Oleh ‘Deep Throat’ Sabah
Catatan: Dalam Siri Dari Pemandu Teksi Kepada Mafia Bahagian 1 dan 2, Team Malaysia Today telah membongkar kegiatan haram Datuk Goh Kian Guan @ Goh Swee Hing yang baru sahaja dianugerahkan pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) yang bergelar Datuk Seri Panglima atas ‘Jasa dan baktinya’ kepada negeri Sabah. Namun tanpa diduga, Goh merupakan ‘Taiko Tai’ atau ‘Tai Long’ di dalam kegiatan Mafia. Pemantauan Malaysia Today sejak lapan bulan lalu di Penampang, Sabah tidak menyangka bahawa Goh mempunyai kaitan langsung dengan Raja Syabu Asia, Chin Soon Goon yang diberkas di Filipina pada 21 November 2007. Ikuti pendedahan Malaysia Today berhubung Raja Mafia Malaysia. Rencana ini berdasarkan realiti dan bukannya rekaan. Semua maklumat pernah diserahkan kepada Kontingen Polis Sabah dan Ketua Polis Negara, namun tidak ada sebarang tindakan lanjut. Pandangan dan pendapat yang disuarakan oleh Deep Throat-Deep Throat di dalam rencana ini tidak semestinya pendapat Malaysia Today.
Tiada siapa menduga seorang pemandu teksi yang pada mulanya miskin, menjadi kaya-raya dalam masa yang singkat dan menimbun harta ratusan juta ringgit telah diberi penghormatan tertinggi oleh Kerajaan Negeri Sabah sekalipun semua rakyat mengenali Datuk Seri Panglima Goh Kian Guan @ Goh Swee Hing sebagai Raja Penyeludup yang menjalankan kegiatan ala-mafia.
Goh menjadi kaya bukan kerana menyeludup rokok atau minuman keras, sebaliknya terlibat dengan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di peringkat antarabangsa.
Paling mengejutkan Goh adalah perancang utama kegiatan memproses syabu di sebuah rumah persendirian di Penampang oleh Raja Syabu Asia, Chin Soon Goon.
Operasi di sebuah rumah mewah di sebuah taman di Penampang berjalan selama satu tahun tanpa sebarang masalah kerana Goh telah mengupah beberapa orang pegawai kanan polis terutama daripada cawangan Anti Narkotik dan Cawangan Khas menjaga keselamatan perniagaannya.
Walaupun telah dilaporkan beberapa kali, namun Pesuruhjaya Polis Sabah, tidak mengambil tindakan sebaliknya menasihati Goh memindahkan operasinya ke tempat lain bagi mengelakkan tekanan daripada Ketua Polis Negara yang telah mengarahkan pasukan khas memantau, tetapi apabila diperiksa rumah tersebut telah dikosongkan kira-kira dua minggu sebelum serbuan olok-olok berkenaan.
Kegiatan memproses dadah syabu di Penampang senyap begitu sahaja, namun kembali menjadi kes paling hangat apabila sindiket Goh, Chin dan Chai ditumpaskan oleh polis Filipina pada 21 November 2007.
Sebelum beroperasi di Penampang, Chin Soon Goon, 46, pernah diberkas dan ditahan di Semenyih setelah polis menyerbu makmal memproses dadah milik Chin di kawasan Perindustrian Villa Raya, Batu 18, Kajang, Selangor sekitar 2004.
Dalam serbuan ke makmal tersebut, polis telah berjaya merampas dua tan syabu mentah bernilai hampir RM2 juta yang ditaksirkan mencukupi untuk bekalan setahun bagi seluruh Asia Tenggara!
Agak menakjubkan bagaimana seorang yang ditahan bersama dua tan syabu mentah yang sewajarnya dihukum gantung sampai mati boleh lepas bebas dan memulakan operasi baru di Penampang, Sabah sekitar 2005.
Chin diperkenalkan kepada Goh oleh seorang anggota polis berpangkat ASP ketika Chin terkial-kial menjalani kehidupan sebagai ‘buruan polis’.
Dengan bantuan Emelda Doliente, Agen rasmi Kerajaan Filipina di Labuan, Chin turut mendapat pasport palsu antarabangsa Filipina bagi membolehkannya bergerak bebas keluar masuk mendapatkan bahan mentah dan beberapa pakar syabu dari China.
Goh turut membantu seorang lelaki, Chai, daripada Fuzhou, China yang berjaya melarikan diri daripada tahanan polis Malaysia pada 2004 kerana mengedar dadah kerana memerlukan seorang yang berani seperti Chin atau digelar ‘Cobra’ di kalangan pengedar dadah Labuan.
