Pages

Sunday, October 5, 2008

Antara Si NGO Melayu dan Si NGOK Melayu

Ramadan sudah pun berlalu dengan pelbagai kenangan dan pengalaman bagi setiap insan yang hidup di dunia ini. Malahan ada insan dunia ini yang mati kerana melalui pengalaman pahit dalam hidupnya.

Secara umumnya dunia sejagat sedang bergelut dengan krisis ekonomi disebabkan merudumnya pasaran saham Wall Street yang telah menjunam sehingga 700 mata dalam satu hari perniagaannya. Sekali gus banyak syarikat besar di Amerika yang jatuh bankrap dan turut meruntun jatuh beberapa banyak lagi syarikat besar bertaraf internasional di Eropah, Jepun, Taiwan, Korea, dan juga di Asia Tenggara.

Apa yang berlaku di Amerika Syarikat pada bulan September 2008 adalah ulang tayang apa yang pernah berlaku di sana pada Oktober 1929 dahulu, menyebabkan seluruh dunia menggigil dan kerana banyak syarikat besar jatuh muflis.

Dengan lain perkataan krisis ekonomi yang meledak di Amerika menyebabkan hampir semua pemimpin dunia sejagat memberikan fokus menyelamatkan ekonomi negara masing-masing. Media cetak dan ekonomi dunia barat memberikan tumpuan kepada cara negara besar melaksanakan langkah menyelamatkan ekonomi mereka yang sedang merudum. Dari situ orang awam diberikan maklumat terperinci bagaimana setiap negara mengambil langkah bagaimana mereka cuba memulihkan keadaan agar tidak bertambah tenat.

Akan tetapi, langkah yang serupa jarang sangat dapat kita ikuti di negara ini seolah-olah Malaysia terlepas daripada krisis ekonomi di Amerika dan Eropah. Kita tidak banyak dapat mengetahui apakah rencana kerajaan BN pimpinan Paklah . menyelamatkan Malaysia daripada henyakan krisis ekonomi global? Adakah kita mengetahui langkah-langkah awal bagaimana rakyat harus bersatu untuk menampan henyakan dan tempias krisis ekonomi global IT?

Propaganda Bajet Prihatin

Rakyat masih dibuai propaganda bahawa krisis ekonomi Amerika tidak akan membawa banyak tempias ke atas ekonomi Malaysia. Kerana itu setiap hari kita disogokkan dengan propaganda ‘Bajet Prihatin’ di TV BN. Sebagai contoh, kita dapat lihat iklan di mana beberapa orang warga emas dirakamkan memuji kerajaan BN yang memberikan potongan harga bayaran bekalan elektrik sebanyak RM20 sebulan. “Memanglah bagus usaha kerajaan ........Ringanlah beban saya ...sebab saya orang susah, dan isteri saya pun dah lama melepek.....” demikian antara komen warga emas yang disebut memuji kerajaan BN. Itulah contoh Bajet Prihatin kerajaan. Akan tetapi, cuba perhatikan rumah kediaman warga emas yang ditayangkan itu. Lihat betapa usangnya rumah kediaman mereka. Ada rumah yang kopak-kapik dindingnya dan berkemungkinan besar rumah itu hanya mempunyai tidak lebih daripada lima biji lampu elektrik – satu di dapur, satu di ruang tamu, satu di bilik tidur dan mungkin satu di bahagian tangga di belakang rumah dan satu lagi di bahagian luar depan rumah. Saya fikir kalau sebanyak itu bilangan lampu mentol yang ada, bil elektrik mereka mungkin tidak pun mencecah RM20 sebulan.

Yang jelas, kesemua warga emas yang mukanya ditayangkan setiap hari di kaca TV tidak tahu apakah makna krisis kewangan dunia dan apakah krisis ekonomi negara. Malahan mereka tidak pun sedar akan kesan turun-naiknya harga minyak di pasaran ataupun di pam minyak.

Kumpulan NGO Bukan-Melayu yang Tidak Berbaur Politik

Terdapat banyak NGO (Non-government Organisation ataupun Badan Bukan Kerajaan) naungan orang Melayu di negara ini. Kalau pada asasnya penubuhan NGO itu adalah bertujuan mempergiatkan aktiviti sosial, budaya dan ekonomi sesuatu negara, di Malaysia saya lihat munculnya satu trend yang tidak sihat di kalangan NGO Melayu. Aktiviti mereka itu banyak yang berbeza dengan kegiatan NGO yang dianggotai ataupun dipelopori oleh kumpulan bukan-Melayu.

Secara perbandingan kasar kebanyakan NGO tajaan kaum India memberikan tumpuan memperkasakan penggunaan bahasa Tamil di kalangan masyarakat mereka sambil menentukan masyarakat berbahasa Tamil itu terus fokus dengan pegangan agama Hindu. Satu ketika dahulu fungsi ini telah dilaksanakan dengan amat baik sekali oleh Kumpulan Bell sehingga satu waktu apabila Samy Vellu dapat memperdaya Bell Group untuk memberikan sokongan kepada MIC agar peranan yang diasaskan oleh Bell Group diambil alih oleh MIC.

Dengan malapnya Bell Group, banyak NGO India yang lain semakin sedar betapa mereka perlu bergerak aktif bebas daripada cengkaman MIC dan Samy Vellu. Pergerakan mereka itu menyemarakkan aktiviti industri kecilan di kalangan masyarakat India seperti industri kitaran bahanguna (recycling industry) yang telah melahirkan ramai jutawan India hanya melalui kegiatan jual beli kotak, kertas, botol, tin aluminium, besi buruk, beteri lama dan sebagainya. Kini industri kitaran bahanguna di Malaysia sudah menjadi milik kaum India di mana kaum Cina memainkan peranan khidmat sokongan (support service). Yang ironisnya penyumbang besar bahan-bahan kitaran itu adalah orang Melayu yang bergelar Mat Gian. Inilah kaki dadah yang sanggup menyabung nyawa curi kabel elektrik tanpa memikirkan risiko nyawa mereka.

Industri kitaran semula bahan guna itu menjadi begitu lumayan sehingga ramai syarikat India ataupun lebih dikenali sebagai “Keling Botol” menjadi besar dan mampu membawa masuk pekerja asing daripada India dan Seri Lanka sebagai tenaga tetap untuk meniagakan barangan belian mereka. Tauke-tauke ini tidak berminat mengambil anak-anak Melayu ataupun India tempatan untuk kerja-kerja itu. Kalau adapun anak India warga Malaysia yang digaji oleh mereka kebanyakannya adalah kaki botol dan kaki samsu.

Apapun, industri kitaran bahanguna menjadikan tauke-tauke India menjalankan perniagaan utama dalam kegiatan pasaran barang terpakai ataupun ‘secondhand goods’. Lihatlah aktiviti jual beli di “Memory Lane” pada setiap pagi Isnin dan kita akan dapat hampir 70 peratus peniaga besar di sana adalah peniaga India yang memakai kenderaan peribadi bernilai lebih seratus ribu setiap satu. Kalau ada pun orang Melayu yang berniaga di situ mereka menggunakan kereta buruk yang membawa barang-barang lama berupa “antik” dan yang susah mendapat pasaran kerana harganya yang amat tinggi.

Keunggulan orang India dengan industri kitaran menjadikan mereka semakin bebas daripada cengkaman pengaruh MIC dan Samy Vellu. Satu ketika dahulu Samy Vellu amat perkasa dan berbisa. Sesiapa yang berani menentangnya menghadapi risiko dirinya kehilangan nyawa. Pernah seorang wartawan terkenal akhbar India telah diculik oleh sekumpulan samseng upahan Samy Vellu dan dirinya dikelar dengan pisau cukur dalam satu majlis keramaian sambil diperhatikan pegawai polis yang tidak berani berbuat apa-apa.

Akan tetapi masyarakat India secara keseluruhannya pandai bersatu secara senyap-senyap. Daripada industri kitaran mereka mengembangkan industri kimpalan dan bengkel kereta, dan memasuki industri subcontracting di mana kontrak utama adalah orang Melayu UMNO. Di kawasan Lembah Kelang masyarakat India melalui usahasama NGO telah berjaya bergiat aktif dalam bisnes ‘tow truck’ (trak penunda kereta). Sebagai perbandingan kebanyakan operasi ‘tow truck’ yang dikelolakan orang Melayu adalah sebagai pekerja makan gaji dan komisen di mana tauke sebenar adalah orang Cina ataupun India.

Sekarang cuba pula kita lihat NGO yang dikendalikan oleh orang Cina. Memang tidak dapat dinafikan betapa kebanyakan NGO Cina amat berjaya di negara ini. Mereka bergiat dengan terang dan cemerlang sambil pandai mendapatkan sokongan kerajaan dan juga pertubuhan serta syarikat dermawan yang besar-besar. Kelmarin tersiar bagaimana sebuah NGO Cina berjaya menganjurkan satu marathon amal di Australia di mana mereka berjaya mengutip lebih Satu Juta Dollar Australian untuk menyokong dan membiayai kerja-kerja amal anti kanser di Malaysia.

Kita harus akui bahawa antara semua NGO yang ada di negara ini NGO tajaan masyarakat Cina adalah kumpulan yang amat berjaya. Saya pernah mengikuti kegiatan satu kelompok yang dikenali sekarang sebagai “NIRWANA” yang bergiat cergas membuat perniagaan menyemadikan abu orang mati di kalangan warga Hong Kong dan Taiwan di Nilai dan Semenyih. Syarikat Nirwana ini bernilai berjuta-juta ringgit sekarang ini, tetapi ia telah diasaskan oleh satu NGO yang kecil sahaja pada asasnya.

Mengikut kajian saya selama lebih sepuluh tahun terhadap kegiatan NGO tajaan masyarakat Cina di negara ini, saya dapati kegiatan mereka banyak bersangkutan dengan wang kegiatan dan agama. Cuba lihat projek perniagaan mereka dalam bidang kedai foto dan mencuci gambar. Mereka ada bisnes sampingan memberikan khidmat fotokopi dan menjual fon bimbit dan ‘prepaid’ Kebanyakan pengusaha perniagaan ini mempunyai nama Kristian dan menjadi ahli kepada gereja tertentu. Begitu juga dengan bisnes kedai gunting rambut perempuan atau lelaki, agensi penjualan tiket pelancongan, cybercafé, kedai membuat kek dan roti, mini market, pusat tuisyen, kindergarten (tadika), khidmat bas sekolah, rumah orang tua-tua dan sebagainya. Hampir semua perniagaan ini diusahakan oleh individu yang mendapat sokongan padu NGO.

Dengan lain perkataan, kebanyakan NGO Cina berfungsi bebas daripada pengaruh politik kerana dengan itu semua orang Cina dapat membantunya walaupun mereka datang daripada bidang politik yang berbeza. Walaupun pada asasnya mereka merupakan agensi yang tidak bermotifkan keuntungan, lambat laun mereka akan terpaut juga kepada sesuatu bentuk bisnes yang memberikan mereka sumber kewangan dan daripada situ mereka berkembang di dalam negara dan juga di luar negara secara ‘affiliate’ kepada agensi bukan kerajaan di negara-negara barat. Inilah sebabnya ramai tauke-tauke Cina yang kaya raya sudah menganut agama Kristian dan inilah golongan yang banyak menyumbang dana kepada agensi NGO Cina di negara ini.

NGO Melayu Yang Ngok

Setelah membincangkan secara sekilas pandang akan NGO Cina dan India di negara ini tentu kita dapat membuat perbandingan apa yang berlaku kepada puluhan NGO Melayu, yang banyak mendapat sumbangan sumber kewangan daripada kerajaan. Apakah mereka sampai ke tahap yang dicapai oleh NGO Cina dan India di negara ini? Jawapnya ialah jauh panggang dari api.

Penulis ini melihat penubuhan kebanyakan NGO Melayu di negara ini adalah bertujuan untuk syok-syok sendiri, tidak jauh bezanya dengan beberapa pertubuhan penulis dan agensi kerajaan yang diterajui oleh pegawai-pegawai Melayu Ironisnya hampir semua NGO Melayu itu diurus dan ditadbirkan oleh orang Melayu seratus peratus. Walaupun mereka seharusnya bersifat ‘apolitical’ (tidak berunsur politik) tetapi perjalanan mereka itu sesungguhnya lebih hebat daripada sesuatu parti politik. Inilah punca kenapa pemikiran orang Melayu sentiasa bercelaru. Tidak cukup dengan pengaruh parti-parti politik, wujud pula golongan NGO yang terus mengapi-apikan pemikiran Melayu untuk terus berkecamuk dengan unsur-unsur politik pula.

Eloklah kita ambil beberapa contoh:

1. UiTM dengan Naib Canselor yang Ngok

UiTM adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang pada asasnya ditubuhkan untuk menampung anak-anak Melayu seratus peratus. Mengikut peredaran masa kemasukan pelajar berubah di mana pelajar Bumiputera dibenarkan masuk sehingga lima peratus, dan di zaman Mahathir dahulu memang sudah ada perancangan untuk meluaskan kuota bukan Melayu agar menjadi lebih besar daripada lima peratus. Ini berpunca daripada permintaan kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kita menyentuh UiTM di sini kerana ramai pemimpin NGO di negara ini berkelulusan daripada UiTM yang satu ketika dahulu dikenali sebagai ITM.

Pada bulan September, semasa bermulanya kempen pilihan raya kecil di Permatang Pauh isu menaikkan kuota kemasukan bukan Melayu di UiTM menjadi sepuluh peratus telah diperbesarkan dengan demonstrasi pelajar UiTM serata negara sehingga mendesak agar Tan Sri Khalid Ibrahim memohon maaf kepada orang Melayu.

Angin kepanasan demonstrasi yang terancang itu telah menjadi semakin hangat dengan penglibatan Raja Lompat Ibrahim Ali yang menonjolkan diri. Saya sempat mengirim pesan kepada beberapa orang kawan yang kenal rapat dengan Ibrahim Ali dan Vice Chancellor Ibrahim Shah agar berfikir sepuluh kali dalam isu ini. Saya menyebut Ibrahim Shah kerana beliau pernah mengemukakan saman di mahkamah meminta Tan Sri Khalid memohon maaf. Saya pernah berpesan kepada teman-teman saya kalau ada dua gelaran Raja Ngok yang patut diberikan ia memang tepat layak untuk dua badut Melayu ini

Eloklah dirakamkan di sini bahawa Ibrahim Ali dan Ibrahim Shah adalah lulusan DBS pada tahun yang sama di ITM Jalan Osman. Nasib Ibrahim Shah adalah baik sikit kerana dia dapat bekerja di ITM sebagai Penolong Pendaftar sebelum diberikan biasiswa MARA untuk melanjutkan pelajaran di Amerika. Tetapi seingat saya Ibrahim Ali tidak pernah bekerja dengan mana-mana majikan, kerana dia telah meneruskan kerja berpolitik bila gagal menjadi Pengetua Kolej Politeknik Kuala Lumpur sejurus dia lulus pengajiannya.

Dengan lain perkataan, anak-anak Bumiputera yang menuntut di UiTM sekarang ini banyak dipengaruhi oleh dua pemimpin Melayu yang bernama Ibrahim Ali dan Ibrahim Shah yang tidak ada ‘standard’ dan Kelas waima bertaraf global. Kalau mereka ada kelas, tentu mereka boleh berfikir dengan waras bahawasanya apabila pelajar UiTM lulus nanti mereka akan berdepan dengan para majikan yang sebahagian besarnya adalah bukan Melayu dan kebanyakannya merupakan pembayar cukai yang terbesar di negara ini. Apakah persepsi bakal majikan itu nanti? Apakah perasaan mereka tidak akan tersentuh dengan gelagat anak-anak Melayu yang pernah berdemonstrasi mahu mengekalkan kuota kemasukan pelajar di universiti mereka? .

Saya ingin rakamkan dua bentuk nasihat kepada Ibrahim Ali dan Ibrahim Shah untuk catatan sejarah dan anak bangsa. Ibrahim Ali tahu dia naik di persada politik sekarang adalah dengan tiket PAS kerana dia telah dinyahkan oleh UMNO sebelum itu. Jadi, sebagai seorang beragama Islam dia tidak seharusnya lupa akan perjuangan PAS. Sepatutnya dia gunakan peluang keemasan yang diberikan oleh PAS itu untuk memperbetulkan diri dan menjadi seorang politik yang ada kelas negarawan dan bukan kampungan.

Ibrahim Ali harus sedar siapa diri dia. Memang dia anak Kelantan tetapi dia banyak menghabiskan masa kecilnya di Buluh Kasap kerana di situlah ayahnya dibuang daerah kerana bengkeng dan jadi kaki gedebe yang dimurkai sultan. Sesungguhnya Ibrahim boleh perbetul dirinya agar menjadi politikus mithali dan habiskan sisa hidupnya untuk menegakkan satu konsep berpolitik seperti yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Aziz. Apa perlunya Ibrahim Ali muncul di kaca TV menjadi jurucakap UMNO dan BN? Sedangkan BN dan UMNO memang sudah lama tidak mahukan Ibrahim Ali?.

Kepada Ibrahim Shah yang bergelar Tan Sri, kalau ada sisa hidup dalam perkhidmatan di UiTM, cuba belek fail kejayaan saudara sebagai seorang Naib Canselor dan congak berapa banyakkah kejayaan daripada segi akademik yang dicapai oleh anak-anak pelajar UiTM? Berapa banyakkah hasil ‘invention’ yang menjadi kebanggaan UiTM? Tumpukan usaha saudara di bidang pengajian tinggi dan pembinaan sumber insan di negara ini. Jauhkan diri daripada kegiatan berpolitik. Kalau saudara gian berpolitik, eloklah bersara dan ceburkan diri dalam politik sehingga saudara dapat naik menjadi Ketua Menteri Melaka. Cubalah lihat kejayaan Tan Sri Arshad Ayob yang pernah mendidik saudara dan mengusahakan biasiswa untuk saudara belajar di Amerika Syarikat. Cubalah tanya kawan-kawan yang pernah berkhidmat dengan Tan Sri Ani Arope untuk meneliti perjuangan dan kecemerlangannya. Tetapi saya lihat saudara menonjol diri hanya kerana menyebelahi UMNO dan BN.

Sebagai seorang Vice-chancellor saudara seharusnya dapat membaca arus pergolakan politik di negara ini. Kalau di zaman Mahathir dahulu saudara terkenal sebagai pembodek unggulan UMNO, sepatutnya saudara dapat meredakan ketagihan itu kerana Mahathir ternyata kini bertaraf kucing kurap sahaja. Satu ketika dahulu dia menganggap dirinya sebagai “the one and only” - hanya satu-satunya suara berani daripada rantau Selatan-Selatan, kini dia tidak dihiraukan oleh sesiapa. Hanya Utusan Melayu dan media UMNO yang menonjolkan suara Mahathir sekali-sekala untuk mencetuskan polemik politik dan memancing pembaca melariskan akhbar mereka.

Sepatutnya Ibrahim Shah bersifat pro-aktif dan menggalakkan beberapa pengajian di UiTM membuat penyelidikan akan impak pengajaran Sins dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan. Mungkin daripada situ nanti akan tersembul rahsia bahawa konsep pengajian itu sesungguhnya dibuat untuk mebolehkan orang-orang Mahathir dan Aziz Shamsuddin membuat harta melalui cetakan buku baru di sekolah-sekolah.

Kalau Ibrahim Shah betul-betul mahu majukan institusi pimpinannya dia sudah sepatutnya mengarahkan beberapa orang professor di universiti beliau menubuhkan badan pengajian dan penganalis di kalangan pelajar-pelajar untuk menilai impak “Tujuh Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang telah dicetuskan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor. Dari situ nanti rakyat dan pelajar universiti akan dapat menilai kepintaran Khalid menjadi Menteri Besar berbanding mantan Menteri Besar Khir (Batang Penyapu) Toyo. Harus diingat peristiwa menghadiahkan batang penyapu kepada seorang Ketua Jabatan kerajaan di Shah Alam oleh Khir (batang Penyapu) Toyo dahulu merupakan titik mula kejatuhan beliau dan juga UMNO di Selangor. Saya menganggap perbuatan beliau itu melayakkan dia diberikan gelaran Raja Ngok juga.

Ibrahim Shah dan professor di UiTM harus kaji berapakah perbelanjaan Khalid semasa membuat lawatan ke daerah-daerah berbanding perbelanjaan yang dibazirkan oleh Raja Ngok Khir Toyo dahulu. Satu ketika dahulu ada mesyuarat kerajaan Selangor yang diadakan di Australia melibatkan pegawai daerah yang diberikan elaun khas untuk berbelanja sakan. Malahan semasa menjadi Menteri Besar, Khir selalu sahaja berada di luar negara setiap bulan dan pulang untuk berteori dan beretorik sahaja. Lihat bagaimana Khalid beroperasi, tanpa iringan ‘out rider’ selalu dan cukup mesra rakyat dan tidak suka membazirkan wang rakyat. Cuba tanya orang Melaka, Johor dan Pahang, kenapakah mereka amat berminat membaca akhbar kerajaan Selangor (Suara Selangor) berbanding Utusan Melayu dan Berita hairan? . . .

2. Terlalu banyak NGO Melayu yang bersuara lantang bertopengkan perpaduan Melayu. Ada yang sanggup menggunakan ugutan dengan kata-kata ‘AMOK’ untuk menakutkan kaum lain dan mengeruhkan keadaan harmoni di negara ini. Sesungguhnya perbuatan mereka membesar-besarkan sesuatu isu yang kecil merupakan unsur yang boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Yang paling hangat dibincangkan sehingga hari ini oleh badan NGO inilah ialah kes Teresa Kok tersasul cakap mengatakan keadaan hidangan makanan di penjara semacam makanan yang layak untuk anjing. Teresa mengaku dia tersasul kerana tertekan. Kenapa tidak dihentikan sahaja isu itu di sana? Sebagai perbandingan, cuba kita ingat kembali apa kata Tun Mahathir semasa mencetuskan isu al-Maunah di Jenalik Hulu, dia berkata setelah mencuri senjata, ada satu kumpulan yang telah datang ke Kuala Lumpur untuk melancarkan serangan ‘roket launcher’ ke atas kilang arak dan sebuah kuil ternama di Kuala Lumpur. Kenyataan Mahathir itu bukan kes tersasul, tetapi satu pembohongan besar yang boleh mencetuskan huru-hara. Akan tetapi kerana rakyat sudah tahu bahawa Mahathir adalah seorang ‘pathological liar’ rakyat diam diri dan lihat keadaan sebenar yang mungkin berlaku.. .

Satu lagi kes muncul kira-kira dua bulan yang lalu di mana Mahathir ada buat pengakuan bahawa kes liwat Satu yang menuduh Anwar Ibrahim meliwat pada 1998 dahulu adalah satu konspirasi. Itulah juga kes yang dipertahankan oleh Almarhum Rizal Fernando bersama pasukan peguambelanya. Kesannya, Anwar telah disumbat juga dalam penjara kerana badan kehakiman sudah berada dalam sistem ‘korek, korek, korek”.

Kenapakah sehingga hari ini tidak ada satu pun NGO Melayu yang berdemonstrasi mengutuk Mahathir sedangkan secara terang-terangan apa yang disebutkannya sebagai konspirasi itu adalah satu penghinaan kepada keseluruhan orang Melayu dan agama Islam?

Kemudian baru-baru ini muncul satu gabungan NGO Melayu yang memberi amaran agar tidak ada sesiapa yang berani menyanggah rencana Pak Lah untuk berundur pada 2010. Yang melucukan, selepas gabungan NGO ini mengeluarkan amaran Pak Lah telah muncul menyatakan kesediaannya untuk membuat pengumuman pada Oktober ini apakah dia akan mempertahankan jawatannya ataupun tidak.

Soalnya sekarang, banyak NGO Melayu tidak ada standard dan kelas. Mereka suka berfungsi sebagai satu ‘extension’ ataupun sayap UMNO dan bercakap mengenai politik. Sepatutnya kalau mereka mahu berpolitik tukarkan NGO itu menjadi satu parti politik dan bertarunglah di pentas politik.

