Pages

Monday, September 1, 2008

16 September 2008 - Para Penganalisis Politik Mula Melihat Petanda

Senario Politik Malaysia

Dalam senario politik Malaysia sekarang, pergerakan perubahan yang menarik ialah usaha Anwar Ibrahim untuk membawa kita kepada pembentukan kerajaan baru bermula 16 September 2008. Seterusnya kita kecapi kemerdekaan sebenarnya, yakni merdeka daripada kelapokan kerajaan Barisan Nasional, dan sinar harapan bawaan potensi kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Kini para pemerhati dan penganalisis politik kelihatan sudah mula menyaksikan petanda, supaya dapat difahami jangkaan sehubungan corak yang mencorakkan apa yang bakal berlaku pada 16 September 2008.

Tarikh itu, gempa!

Teringin nak dengar perkataan apa yang bakal digunakan oleh Lim Kit Siang untuk kejadian di tarikh itu, seperti mana "Tsunami" disebutkan untuk PRU 12, dan pilihanraya kecil P 44 Permatang Pauh.

Sementara itu, gegaran kecil sudah mula boleh dirasakan kini.

Gegaran tersebut ialah, kita diajak untuk meneliti dua perkara:

Pertama: kesenyapan yang senyap. Ibarat di kubu PutraJaya, satu pihak sedang menunggu, namun kebarangkalian bukan sekadar menunggu, tetapi, ada udang di sebalik batu.

Kedua: cetusan asap hasil balingan ke beberapa tempat, untuk mengalih pandangan ramai, supaya aktiviti sebenar tidak dapat dikesani.

Berminat? Mari kita tinjau dengan lebih mendalam...

Anwar Ibrahim

Bayangkan, jika sekiranya, selepas menjejakkan kaki di Parlimen, Anwar Ibrahim, menangguhkan tarikh 16 September 2008, dan menundanya ke satu tarikh lain.

Atau, Anwar Ibrahim, mengumumkan, tidak dapat dengan pasti jumlah Ahli Parlimen yang bakal menyertai misi pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat ini.

Tetapi, isyarat Anwar Ibrahim, ialah sebaliknya. Bahawa, 16 September 2008, tetap diteruskan, dan Ahli Parlimen Barisan Nasional, mula menghantar isyarat melalui SMS, atau seumpamanya.

Isyarat inilah yang Anwar Ibrahim nyatakan. Sebabnya, Anwar Ibrahim, setelah menyebut kemenangan kita, sebaik sahaja memenangi pilihanraya kecil P 44 Permatang Pauh, dan kini sudahpun beraksi di Parlimen, kini memikul tanggungjawab Agenda kita.

Agenda Rakyat Malaysia, yakni tidak mahukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia, lagi. Tidak mahukan pemimpin ganti dari UMNO, tidak mahu UMNO, dan tidak mahu Barisan Nasional.

Jumlah Rakyat Malaysia yang tidak mahu semua itu, semakin bertambah dan meningkat, setelah Abdullah Ahmad Badawi didapati gagal, terutama bajet 2009 nya hambar, dan ucapannya bersempena Hari Merdeka berlawanan dengan isu perkauman yang mula panas kini. Atau dipanaskan pihak tertentu.

Kemungkinan isu inilah membolehkan Ahli Parlimen Barisan Nasional keluar untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Lebih-lebih lagi, Anwar Ibrahim terus mengumumkan berlakunya perbincangan mencari pemaufakatan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional, pada masa sekarang ini.

Kita sama-sama tunggu, isyarat seterusnya daripada Anwar Ibrahim.

Mahathir Mohamad

Jika ada yang tidak sudi, tidak endah, tidaklah mengapa. Namun, para pemerhati dan penganalisis politik, tidak akan melepaskan untuk melihat petanda dari Mahathir Mohamad.

Mahathir Mohamad masih aktif dalam menentukan siapa Perdana Menteri Malaysia, ketika mana pengaruhnya masih mantap.

Keluar UMNO adalah jelas sebabnya, dan masuk kembali ke dalam UMNO juga jelas. Mahathir Mohamad memberi syarat, Abdullah Ahmad Badawi mesti meletak jawatan, semua jawatan berkenaan, termasuk Presiden UMNO.

Nama berikut telah disebut, Mohd Najib Abdul Razak, Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Rais Yatim.

Itu petanda terdahulu, namun petanda terbaru yang molek dilihat ialah setelah kemenangan Anwar Ibrahim, di Permatang Pauh, kemunculan di Parlimen, dan penujuan ke PutraJaya.

Anwar Ibrahim semakin matang, dan pengalaman lalunya, telah mendewasakan politiknya, bila berhadapan dengan Mahathir Mohamad. Setakat ini, Anwar Ibrahim bertindak bijak.

Bacaan luas dan menyeluruh Mahathir Mohamad, kemudian menghasilkan petanda ini:

Pada 29 Ogos, 2008, sewaktu berucap di UiTM, Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya membantu untuk pulihkan keyakinan Rakyat kepada UMNO.

Petanda itu memberi kelebihan kepada Mahathir Mohamad dari tiga sudut:

Pertama: Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan dan tidak lagi menjadi Presiden UMNO.