Sebaliknya polis mendakwa enam orang pegawai Imigresen mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan Chai bolos daripada Depoh Tahanan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2006 sedangkan Chai dalam penerbangan ke Labuan melalui lapangan terbang yang sama tanpa dikesan kerana faktor ‘wang’ yang dimiliki Goh.
Cobra diberikan pasport palsu Filipina atas nama Tony Bonso Escala yang kononnya dikeluarkan di Malacanang (Istana Presiden) walaupun sebenarnya dikeluarkan oleh sindiket pasport antarabangsa Filipina yang dikendalikan Emelda Doliente, tetapi diiktiraf untuk digunakan di Malaysia dan Negara lain.
Emelda pada mulanya merupakan seorang ‘pekerja seks’ warga negara Filipina yang masuk ke negara ini secara haram sebelum membuat akuan palsu untuk mendapatkan kad IMM13 daripada Jabatan Imigresen dan kini memiliki ‘taraf penduduk tetap’ Malaysia.
Emelda telah mengeluarkan lebih 12 pasport Filipina palsu kepada Chai dan Chin bagi mengelakkan mereka dikenali dan sering menukar penampilan berdasarkan nama dan rupa wajah mereka yang berubah dan dibuat dengan teknologi ‘superimposed’ dan pembiasan laser di sebuah bangunan di Zamboanga Del-Sur.
Memandangkan Chai amat dikehendaki oleh Suruhanjaya Kawalan Narkotik Kebangsaan China (NNCC) kerana terlibat dengan kegiatan penyeludupan lebih 1.7 tan syabu ke Malaysia dan China pada 2004, maka penyamaran yang dibuat mengaburi mata polis Sabah yang terpesona dengan ‘gambar agong’ (wang) sesuai dengan cogankata PDRM yang mirip ‘Saya Nanti Rasuah’.
Dalam kejadian pada 22 November 2007, Chin Soon Goon, 46, telah diberkas bersama seorang warganegara Singapura Soon Foo Siong, 30, dan tiga rakyat China masing-masing Ng Tou Heoung, 54, dan James Go Ang @ Chai, 36; tiga warga Filipina iaitu Bruce Ong @ Mr Tan, 35, Bdul Gaffar Bonsalangan, 41 dan Osami Patimbang, 41 dalam serbuan ke dua buah rumah di Barangay Pangsawitan dan Pangsanjan, Laguna, Selatan Manila.
Dalam Operasi pada jam 10 pagi, Pihak Agensi Penguatkuasa Dadah Filipina (PDEA) telah menyerbu ke makmal memproses dadah berkenaan dan menemui botol berisi cecair asid hidroklorik, sodium hidroklorida, barium sulfat, sodium acetate dan cecair lain yang digunakan untuk memproses syabu atau methamphetamine hidroklorida.
Polis Filipina turut merampas syabu siap sejumlah 3.2 tan yang sudah siap sedia untuk dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara.
Sebelum serbuan di Barangay dan Pansanjan, polis Manila pernah merampas syarbu bernilai USD5 juta di sebuah gudang di San Pedro, Filipina tiga bulan lalu tetapi gagal memberkas suspek yang melarikan diri ke Labuan dan tinggal di Sheraton Manikar selama dua bulan sebelum kembali semula ke Filipina.
Namun dua buah kapal yang diubahsuai sebagai makmal memproses dadah gagal dikesan dan dipercayai berjaya diseludup masuk ke Labuan dengan iringan dua buah kapal barang yang membawa lebih 200 kontena yang memunggah muatan di Labuan Liberty Port Management dan kini selesai dibaik pulih di Sabah Shipyard di Labuan setelah semua dadah yang diseludup di dalam kompartment komputer telah diedarkan oleh Picotex Sdn.Bhd, syarikat pemasaran peralatan komputer milik anak Goh, Dato’ Goh Sin Liong.
Dengan kerjasama Polis Marin dan Pasukan Pengawal Maritim Malaysia, dua buah kapal yang diubahsuai menjadi makmal memproses dadah kini dipercayai berada di selatan Pulau Taganak, Filipina berdekatan dengan Sandakan menggunakan nombor pendaftaran kapal palsu iaitu sebagai kapal pengangkut besi buruk dan baja.
Mengikut maklumat yang diterima Malaysia Today, kapal berkenaan didaftarkan di Vietnam pada 1997, namun namanya telah ditukarkan beberapa kali sehingga rekodnya sukar dikesan dan menggunakan beberapa nombor pendaftaran palsu bagi membolehkan penyamaran dengan berkesan.