Inilah yang saya sebutkan satu ketika dahulu bahawa ada dua jenis Melayu sekarang ini – Melayu UMNO dan Melayu bukan UMNO. Sekarang ini sama ada kita suka ataupun tidak kita terpaksa menghadapi karenah Melayu UMNO, baik yang bergiat cergas dalam UMNO ataupun mereka yang berselindung di sebalik NGO. Kebanyakan mereka ini adalah anak-anak bekas wakil rakyat dan senator UMNO satu ketika dahulu. Mereka sudah mendarah daging dengan wang UMNO sehinggakan mereka fikir kalau tak dapat lagi jadi jaguh UMNO jadi kaki gedebe dan jurucakap tidak rasmi UMNO pun jadilah. Dengan lain perkataan kebanyakan NGO Melayu sekarang ini sesungguhnya adalah menyerupai parti politik sahaja, dan hidup serta nafas mereka adalah bergantung kepada wang ihsan orang politik juga. Peranan mereka tidak jauh bezanya dengan ‘Just World’ yang mengikut Hishamuddin Rais “merupakan satu NGO anak-beranak (ayah, ibu dan anak perempuannya) tetapi berlagak seolah-olah pengubah pemikiran dunia. Inilah pertubuhan NGO yang dipimpin oleh Chandra Muzaffar yang menganggap dirinya sebagai “Mr. Knows All”.

Apa yang perlu kita rakamkan di sini untuk catatan sejarah selain daripada anak-anak UMNO yang berjuang dalam NGO Melayu ini ramai juga yang dipelopori oleh mereka yang tidak mempunyai setitik pun darah Melayu. Ini adalah impak kepimpinan UMNO di bawah Mahathir yang harus dinilai dan dikaji sedalam-dalamnya oleh penggiat sejarah di negara ini.

Adalah satu ironis dan perkara yang amat malang, NGO Melayu tidak mahu memusatkan pemikiran untuk memasyarakatkan ekonomi Melayu seperti yang dibuat boleh Khalid Ibrahim di Selangor. Sepatutnya mereka kaji impak kenaikan harga minyak yang dibuat oleh Pak Lah dan kesan penurunan harga itu baru-baru ini.

Cuba persoal propaganda kerajaan apabila harga minyak turun. Apakah harga sepinggan nasi di Lembah Kelang yang kini berharga RM1.50 sen telah diturunkan? Cuba buat kajian makanan yang berasaskan susu China yang masih terjual di supermarket di bandar kecil? Masih terdapat makanan serupa itu di Upwell Supermarket di Kuala Pilah, sedangkan kerajaan Indonesia dan Singapura telah mengharamkannya. Adakah kerajaan UMNO mengumumkan segala jenama makanan daripada China di akhbar-akhbar dan mengedarkan risalah khas di masjid dan surau? Kenapakah tidak ada satu pun NGO Melayu yang bangkit membuat penyelidikan di pekan-pekan kecil untuk membelek lebih tiga puluh jenis makanan yang sudah diharamkan di Indonesia dan Singapura tetapi masih terjual di supermarket kita?

Jawapannya mudah sahaja. Kebanyakan NGO Melayu hanya berminat untuk berpolitik. Para pemimpinnya suka menonjolkan diri dengan membuat laporan polis dan muncul di kaca TV dan media. Kita tentu terfikir mereka sengaja diupah untuk melakukan kerja itu. Selepas dapat imbuhan, mereka akan menghilangkan diri ataupun menubuhkan satu lagi NGO baru untuk tujuan tertentu juga.

Inilah budaya Melayu berpolitik sekarang ini. Tidak kira apakah jenis wadahnya. Yang penting ialah mengisi tembolok masing-masing juga. Pertubuhan NGO semakin menonjol untuk meneruskan golongan Melayu menipu bangsanya sendiri. Tidak kiralah apakah si “Melayu” itu betul-betul layak diberikan gelaran Melayu ataupun tidak.

0 comments:

Post a Comment