Ikut adatnya, atau orang la ni kata ikut konvensyen yang sekarang digunapakai, seseorang mufti tidak boleh kelihatan memihak kepada mana-mana parti politik. Beliau memang berhak menyokong mana-mana parti politik yang disukainya. Tetapi apabila beliau begitu terbuka dan beria-ia menunjukkan beliau memihak kepada mana-mana parti politik, ramai yang melihat perkara itu sebagai buruk kelaku.
Sudah tak larat nak dibilang lagi berapa kali Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menunjukkan kepada umum bahawa beliau adalah penyokong tegar Umno Barisan Nasional.
Mungkin Harussani keberatan masuk politik Umno Barisan Nasional sepenuh masa kerana beliau melihat sendiri tokoh-tokoh agama yang berhenti kerja dan masuk bertanding mewakili Umno Barisan Nasional dalam pilihan raya akhirnya jadi kupang tembaga. Tahu apa kupang tembaga? Tu duit satu sen tu, kupang tembagalah tu. Jarang-jarang orang pakai. Biasanya atau ghalibnya orang tak pakai.
Harussani kesal dan dukacita dengan tindakan penyokong parti pembangkang yang sanggup mencerca dan memaki beliau ekoran kenyataannya, sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka.
Beliau mendakwa, tindakan berkenaan langsung tidak menggambarkan akhlak seorang Islam sejati kerana golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah.
Saya harap akhbar tersalah petik kenyataan kulaan itu.
Tetapi kalau benar itu kenyataan dia, saya tak terkejut dia dicerca dan dimaki. Tu pun kira dah nasib baik dah tu.
Kalau benar itu kenyatan dia, tolonglah, kulaan! Jangan cakap tak habis.
Pemerintah yang Allah s.w.t. perintahkan kita taati ialah pemerintah yang taat kepada Allah dan Rasul sahaja. Tolong jangan tuduh Allah buat kerja bodoh menyuruh kita mentaati pemerintah yang tidak taat kepada Allah dan Rasul. Perkara itu bertentangan dengan keadilan Allah. Tidak mungkin dan Maha Suci Allah dari melakukan ketidakadilan. Maha Suci Allah yang sangat-sangat kita kasihi dari sangkaan manusia yang selalu menuduh Allah buat kerja bodoh.
Saya harap akhbar tersalah petik bahawa "golongan mukmin mestilah takut kepada Allah, Rasul-Nya dan juga pemerintah".
Takut kepada Allah memang betul. Tapi saya tak pernah dengar mana-mana tok guru yang membacakan nas yang menyuruh kita takut kepada pemerintah. Mungkin ada, tapi saya tak pernah dengar.
Yang pernah saya dengar ialah "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, dan taatilah rasul, dan ulil amri di antara kamu. Jika kamu berselisih tentang suatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir; yang demikian itu lebih utama dan lebih baik kesudahannya" [Al-Quran 4:59]
Saya ambil hadith dalam mazhab Sunnah wal Jamaah:
Dengar dan taat adalah menjadi wajib kepada setiap Muslim dalam perkara yang ia suka atau tidak, selagi ia tidak disuruh dengan kemaksiatan, jika disuruh ke arah kemaksiatan maka tidak perlu lagi dengar dan taat (Bukhari dan Muslim)
Tiada ketaatan dalam bermaksiat kepada Allah; sesungguhnya ketaatan itu dalam kebaikan (Muttafaq ‘alaihi - disepakati)
Apa pun pendirian Harussani, saya tidak terkejut. Dia memang penyokong tegar Umno dan kadang-kadang menjadi jurucakap Umno. Kulaan kita tu orang 'alim. Dia tentu dah sediakan jawapan di dalam kubur dan di Padang Mahsyar atas pendiriannya itu.
Yang saya terkejut ialah kenyataan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Harun Din. Beliau dilaporkan berkata:
Mufti Perak telah menyatakan pendapatnya, tetapi tidak pernah berlaku seumpamanya sebelum ini di mana Mufti telah memihak pada mana-mana parti politik.
Sepatutnya sebagai orang yang diberi tanggungjawab menjaga kepentingan agama, Mufti tidak seharusnya terjebak dalam kancah politik, selain hanya memihak kepada kebenaran Islam yang satu.
Benarkah Dr Harun tidak tahu Harussani adalah pekerja Umno? Antara lain, siapakah yang dikempen oleh kulaan itu supaya PAS bergabung dengan Umno untuk membentuk kerajaan di Perak? Siapa pula yang bersungguh-sungguh mengkempenkan pula idea kulaan itu kepada orang lain dengan teori akhafu al-darurain atau memilih yang lebih ringan mudaratnya ketika berhadapan dengan dua pilihan yang tidak menguntungkan?
Saya tidak tuduh apa-apa. Saya hanya bertanya sahaja.
Saya juga masih ternanti-nanti sehingga kini bukti-bukti yang sahih, empirikal serta tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa berkerjasama dengan Umno lebih ringan mudaratya.
Saya juga tercari-cari sejauh manakah penerimaan kepada putar-belit bahawa Sultan terpaksa menjatuhkan Haji Mohammad Nizar Jamaluddin kerana kononnya dia dilembukan oleh DAP dan memberi tanah tapak rumah sebanyak 3,000 ekar kepada orang-orang Cina (tiga ribu ekar). Saya tahu Sultan marah dengan tindakan itu. Ada rakan dari Kelantan yang memberitahu bahawa perkara itu dinyatakan oleh Sultan dalam pertemuan dengan seorang kepala NGO yang dicipta selepas Umno dan Barisan Nasional kehilangan banyak kerusi dan peluang mentekedarah duit dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu.
Semua orang tahu Umno sedang berusaha keras untuk merampas kembali Selangor dan Perak terutamanya. Semua orang tahu bahawa Selangor adalah jelapang duit bagi Umno.
Perak juga jelapang duit Umno. Parti itu kerugian besar apabila kalah dalam pilihan raya 8 Mac lalu dan hilanglah peluang buat duit. Mestilah marah apabila terkubur peluang buat duit dengan menggadai tanah-tanah kerajaan di beberapa lokasi komersial di tengah bandar Ipoh, Taiping, Bidor serta dalam daerah Kinta dan Perak Tengah sedangkan perkara itu telah mereka janjikan kepada tauke-tauke untuk memuktamadkan penggadaian tersebut selepas pilihan raya 8 Mac tahun lalu.
Marah sangat sebab bagi 3,000 ekar tanah tapak rumah kepada Cina? Kalau marah sangat, kenapa tak sebak dan menangis apabila melayangnya entah berapa ribu ekar tanah kerajaan dan tanah rezab Melayu di Perak semasa zaman pemerintahan Umno Barisan Nasional sebelum 8 Mac 2008 lalu? Antaranya:
1. 22,000 ekar - Ya! dua puluh dua ribu ekar - tanah kerajaan di gadai kepada gergasi KLK di Lekir, Manjung
2. 5,000 ekar di Beruas
3. 500 ekar kepada MCA di Bandar Baru, Kampar (UTAR)
4. 12,000 ekar kepada semua petani Cina di Coldstream, Bikam, Bidor
5. 200 ekar tapak kilang simen Perak Hanjoong - sekarang milik YTL kerana digadai oleh pemimpin Umno kepada YTL. Ini tanah rezab melayu di Padang Rengas!
6. Dan, banyak lagi jumlah keluasan yang kecil di sana-sini di seluruh Perak.
Ketika kerajaan pimpinan Umno Barisan Nasional membuat pesta melelong tanah kerajaan dan tanah rezab Melayu tersebut, di mana air mata? Di mana budak-budak yang diupah semurah RM50 seorang untuk menunjuk perasaan? Itu bukan "mencuri hak tanah kepunyaan Melayu". Adakah Cina yang mencuri atau Umno yang mencuri?
Marah sangat sebab bagi 3,000 ekar tanah tapak rumah kepada Cina? Sila baca petika berita Utusan Malaysia yang berikut:
(Setiausaha Perhubungan Umno Perak, Datuk) Ramly (Zahari) berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah berusaha memastikan penduduk di 134 kampung baru di Perak memiliki suratan hak milik secara sah.
Katanya, usaha ini dilakukan sehingga sanggup memberi diskaun premium beberapa kali bagi penyambungan tempoh hak milik.
"Semasa BN dahulu kita telah berjaya mengeluarkan sebanyak 48,183 hak milik mukim dan 4,672 hak milik berdaftar.
"Kita percaya tidak sampai 10 peratus daripada jumlah lot kampung baru yang belum memiliki suratan hak milik. 10 peratus ini pun sebenarnya hanya tinggal di peringkat untuk membuat pendaftaran sahaja," katanya.
Sekurang-kurangnya sudah 90 peratus suratan hak milik yang sah diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional Umno kepada penduduk kampung baru di Perak. Kenapa istana tak gunakan isu itu sebagai alasan untuk menghambat Menteri Besar Perak ketika itu?
Come on la! Bukan semua orang boleh diperbodohkan seperti mereka yang telah berjaya diperbodohkan. Kulaan suruh takut dan taat perintah yang mana? Kalau di zaman Revolusi Islam Iran dahulu, Imam Khomeini quddisa sirruh mengarahkan para pendukung Revolusi Islam mencampakkan serban ulama jahat ke dalam longkang! Babi lebih mulia dari depa, itu aku kata!!
(Nota: Saya tak suka sakitkan hati Sultan Perak. Dia lebih tua dari saya dan Islam menyuruh saya supaya hormat yang tua dan kasih yang muda. Saya juga sentiasa menyanjungi dan mengenang jasanya menandatangani pindaan Perlembagaan 1993. Tapi, ada masanya saya tak mampu duduk diam macam lembu kenyang. Saya memohon maaf kepadanya dan sentiasa menghormatinya sebagai seorang yang lebih tua dari saya. Saya juga akan sentiasa menyanjungi jasanya menandatangani pindaan Perlembagaan itu.)
Tuesday, February 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment