Pages

Sunday, December 9, 2007

Artikel oleh Roslan sms

Sediakan penjara yang lebih luas
buat 100,000 rakyat yang cintakan demokrasi

Saya pasti pagi ini isu penangkapan Naib Presiden PAS, Mat Sabu dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menjadi bualan ramai. Turut hangat adalah penahanan terhadap para peguam di KL semalam kerana merayakan Hari Hak Asasi Sedunia. Tidak kurang hangat juga adalah berita keenganan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu memberikan ikat jamin kepada dua orang ahli PAS dalam kes Peristiwa Berdarah Batu Burok, September lepas.

Kata Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, apa yang berlaku semalam adalah bukti bahawa kerajaan pimpinan Dollah Badawi sedang menuju ke arah “Negara Polis” atau “Police State”

“Negara Polis” bermaksud sebuah negara yang kerajaannya mengamalkan kekerasan dalam mengawal masyarakat awam. Ia menekan aktiviti sosial dan politik dan bertindak di luar undang-undang. Kuasa eksekutif seakan mengatasi peruntukkan undang-undang yang sedia ada.

Bagi saya apa yang berlaku semalam dan yang bakal berlaku dihari-hari mendatang ini adalah bukti bahawa Dollah merasakan yang kedudukan politik beliau dan partinya semakin terancam. Rakyat telah mula bangkit, kehidupan mereka lantaran kenaikkan kos hidup yang mencacak semakin tertekan, demokrasi pula mereka lihats semakin ternoda. Rakyat sudah mula bosan, rakyat sudah mula mempertikaikan kewibawaan dan kemampuan Dollah. Babak-babak rasuah, terutama yang membabitkan integriti badan kehakiman mereka lihat dan saksikan dengan mata kepala mereka sendiri.

Lalu Dollah tidak boleh biarkan semua ini berterusan. Himpunan Hindraf yang mahu dikaitkan dengan terrorist itu terus menghantui beliau. Hari ini Presiden PPP M. Kayveas pula dilaporkan berkata perhimpunan itu adalah protes masyarakat India terhadap MIC!

Saya percaya Dollah risau dan kecut dengan semua yang berlaku ini. Masadepan politik beliau dan menantunya terancam dengan perkembangan ini. Dan kini beliau mengambil keputusan untuk bertindak. Tangkap dan dakwa kesemuanya. Kalau perlu guna ISA maka ISA akan digunakan! Tekan dan dakwa mereka, kelak rakyat akan takut, semua akan kecut, kelak ianya akan mati begitu sahaja.

Bolehkah begitu?

Sesungguhnya apabila arus kebangkitan rakyat ditangani dengan kekerasan sebegini, ianya akan lebih merugikan. “Negara Polis” akan hanya menyediakan lubang untuk melontarkan jenzah politik Dollah, menantu dan kuncu-kuncunya. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada Marcos, Suharto dan terbaru Thaksin di Thailand.

Saya berani mengatakan jika Perhimpunan Aman Rakyat anjuran BERSIH pada 10 November lalu dianggap sebagai satu perhimpunan haram, sedangkan ianya menuntut pemulihan demokrasi, maka saya yakin jangankan penganjurnya sekerat dua, malah semua puluhan ribu yang hadir pada hari itu bersedia untuk didakwa insyallah!

Dollah perlu sediakan mahkamah dan penjara yang lebih besar dan luas, kerana bukan Mat Sabu dan Tian Chua sahaja yang layak menjadi juara demokrasi, kami semua yang telah merakamkan sejarah pada hari keramat tersebut, insyallah bersedia didakwa dan dilontar ke penjara demi membela dan mempertahankan demokrasi dalam negara tercinta ini.

Anda bagaimana?

* * * * * * * * *

Bolasepak: Malaysia kecundang lagi

Saya saksikan wajah Khairy Jamaluddin Timbalan Presiden FAM bersama-sama Menteri Belia dan Sukan Azalina Othman di Korat, Thailand semalam melalui Buletin Utama TV3.
Pasukan bolasepak kita kecundang lagi di Korat semalam dan terpaksa bungkus pulang dengan tangan kosong setelah gagal ke peringkat separuh akhir. Semalam kita seri dengan Singapura 1-1, sedangkan kita perlukan kemenangan. Ini bermakna Singapura akan mnelangkah masuk ke separuh akhir bersama juara kumpulan Vietnam.

Bukan hanya pasukan bolasepak yang pulang tangan kosong sebenarnya, yang berat memikul bebannya sudah pastilah Khairy sendiri yang mengharapkan pencapaian luar biasa terhadap pasukan kita bagi melonjakkan namanya ke atas, tambahan sejak menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.

Mungkin kini Khairy sedar tidak mudah mahu menggunakan badan sukan untuk menaikkan nama sendiri. Allahyarham Dato Harun Idris, yang ketika itu Ketua Pemuda Umno mungkin telah berjaya, tetapi pengorbanan dan sumbangan Harun kepada bolasepak negara adalah besar. Pemain-pemain kita menghormati beliau bukan kerana beliau Ketua Pemuda Umno atau MB Selangor, tetapi kerana PR nya yang menyerlah. Dan tidak dapat dinafikan ketika itu pasukan negara kita memang cemerlang.

Khairy kebetulan menang kedua-dua jawatan Naib Ketua Pemuda Umno dan Timbalan Presiden FAM tanpa bertanding. Ramai yang menganggap kemenangan mudah itu kerana beliau menantu PM dan Presiden Umno, entahlah. Tetapi sekarang masanya untuk Khairy buktikan yang beliau memang layak untuk jawatan itu, tetapi kecundangnya pasukan bolasepak kita di Korat nampaknya langsung tak membantu.

* * * * * * * * *

"Salute" pada Zaid Ibrahim

Saya sebelum ini memuji pandangan ahli Parlimen Johor Bharu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam, Shahrir Abd Samad. Shahrir ketika itu mencadangkan yang demi mengelakkan kadar tol di lebuh-lebuh raya terus naik sehingga menekan kehidupan rakyat, sepatutnya konsesi-konsesi lebuh raya itu diambil-alih sahaja oleh kerajaan. Dengan itu kepentingan dan kebajikan rakyat dapat dipertimbangkan apabila ada keperluan untuk kenaikkan.

Walaupun Shahrir dari Umno, namun saya mengira pandangan beliau itu bernas, tambahan disaat rakyat memang keperitan bahana kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang semakin menyesakkan nafas.

Hari ini dalam akhbar The Sun seorang lagi ahli parlimen Umno terbit dengan pandangan yang juga saya kira berani dan bernas.

Beliau adalah ahli parlimen Kota Bharu Zadi Ibrahim. Kata Zaid kerajaan seharusnya menguruskan demonstrasi jalanan sebaiknya dan tidak menggunakan kekerasan kerana ia tidak membantu malah lebih mengeruhkan suasana. Beliau berkata demikian dalam satu syarahannya kepada Kelab Rotary di sini.

Kata beliau lagi sepatutnya setelah 50 tahun merdeka kita sudah mampu menguruskan dengan baik apa bentuk protes dan demonstrasi sekali pun. Malah protes atau demonstrasi secara aman sepatutnya sebahagian dari amalan biasa sebuah negara demokrasi. Pihak polis katanya lagi sepatutnya menasihatkan para penganjur jalan mana yang boleh dan tidak boleh digunakan dalam menguruskannya dengan baik. Menggunakan kekerasan dan mengancam pula dengan ISA tidak akan menyelesaikan keresahan dan masalah rakyat.

Walaupun banyak yang saya tidak setuju dengan pandangan Zaid sebelum ini namun dalam hal berani menyuarakan pandangan, saya terpaksa "salute" pada beliau, satu-satunya anak jantan dalam Umno yang berani bersuara demi kepentingan bangsa. Beliau bagi saya berdiri sebaris dengan Shahrir dan Tengku Razaleigh. Yang lainnya bagaikan siput dalam cengkerang, hanya berani menyuakan kepala bila perlu, jika tidak, berlinduglah selamanya dalam cengkerangnya.
Masalahnya dalam Umno, bila sudah berani bagai mereka ini, amka nasib dan masa depan politik masing-masing kelam dan mungkin dihujung tanduk. Demikianlah nasib orang Melayu angkara Umno.

* * * * * * * * *
Bendera Umno tercacak di Palace of Justice

Satu demi satu mesyuarat mingguan kabinet berlalu, namun sehingga hari ini nampaknya Suruhanjaya Diraja yang dikatakan akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat video kontroversi melibatkan peguam VK Lingam terus senyap begitu sahaja. Mungkin kebingitan isu Hindraf telah berjaya menenggelamkan tuntutan Suruhanjaya Diraja itu atau mungkin juga kerajaan pimpinan Dollah sudah menjadi begitu gelabah sehingga sudah hilang punca dan tidak tahu apa yang patut diutamakan dan apa yang tidak.

