Pages

Thursday, August 13, 2009

H1N1: Hishamuddin Vs. Haron Din

Terkejut apabila membaca artikel Hishamuddin Rais berkenaan penyakit H1N1 dalam kolum berita Malaysiakini semalam, 12 Ogos 2009. Analogi yang diberikan amat mudah difahami tetapi dalam ruang lingkup yang besar. Di sini beliau telah melakukan penyelidikan walaupun tidak menyeluruh namun telah memberi jawapan secara empirikal dan sangat berkaitan dengan fenomena sebenar dunia pada hari ini. Huraian penyakit H1N1 dari konteks agama telah dijelaskan oleh Tuan Guru Dr. Haron Din dan termuat dalam akhbar Harakah terbitan sebelum ini.

Terdapat perbezaan yang sangat jelas penerangan yang diberikan oleh kedua-dua tokoh ini. Hishamuddin Rais dikenali seorang ahli sains sosial yang mementingkan hujah-hujah empirikal (bukti) dalam sesuatu fenomena yang berlaku. Sementara Dr. Harun Din merupakan seorang cendikiawan Islam yang terbukti mempunyai ilmu agama yang tinggi dan pandangan Islam yang jauh.,

Jika dilihat keadaan sebenar dunia pada masa kini, fahaman kapitalis merebak di mana-mana. Semua perkara berhubung dengan kehidupan manusia semata-mata bepaksikan keuntungan. Niat, perbuatan dan hubungan sesama manusia adalah sejauh mana keuntungan boleh dibuat. Keuntungan kecil bermakna hubungan yang sedikit, keuntungan besar membolehkan hubungan lebih rapat sesama manusia. Tiada lagi hubungan kerana ALLAH SWT. Semuanya adalah fulus.

Perubahan fenomena ini sangat ketara selepas dunia mengalami pemodenan hasil daripada Revolusi Perancis dan Revolusi Perindustrian. Sementara fahaman agama Kristian berpecah menjadi katolik dan protestan. Unsur mazhab protestan inilah yang mencipta manusia-manusia menjadi tamak kepada keuntungan terutama di barat. Sehinggalah barat berlumba-lumba mencari tanah jajahan untuk dipunggah kekayaan mereka di samping menyebarkan agama kristian. Sedihnya kebanyakan perpecahan umat Islam pada hari ini sangat berkaitan dengan faktor mendapat keuntungan lebih dari yang lain.

Pandangan agama yang diulas oleh Dr. Haron Din menampakkan kebenarannya. Manusia semakin jauh dari petunjuk yang diturunkan ALLAH SWT iaitu Al-Quran dan Hadis nabi. Sumber rujukan tertinggi dalam menyelesaikan semua permasalahan manusia dalam apa jua bidang meliputi Muslim atau Non-Muslim. Dr. Haron Din menghuraikan secara panjang lebar apabila manusia bukan sahaja jauh malah berani menentang Pencipta.

Sangat menarik dua pandangan berbeza di sini. Seorang ahli sains sosial dapat menghuraikan suatu fenomena dengan bukti empiri tanpa langsung menyerah kepada takdir. Maksudnya setiap apa yang berlaku mempunyai hujah-hujah ilmu berdasarkan fenomena alam dan tindakan manusia. Seorang ahli agama pula memberikan hujah bersandarkan nas serta dalil aqli dan naqli serta maqamnya yang tinggi di sisi ALLAH SWT.

Saya tidak berniat hendak melagakan kedua-dua tokoh tersebut. Namun amat menarik jika kita ambil pengajaran yang sangat berguna daripada kedua pandangan ini. Kebanyakan umat Islam (Malaysia) sangat menyerah kepada takdir apabila berlaku sesuatu mala petaka dan tidak berusaha menyelidikinya. Akibatnya mala petaka itu berulang datang. Ini kerana apabila tiada penyelidikan walaupun bukan khusus menyebabkan kita tidak dapat meramal dan mengelak daripada terjadi.

Ilmu sangat penting dalam membina syahsiah dan ummah. Saidina Ali pernah berpesan "perancangan kaum kuffar akan mengalahkan orang Islam yang semata-mata berserah".

0 comments:

Post a Comment