Goh berjaya menyeludup keluar kapal kontena berkenaan dengan bantuan rangkaiannya di Filipina iaitu Mayor Tang yang mempunyai hubungan terus dengan seorang Superintendan Polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kepayan, Goh telah berkenalan dengan Bekas Mayor Pulau Taganak, Mayor Tang yang sering kelihatan di Sandakan.
Mayor Tang merupakan bekas Datuk Bandar Taganak dan begitu mudah memasuki Sabah tanpa melalui saringan ketat dan sering kali dilihat berada di Sandakan bersama rangkaian Goh di Sandakan.
Mengikut siasatan rapi Malaysia Today di Taganak, Filipina, ketika menjadi Mayor Taganak, Mayor Tang telah membenarkan Kerajaan Amerika Syarikat memasang satelit bumi di Pulau Taganak untuk kemudahan mereka memantau Sabah dan Perairan Filipina.
"Dia boneka Amerika di Taganak. Kebal dan tidak mungkin boleh ditangkap kerana dibentengi Amerika," ujar ‘Deep Throat Filipina’ yang pernah menjadi perantara Mayor Tang dan bekas pembantu khas kepada Nur Misuari.
Selain kegiatannya sebagai Agen Amerika, Mayor Tang turut terlibat dengan kegiatan penyeludupan telur penyu secara besar-besaran dengan bantuan seorang pegawai kanan Cawangan Khas Polis di Kota Kinabalu.
"Kami lihat dia beberapa kali kelihatan bersama seorang Agen CIA terkenal Jeffrey Schilling menemui Goh di sebuah kapal di perairan Filipina untuk tujuan yang tidak pasti," kata ‘Deep Throat Filipina’ yang melihat Goh menaiki sebuah bot laju menuju Sandakan.
Sekalipun Kerajaan Malaysia menghalang penyeludupan masuk dan keluar telur penyu dari Malaysia selaras dengan ketetapan Persekutuan Hidupan Liar Sedunia (WWF) kerana faktor kepupusan penyu, namun penyeludupan telur penyu ke Sandakan dan Labuan menjadi begitu mudah sekalipun dikawal oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Sabah kerana ianya menjadi perniagaan sampingan Goh.
"Mereka menyeludup masuk dadah bersama telur penyu dan saya melihat sendiri penjual telur penyu turut mengedar syabu," ujar ‘Deep Throat Filipina’ yang sering datang ke Sandakan kerana menziarahi bapa saudaranya yang mendapat taraf warganegara Malaysia.
Dalam pada itu, selain menjalankan kegiatan penyeludupan rokok dan minuman keras, semua anak lelaki Goh, Dato’ Goh Sin Liong, Dato’ Goh Sin Yee, Goh Sin Han (J.P) dan Goh Sin Yap melalui Seng Soon Trading Sdn.Bhd. mereka turut membantu Goh menjalankan operasi pengedaran dadah secara terang-terangan atau bersembunyi.
Menurut ‘Deep Throat Tawau’ yang masih bekerja dengan PDRM, beliau kesal kerana seorang pengedar paling digeruni polis dan merupakan orang kanan Goh, Pawa dan pembantunya Guntur pernah ditahan dalam sekatan jalanraya di Check-Point Semporna-Tawau, namun dibebaskan setelah Goh berjaya merasuah pegawai penyiasat dan menghilangkan bukti yang disimpan di Ibu Pejabat Polis Tawau.
"Jika sabit kesalahan Pawa dan Guntur boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya kerana ketika ditangkap Pawa memiliki lebih dua kilogram syabu," ujar ‘Deep Throat Tawau’ yang kini bertugas di daerah lain atas faktor keselamatan.
Goh turut berjaya ‘melenyapkan pangkat’ seorang Komando Unit Tindakan Khas (UTK) yang merupakan saksi terpenting dalam kegiatan pengedaran dadah yang didalangi Goh dan rangkaiannya.
Komando berkenaan, ‘Deep Throat Polis’ mendedahkan bahawa seorang pegawai berpangkat Chif Inspektor Polis tidak menzahirkan semua dadah yang berjaya dirampas dan hanya mengisytihar sejumlah kecil dadah yang dirampas dan selebihnya dikembalikan kepad Goh dengan bayaran yang mahal.
"Ada satu tangkapan 7 kilogram syabu, tetapi dilaporkan hanya 19 miligram sahaja. Tak kurang juga rampasan syabu berkenaan diganti dengan bahan asing lain terutama ajinomoto dan hablur tiruan sehingga analisa jabatan kimia gagal membuktikan bahan yang dirampas adalah syabu," ujar ‘Deep Throat Polis’ yang terpaksa meletakkan jawatan setelah digantung bertugas kerana mendedahkan rahsia berkenaan kepada pihak atasan di Bukit Aman.