Apa pun dalam diam-diam seorang tokoh Umno sedang belayar deras ke arah membolot kerusi kehakiman tertinggi negara. Menurut semua kahbar tempatan hari ini PM mengumumkan yang Yang Dipertuan Agong telah berkenan melantik Datuk Abdul Hamid Mohamad sebagai Ketua Hakim Negara yang baru manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zaki Tun Azmi, akan memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan, iaitu jawatan kedua tertinggi dalam badan kehakiman.

Derasnya kapal layar Zaki, mengalahkan barangkali juara Monsoon Cup baru-baru ini, kerana dari seorang peguam biasa pada 5 September lalu beliau memecah tradisi badan kehakiman negara kerana tanpa menjawat jawatan hakim dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan melangkaui kepala hakim-hakim yang lebih kanan. Dan kini baru 3 bulan dijawatan itu meluncur pula untuk memegang jawatan kedua tertinggi.

Kebetulan Ketua Hakim Negara yang baru yang sudah pun mencecah usia 65 tahun dijangka bersara tidak berapa lama lagi, maka sekali lagi Zaki akan memecah rekod melompat terus ke atas sebagai Ketua Hakim Negara dalam tempuh paling singkat dalam sejarah!

Zaki adalah bekas Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno dan bekas Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Umno. Yang menarik juga beliau pernah menjadi Pengarah Berjaya Leisure Berhad, iaitu syarikat dibawah sayap Berjaya Gorup yang berada di bawah naungan Tan Sri Vincent Tan, kawan baik kepada peguam VK Lingam!

Syabaslah Dollah, rakyat menunggu Suruhanjaya Diraja, rupanya yang lebih penting untuk Dollah adalah memastikan yang institusi kehakiman kita terus dinoda dengan meletakkan orang partinya sebagai bakal nombor satu. Sudahlah SPR tercemar dengan aksi dan kebiadapan Rashid, sekarang badan kehakiman pula. Apa lagi selepas ini?

* * * * * * * * *
Masyarakat India tidak susah yang susah orang Melayu

Dalam keghairahan membuktikan yang kehidupan masyarakat India kononnya lebih baik di negara ini, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Zainal Abidin Osman semalam menegaskan bahawa menurut kajian kerajaan purata pendapatan isi rumah masyarakat India bagi tahun 2004 mencecah RM3,456 sebulan.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Gerik, yang bertanya adakah benar dakwaan Hindraf bahawa masyarakat India di Malaysia miskin dan dipinggirkan.
Angka-angka yang dikeluarkan memang menunjukkan yang masyarakat India di Malaysia dalam keadaan yang selesa. Malangnya angka-angka itu juga membuktikan yang sebenarnya merempat dan dipinggirkan adalah masyarakat Melayu dan Bumiputera. Contohnya bagi pendapatan isi rumah tadi, berikut adalah susunannya mengikut paras tinggi rendah mengikut kaum:

Cina RM4,4,37
India RM3,456
Melayu RM2,711 (Bumiputera)

Manakala angka-angka peratusan kadar kemiskinan 2004 mengikut kaum menunjukkan:

Cina 0.6%
India 2.9%
Melayu 8.3% (Bumiputera)

Benarlah kata ahli Parlimen berkenaan yang jutaan rakyat Malaysia hidup lebih selesa dari rakyat di Tamil Nadu, India (ucapan di Dewan Rakyat). Masalahnya kalau benar masyarakat India demikian, kita mahu bertanya kepada Umno dan BN, mengapa masyarakat Melayu Bumiputera yang konon-kononnya diperjuangkan nasibnya oleh Umno sampai hari ini terus merempat dan terpinggir!

Mungkinkah masyarakat Melayu juga perlu menubuhkan sebuah kumpulan pendesak seperti mana Hindraf, berhimpun ditengah jalan kerana sesungguhnya setelah 50 tahun Merdeka, dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan sejak itu sehingga kini, namun orang-orang Melayu dan Bumiputera masih ditangga tercorot dan paling miskin.

Mungkin ahli-ahli Umno dan orang-orang Melayu yang lain boleh menubuhkan MALAYRAF “Malay Action Rights Front” dan membikin memorandum yang berjela-jela untuk menyenaraikan masalah dan kesusahan umat Melayu, tetapi soalnya ke mana mahu diserah memo itu nanti? Demikianlah nasib orang Melayu di buminya sendiri, tetapi anehnya orang Melayu tak kisah, warisan soldadu si Luncai sudah menjadi darah daging "biarkan, biarkan".

0 comments:

Post a Comment