baik bahawa Allah menerima taubat kita.

Seterusnya, perkara yang lebih utama bagi seorang hamba yang bertaubat hendaklah berusaha dengan ikhlas mensucikan diri daripada perkara-perkara yang mazmumah seperti perasaan riak, ta'ajub dan sebagainya. Ini kerana sifat-sifat mazmumah yang wujud di dalam hati ini akan merosakkan taubat kita kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Najm ayat ke 32 :

"(Iaitu) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji, kecuali salah silap yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu maha luas keampunanNya. ia lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak ia mencipta kamu (berasal) dari tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa".

Apa yang dapat disimpulkan ialah:

Pertama : Taubat merupakan satu tuntutan Allah SWT kepada hambanya yang mesti disegerakan.

Kedua : Taubat juga bukanlah sekadar mengucapkan dengan lisan tetapi juga mestilah disertai dengan keinsafan dan kesedaran di dalam diri kita. Taubat yang disertai dengan keinsafan inilah yang dikatakan sebagai taubat nasuha. Sememangnya juga, kita sebagai manusia biasa tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.

Ketiga : Sebaik-baik insan yang melakukan kesalahan adalah apabila mereka bertaubat dan mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

"Dan Jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah Engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana Engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah Engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran".

(Al-Kahfi : 28)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 06 September 2013

0 comments:

Post a Comment