Kedua: Calon pengganti akan dicadangkan, dan kemudian bolehlah dipersetujui oleh pemimpin dan ahli UMNO.

Ketiga: Memperlahankan rentak Anwar Ibrahim ke PutraJaya.

Segera, sejurus kemudian, Cawangan UMNO di Langkawi mengemukakan resolusi kembalikan Mahathir Mohamad dan lain-lain, ke dalam UMNO, dan disokong Cawangan UMNO di Melaka.

Dirasakan, tidak ada pemimpin tertinggi UMNO yang dapat memilih sebagai pekak, buta, dan tuli, kepada petanda ini. Terkecuali mereka memilih untuk berbuat demikian, demi sayangnya mereka hanya kepada Abdullah Ahmad Badawi, melebihi parti, orang Melayu, dan lain-lain, sama ada yang berkenaan atau tidak berkenaan.

Pemimpin Misteri

Apa yang menarik dalam politik Malaysia ialah senda gurau taraf tertinggi, yang dimainkan oleh seorang lagi pemimpin politik, namun jauh di belakang tabir.

Permainannya ialah dengan mengusik Mahathir Mohamad. Umpamanya, jika putih pilihan Mahathir Mohamad, pemimpin misteri memilih hitam. Jika Mahathir Mohamad menolak Abdullah Ahmad Badawi, pemimpin misteri akan menyokong Abdullah Ahmad Badawi.

Seringkali agak sukar nak baca tindak tanduk pemimpin misteri ini. Namun, para pemerhati dan penganalisis politik akan melihat Khairy Jamaluddin. Seperti selalu, Khairy Jamaluddin akan menjadi pembesar suara. Cuma, perlu dibezakan, suara mana darinya, dan suara mana pula bukan darinya.

Sukar, tetapi boleh, untuk dilihat petandanya.

Abdullah Ahmad Badawi

Tidak berapa penting untuk dilihat apapun petanda dari Abdullah Ahmad Badawi, kecuali bila dia tersasul.

Contohnya: Anwar Ibrahim mestilah bekerjasama memberi sampel DNA yang baru, yang dulu dah lama dah.

"Bang! Caught you there!"

Mohd Najib Abdul Razak

Para pemerhati dan penganalisis politik, boleh dapat petanda yang jelas, namun bukan secara langsung, tetapi secara tidak langsung dari Mohd Najib Abdul Razak.

Contohnya: soalan cepumas, adakah berlangsung perjumpaan di antara Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan Mohd Najib Abdul Razak, sebelum Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis.

Kitapun sudah tahu, ada atau tidak pertemuan tersebut.

Jadi, bila Mohd Najib Abdul Razak berkata, kita tunggulah sama ada Anwar Ibrahim berjaya atau sebaliknya pada 16 September 2008.

Percayakah kita, dia akan tunggu sahaja tanpa ada sebarang usaha berkaitan 16 September 2008 ini. Satu peristiwa yang berkaitan dirinya sebagai Perdana Menteri kelak, dan nasib serta perubahan ramai dalam kerajaan Barisan Nasional?

Taraf

Sudah adakah dalam Pakatan Rakyat, individu atau pasukan, selain Anwar Ibrahim, yang dapat membaca ini semua, dan melakukan langkah proaktif, semacam mana semangat gerak kerja di P 44 Permatang Pauh.

Terutama, individu dan mereka yang amat dipercayai Anwar Ibrahim. Tentunya bukan dari kalangan yang mempunyai ciri seperti Ezam Mohd Noor, dan K S Nallakaruppan.

Jika ada, boleh juga dilihat petanda dari individu atau pasukan ini.

Ternyata, di pihak satu lagi, yang memihak kepada Abdullah Ahmad Badawi, memihak kepada para pemimpin UMNO, dan memihak kepada Barisan Nasional, dan dari kalangan kerajaan, yang akan turut memberikan petanda, bila mereka menyertai usaha masing-masing, atau bersepadu, lalu mengekang kemaraan Anwar Ibrahim ke PutraJaya.

Pelabur Asing

Walaupun kebanyakannya berdasarkan spekulasi dan gossip. Namun pelabur asing adalah juga petanda menarik untuk diperhatikan.

Contohnya: mereka masuk, tunggu, atau keluar dari pelaburan, bergantung kepada kestabilan politik atau politik tidak menentu di Malaysia kini.

Internet

Kali ini, diyakini blog, portal forum, seperti TranungKite OnLine, dan Internet, serta teknologi terkini, akan menjadi ruang besar, atau lebuhraya maklumat, sama ada menggagalkan atau menjayakan 16 September 2008.

Renung-renungkan kenapa blog portal Malaysia Today, milik Raja Petra Kamaruddin, tidak dapat diakses sewaktu keputusan diumumkan 26 Ogos 2008 lalu, pilihanraya kecil P 44 Permatang Pauh.

Apa pula kaitannya dengan 16 September 2008.

Menarik?

Sama-sama kita saksikan petanda berikutnya.

Sumber : Tranungkite

0 comments:

Post a Comment