Kata ‘Deep Throat Polis’ itu lagi, Polis sendiri yang menjadi dalang pengedaran dadah secara besar-besaran terutama yang mengetuai unit narkotik atau cawangan khas
"Jika pusat tahanan sementara yang dikawal ketat boleh dibolosi dadah, apatah lagi lokap dan sekolah Henry Gurney dan penjara di Sabah yang menjadi pasaran terbesar dadah di Sabah," ujar ‘Deep Throat Polis’ yang kesal dengan penglibatan ramai polis berpangkat tinggi dalam operasi Goh.
‘Deep Throat Polis’ memberitahu, selain syabu, Goh turut terlibat dengan pengedaran pil kuda dan pil penggemuk khinzir yang mendapat pasaran yang tinggi di Lembah Kelang dan Labuan.
Polis Labuan yang mendakwa menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dibuat dengan modus operasi pengangkutan perkhidmatan kurier dari Kota Kinabalu, sebenarnya terperangkap dengan teori mereka sendiri kerana hanya berjaya merampas tiga gram syabu yang dimasukkan ke dalam kotak ubat sebesar jari kelingking setelah menjalankan operasi besar-besaran. Sebaliknya penghantaran besar melalui kompartment komputer dan telur penyu gagal dikesal.
Kebijaksanaan Goh memerangkap polis melalui penangkapan kecil hanya menguji kepakaran anjing pengesan kerana sengaja memasukkan syabu ke dalam bekas ubat China yang dibungkus bersama rempah ratus seperti kulit kayu manis, cengkih dan bunga lawang bagi mengelirukan deria hidu anjing pengesan berkenaan.
Dalam keadaan polis Labuan berbangga dengan penangkapan lebih 112 orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan berjaya membuka 10 kes yang didakwa di mahkamah yang menyaksikan tujuh orang dihukum penjara dan tiga orang ditahan di kediaman terhad (RR), Goh terus megah dengan koleksi pegawai kanan polis yang berada di dalam payrollnya.
"Goh tidak mungkin ditangkap selagi pegawai kanan polis yang menjadi bossnya di Bukit Aman belum tertangkap," ujar ‘Deep Throat Polis’ yang mengetahui semua rekod tangkapan narkotik tetapi tidak dizahirkan jumlah sebenar.
Mengikut siasatan Malaysia Today, Syabu atau nama saintifiknya methamphetamine hydrochloride merupakan satu lagi jenis dadah yang berada dalam kumpulan stimulan.Ianya berbentuk kaca pecah dan kadang-kadang seperti tawas.Syabu juga dikenali dengan nama Ice.
Kebanyakan dadah jenis methamphetamine termasuk syabu diproses secara haram di dalam ‘clandestine laboratories’ oleh mereka yang tidak terlatih dan kini semakin berbahaya apabila dicampur dengan racun tikus untuk menambah keberkesanannya walaupun dalam jumlah yang sedikit.
Dari aspek perubatan, syabu didapati tidak mempunyai kegunaan perubatan walaupun pernah dikaitkan dengan ubat penyakit Gout atau radangan sendi, tetapi belum dibuktikan secara saintifik dan klinikal.
Cara mengguna dadah ini mengikut kaedah ‘chasing the dragon’ tetapi biasanya ditagih dalam bilik atau menggunakan peralatan yang hampir menyerupai penghisap candu. Kualiti syabu boleh dikategorikan kepada 3 kategori.Syabu yang paling berkualiti berwarna putih kristal diikuti dengan yang berwarna putih kemerahan dan yang paling rendah kualitinya mempunyai rasa pahit.
Syabu juga dikenali dengan nama Acetic Acid Acate Antiydride, Acetone, Chloroform, Ephedrine Ethyl Ether, Hydrochloric Acid 1-Phenyl, 2-Propanone, Pseudoephedrine dan Sulphuric Acid Toluene.
Mengikut tafsiran Akta Dadah Berbahaya, 1952, ‘Pengedaran Dadah’ termasuklah semua perbuatan seperti mengilang, mengimport, mengeksport, menyimpan, menyembunyi, membeli, menjual, memberi, menerima, menyetor, mengendalikan, mengangkut, membawa, menghantar, mengirim, mendapatkan, membekal atau mengedar mana-mana dadah berbahaya.
Bagaimana Goh dan rangkaiannya, ‘Chin dan Chai’ boleh terlepas daripada tangkapan dalam sebarang operasi pihak polis yang dibuat dalam keadaan ‘Cincai’ sehingga hanya ‘anak seluang’ yang berjaya ditangkap sedangkan Jerung penyeludup seperti Goh sibuk mengira untung di rumah mewah di tepi Pakungsan (kubur).
Sunday, December 2, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment