Pages

Sunday, March 29, 2009

Rasuah politik dalam UMNO tidak mungkin berakhir - Nik Aziz

Biar pun Umno kini diterajui pemimpin lain, namun gejala rasuah dan salah laku dipercayai tidak akan berakhir, malah akan terus 'membarah'.

Ramai percaya Umno akan terus berada di tahap lama biar pun beberapa pendekatan baru cuba diambil Dato' Seri Najib Razak selepas menerajui parti itu.

"Walau pun pemimpin tertinggi parti itu telah bertukar tangan, namun kerana asas perjuangan tidak pernah berubah menyebabkan kepincangan akan terus berlaku dalam parti itu.

"Masalah kemiskinan rakyat, rasuah, salahguna kuasa dipercayai tidak akan berakhir.

"Pertukaran pasukan dalam Umno hanya orang tertentu sahaja tetapi kereta masih yang lama (sekular) menuju ke destinasi dunia semata-mata," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Najib semalam secara rasminya mengambil alih teraju Umno daripada Abdullah apabila menang tanpa bertanding jawatan tersebut. Dan beberapa hari lagi bakal mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mursyidul Am PAS itu berkata, walaupun sebahagian besar muka-muka baru membarisi kepemimpinan Umno sekarang, namun asas perjuangan parti itu tetap sama.

"Ibarat kereta yang tidak ada break, maka kenderaan itu yang dinaiki pemandu dan penumpang baru tetap berada dalam bahaya," ujarnya ketika ditemui di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tiada apa pembaharuan yang dapat dirasai rakyat biar pun orang lain mengetuai Umno kerana haluan masih sama.

Menurutnya selagi parti itu terus membelakangkan agama, mengenepikan soal taqwa, mengasingkan politik dan agama, Umno akan terus bercelaru.

Kata beliau ia jauh berbeza berbanding perjuangan PAS yang berteraskan Islam dan ketakwaan, di mana ahli-ahlinya mempunyai asas agama lebih kukuh.

"Kekuatan akidah pemimpin PAS dapat dilihat pada penggal lalu apabila diuji dengan tawaran sehingga RM5 juta supaya melompat parti mereka tetap tidak berganjak," ujarnya.

Sedangkan beliau berkata, dalam Umno tidak timbul soal pahala dan dosa sehingga menjadikan amalan rasuah menjadi perkara biasa.

Menurutnya Lembaga Disiplin Umno sebelum ini sudah memutuskan ada pemimpin Pemuda Umno yang didapati bersalah dengan rasuah, namun masih dibiarkan bertanding sehingga menang.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga melahirkan rasa hairan memandangkan Umno hanya mengagungkan pemimpin mereka pada waktu-waktu tertentu sahaja.

"Contohnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika dilantik menjadi perdana menteri lima tahun lalu beliau diagung begitu rupa sehingga menggambarkan bekas presiden Umno itu anak seorang ulama.

"Namun selepas Umno kecundang teruk pada pilihan raya umum lalu, beliau pula didesak supaya melepaskan jawatan," katanya.

- HARAKAH DAILY

0 comments:

Post a Comment