Pages

Sunday, May 17, 2009

Terbukti Anifah Bacul Dan Penakut

Menteri Luar yang dilihat kini semakin kuat `berkokok' tetapi ekor bergelumang tahi, Anifah Aman terus memperlihatkan kedangkalan beliau selaku menteri. Beliau yang memulakan isu menuduh DS Anwar mengumpannya untuk melantik beliau sebagai TPM jika PR mengambil alih Kerajaan Pusat menjelang 16 Sept. Kenyataannya itu pula dibuat di luar negara di hadapan wartawan asing. Apabila sesuatu kenyataan dibuat di luar negara tambahan pula oleh seorang Menteri Luar, ianya memberi erti bahawa apa yang diperkatakan itu benar dan merupakan satu isu besar tentang negara ini.

Apabila kenyataan fitnah yang beliau keluarkan itu disiarkan melalui media-media asing dan tempatan, beliau tentunya berpuas hati seolah-olah tugas beliau selaku Menteri Luar berjaya dengan cemerlang hanya dengan memburuk-burukkan DS Anwar. Inilah sikap Umno/Bn yang tidak pernah berubah apabila terus memberikan jawatan penting kepada seorang yang korup idea dan tiada wawasan sama sekali untuk negara. Menteri seperti Anifah ini terlalu murah nilainya dan orang seperti beliau melambak di warung-warung kopi di kampong-kampong. Menteri yang tahu omong kosong, memburukkan orang lain tetapi penikus, bacul untuk mempertahankan diri dengan hujah.

Apabila kembali ke tanahair dan ditanya oleh wartawan tentang saman yang bakal dikemukakan oleh DS Anwar atas tuduhan beliau itu, Anifah dengan selamba menjawab itu soal remeh. Beliau yang memulakan isu tersebut, apabila diminta penjelasan lanjut ia dianggap remeh? Beliau juga mengaku menerima satu panggilan dari DS Anwar dan dengan satu panggilan sahaja sudah cukup untuk DS Anwar menawarkannya jawatan penting sebagai TPM ? Tiada isu atau modal lainkah untuk Anifah ini bercakap di luar negara? Terlalu banyak perkara yang tidak remeh yang wajar Anifah terangkan di luar negara bagi membantu menaikkan imej negara ini yang semakin teruk pada pandangan luar. Isu Altantuya contohnya yang telah mengaibkan pemimpin negara kita sewajarnya Anifah terangkan atau kementeriannya perlu mengambil sesuatu tindakan terhadap pihak luar yang mendakwa pemimpin negara kita terlibat dalam kes jenayah tersebut. Itu lah sebenarnya tugas penting Anifah untuk membersihkan imej negara bukannya dengan memburukkan nama DS Anwar untuk mengampu PM. Apakah beliau anggap masyarakat dunia luar seperti masyarakat di negeri Sabah kelahiran beliau yang masih ramai tertutup minda mereka darihal perkembangan politik semasa? Di Sabah, mungkin beliau boleh menjual minyak semurah itu.

Najib telah tersilap di dalam melantik Anifah selaku Menteri Luar. Negara kita akan terus ditertawakan oleh dunia luar jika orang seperti Anifah ini dilantik sebagai Menteri Luar. Bermula dengan Hamid Albar, negara kita terus gagal memperolehi Menteri Luar yang mempunyai kelas tertinggi dan kita hanya mampu mempunyai Menteri Luar yang setaraf dengan Ketua Umno Cawangan.

WFAUZDIN NS

Sunday, May 10, 2009

Najib, jangan anggap rakyat bodoh

Parti Keadilan Rakyat yakin rakyat tidak termakan dengan cubaan Barisan Nasional menutup pencabulan demokrasi di Perak dengan membebaskan 13 tahanan ISA termasuk pemimpin Hindraf.

Pengarah Komunikasi PKR, Jonson Chong berkata masyarakat tidak lupa bahawa Perdana Menteri Najib Razak sendiri mendalangi rampasan kuasa di Perak yang mencetuskan krisis perlembagaan dan menghancurkan kestabilan politik di negeri itu.

Perlakuan samseng oleh polis dan Adun Barisan Nasional mengheret keluar Speaker V.Sivakumar keluar daripada Dewan Undangan Negeri Khamis lalu cuba ditutup oleh Najib dengan membebaskan pemimpin Hindraf dari tahanan ISA.

