Pages

Friday, July 3, 2009

Najib perlu buktikan Umno tidak tolak Islam

SEKALI lagi para pemimpin Barisan Nasional, khususnya Umno, menzahirkan percanggahan pandangan antara mereka berhubung sesuatu isu diperkatakan. Akibatnya, rakyat awam kebingungan mana satu yang harus diterima sebagai pendirian rasmi atau sikap parti pemerintah itu.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, pada Sabtu (27 Jun) mendesak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat meminta maaf kepada Umno kerana menyifatkan parti itu sebagai parti ajaran sesat seperti Ayah Pin dan sama dengan pengganas komunis.

Seraya menyifatkan kenyataan itu tidak wajar dan keterlaluan, Ahmad turut meminta Menteri Besar Kelantan itu bertanggungjawab dan menarik balik kenyataan yang dibuat itu.

Jadi penoreh getah

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang kini bertukar menjadi penoreh getah dan pemotong rumput di Manek Urai, mengulas kecaman Nik Abdul Aziz terhadap Umno yang disifatkannya sama seperti komunis dan ajaran sesat kerana menolak Islam.

Pesuruhjaya PAS Kelantan itu berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis di Padang Awam Laloh, dalam kawasan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, 21 Jun lalu. Umno menggesa Nik Abdul Aziz memohon maaf kepada 1.3 juta ahli Umno di seluruh negara kerana menyamakan Umno dengan gelaran dan panggilan yang cukup menghiris hati orang Melayu, kata Ahmad.

Kenyataan itu bagaimana pun tidak dikongsi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri sebaliknya menegaskan Nik Abdul Aziz tidak perlu memohon maaf kepada Umno, tetapi meminta ampun kepada Tuhan atas kenyataan mengumpamakan parti itu seperti komunis dan ajaran sesat.

"Walau pun ada kawan-kawan yang minta beliau (Nik Abdul Aziz) minta maaf kepada Umno tetapi bagi saya dia tidak payah minta maaf kepada Umno, dia kena minta ampun kepada Tuhan," kata Muhyiddin, pada hari sama.

Percanggahan ketara

Tidak dapat dipastikan kenyataan mana yang dibuat lebih awal antara dua pemimpin Umno tadi. Namun percanggahan antara mereka amat ketara.

Tidak kisahlah mereka mahu bercanggah. Itu bukan perkara pokok yang mahu dibicarakan di sini. Lagi pun, bila masa para pemimpin Umno tidak bercanggah sesama mereka? Bukankah parti itu memang terkenal dengan pertelagahan dan perbalahan?

Apalah sangat kes kenyataan bercanggah antara Timbalan Presiden dengan Ketua Penerangan Umno itu. Sekadar bertentangan kenyataan sangat kecil jika nak dibandingkan dengan aksi tumbuk-menumbuk, membaling kerusi dan tembakan pistol di mesyuarat agung parti itu.

Apa yang lebih besar dari percanggahan antara mereka, dan kemudiannya lebih menarik perhatian umum, ialah gesaan Muhyiddin agar Nik Abdul Aziz memohon ampun kepada Tuhan. Beliau menyifatkan apa yang ditegaskan pemimpin PAS itu satu tuduhan yang tertakluk kepada dosa.

Nik Abdul Aziz dalam reaksinya menganggap apa yang diperkatakannya terhadap Umno itu satu kiasan.

Kiasan

"Boleh jadi kerana saya kata nasionalis dan komunis itu serupa dan serupa tu dari segi mana? Bila kata Mamat serupa dengan harimau, Mamat kena ada ekor, kuku dan berkaki empat ke? Sebenarnya itu adalah kiasan," ulas beliau.

Baginya, semua fahaman yang menolak Islam adalah ajaran sesat. Ia bukan hanya wujud zaman sekarang, malah sejak zaman Rasulullah s.a.w.

Katanya lagi, apabila Umno menolak Islam dan mengamalkan fahaman nasionalisme, ke mana arah tuju sebenar mereka?

Sebagai mencari kejernihan dan jawaban lebih telus serta terbuka terhadap persoalan itu, Nik Abdul Aziz mengumumkan kesediaannya untuk mengadakan debat terbuka antara beliau dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya nak minta beliau (Najib) berdebat dengan saya bulat-bulat secara terbuka. Tidak secara sulit kerana perkara ini (kemelut politik antara PAS dan Umno) telah terbuka kepada umum, tak habis-habis sejak tahun 1951 (penubuhan PAS)," ujarnya, dalam kenyataan disiarkan kebanyakan akhbar, Ahad (28 Jun).

Menurut Nik Abdul Aziz, pendekatan berdebat adalah salah satu cara penyelesaian dianjurkan Islam.

Tiga penyelesaian

"Dalam Islam ada tiga cara (selesaikan pertikaian). Pertama dengan bijaksana; kedua, nasihat dan ketiga adalah berdebat," katanya lagi.

Beliau turut menekankan persoalan atau kekusutan utama yang mahu dileraikannya dari debat tersebut. Ia berkisar dan berhubungkait dengan apa yang diucapkannya di Laloh tempohari.

"Saya cuma nak tahu kepana Umno tolak Islam. Kenapa Umno lawan PAS sedangkan PAS guna (jadikan) Islam (asas perjuangan)," terang Nik Abdul Aziz.

Tidak syak lagi, penjelasan dan jawaban dari pemimpin utama Umno amat penting bagi menentukan letak duduk sebenar parti itu dengan ajaran Islam.

Apakah Umno ada kekuatan hujah dan dalil untuk membuktikan ia sebuah parti yang tidak menolak Islam sebagai dasar perjuangan? Apakah parti itu fikir rakyat buta dan pekak sehingga tidak dapat menyenaraikan kejahatan dan pencabulannya terhadap agama sendiri?

Sebaliknya, jika terbukti Umno memang menolak Islam, maka apakah satu kesalahan bagi Nik Abdul Aziz menyamakannya dengan ajaran sesat dan komunis? Dalam keadaan itu, apa perlu lagi baginya memohon maaf kepada Umno atau meminta ampun kepada Tuhan? Bahkan, parti itulah yang lebih wajar meminta ampun dan bertaubat.

Kini, beban membuktikan Umno tidak menolak Islam terpikul ke bahu pemimpin parti itu, terutama Najib. Mereka perlu berani buktikan bahawa kiasan Nik Abdul Aziz itu hanyalah fitnah dan tuduhan

0 comments:

Post a Comment