Mahu tidak mahu kita seharusnya mengakui bahawa dunia pada hari ini sudah dan sedang berubah. Semuanya seperti arus deras. Kemajuan, kehebatan dan kegemilangan cuba diraih dalam segenap ruang.
"Dunia sudah berubah, zaman sudah maju".
Masih kita ingat inilah tagline Berita Harian semasa melakukan perubahan kepada akhbar bersaiz kompak lebih kurang 2 tahun yang lalu. Katanya lebih kecil, lebih terampil.
Namun apakah ia sungguh bagai dikata.
Media massa adalah saksi kepada apa yang berlaku di sekeliling kita. Maka sebagai saksi seharusnya difahami bahawa ia perlu melaporkan berita dengan ikhlas, berani dan tulus. Samalah macam di mahkamah. Bila kita menjadi saksi kes, maka penyaksian itu perlu jujur walaupun ianya akan menjejaskan kepentingan kita sama ada akan diugut, dibunuh dan segala macam yang mungkin. Ia penting kerana penyataan saksi akan menentukan nasib sesuatu kes.
Media massa juga adalah seperti seorang guru kepada muridnya. Sifat seorang guru ialah mengajar dan mendidik manusia menjadi insan yang dinamik, terbilang sahsiahnya dan bermanfaat kepada agama, bangsa dan tanah air. Jika guru mengkhianati tugas dan fungsinya maka rosaklah sesebuah bangsa itu.
Saya hanya menampilkan dua perumpaan sahaja walaupun sebenarnya banyak. Cuma apa yang penting di sini ialah dapat kita fahami bahawa media massa memiliki peranan dan tanggungjawab yang sangat besar kepada manusia sejagat.
Ironinya ia tidak begitu. Media massa terutamanya media arus perdana kini sangat jauh dari apa yang sepatutnya.
Lihat sahaja bila mana media arus perdana hari ini kalah bersaing dengan media-media alternatif. Adakah masyarakat kita masyarakat yang culas membaca? Sama sekali tidak. Masyarakat sebenarnya hilang kepercayaan kepada kewibawaan media arus perdana.
Kita bukannya masyarakat yang tinggal di dalam gua. Bukannya juga masyarakat yang buta huruf. Juga bukan masyarakat yang berinteraksi dengan kepulan-kepulan asap. Serba-serbi batak itu dan ini. Kita bukan begitu.
Masyarakat hari ini belajar di menara-menara gading, globalisasi mendedahkan kita dengan gerbang ilmu dan maklumat. Pemikirannya jauh dan terarah.
Tapi media arus perdana hari ini sepertinya mahu kita undur ke belakang. Rakyat diperbodoh. Kebenaran disembunyikan. Kebatilan cuba dimekap bagai sang puteri raja. Lembu dipakaikan gaun dikatanya cantik.
Media arus perdana hari ini sudah jadi media pengampu dan tukang jolok sang penguasa. Amanah sudah dibunuh. Tanggungjawab dirogol dan diliwat. Peranan dipersetankan. Maklamat diracun dituba. Rohnya sudah lama mati.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia jauh ketinggalan daripada Vietnam. Indonesia terkedepan dalam soal pengamalan demokrasi. Kebebasan media Singapura jauh lebih baik daripada kita. Tapi ini dipandang sepi oleh media arus perdana negara. Yang disibukkan, ular sawa makan ayam sereban, pokok cempedak berbuah nangka, budak menjadi bomoh, ayam berkaki tiga, pohon getah bersusu darah, nenek 100 tahun kahwini bujang 30an.
Bunuh, ragut, rompak, seks, perkauman, hiburan, hantu, tahyul, syirik, bukan main lagi dihidangkan kepada masyarakat. Ini bukan mahu mendidik. Ini nak menjahanamkan anak bangsa. Ini candu. Biar rakyat khayal. Bila rakyat khayal dia akan ketagih. Dan bila dah ketagih dia akan hanya sibuk dengan benda-benda ini.
Soal agama, pemikiran tidak lagi menambat hati masyarakat kerana disogok dengan dadah dan ganja media.
Media arus perdana kini hanya mahu menjaga perut-perut mereka sahaja. Yang penting ongkosnya pak. Hibur dan libur semahu-mahunya.
Akademi Fantasia, Mentor, Bintang RTM, OIAM, Audition,WoldStar, LG Star, Bintang Kecil (sekadar mengebut beberapa sahaja). Semua tak nak kalah untuk ada rancangan realiti TV masing-masing. Sekian kalinya rakyat menjadi bodoh bersalut bengap berinti bangang.
Melihat kepada perkembangan ini, maka jangan kita pelik jika generasi pewaris bangsa pada masa ini terus dicandu. Rugilah negara bila mana generasi kita terus tenggelam dek kerana media arus perdananya lebih ghairah untuk mengampu sang penguasa dan mengkhayalkan masyarakat daripada melaksanakan peranan dan tanggungjawab mereka.
Kini segalanya di hujung jari, andalah yang menentukannya.
http://arrazzialhafiz.blogspot.com/
0 comments:
Post a Comment