Pages

Saturday, October 5, 2013

JALAN KE SYURGA

ISYAK YANG PANJANG 
Riwayat Muslim

Hadith:
Dari Aisyah r.a ia berkata: Rasulullah telah mengakhirkan solat Isyak' pada suatu malam sehingga lewat larut malam, lalu baginda keluar dan melakukan solat. Baginda berkata: Sesungguhnya ini adalah waktunya seandainya tidak memberatkan umat ku.


Huraian Hadith:
Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama. Solat memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. Justeru jika diperhatikan, orang yang sentiasa memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj dan perintah ibadat solat ini juga berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril.

Melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Sementelah waktu solat Isyak adalah panjang dan lebih afdhal didirikan pada waktu tengah malam namun kita tidak digalakkan sengaja melewatkan tanpa sebarang sebab yang diharuskan lantas terlena lalu terlepas waktunya.

NIKMAT DUNIA YANG PALING BAIK
Riwayat: Muslim

Hadith:
Daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As R.huma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Dunia adalah keseronokan dan sebaik-baik keseronokan dunia ialah perempuan (isteri) yang solehah (baik)”.


Huraian Hadith:
Segala nikmat kesenangan dan kemewahan yang ada di dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja. Ia akan lenyap apabila mana seseorang itu meninggal dunia.

Nikmat dunia yang paling baik ialah isteri-isteri yang solehah iaitu yang mentaati suaminya dan bertakwa kepada Allah.

Isteri yang baik (solehah) adalah sebab kebahagian didunia dan akhirat, serta dapat membantunya untuk taat kepada Allah, kerana itu lelaki hendaklah mengutamakan perempuan yang kuat pegangan agamanya daripada yang lain.

0 comments:

Post a Comment