Jonson berkata keengganan Najib untuk membidas perlakuan Setiausaha Kerajaan Negeri dan polis menunjukkan beliau merestui kekecohan pada sidang DUN itu yang mengaibkan Malaysia di mata antarabangsa.

Tindakan Najib membebaskan beberapa tahanan ISA keesokan harinya, dibuat hanya atas kepentingan politik semasa Perdana Menteri dan BN semata-mata.

“Kenapa hanya 13 orang dibebaskan,” Adakah baki tahanan ISA tidak mempunyai perasaan atau keluarga yang sayangkan mereka,” tanya Jonson. “Tidakkah mereka juga mempunyai maruah seperti kita. Bukankah mereja juga mempunyai hak untuk mempertahankan diri terhadap tuduhan kerajaan di mahkamah. Kenapa mereka tidak dibebaskan,” kata Jonson.

Jonson berkata pembebasan V.Manoharan, adun Kota Alam Shah, khususnya menengahkan persoalan samada langkah itu didorong oleh rasa cemas Najib untuk mengelak daripada berdepan dengan satu lagi pilihanraya kecil.

Menurut Jonson, Najib bertanggungjawab sepenuhnya mengaibkan Malaysia di peringkat antarabangsa dengan tindakan kerajaan beliau enggan menghormati doktrin pengasingan kuasa sehingga mencetuskan krisis di Perak.

Begitu juga dengan tindakan Najib membelakangkan hak asasi manusia dengan terus mendokong ISA dan membiarkan tahanan terus merengkok di penjara Kamunting tanpa perbicaraan mahkamah.

Apa pilihan kita sebagai rakyat.

(artikel ini tidak wajar diklasifikasikan sebagai hasutan melainkan sebagai ingatan bagi rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi)

Saya tidak mahu mengulas panjang insiden yang berlaku didalam DUN Perak sepanjang hari ini. Semua rakyat Malaysia saya jangkakan telah mengetahui hujung pangkal apa yang berlaku disana. Kesimpulan yang saya dapat berikan cuma satu iaitu;

“Pada tanggal 7 Mei 2009, pastinya akan dikenang selama mungkin oleh rakyat Malaysia yang prihatin bahawa pada tarikh inilah matinya demokrasi berperlembagaan di Malaysia”.

Marilah kita (rakyat Malaysia yang prihatin) bersama-sama berkabung atas kematian demokrasi berperlembagaan yang selama lebih 50 tahun kita julang. Kematian ini bukanlah dilakukan oleh pihak penjajah (kita bukankah telah merdeka?) akan tetapi kematian ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri yang rakus kepada kuasa.

Setelah matinya demokrasi berperlembagaan, tidak mungkin akan kekal lagi “Raja Berperlembagaan” sepertimana yang dituntut dan dikhaskan didalam Perlembagaan Malaysia. Apa yang ada hanyalah Malaysia yang dipimpin dan dikuasai secara diktator. Hari ini telah terbukti bahawa “Raja Berperlembagaan” itu hanyalah ujud diatas kertas sahaja sedangkan kuasa sebenar ditentukan oleh Perdana Menteri Malaysia sepenuhnya.

“Raja Berperlembagaan” hanyalah sekadar satu mohor (cap) yang akan digunakan apabila perlu oleh Kerajaan Barisan Nasional. Krisis yang berlaku di Negeri Perak Darul Ridzuan telahpun menjadi “precedence” (duluan kes) bagi seluruh negeri-negeri yang bersekutu dibawah panji-panji Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia).

Bila pemerintah sendiri (Kerajaan Barisan Nasional dan wakilnya) tidak menghormati undang-undang dan perlembagaan, maka adalah tidak wajar sama sekali sekalian rakyat juga menghormati undang-undang dan perlembagaan. Undang-undang dan perlembagaan hanya layak di”bakulsampah”kan sahaja kini. Malaysia nampaknya mengamalkan dua set undang-undang yang berbeza. Satu set khusus untuk diikuti oleh rakyat marhaen manakala satu set lagi khusus untuk Kerajaan Barisan Nasional dan yang bersekongkol dengannya.

Dengan ini, saya syorkan kepada semua rakyat Malaysia yang prihatin agar meneruskan tindakan berkabung sampai bila-bila sehinggalah dihidupkan kembali demokrasi berperlembagaan di Malaysia ini.